Catatan 17 November 2016

1. Dunia Seni Dan Kita
Masukan-masukan dalam blog saya yang lepas, yang banyak berpusar kepada penggiat dan dunia seni mungkin juga menimbulkan pertanyaan – apakah saya mahu masyarakat kita lebih menceburi bidang ini dan melupakan bidang-bidang lain dalam kehidupan?

Tentunya tidak. Seni itu indah dan boleh memperkayakan kehidupan dan warisan kita. Dan paparan saya mengenai Biduanita Nona Asiah, Haji Shariff Medan dan Pak Hamzah Hussin (pelancaran buku Allahyarham) mengingatkan kita betapa bererti sumbangan seniman sejati yang digambarkan melalui ketiga-tiga seniman yang dipaparkan.

Saya mahu masyarakat kita, baik di Singapura atau di mana sahaja blog ini dapat dibaca, menghargai seni dan kalau berkebolehan, menceburi bidang ini dengan penuh kejujuran, kesungguhan dan kemahiran yang ada. Tetapi saya tidak mahu masyarakat Melayu/Islam Singapura terutamanya, hanya menceburi bidang seni atau menceburinya setakat mengisi ruang. Adalah amat menyedihkan jika masyarakat Melayu/Islam Singapura sekadar ditonjol-tonjolkan sebagai hanya berbakat dan menceburi bidang seni, terutamanya seni hiburan dan sukan. Kita berkebolehan dalam banyak bidang, dan bukan setakat kedua-dua bidang ini sahaja. Demikian juga masyarakat Afrikan-Amerikan yang sering ditonjol-tonjolkan hanya cemerlang dalam dua bidang ini sahaja.

Seni itu bukan perkara iseng-iseng, sebagaimana diserlahkan oleh tiga orang seniman dalam masukan blog yang lalu. Tetapi membataskan sesebuah masyarakat kepada satu dua bidang kehidupan tentulah tidak wajar. Kita mahu masyarakat Melayu/Islam menghargai seni dan warisannya, sebagaimana kita mahu masyarakat majmuk Singapura juga berbuat demikian. Yang kita tidak mahu tentulah membuat semacam sempadan bahawa hanya dalam bidang ini sahaja masyarakat Melayu/Islam Singapura boleh cemerlang. Dan yang lebih menyedihkan kita, bila ada media massa asyik menonjol-nonjolkan konon hal-hal seni dan penggiatnya tetapi yang ditonjolkan lebih merupakan hal-hal sensasi dan remeh.

2. Kisah Hak Cipta
Lewat hujung minggu lalu, dua orang kawan saya menghantar pesanan melalui whatsapp, memberitahu sajak saya telah diambil dan dilagukan dalam satu persembahan seni. Saya tidak tahu menahu mengenai hal tersebut.

Dalam masa sebulan dua ini, dua buah sajak saya, berjudul ‘Warkah Untuk Ibu’ (yang saya tulis pada 1980) dan ‘Orang-Orang Sunyi’ (yang saya tulis pada 2003 dan saya terjemahkan ke bahasa Inggeris, ‘Lonely Souls’) dipentaskan oleh sebuah badan kesenian Melayu dan bukan Melayu. Sajak-sajak saya telah diintepretasikan oleh kedua-dua badan seni ini dan dipersembahkan dalam bentuk deklamasi sajak/mini drama dan juga tarian tradisional. Kedua-dua badan ini menghubungi saya lebih awal, meminta keizinan saya menggunakan sajak-sajak saya dan mengundang saya apabila acara mereka diadakan. Saya memberi keizinan kerana saya tahu mereka serius walaupun saya tidak dapat hadir untuk kedua-dua acara kerana masalah kesihatan.

Bukan sukar menghubungi saya – ada orang yang menghubungi saya melalui blog ini, ada yang bertanya keluarga dan kawan-kawan saya dan ada pula menghubungi pihak Majlis Seni Kebangsaan Singapura (NAC) untuk mendapatkan alamat emel atau nombor telefon bimbit saya. Alamat emel saya yang dimuatkan dalam direktori NAC beberapa tahun lalu, tidak lagi saya gunakan kerana digodam (hacked). Namun, saya bukannya sukar sangat untuk dihubungi.

