Pandangan Sekilas Buku ‘Perempuan Gusti Samseng Rumah Kosong’ Tulisan Pak Hamzah Hussin Terbitan Buku Fixi, November 2015

muka-depan-buku-pak-hamzahpak-hamzah-semasa-mudapak-hamzah-2

[Pandangan sekilas ini saya sampaikan semasa majlis pelancaran buku Perempuan Gusti Samseng Rumah Kosong tulisan Allahyarham Pak Hamzah Hussin. Majlis tersebut diadakan di ILM Centre, Joo Chiat Road, Singapura, dari jam 11 pagi sehingga 1 tengah hari pada 22 Oktober 2016. Ia dianjurkan oleh anak dan keluarga Allahyarham. Ahli panel perbincangan pada hari itu terdiri daripada anak Allahyarham, Sharifah Bte Hamzah, Cikgu Siti Fatimah Muhammad dan saya.  Kata-kata aluan penerbit Buku Fixi, Amir Muhammad, yang tidak dapat hadir kerana terlibat dalam Pesta Buku di Frankfurt, dibacakan oleh moderator majlis tersebut,  anak saudara Allahyarham Pak Hamzah, Hussin Alias]

Pendahuluan

Buku setebal 238 halaman terbitan Buku Fixi ini memuatkan empat cerpen dan 2 buah novel, Samseng dan Rumah Kosong, tulisan Pak Hamzah Hussin. Pak Hamzah bukanlah calang-calang orang – salah seorang pengasas Asas 50, yang kemudian keluar dari persatuan tersebut, orang yang terkenal kerana polemik ‘Seni Untuk Seni’nya berbanding dengan ‘Seni Untuk Masyarakat’ ketika tahun-tahun 50-an dahulu.

Dan beliau menceburi seni pelbagai bidang – menulis cerpen, novel, esei, kritik filem, skrip filem, seni kata lagu, selain ada juga menulis puisi. Pak Hamzah juga pernah bertugas sebagai wartawan, pegawai penerangan dan penulis skrip filem-filem Cathay-Keris, menjadi pengedar filem serta terlibat sebagai pakar rujuk dan sebagainya di FINAS. Hadirnya buku retro ini bagai menimbulkan semula minat generasi baharu bagi karya-karya Pak Hamzah.

Perempuan Gusti

Empat buah cerpen yang dimuatkan dalam buku ini dinamakan ‘Perempuan Gusti’ dan cerpen-cerpen ini hanya diberi angka 1 hingga 4 sebagai judul. Cerpen-cerpen ini berkisar pada kisah seorang perempuan bernama Fatimah, yang berwatak agak berlainan daripada wanita-wanita zamannya. Fatimah menjadi perempuan gusti, berpakaian dan berpandangan yang sedikit berlainan dan tidak disangka-sangka daripada yang lumrah. Melalui watak Fatimah yang dianggap ‘moden’, Pak Hamzah memaparkan perubahan-perubahan watak dan peranan wanita Melayu/Islam zaman itu. Keempat-empat cerpen yang tidak diberi judul ini sebenarnya diambil daripada antologi cerpen Pak Hamzah berjudul Pagar Bukan Penjara, Kumpulan Cerpen 1947 – 1968 Hamzah Hussin yang diselenggarakan oleh Othman Puteh, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia pada 1996.

Keempat-empat cerpen ini yang ditulis dari 1951 – 1952, diterbitkan oleh majalah Mutiara dan masing-masing berjudul ‘Perempuan Gusti’, ‘Fatimah Kahwin’, ‘Hendak Ke Mana Fatimah’ dan ‘Fatimah Sebagai Isteri’. Ada keinginan menjelaskan kedudukan wanita dengan lelaki, erti keterbukaan dalam menjalin kasih serta pilihan mencari jalan hidup. Konsep kemodenan dan pembaratan dibaurkan dan perubahan-perubahan yang dibawakan watak Fatimah mungkin dianggap oleh sebilangan pembaca sebagai unsur-unsur kemodenan.

Samseng Dan Rumah Kosong

Pak Hamzah telah melahirkan beberapa novel sejak 1949. Novel-novelnya termasuklah:
1. Tarikh Berlari Liar (1949)
2. Di Mana Terbitnya Di Matahari (1950)
3. Rumah Itu Dunia Aku (1951)
4. Pemburu Pulang Ke Rumah (1953)
5. Samseng (1956)
6. Hujan Air Mata (1958)
7. Rumah Kosong (1965)

Dalam novel Samseng, gejala yang melanda masyarakat Singapura pada zaman 50-an itu, diselongkar oleh Pak Hamzah. Ia berkisar pada watak Ma’mor, Jorah, Bujang, geng-geng samseng dan penularan kisah-kisah meminta wang perlindungan, pertempuran geng, sarang pelacuran dan sebagainya yang bermula sebelum zaman Jepun, semasa zaman pemerintahan Jepun sehinggalah zaman British kembali memerintah Singapura.

Gambaran diberi bagaikan adegan filem – dan Pak Hamzah tidak menyatakan dengan jelas, sebagaimana karya-karya zamannya, bahawa perbuatan samseng itu bercanggahan dengan budaya dan agama masyarakat Melayu Singapura. Namun secara tersirat, gambaran seadanya Pak Hamzah mengenai dunia samseng ini membuka juga tirai pemahaman kita akan gejala yang merajalela di Singapura pada satu zaman dahulu.

