Catatan Ringkas 28 Oktober 2016


1. Terdapat beberapa berita yang menyedihkan berlaku di sekitar kita baru-baru ini. Selain khemah-khemah pelarian di Calais terbakar, kita juga mengikuti kebakaran yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah, di Johor Bahru, pada 25 Oktober lalu. Kedua-dua kejadian ini dan beberapa kejadian bencana alam dan bencana buatan manusia tentunya menyedihkan kita. Kita mendoakan yang terbaik bagi semua yang dijejas peristiwa-peristiwa pedih ini dan yang termampu, bantulah mana yang boleh. Hidup ini demikian rapuh kerana dengan sekelip mata, apa yang tidak disangka-sangkakan boleh berlaku.

2. Saya sebenarnya ingin merakamkan beberapa hal mengenai dunia seni dan orang seni tetapi usaha ini saya tundakan kerana beberapa hal.

A. Berita Bob Dylan, seorang penyanyi dan penggubah lagu, diberi ‘Hadiah Nobel Bagi Kesusasteraan’ menimbulkan pelbagai reaksi daripada penulis, penggiat seni dan bukan penulis. Kalau kayu ukur bahawa lagu-lagunya menyentuh ramai orang dan ada seni katanya seakan-akan puisi, terdapat orang-orang sedemikian, misalnya Elvis, The Beatles dan Michael Jackson misalnya, yang menyentuh pelbagai lapisan masyarakat dalam bidang muzik mereka. Malah, lama sebelum Bob Dylan, lagu dan filem Elvis telah pun dikaji dan dikuliahkan di universiti, terutamanya Universiti Iowa. Dan ini belum lagi kita menyentuh penggubah lagu dan/atau penyanyi dari daerah kita misalnya P. Ramlee, Ismail Marzuki dan lain-lain.

Tentunya pilihan pihak Hadiah Nobel ini penuh tengkarah dan Bob Dylan sehingga kini tidak pun memberi respons terhadap hadiah yang diberikan kepadanya. Beliau memang seniman yang berwibawa dan beberapa kali saya ingin memasukkan lagunya, ‘Blowin’ In The Wind’ dalam blog ini. Tetapi memberi beliau hadiah sebegini hanya menunjukkan kekurangan pihak yang memberi hadiah dan bukannya kekurangan Bob Dylan. Kalau hadiah-hadiah begini dibuat bagaikan berat sebelah, orang semakin mempertikaikannya. Lagu dan seni kata ciptaan Bob Dylan ada keindahannya dan boleh menyentuh pendengar pelbagai generasi tetapi memberi hadiah sedemikian kepadanya tidaklah lebih menonjolkan sumbangannya. Bak kata seorang wartawan, berilah Bob Dylan ‘Hadiah Nobel Bagi Keamanan’, kerana ini  lebih bermakna bagi sumbangannya, selain hadiah-hadiah berkaitan dengan seni muziknya.

Dengan ‘kekaburan’ apa itu karya sastera dan apa itu seni kata lagu atau bidang-bidang seni yang lain, apakah hadiah yang diberi benar-benar bermakna? Atau nanti pelukis kartun, pencipta animasi dan mereka yang kononnya melonggokkan kata-kata yang dianggap ‘karya sastera’, boleh juga diberi hadiah-hadiah dalam bidang sastera? Bob Dylan memang seniman yang tersohor dan dihormati tetapi jawatankuasa pemberi hadiahlah yang tidak menjalankan tugas mereka yang sewajarnya bagi bidang kesusasteraan. Dan sewajarnya Bob Dylan memberi respons s dengan tidak memberi respons  kepada pihak Hadiah Nobel, sejauh ini.

B. Saya begitu gembira apabila Mak Nona Asiah diberi ‘Pingat Budaya’ oleh pemerintah Singapura pada 4 Oktober 2016 lalu. Memang beliau wajar menerima pingat ini – malah seharusnya diberi lebih awal lagi. Dan saya terkenangkan orang-orang seperti Allahyarham Kassim Masdor, Allahyarham Hamzah Hussin dan ramai lagi yang seharusnya juga diberi penghargaan sebegini atau seumpama ini semasa hayat mereka. Demikian juga beberapa seniman veteran kita yang masih ada misalnya jurugambar Pak Bakar Ali, pengarah/pelakon/penyanyi kita seperti Wahid Satay, Maria Menado, Rosnani,  Zaiton, Hashimah Yon, Sarimah, penyanyi R. Ismail, Sulaiman Idrus dan lain-lain, yang turut menyumbang kepada dunia seni kita. Mudah-mudahan kita tidak terlalu terlambat menghargai mereka yang masih ada dan mendokumentasikan sumbangan mereka yang masih ada dan yang telah berpulang ke rahmatullah.

Saya memasukkan dalam entri kali ini tulisan-tulisan mengenai Mak Nona Asiah, Allahyarham Haji Shariff Medan, pandangan ringkas saya mengenai buku Allahyarham Hamzah Hussin yang diterbitkan semula dan baru dilancarkan di Singapura pada 22 Oktober 2016 lalu serta  rencana mengenai seniman yang ‘jiwa-jiwa’. Mudah-mudahan ada juga manfaatnya.

Semoga Mak Nona dan penggiat seni veteran kita yang masih bersama kita  diberi kesejahteraan dan bagi mereka yang sudah berpulang ke rahmatullah, Allah cucuri rahmat ke atas roh mereka. Amin.

3. Kadangkala kita diduga dengan pelbagai cara dalam hidup ini tetapi keimanan dan kekuatan dalaman kita selalu boleh membantu kita menghadapinya. Begitu juga dengan adanya orang-orang yang kita sayang yang prihatin terhadap hal kita. Tidak kurang pula kekuatan itu dapat kita timba daripada orang-orang yang kita sayang tetapi kini tidak lagi bersama kita di alam fana ini. Teladan yang pernah dicontohkan oleh orang tua dan leluhur (keturunan) kita serta arwah-arwah yang kita sayang  dalam menghadapi pelbagai onak dan duri hidup, boleh meneguhkan semangat kita untuk berani menghadapi apa pun dugaan yang menjelma. Tentunya kita hanyalah manusia biasa, yang boleh juga menitiskan air mata bila diduga tetapi kita juga boleh menguatkan semangat kita agar meneruskan kehidupan ini dan tidak mudah kecewa atau hanyut dalam perasaan mengasihani diri sendiri (self-pity). Dalam konteks ini saya lampirkan lagu ‘You Raise Me Up’ dalam segmen terakhir entri kali ini, untuk sama mengingatkan adanya semangat juang kita , yang disemai oleh mereka yang kita sayang, tidak pernah luntur atau hilang, walaupun pelbagai dugaan menimpa kehidupan kita.

Dan bagi rakan-rakan kita yang menyambut Hari Deepavali esok (29 Oktober) – Selamat Hari Deepavali.

Salam
Rasiah Halil
28 Oktober 2016.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s