Perkara yang mengambil karya saya tanpa izin, bukanlah perkara baharu. Setakat orang mengambil sajak saya yang mereka suka dan keluarkan semula dalam blog mereka dengan mencatatkan saya sebagai penulis karya itu atau membacakan puisi saya dan menyebut saya pencipta karya itu, tiada masalah atau perlukan keizinan. Tetapi membuat persembahan, merakamkan dan sebagainya karya orang tanpa izin, tentulah lain perkara. Dan saya tidak semestinya mahu nama dan karya saya dikaitkan dengan acara-acara atau orang-orang tertentu.

Setakat meminta izin, ada yang terasa begitu sukar. Saya telah menghantar emel kepada yang berkenaan tetapi sehingga kini belum dijawab. Sebagai manusia, kita ada adab dan tatacara melakukan sesuatu. Seandainya ini terus menerus diperlekehkan, kadangkala terpaksa juga kita membawanya ke tengah.

Pada 1979, sebuah sajak saya tersiar di Majalah Dewan Sastera, Malaysia. Nama saya tersalah ditulis – Razilah Halil. Sebelum dan sesudah ini, nama saya tidak pernah disalah tulis oleh pihak Dewan Sastera. Editornya Usman Awang. Pak Usman, penulis yang saya kagumi, menghantar kad kepada saya dan meninta maaf kerana kesilapan teknikal itu. Pada akhir tahun-tahun 80-an atau awal 90-an, Profesor Muhammad Haji Salleh menghubungi saya, meminta izin untuk menterjemahkan sebuah dua sajak saya. Beliau merupakan penyair dan ilmuwan yang saya hormati dan sanjungi; saya berbesar hati beliau sudi menterjemahkan sajak-sajak saya ke bahasa Inggeris untuk sebuah jurnal sastera. Kedua-dua seniman ini, Pak Usman Awang dan Profesor Muhammad Haji Salleh, memang orang-orang yang cemerlang dalam bidang mereka tetapi mereka tidak menjadi kecil kerana meminta maaf kerana kesilapan teknikal atau meminta izin menggunakan karya saya.

3. Kedai Buku Toko Wijaya Ditutup Akhir Tahun 2016 Ini
kedai-toko-wijayahaji-mustapa-puteh-5

haji-mustapa-puteh-2haji-mustapa-puteh-1

Gambar-gambar Toko Wijaya dan pemiliknya, Haji Mustapa bin Puteh yang saya ambil pada 15 November lalu.

Pada awal November tahun ini, saya mendapat pesanan telefon daripada Haji Mustapa bin Puteh, pemilik kedai buku, Toko Wijaya. Kedai buku yang terletak di Joo Chiat Complex, Geylang Serai, Singapura, akan ditutup buat selama-lamanya pada akhir tahun ini. Buku sajak saya, Nyanyian Si Anak Dagang ada terletak di kedai tersebut dan Haji Mustapa meminta saya mengambilnya dan akan membayar saya bagi buku-buku yang terjual.

Saya hiba membaca pesanan Haji Mustapa – satu lagi kedai buku ditutup di Singapura. Sebelum ini, kedai buku Pustaka Melayu, di North Bridge Road dan kemudian, kedai buku Pustaka Nasional di Blok 2, berdekatan Pasar Geylang (yang lama) dan juga di Wisma Indah (di Changi Road, sebangunan dengan Masjid Kassim) telah ditutup. Walaupun Pustaka Nasional masih ada sebuah kedai, tapi buku dan majalah tidak dipamerkan seperti di kedua-dua kedainya dahulu. Dan sekarang, kedai buku Toko Wijaya pula akan ditutup.

Haji Mustapa memulakan perniagaan bukunya pada 1960. Ketika itu kedainya terletak bersebelahan kedai buku Haji Hashim dan sederet dengan kedai-kedai barangan Melayu, selain kedai-kedai makan. Ia terletak di daerah Perkampungan Melayu, yang kini sedang diubah, dan bersebelahan Pasar Geylang yang ada sekarang. Kedai Toko Wijaya sebagaimana kedai Haji Hashim dahulu sederhana sahaja tetapi sering dikunjungi orang.

Saya mula membeli buku dari kedai Toko Wijaya pada 1969. Ketika itu, saya bersekolah di sebuah sekolah arab/agama, yang terletak di Jalan Pasir. Sekolah saya merupakan cawangan Madrasah al-Maarif al-Islamiah, yang terletak di Ipoh Lane, Singapura. Dari 1969 sehingga 1971, ketika saya masih bersekolah di daerah Geylang Serai, saya sering juga singgah dan membeli buku dan majalah agama dan sastera di kedai Toko Wijaya dan Haji Hashim. Saya sanggup tidak makan untuk menyimpan duit jajan/saku saya agar saya dapat membeli buku atau majalah yang saya ingini dari kedai buku Toko Wijaya dan Haji Hashim.