Rumah Kosong pula lebih merupakan novel yang berunsur psikologi. Watak-watak seperti Wan, Damin, Siti dan Syed Dzulkifli menggambarkan pelbagai kekosongan yang melanda manusia kerana perbezaan bangsa, kedudukan, kasta, kecantikan dan sebagainya. Banyak naluri terpendam misalnya rasa berahi, cemburu, dendam, marah diluahkan melalui tabir-tabir penulisan Pak Hamzah dan kita lebih terdedah kepada naluri-naluri yang kadangkala bercanggah ini dalam watak-wataknya.

Rumah kosong itu sebenarnya melambangkan kekosongan jiwa watak-wataknya, terutama Wan, yang tidak dapat bertindak sebagaimana seharusnya kerana didera pelbagai kehendak dan keperluan hidup. Dan yang kosong itu bergema dan meriakkan tindakan-tindakan yang di luar kebiasaan seperti cinta yang dihalang kedudukan/kasta dan juga pembunuhan. Novel yang terbit 51 tahun lalu ini memuatkan unsur-unsur yang jarang dibincangkan pada zaman itu dalam novel-novel Melayu.

Namun dalam kisah kekosongan jiwa dan kehidupan dalam novel Rumah Kosong, Pak Hamzah memuatkan juga kisah cintanya, melalui watak Syed Dzulkifli. Syed Dzulkifli mencintai Hanim, anak orang gajinya tetapi cintanya terhalang kerana mereka berlainan kasta dan kedudukan. Hanim kemudian menghilangkan diri tetapi Syed Dzulkifli tetap mencintainya.

Kita tahu nama pena isteri Pak Hamzah ialah H. Hanim (nama sebenarnya Khadijah Abu Bakar) dan beliau juga seorang penulis. Dalam menyatakan pelbagai rasa kekosongan watak-wataknya dalam novel Rumah Kosong, Pak Hamzah tetap mengabadikan apa yang beliau anggap yang murni dan tulus iaitu cintanya kepada isterinya, melalui watak-watak Syed Dzulkifli dan Hanim.

Penutup

Usaha menerbitkan semula karya-karya Pak Hamzah memanglah usaha yang baik dan kita alu-alukan. Namun, banyak lagi karya Pak Hamzah boleh diterbitkan semula, bukan sekadar karya-karya yang boleh dianggap dapat memancing minat sensasi masyarakat pembaca.

Sesuatu yang saya harapkan, seandainya buku ini dicetak semula, mungkin ada baiknya jika tarikh tersiarnya karya-karya asalnya dimuatkan sama. Ini dapat membantu pembaca dan pengkaji memberi konteks kepada karya-karya tersebut walaupun karya-karya yang baik boleh sahaja melangkaui apa pun pembenturan zaman ia dicipta.

Boleh juga diadakan sedikit semakan terhadap ejaan atau jalan bahasa yang sedikit janggal dan juga pembetulan misalnya dalam halaman 118, dalam novel Samseng:

“Apa macam, Din?” tanya Ma’mor. “Aku ingatkan kau dihantar ke bidadari atau Kasim…”

Tanpa konteks dan sedikit pembaikan, kita mungkin terfikir watak Ma’mor bercakap pasal bidadari biasa atau kawannya Kasim, padahal ia seharusnya ditulis dengan huruf besar bagi ‘bidadari’ atau ditambah penerangan bahawa ‘bidadari’ dan ‘Kasim’ yang dimaksudkan ialah ‘Tanah Perkuburan Bidadari’ dan ‘Tanah Perkuburan Kassim’ di Singapura.

Saya harapkan esei-esei tulisan Pak Hamzah, baik mengenai sastera, kajian perkembangan sastera dan kritik filemnya dapat dibukukan suatu hari kelak kerana belum semua karya Pak Hamzah genre ini dibukukan dalam sebuah buku. Dan tulisan Pak Hamzah dalam esei-eseinya selalunya jitu dan bernas.

Dan menjadi harapan saya juga agar skrip-skrip filem tulisan Pak Hamzah dapat dialihkan dalam bentuk buku agar sumbangan Pak Hamzah dalam bidang ini dapat dibaca oleh khalayak dan bukan sekadar ditonton sahaja.

Penyair Indonesia, Chairil Anwar, pernah bersajak dalam puisi berjudul ‘Aku’ yang ditulis pada bulan Mac 1943:

Kalau sampai waktuku
‘Ku mahu tak seorang ‘kan merayu
Tidak juga kau

Tak perlu sedu sedan itu

Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang

Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang

Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari
Hingga hilang pedih peri

Dan aku akan lebih tidak peduli
Aku mahu hidup seribu tahun lagi

Chairil Anwar hanya sempat hidup hampir 27 tahun tapi saya yakin beliau akan lama ‘hidup’ dalam dunia sastera Nusantara. Chairil Anwar juga pernah bersajak dalam puisinya berjudul ‘Diponegoro’ dengan mengatakan:

Sekali bererti
Sudah itu mati.

Pak Hamzah Hussin, melalui buku Perempuan Gusti Samseng Rumah Kosong, dan karya-karyanya yang lain, sudah lama bererti dalam dunia kesusasteraan kita. Ketiadaan beliau tidak melenyapkan sumbangannya walaupun ada pihak-pihak yang bagaikan meminggirkannya semasa hidup beliau dan sesudah ketiadaan beliau. Tetapi saya yakin sebilangan karyanya, sebagaimana yang disajakkan Chairil Anwar, akan tetap hidup ‘seribu tahun lagi’, insya-Allah.

Ditulis: 22 Oktober 2016
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s