Selamat Tinggal Pustaka Seribu Kenangan

nlb-1nlb-3

Pada 31 Mac 2004, Perpustakaan Negara kita yang terletak di Stamford Road, membuka pintunya buat kali terakhir untuk para pengunjungnya. Mulai 1 April 2004, perpustakaan ini tidak digunakan lagi dan akan dirobohkan. Tempatnya diambilalih oleh Universiti Pengurusan Singapura (SMU). Tempat baharu bagi Perpustakaan Negara kita nanti akan didirikan di sekitar Victoria Street dan dijangka siap pada paruh ketiga tahun 2005. Bagi anda yang jarang ke Perpustakaan Negara, anda mungkin tidak terasa apa-apa mendengar berita ini. Alah, setakat bangunan saja, bukan tak ada perpustakaan lain, anda mungkin berkata. Tetapi bagi mereka yang pernah menjadikan Perpustakaan Negara sebahagian daripada kehidupan mereka, terutama semasa zaman persekolahan dan remaja, mungkin lain pula rasanya.

Negara kita adalah negara yang kecil dan secara relatif, agak ‘muda’ dari segi unsur sejarahnya. Dan kita pula agak cepat membangun. Tidak sampai pun satu generasi, perubahan dari segi prasarana (bangunan, sekolah, jalan/lebuh raya, sistem pengangkutan dan lain-lain) demikian pantas berlaku, demikian juga dari segi sosialnya. Mereka yang membesar dalam rentak pembangunan ini, terutama mereka yang membesar pada tahun-tahun 50-an sehingga 70-an (sebilangannya boleh diistilahkan sebagai baby boomers) amat terasa akan perubahan-perubahan ini. Satu masa dulu jika anda hendak ke ‘bandar’ (daerah Shenton Way, Raffles Place, High Street, Orchard Road dan sebagainya), terasa benar jauhnya. Sekarang keadaannya sebaliknya pula. Perubahan yang cepat, kehidupan yang puratanya agak selesa dan tergesa-gesa, sesekali membuat kita mahu berhenti sekejap, dan mengenang yang silam. Dan ini sering berlaku jika yang silam itu semakin hilang daripada pandangan dan jangkauan. Dalam konteks ini, tiadanya Perpustakaan Negara yang kita kenali, bagi sebilangan kita, tentunya menjejas sedikit kenangan bersama (collective memory) kita sebagai warga pulau kecil ini.

Sebelum ada Pustakaan Negara di Stamdord Road, telah wujud Raffles Library. Tetapi Perpustakaan Negaralah yang lebih tersohor di kalangan pengunjungnya, kerana sifatnya yang lebih awam dan terbuka. Bangunannya pula unik, berdekatan dengan Fort Canning (Bukit Larangan) dan sejarah silam Singapura. Sekitarannya yang nyaman serta bangunannya sendiri yang rata-rata selesa bagi pengunjungnya, membuat kita semacam terkilan melihat penutupannya minggu ini. Dan generasi demi generasi pelajar, terutama mulai tahun 60-an, akan selalu terkenangkan masa-masa silam mereka ketika mengunjunginya.

Siapakah yang akan lupa, meluangkan masa mencari buku-buku rujukan di tingkat duanya kerana hendak membuat tugasan? Atau meminjam pelbagai buku dan majalahnya, serta ‘hilang’ bersama timbunan buku, yang rasanya mahu dibaca semuanya? Mana pelajar atau orang muda yang akan lupa, bertemu kawan-kawan atau menjalin persahabatan ketika di dalam atau di luar Perpustakaan Negara? Pada zaman tanpa Internet dan khidmat pesanan ringkas/SMS itu, mungkin Perpustakaan Negaralah yang telah memudahkan anak-anak muda berbincang, membuat projek, atau sekadar bersembang-sembang setelah penat membuat kajian atau mentelaah. Mungkin kerana semangat zaman itu juga, dengan gesaan untuk sama membangunkan negara yang sama muda belia, Perpustakaan Negara menjadi semacam tumpuan pelbagai golongan pelajar dari merata Singapura. Dan kebetulan di sekitar Perpustakaan Negara juga terdapat beberapa buah sekolah yang kini telah dipindahkan misalnya St. Joseph Institution, CHIJ, Raffles Institution dan sebagainya. Mereka yang aktif dalam kegiatan luar darjah misalnya memasuki peraduan bahas, drama, deklamasi sajak, bercakap petah, kumpulan perbincangan buku dan lain-lain, akan anda temui juga di Perpustakaan Negara. Pendek kata di Perpustakaan Negaralah banyak kegiatan bersangkutan buku dan ilmu itu bermula.

Namun kenangan kita bukan sekadar yang serius-serius saja mengenai perkara-perkara yang berhubungkait dengan Perpustakaan Negara. Anda mungkin terkenang duduk di luar Perpustakaan Negara, berdekatan pokok biji saga, untuk berborak-borak atau mengutip biji-biji saga itu. Atau makan di gerai berdekatan. Mungkin juga anda ‘dirayu’ oleh penjual makanan di Waterloo Street, dengan pelbagai cara, agar makan di tempat mereka, sebelum atau sesudah anda ke Perpustakaan Negara. Tidak ketinggalan anda mungkin ‘tergoda’ juga membeli buku-buku terpakai atau buku-buku panduan sesuatu mata pelajaran dan kertas soalan Ten Years Series di Bras Basah Road. Dan mungkin anda selalu juga singgah di MPH, sekadar menjenguk-jenguk buku dan majalah, bila wang saku anda tidak membolehkan anda membelinya. Dan semua kenangan ini berpusar kerana anda mengunjungi Perpustakaan Negara.

Apalah ada pada sebuah bangunan, sekadar batu, simen, besi, cat, wayar dan sebagainya. Tetapi kadangkala dalam pembauran batu, simen dan lain-lain itu seakan terkandung sebahagian prisma kehidupan kita. Kita akui perlunya perubahan, namun Sri harap, selepas Perpustakaan Negara ini, kita akan lebih prihatin terhadap tempat-tempat dan bangunan-bangunan bersejarah kita. Di mana-mana pun akan kita temui landskap kota yang seakan serupa, tetapi hanya ada beberapa tempat yang unik bagi kita dan kenangan kita. Mudah-mudahan kenangan kita kepada perpustakaan ini dan kenangan-kenangan yang bersangkut-paut dengannya yang membuat kita lebih mencintai buku dan ilmu serta menghargai tempat-tempat unik kita seperti sebuah Perpustkaan Negara.

Ditulis: 31 Mac 2004
Tajuk Asal: Perpustakaan Negara Kita
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 4 April 2004
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s