Bila saya berpindah sekolah, saya tetap mengunjungi kedua-dua kedai buku dan setelah kedua-dua kedai buku ini dipindahkan ke Joo Chiat Complex, masih saya kunjungi kedua-duanya. Saya menyaksikan pemilik-pemilik kedai buku Toko Wijaya dan juga Haji Hashim dari mereka berusia muda sehinggalah kini. Dan banyak kenangan saya membeli buku dan majalah di kedai buku Toko Wijaya dan Haji Hashim.

Ada kesedihan yang tidak dapat saya ungkapkan bila mengetahui kedai buku Toko Wijaya akan ditutup. Kalau saya mempunyai wang, tentu akan saya beli kesemua bukunya dan meneruskan perniagaan Haji Mustapa. Tetapi saya tidak mempunyai wang mahupun kemahiran dan kesihatan untuk berbuat sedemikian.

Saya ke kedai Toko Wijaya dan bertemu Haji Mustapa pada 15 November lalu. Saya juga bertemu dengan jurujual Haji Mustapa, Encik Hashim, yang mengenali ramai penulis dan ramah melayan mengunjung ke kedai Toko Wijaya.

Haji Mustapa menceritakan sedikit mengenai kedai bukunya dan betapa ada yang datang, setelah mengetahui kedainya akan ditutup, menangis di depannya. Beliau juga menjadi semacam kaunselor tidak rasmi sebilangan pengunjung kedainya kerana ada juga yang membeli buku-bukunya untuk ahli keluarga mereka yang di dalam tahanan, untuk bahan bacaan di sana. Ada juga yang mengadu hal kepadanya semasa membeli buku-bukunya. Kebanyakan buku yang dijual di kedai buku Toko Wijaya merupakan buku agama tetapi masih terdapat juga buku sastera, buku masak, CD/DVD bacaan Quran, tasbih, gaharu dan sebagainya yang dijual di Toko Wijaya.

Haji Mustapa menjual buku-bukunya dengan potongan harga; beliau malah menyuruh saya memilih buku-buku yang saya kehendaki dan diambil percuma. Saya terharu mendengar itu tetapi enggan memenuhi permintaan itu, lantas membayar sejumlah buku yang saya beli dan Haji Mustapa memberi potongan harga yang banyak. Saya mungkin mengunjungi kedai buku Toko Wijaya satu dua kali lagi sebelum ia ditutup buat selama-lamanya.

Anak-anak Haji Mustapa tiada seorang pun ingin meneruskan perniagaannya dan Haji Mustapa akan menetap di negara lain, mengikuti keluarga anaknya, selepas kedainya ditutup. Ada kesedihan yang saya lihat di wajahnya ketika kami berbual tetapi beliau kelihatan tenang dan berkata: ‘semua pun ada masanya’.

Sebuah kedai buku seperti Toko Wijaya, bukan sekadar kedai perniagaan sahaja. Ia menghimpun sebilangan khazanah dan karya untuk tatapan masyarakat. Ada anggota masyarakat kita yang lama merantau atau menginap di luar negara tetapi bila dapat ke Singapura, selain bertemu sanak saudara, membeli-belah dan makan-makan, tempat-tempat seperti sebuah kedai buku juga akan dikunjungi.

Haji Mustapa ada memberitahu saya bahawa kini tidak ramai orang yang membeli buku berbanding dengan satu masa dahulu. Kebilangan orang hanya suka membaca e-book, melungsuri Internet.

Membaca buku mengambil masa dan dalam sebilangan kita begitu tergesa-gesa – ada yang memang kekurangan masa tetapi ada yang ditariki hal-hal sensasi sahaja – sehingga meluangkan masa membaca sejumlah ilmu yang boleh kita perolehi melalui buku, kurang pula kita memberikan perhatian.

Ketika mengucapkan selamat tinggal kepada Haji Mustapa, ada kesedihan yang meruangi hati saya. Dalam masa terdekat pada tahun ini, saya telah melihat sebuah kedai muzik yang menjual CD/VCD lagu dan filem Melayu di Joo Chiat Complex, Muzika Records, bertukar menjadi kedai pakaian. Saya sering juga ke kedai tersebut. Dahulu, di Pasar Geylang yang lama, saya sering ke kedai muzik Angel’s Records dan kedai bersebelahannya (saudaranya). Kini semua telah tiada.

