Perginya Seorang Seniman – Haji Shariff Medan

pak-shariff-1pak-shariff-2
Gambar-gambar yang saya ambil pada 1997, di rumah Pak Shariff di Dido Street, Singapura.

[Saya mewawancara Pak Shariff secara formal pada 19 April 1997 dan tulisan yang lebih padat dan sesuai untuk entri ensiklopedia telah dikirimkan kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia pada 1997 dahulu. Tulisan di bawah ini berdasarkan wawancara yang pernah saya jalankan dan juga kenangan saya terhadap Allahyarham Pak Shariff Medan.]

Pendahuluan

Apa yang kita rasai apabila orang yang kita anggap seniman, berilmu dan berhemah tinggi, dan berura-ura ingin mendokumentasikan sebahagian besar penglibatan seninya, tiba-tiba tiada lagi di sisi? Selain doa dan tangisan, bagaimanakah dapat kita rakamkan rasa kesedihan ini dengan pemergian beliau? Akankah kita bertemu seorang ‘Pak Malau’ dan ‘Tok Haji’ seperti Allahyarham Shariff Medan, yang meninggal pada 3 Ogos yang lalu (1997), dalam dunia seni kita? Atau pemergian beliau membawa bersamanya satu era gemilang dalam dunia seni dan budaya kita?

Mengenali Dunia Pak Shariff Medan

Saya menemui Pak Shariff secara formal pada 19 April 1997. Dilantik sebagai penulis dan pengkaji untuk projek  siri Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (ESKM), kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, saya diminta menulis mengenai beberapa tempat bersejarah dan seniman yang dipilih oleh sebuah panel akademik. Pak Shariff Medan adalah di antara nama-nama berpangkal abjad ‘R’, ‘S’ dan ‘T’ dan satu dua abjad lain bagi entri ensiklopedia tersebut, buat pusingan kajian kali ini.

Sebelum menemui beliau, saya membaca tulisan-tulisan mengenai penglibatannya dalam kesenian bangsawan, sama ada yang diterbitkan oleh majalah Dewan Budaya, mahupun keratan-keratan akhbar di Singapura dan Malaysia. Dan kebetulan saya juga pernah mengajar kursus drama, di mana bangsawan harus dikaji dan dipelajari sebelum mendalami drama Melayu moden, lantas latar-latar ini membantu saya apabila menemui Pak Shariff.

Saya menghubungi Pak Shariff semasa saya pulang ke Singapura pada bulan April, walaupun tidak sempat menonton pementasan ‘Indera Bangsawan’nya. Beliau amat gembira ketika itu; gembira kerana bangsawannya seolah-olah hidup semula oleh penglibatan anak-anak seni Teater Kami dan terharu dipilih dalam ESKM. Selain ini, beliau gembira mendapat berita mengenai jiran lamanya; keluarga abang Pak Busu saya pernah berjiran dengan beliau, pada tahun-tahun 50-an sehingga 80-an dulu. Mungkin faktor-faktor ini membantu beliau berbual lama dengan saya dan meluahkan banyak isi hatinya pada 19 April itu.

Apa yang saya temui setelah berbual hampit 3 jam bersama Pak Shariff dan ‘diiringi’ oleh bunyi jentera dari rumah jiran sebelah yang sedang diperbaiki? Apakah saya temui sekadar seorang insan yang melibatkan diri dalam dunia seni, yang amat sementara ini, atau insan yang sedia memaklumi tuntutan seninya dan mencerna dan menghalusi keindahan dan ketulusan seni ini melalui seluruh kehidupan yang beliau lalui? Seperti sebuah mesin seni yang sarat dengan pengetahuan dan hikmah, masa hampir 3 jam itu terlalu singkat untuk saya menghadami segala – penglibatan, pengetahuan dan pengajarannya, sekadar titis-titis air daripada gelombang lautan seni yang besar – dari penglibatan seni yang menjangkaui lebih 70 tahun.

Kisah Keluarga Dan Penceburan Seni Pak Shariff

Pak Shariff Medan atau nama sebenar beliau Muhammad Shariff Bin Muhammad Ismail, lahir pada 2 Jun 1910 di Banda Atjeh, Kampung Penayung, Sumatera. Bapanya berasal dari Pulau Pinang tetapi berhijrah ke Sumatera dan berumah tangga di sana. Nama ‘Shairff Medan’ diberi kepada beliau pada 1932 apabila beliau menyertai Sri Nooran Opera – untuk membezakan beliau dengan beberapa ‘Shariff’ dalam rombongan bangsawan ketika itu.

