Penawar Tekanan Ada Dalam Hidup Seharian

Apa yang anda lakukan bila anda menghadapi tekanan? Maklumlah keadaan hidup dan keadaan dunia banyak menimbulkan tekanan sejak kebelakangan ini. Selain melebihkan amal ibadat, bersenam, ada juga di antara kita lebih gemar berhibur, terutama membaca dan menonton kisah-kisah komedi. Bila kita ketawa menyaksikan adegan-adegan lucu, bukan saja tekanan tadi dapat dilupakan buat sementara malah ia baik untuk kesihatan kita. Anda perhatikan: orang yang mudah tersenyum dan ketawa selalunya mudah didekati orang lain dan seringkali pula, awet muda. Lainlah kalau orang itu asyik ketawa 24 jam tanpa sebarang sebab, pakai nampak Woodbridge* lah tempatnya menetap……

Kadangkala melihat saja wajah seseorang, timbul kelucuan kita. Dalam filem-filem Melayu lama, baru saja kita tengok wajah Aziz Sattar, S. Shamsuddin, Ahmad Nesfu, Wak Busrah, Hj. Bakhil, Wahid Satay, Ainie Jasmin, Alias Congo, Zain Blackout dan lain-lain, belum lagi mereka bercakap, dah pun tercuit hati kita. Demikian juga dengan P.Ramlee dalam filem-filem komedinya, sama ada bersama Normadiah atau lain-lain wirawati. Dalam filem Hindi lama pula Johnnie Walker dan Tun Tun mudah merekahkan senyuman kita sebagaimana dalam filem Barat watak Charlie Chaplin, Sgt. Bilko, Jack Benny dan lain-lain. Dalam siri-siri televisyen kini, pelawak-pelawak tempatan juga pandai menggeletek kita sebagaimana siri-siri luar negara misalnya ‘Senario’, ‘Whose Line Is It Anyway ?’, ‘Goodness Gracious Me’, ‘Frasier’, ‘Drew Carey Show’ dan sebagainya. Kita terasa lucunya kerana pelawak-pelawak ini pandai menggunakan kata-kata bukan slapstik saja.

Tapi kelucuan dan keanehan itu ada di mana-mana seandainya anda sedia memerhatikan kelucuan hidup seharian kita. Satu masa dulu Sri ingat orang yang bercakap sendirian itu ‘gila isim’ atau mungkin tengah berlatih babak monolog di atas pentas. Berkobar-kobar dia bercakap sendirian; rupa-rupa telefonnya tersembunyi dan wayar penyambung sukar dilihat. Lucu juga bila ada yang lantang dalam kenderaan umum dan terbantut dalam masalah yang tengah dibualkan atau salah sebut…rasa-rasa macam anda nak huraikan…..

Ada orang pula gilanya lain sikit seperti di estet perumahan Sri. Tiba-tiba anak muda ini merayau-rayau di daerah lapang atau menyusur deretan kedai dan membuat bunyi yang aneh (dia tak boleh bercakap) rupa-rupanya dia nak collect beg plastik, kalau tak dapat dia bising, walaupun tak mengganggu sesiapa. Seorang lagi, kerjanya cuma collect puntung rokok dan dibuang ke tong sampah. Lepas itu dia collect air dalam plastik kecil, kadang-kadang dicampurkan air-air itu, dibawa ke sana ke mari, dan dibuang ke tong sampah. Agaknya dia geli geman melihat plastik dan barang-barang kecil mengotori keadaan, walau tak dapat sesen pun kerana jadi pencinta kebersihan……Dan seorang lagi tiba-tiba bersuara lantang, berhujah dan marah itu dan ini, kalah musim pilihan raya; dia sinting sebenarnya walau tak kacau sesiapa dan kita memang dah masak betul dengan fiilnya.

Adakalanya kelucuan timbul kerana penyakit. Ada seorang kenalan Sri katanya saudaranya ada penyakit, lain yang dilihat (untuk beberapa perkara saja) dan lain pula dikatakannya walaupun keluarganya dah faham apa maksud sebenarnya. Bila di tepi pantai, dia lihat perahu dan kapal, dia akan pekik: ‘Mak, almari..almari’. Bila nampak kucing: ‘Ayam, ayam..’, agaknya bila nampak harimau, apa pula katanya, ya ?

Tidak kurang pula kelucuan timbul kerana salah dengar arahan. Ada seorang kerabat Sri selalu pening kepala. Anaknya membelikan semacam topeng Zorro yang mengandungi cecair biru. Kalau anda hidapi migrain anda tahu ada dua cara melegakan pening, selain makan ubat iaitu memasukkan topeng itu dalam peti sejuk atau merebusnya dan kemudian memekapnya ke mata anda. Kerabat Sri ini tak tahu membaca lantas dia benar-benar ‘memakai’ topeng itu: lepas direbus, digunting-guntingnya topeng tadi dan sapu cecair itu di muka…kalau migrain tak hilang nasiblah, dah satu muka biru macam kartun smurf…..

Bahasa juga boleh melucukan . Kenalan sahabat Sri berada di Makkah bila orang tanyai arah jalan ke sebuah hotel. Orang itu tak tahu bahasa Melayu atau Inggeris dan menggunakan bahasa Arab. Kenalan ini pula tak tahu bahasa Arab tapi boleh mengagak maksud penyanyanya. Terkial-terkial dia nak terangkan dalam bahasa Arab sehinggalah dia teringat Surah al-Fatihah: siratal mustaqim katanya suruh orang itu jalan lurus saja…….

Kanak-kanak paling pandai menimbulkan kelucuan. Seorang anak saudara Sri suka kencing malam. Bila dimarahi bapanya, jawabnya: ‘Tak, abah, air air-con’…padahal alat penghawa dinginnya agak jauh dari katilnya. Bila dia ‘membuli’ abangnya dan dimarahi, pandai dia menjawab: ‘Yaya cuma ‘tercubit’ abang’….terlanggar bolehlah, macam mana boleh tercubit seseorang, ya?

Seorang lagi anak saudara Sri semasa kecil dulu begitu hairan mendengar cerita pasal bersunat/berkhatan yang disampaikan oleh moyangnya. Sedang asyik moyangnya bercakap, dia tiba-tiba bertanya dengan penuh serius: ‘Habis, nenek dah sunat ?’ Tak jadi moyang yang dipanggil nenek itu nak teruskan kisah Tuk Mudim itu….salah-salah hemat, lain pula yang cicitnya akan ‘soal-siasat’…….

*Woodbrige – sekarang dinamakan Institute of Mental Health/Institut Kesihatan Mental

Ditulis: 16 Januari 2002
Tajuk Asal: Keanehan Dan Kelucuan Kita
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 20 Januari 2002
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s