Saya bukan sekadar bernostalgia tetapi adalah amat menyedihkan, masyarakat kita kurang memberi sokongan terhadap perniagaan kedai dan penerbit buku, membaca dan membeli buku-buku kita, terutama yang ditulis dalam bahasa Melayu. Yang ditulis dalam bahasa Inggeris memang terdapat banyak kedai bukunya. Sebahagian besar buku agama kita dimulakan dengan apa yang disebut sebagai ‘Kitab Kuning’ dan sebilangan ulama Nusantara pernah menulis buku-buku agama dalam bahasa Arab dan Melayu yang tersebar di Nusantara, dan yang ditulis dalam bahasa Arab, di Jazirah Arab/Haramain. Dan sejumlah karya sastera berbahasa Melayu dijual juga di kedai-kedai buku seperti Toko Wijaya.

Saya mendoakan yang terbaik buat Haji Mustapa – semoga laluan hidupnya seterusnya lebih menceriakannya sebagaimana buku-buku di kedai Toko Wijayanya ada memberi semacam pencerahan dan keceriaan kepada pembelinya. Dan semoga Encik Hashim, yang sentiasa ramah melayan pengunjung kedai Toko Wijaya, akan dimanfaatkan kebolehannya sebagai jujurujual yang cekap, oleh kedai-kedai di sekitar Joo Chiat Complex.

4. Presiden Baharu Amerika Syarikat
Donald J. Trump telah menang dalam pilihan raya presiden di Amerika Syarikat pada 9 November lalu. Ramai yang terkejut dengan keputusan itu. Pelbagai perspektif dibincangkan di media-media massa di dalam dan luar negara. Tentunya pilihannya dan retorika yang dikaitkan dengan Trump menggusarkan banyak pihak. Dan tunjuk-tunjuk perasaan serta penjarahan yang menyusul, lebih menggusarkan kita. Demikian juga semakin terserlah golongan kanan yang melampau (the far right), isu-isu perkauman, anti-pendatang, anti pelbagai perkara. Dan fahaman-fahaman ini seolah-olah memperkukuhkan golongan far right di Britain dan Eropah.

Sebagai rakyat biasa dari negara yang kecil, kita juga turut gusar. Yang saya fikirkan, bagaimana Amerika Syarikat, sebuah kuasa besar, boleh memilih seorang yang mengaibkan wanita terang-terangan, bersifat perkauman yang tegar dan sebagainya, sebagai presiden? Tentulah ada yang tak kena. Terlalu banyak dalang, perwayangan dan kepentingan pihak-pihak tertentu yang berakhir dengan adanya dua calon yang bak kata pepatah kita, ditelan mati mak, diluah mati bapa.

Mungkin bagi kita, banyak yang boleh dijadikan pengajaran. Salah seorang wartawan dan pengkaji berkata, Hillary Clinton disokongi media massa utama yang menjadi ‘amplifiers’ dan ‘echoes’nya. Jadi pihaknya mungkin tidak begitu mendengar suara rakyat biasa. Trump pula, walaupun seperti Hillary, disokongi pihak-pihak tertentu, pandai bermain dengan perasaan orang dengan retorikanya. Akhirnya beginilah.

Saya rasa badan-badan kemasyarakatan dan sebagainya di Singapura dan di mana sahaja, seharusnya lebih terbuka mendengar rungutan orang kebanyakan dan bukan sahaja tukang mengampu atau ‘penggilap epal’ (apple polishers). Kadangkala suara-suara yang lain itulah suara hati sebenar sesebuah pertubuhan, masyarakat atau negara.

Dan seringkali pula kita mempergunakan soal bangsa, budaya, agama dan sebagainya untuk kepentingan-kepentingan yang tidak luhur. Kita kadangkala hanya bersikap acuh tak acuh dan tidak sejujurnya menangani hal-hal sebegini. Rakyat biasa tidaklah sebutanya memerhati dan menghadami hal-hal begini. Akibatnya, ada yang mengikut perasaan dan mahu, seperti sebilangan rakyat Amerika Syarikat, ‘mengembalikan keadaan seperti dahulu’. Realitinya, ini sukar berlaku. Dan realitinya, banyak pihak berkepentingan yang mendalangi kedua-dua calon. Betapa jika Bernie Sanders yang menjadi presiden Amerika Syarikat yang ke-45…

Tulisan:  Rasiah Halil ,17 November 2016.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s