Pak Shariff mendapat pendidikan dasar dari Holland Inlander School di kampungnya. Namun, pendidikan formal ini tidak dapat dilanjutkan kerana terpaksa menyara hidup keluarga. Ini mencetuskan semangat beliau untuk mencari ilmu sebanyak mungkin, sama ada melalui pembacaan, pergaulan mahupun pengkajiannya sendiri. Beberapa kali semasa menceritakan kisah-kisah zaman kanak-kanaknya, mata Pak Shariff berlinang dan suaranya tersekat.

“Dialah sebaik-baik manusia, Nak,” kata beliau mengingati ibu tirinya yang banyak berkorban dan turut membesarkan beliau. Sukar bagi Pak Shariff menerima bahawa seorang ibu tiri itu semestinya ‘jahat’ sebagaimana dalam cerita-cerita bangsawan mahupun pandangan umum, kerana ibu tirinya tidak sedemikan, malah sangat menyayangi beliau dan adik-beradiknya. Kesempitan hidup memaksa ibu tirinya bekerja di kilang atap dan Pak Shariff membantu dengan mengutip ulat tembakau (dibayar 1 sen bagi seekor ulat) pada subuh hari. Kemudian, beliau bekerja di bengkel besi kepunyaan syarikat Belanda untuk membantu keluarganya.

Penceburannya dalam dunia bangsawan berlaku dengan tidak sengaja, apabila beliau turut membantu penjualan tiket bangsawan yang dikendalikan oleh bapa saudaranya. Pak Shariff, yang pada ketika itu berusia awal belasan tahun, tertarik dengan nyanyian dalam bangsawan, cerita dan dunianya yang berwarna-warni. Dan kerana beliau sendiri mempunyai suara yang lunak dan pandai bersyair, beliau diupah untuk membaca ‘Syair Dagang’, ‘Syair Selendang Delima’ dan ‘Syair Indera Bangsawan’ oleh anak-anak wayang bangsawan bagi mengisi masa lapang mereka.

Melibatkan Diri Dalam Rombongan Bangsawan

Tahun 1925 merupakan sejarah yang tersendiri bagi hidup beliau. Tengku Katan, bapa saudara Sultan Deli mendirikan ‘Dahlia Opera’, khas untuk tontonan rakyat, bukan sekadar untuk putera puteri diraja. Pak Shariff dipilih menyertai rombongan itu yang menjelajah ke Betawi (Jakarta). Malah setelah itu Pak Shariff turut menyertai beberapa rombongan bangsawan yang membawanya ke Bengkahulu, Minangkabau, Aceh, Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu. Menurut Pak Shariff, menyertai bangsawan seolah-olah suatu advencer bagi anak-anak muda ketika itu kerana ia membolehkan seseorang itu menjelajah ke tempat lain, menjalin persahabatan, meluaskan pandangan dan mengenali sesuatu masyarakat. Seni bangsawan bagai sebuah universiti terbuka; banyak mengajar dan mendidik Pak Shariff mengenai seni dan kehidupan yang dilaluinya.

Penglibatan Pak Shariff dalam bangsawan bermula dari bawah: sebagai pembantu pementasan, penyanyi, penari, pemimpin korus dan kemudiannya sebagai ‘orang muda’ (hero), pengarah dan penulis skrip. Walaupun bangsawan dipentaskan tanpa skrip ketika itu, sekadar perbincangan jalan cerita sahaja, ia banyak menyerlahkan kreativiti pemainnya terutama dalam penggunaan bahasa serta bertindak-balas dalam lakonan yang agak spontan. Dan cerita-cerita bangsawan membawa Pak Shariff bukan hanya mengenal dunia Melayu malah dunia luar: India, Arab, Cina dan Eropah, yang menurut Pak Shariff, banyak memperkayakan pengalaman hidupnya.

