Dalam Masa Terdesak, Tabungan Amat Berharga – Ditulis Pada 2002

Belanjawan negara baru saja diumumkan dan sebilangan orang yang berkemahiran dan berkepentingan dalam bidang ini sibuk pula membincangkan kesannya kepada kita. Sri, sebagaimana kebanyakan orang, taklah mahir mencongak dan mendarab mengenainya. Menurut istilah sekarang, orang macam Sri ini sekadar heartlander atau meminjam lagu Sudirman, sekadar orang biasa, hidup sederhana; jadi belanjawan mungkin hanya menarik minat Sri mengenai misalnya: adakah harga barang-barang keperluan akan naik, potongan Tabung Simpanan Pekerja/CPF ditambah atau dikurangkan, bagaimana dengan cukai pendapatan, rebat, adakah ada lowowngan-lowongan pekerjaan bagi para pekerja kita dan lain-lain. Perkara-perkara yang lebih besar dan rinci sukar pula Sri nak fahami.

Namun sesiapa yang menyara hidup keluarga atau diri sendiri terpaksa juga tahu pasal belanjawan; sekurang-kurangnya belanjawan sendiri. Dan di antara orang yang mahir menguruskan hal kewangan ini ialah para ibu kita. Kadangkala wang yang diberi tidaklah muai, tetapi kerana kecekapan para ibu, banyak hal dapat dilaksanakan dalam keadaan sedemikian. Malah ramai di kalangan kita mempunyai kenangan betapa sukar ayah kita mencari nafkah dan dengan kecekapan dan kecekalan hati ibu kita, dapat juga mereka ketepikan wang untuk perbelanjaan seharian dan persekolahan kita, walaupun peritnya tidak mudah kita lupakan selamanya. Tambahan pula zaman dulu, ramai yang berkeluarga besar, namun dapat juga kita ‘hidup’ berkat asuhan dan jimat cermat kedua orang tua kita. Ilmu ekonomi tak pula mereka ketahui tetapi mereka tahu ertinya bila dapur tak berasap atau perut tak berisi, lantas bijak mereka mengurus wang yang ada.

Ada pepatah Inggeris berbunyi ‘wang punca segala kemungkaran’; memang ada kebenarannya tetapi tiada wang atau tak pandai menguruskan wang juga boleh menyusahkan hidup kita. Sebab itu ada hadis Nabi s.a.w. yang mengatakan kemiskinan itu boleh mendekatkan kita kepada kekufuran. Dan dalam banyak hal wang itu atau tarikannya amat mempesona. Dengan kelebihan wang banyak impian anda dapat tercapai misalnya memiliki rumah besar, kereta mahal, peralatan tercanggih tetapi ia tidak menjamin anda akan seratus peratus bahagia terutama bila tumpuan anda seratus peratus adalah kepadanya dan wang tadi menjadi matlamat hidup anda bukan sekadar alat sahaja. Seperti kata lagu The Beatles: ‘money can’t buy me love…’ tetapi ada orang menyanggah, wang boleh ‘membeli cinta’, tak percaya tanyalah mereka yang menjadi ‘pelencong’ ke Batam, Tanjung Pinang dan sebagainya…..tentulah yang ‘terbeli’ itu bukan cinta sejati tetapi ‘fulus’nya pasti…

Satu cara menguruskan wang ialah dengan menetapkan jumlah wang yang semestinya dibelanjakan misalnya bayaran rumah, bil air, eletrik, telefon, persekolahan anak-anak, duit pasar, pengangkutan, duit tunai runcit (petty cash) dan sebagainya. Tanpa mencongak-congak hal ini sukar pula kita nak tahu rata-rata berapa banyak wang untuk perkara-perkara asas yang kita perlukan setiap bulan. Dengannya kita mudah membuat perkiraan, nak menabung, nak kurangkan belanja atau nak ‘mengotem’ (kerja tambahan) untuk tambahkan perbelanjaan keluarga. Ini tidak pula bermakna kita menjadi kedekut atau boros tetapi menjadi kurang resah dan lebih pandai mengaturkan kewangan untuk kesejahteraan kita. Sri sendiri mengenali orang-orang sebegini: mereka ini pemurah dan tak pandai berkira-kira dan mereka bukanlah orang kaya baru tetapi kerana cekap menguruskan wang, tergambar kesejahteraan hidup mereka. Dan Sri juga pernah berjumpa dengan orang-orang yang tak pernah ‘cukup’; wang sekadar untuk gali lubang tutup lubang atau melabur ke sana sini untuk menambahkan lagi jumlah wang dan hidup mereka rasanya macam kurang tenteram. Dan bagi sebahagian pasangan muda pula, salah satu punca keruntuhan rumah tangga mereka ialah masalah salah menguruskan wang atau kurang bertanggungjawab mengenainya.

Anda juga mungkin mempunyai kenangan manis ini seperti Sri: membeli setem khas dan menampalnya dalam buku Post Office (sekarang Posbank) sebagai satu cara menabung semasa di sekolah pada tahun 60-an dulu. Dan ada di kalangan kita pula mempunyai undil yang diperbuat daripada tempurung kelapa yang divarnis atau undil bentuk ayam dan sebagainya. Undil-undil ini pula tak ada pembukanya kecuali di ‘mulut’nya yang kecil. Kalau anda nak keluarkan duit, terpaksalah korek undil dengan menggunakan klip rambut atau lidi dan kalau tak sabar, habislah undil itu anda campak atau baling ke lantai atau tembok…..

Salah satu pelajaran yang sering Sri sampaikan (kata mereka leterkan) kepada anak-anak saudara Sri ialah hal menabung, terutama bagi yang baru bekerja. Dulu pun bila baru bekerja bukan main ghairah Sri berbelanja tetapi kedewasaan mengajar Sri betapa pentingnya menabung dan pandai menguruskan wang serta jangan berhutang kecuali terpaksa, misalnya untuk membeli rumah. Dan sebuah buku The Richest Man in Babylon, turut menegaskan kita mesti ‘tutup mata’ dan ketepikan sejumlah wang setiap bulan untuk menabung kerana dalam waktu-waktu terdesak, tabungan itu amat berharga. Sama ada menguruskan perbelanjaan keluarga atau menabung, kita terpaksalah cekal hati dan cekap kerana seperti pepatah kita mengingatkan: sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit kerana dalam keadaan-keadaan seperti sekarang yang sedikit itu ertinya memang besar.

Ditulis: 1 Mei 2002
Tajuk Asal: Kisah Duit
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 5 Mei 2002
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s