Pak Shariff Dalam Dunia Filem Dan Radio/Televisyen

Sebelum berlakon dalam filem Melayu, Pak Shariff pernah mendapat tawaran berlakon dalam filem Inggeris pada zaman awal itu, tetapi ia tidak menjadi. Penceburannya dalam filem Melayu bermula pada 1952 dengan filem ‘Buluh Perindu’ tetapi filem ini disabotaj oleh pihak-pihak tertentu dan tidak ditayangkan kepada umum. Pak Shariff kemudian banyak berlakon dalam filem Melayu dan juga membantu dalam penulisan dan penyuntingan skrip, kerana ternyata pengetahuan bahasa Melayunya (yang perolehi daripada pembacaan yang luas: daripada sastera klasik, tulisan-tulisan Za’ba, Hamka, Alisjahbana dan lain-lain) amat baik. Salah sebuah filem yang meninggalkan kesan yang mendalam bagi dirinya ialah filem ‘Sri Mersing’ (1961) kerana penggunaan dialognya yang indah; dan Pak Shariff banyak membantu dalam hal tersebut.

Penglibatannya dalam dunia filem Melayu terhenti pada 1966. Dan Pak Shariff pernah menganggur selama dua tahun, sehinggalah Radio Televisyen Singapura (RTS/sekarang Mediacorp) menawarkan beliau berlakon dalam drama 12 siri berjudul ‘Masa‘ pada 1968.
Dalam banyak hal RTS melalui orang-orang seperti Hashim Yusoff dan penerbit-penerbit lain, membaja dan menyirami daya kreativit beliau setelah berlalunya zaman bangsawan dan perfilemannya.  Pak Shariff berlakon dan menulis skrip untuk beberapa rancangan radio misalnya siri ‘Bangsawan di Udara’, ‘Rayuan Budiman’, ‘Pak Haji Bercerita’, ‘Ruangan Pantun’ dan lain-lain.

Dan pada 1978, Pak Shariff diberi kepercayaan ‘menghidupkan’ semula bangsawan di pentas Singapura, dengan kerjasama RTS/SBC. Beliau bukan sekadar menulis skrip malah mengarahnya. Kerjasama ini menghasilkan tiga pementasan bangsawan iaitu: ‘Puteri Gunung Ledang ‘(1980). Dan baru-baru ini, dengan kerjasama Teater Kami, beliau berjaya mementaskan ‘Indera Bangsawan’, yang pernah berkali beliau lakonkan dahulu dan beliau syairkan semasa zaman remajanya, seolah-olah melengkapi pusingan kreativitinya.

Anugerah Dan Pendokumentasian Karya Pak Shariff

Walaupun Pak Shariff tidak sempat menghadiri ‘Malam Seniman’ anjuran Persatuan Seniman Malaysia pada 3 Ogos lalu, namum hubungannya dengan para seniman dan dunia seni tidak pernah terputus. Ramai yang menghargai sumbangan beliau sebagaimana terbukti dengan penganugerahan ‘Tokoh Bangsawan’ oleh Sri Anggerik Bangsawan pada 1987; anugerah daripada Persatuan Seniman Malaysia pada 1994 dan anugerah ‘Sepintas Kenangan Di Layar Silam’ oleh Menteri Besar Johor pada Mac 1997.

Namun, terbetik di hati saya bahawa segala anugerah yang beliau terima tidak dapat membalas segala pengorbanan dan sumbangannya kepada dunia seni kita, ketika bertemu beliau pada 19 April lalu. Saya melihat beliau hampir menangis dalam beberapa ketika; bila mengenang zaman kanak-kanaknya dan kemuliaan hati ibu tirinya dan juga bila mengingati arwah isterinya. Arwah isteri Pak Shariff mempunyai nama yang sama seperti nenek saya: Fatimah Bte Abdullah, dan kedua-duanya meninggal dunia kerana sakit barah. Isteri Pak Shariff meninggal dunia pada 23 Oktober 1996, setelah hidup bersama dengan beliau hampir 62 tahun.

“Bila Bapak terkenang, Bapak selalu berzikir dan berdoa, Nak,” kata Pak Shariff mengingati arwah isterinya. Kesunyiannya ialah kesunyian orang yang kehilangan insan yang paling memahaminya sebagai manusia biasa dan insan seni. Dan berkali dalam perbualan 19 April itu, saya teringatkan P.Ramlee dan Saloma dan pengorbanan-pengorbanan yang sanggup diberi oleh seniman sejati.

Pak Shariff yang saya temui bukan sekadar tokoh bangsawan malah orang yang dalam pengetahuannya mengenai agama; daripada buku-buku yang tetap terus dibaca dan juga muamalatnya. Beliau memberitahu saya erti agama bagi dirinya, makna taubat nasuha, perngertian seni sebagai anugerah Allah dan sebagainya. Ada orang sekadar mahu menarik perhatian kita dengan ucapan atau tingkahnya, terutama dalam pertemuan yang singkat. Tetapi Pak Shariff tidak demikian; malah berterus terang mengenai kekurangan dan kesilapannya. Dan Islam baginya bukan sekadar pameran sahaja. Seperti kata pepatah Inggeris: He walked the talk.

Pak Shariff menunjukkan saya sebuah buku lama (1920) tulisan orang Belanda mengenai kesihatan dan juga beberapa buku lama. Beliau mahu menulis mengenai kesihatan dan lain-lainnya dan bertanya apakah ada orang ingin menerbitkannya. Saya berkata saya akan cuba mendapatkan beliau penerbit, seandainya buku-buku tersebut beliau siapkan. Saya ingin sekali membaca kenangan-kenangan hidupnya dan tidak mahu skrip-skrip bangsawan lama yamg masih diingatinya, hilang begitu sahaja. Tapi apakah keupayaan saya?

Pertemuan dengan Pak Shariff menimbulkan beberapa persoalan di benak saya. Soal mendokumentasikan seni dan budaya kita bukanlah perkara yang baru atau tiba-tiba saya fikirkan; sudah berbelas tahun saya menyuarakannya. Dalam usia yang lanjut (86 ketika itu), fikirannya yang tajam serta penglibatan seninya yang membanggakan, dapatkah kita mengekalkan sumbangan seni Pak Shariff, sebelum terlambat? Pak Shariff pernah ditipu dan dipergunakan oleh beberapa pihak yang mengambil skripnya untuk pendokumentasian, dan saya tidak mahu peristiwa-peristiwa sebegini berulang.

Saya pulang ke Kuala Lumpur beberapa hari setelah bertemu beliau pada April lalu. Tugas saya untuk menulis mengenainya sebagai salah satu entri ESKM telah selesai. Tetapi ‘tugas’ saya sebagai pencinta seni, rasa-rasanya tidak akan selesai. Saya mengirimkan kad ucap terima kasih berserta beberapa gambar yang saya ambil kepada Pak Shariff, dari Kuala Lumpur. Dan saya memberitahunya saya akan cuba mengusahakan agar skrip-skrip bangsawannya dapat dibukukan.

Setelah berfikir-fikir, rasanya ada dua cara terbuka bagi saya mendokumentasikan skrip-skrip Pak Shariff dan kehidupannya:

• Satu, saya mencadangkan ini kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dan mendolumentasikan sendiri skrip-skrip beliau dan dibukukan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Cara ini mungkin mengambil masa, dan tanpa sokongan teknikal dan masa yang terhad (bagi saya), mungkin ini bukan cara terbaik.
• Kedua, saya menghubungi Profesor Rahmah Bujang, yang banyak mengkaji mengenai bangsawan dan drama Melayu dan beliau juga adalah Ketua Jabatan Kesenian, Universiti Malaya, yang mempunyai kelengkapan teknikal secukupnya, untuk menerajui usaha sebegini.

Saya memilih cara kedua dan Profesor Rahmah ternyata amat berminat. Kami (Profesor Rahmah, Salmiah Ismail (salah seorang editor Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia) dan saya ) bercadang menemui Pak Shariff pada 10 Mei 1997. Saya menghubungi Pak Shariff mengenainya.

Dalam pertemuan 10 Mei itu, Pak Shariff kelihatan gembira dan terharu sekali gus. Beliau bersetuju dengan cadangan Profesor Rahmah untuk ke Universiti Malaya, selepas bulan Julai (jangkanya dalam bulan Ogos atau September kerana beliau mahu urusan rumahnya di Dido Street selesai) untuk mendokumentasikan skrip-skrip bangsawan dalam ingatannya. Dan pendokumentasian ini akan dilakukan dari semasa ke semasa (on-going) dan saya dijangkakan membawa beliau ke sana dan pihak Universiti Malaya akan menguruskan segala-galanya.

Pak Shariff memberi Prof. Rahmah tiga naskhah skrip bangsawannya, yang kami buat salinan foto dan pulangkan pada malam itu juga. Dan Prof. Rahmah dan Salmiah sempat juga menemui penggiat-penggiat dari Teater Kami keesokan harinya. Kesan pertemuan dengan Pak Shariff, bagi Prof. Rahmah dan Salmiah, tidak terhenti setakat di situ sahaja.
Saya pulang ke Singapura pada bulan Jun dan menyelesaikan beberapa urusan peribadi. Prof. Rahmah saya hubungi pada minggu terakhir Julai. Saya tidak menghubungi Pak Shariff kerana tahu saya akan menghubungi beliau pada bulan Ogos, sebagaimana jangkanya.

Tiba-tiba pada 3 Ogos, selepas 1.30 tengah hari, ibu saudara saya yang ketika itu menginap di Johor Bahru menelefon saya setelah mendengar berita mengenai kematian Pak Shariff. Saya menelefon keluarga Pak Shariff, Pak Busu saya, Roslan dan Atin (dari Teater Kami) dan kemudian Prof. Rahmah dan Salmiah. Selepas pukul 3.30 saya pergi ke rumah nombor 20 Dido Street dan turut menanti jenazahnya yang diterbangkan dari Kuala Lumpur. Apabila segalanya selesai diuruskan, dan bas bertolak ke Tanah Perkuburan Pusara Abadi, Singapura, saya menemui beberapa ahli keluarga Pak Shariff dan penggiat-penggiat dari Teater Kami, dan kemudian pulang.

Kesimpulan

Dari Dido Street ke rumah saya di New Upper Changi Road tidaklah begitu jauh, lantas saya berjalan kaki kerana sebak ditemani kesedihan dan kenangan. Saya sering juga ke Dido Street untuk menziarahi ‘Tok Opera’ (Tok dari Opera Estate – Hajah Khatijah Bte Abdul Razak, besan dan sahabat karib nenek saya), ibu Pak Busu saya, semasa zaman kanak-kanak pada tahun 60-an dulu, tetapi tidak tahu Haji Shariff Medan adalah jiran keluarga Tok Opera saya.

Mengingati perbualan Pak Shariff, saya terkenangkan nenek saya, yang meminati bangsawan dan sastera klasik, dan jarang melepaskan peluang mendengar rancangan radio ‘Bangsawan Di Udara’ atau menonton Opera Cina (kebetulan opera Cina ini diadakan di sebelah rumah saya) semasa kami menginap di Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura. Sayakah yang terkenangkan zaman silam atau kehadiran dan pemergian Pak Shariffkah yang semakin mengingatkan saya betapa indahnya zaman itu dan betapa dengan tergesa-gesanya kita kini, kita selalunya kurang menghargai sumbangan orang-orang zaman itu, seperti Pak Shariff Medan?

Berbagai tarikan yang menyebabkan seseorang itu menceburi bidang seni, adakalanya kerana mahukan glamor, nama, kebendaan atau sebab musabab yang lebih tulus. Ada yang benar-benar jujur kepada dirinya, masyarakat dan Tuhan melalui seni yang dilibatinya. Ada juga yang benar-benar cemerlang dalam seni yang menjadi pilihan. Dan ada juga yang jujur tetapi tidak cemerlang dalam seninya ataupun amat cemerlang dalam seni tetapi tidak jujur dalam erti kata sebenar. Dan saya teringat kata-kata Pak Shariff Medan: ‘Dalam seni, kita mesti eager to learn dan bukan ego.’ Dan bagi saya, Pak Shariff Medan melambangkan kombinasi insan seni yang boleh dijadikan teladan: insan yang jujur dan cemerlang dalam seninya.

Sebagaimana P. Ramlee sebelumnya, beliau mengerti seninya adalah anugerah Allah dan boleh disalurkan untuk memanfaatkan kehidupan manusia. Dan seperti P. Ramlee, beliau tahu makna ‘berkorban apa saja’. Kita menjadi lebih miskin kerana pemergiannya tapi bertuah kerana kehadirannya telah memperkayakan cakerawala seni dan budaya kita. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Pak Shariff Medan. Amin. Al-Fatihah.

Ditulis: 4 – 7 Ogos 1997
Tajuk Yang Disiarkan Berita Harian (Singapura): ‘Pak Shariff Timba Ilmu Melalui Bangsawan’.
Tersiar: Berita Harian (Singapura) pada 14 Ogos 1997
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s