Seniman Dan Hak Cipta

Sejauh manakah kita menjaga hak cipta kita dalam bidang seni? Adakah kita memberi sepenuh perhatian mengenainya atau sebagai penggiat seni kita terlalu sibuk dan tidak terlalu mengendah-kannya? Hak cipta adalah milik kita bagi sesuatu penciptaan kita baik puisi, cerpen, esei, drama, novel, gubahan muzik, seni kata lagu, skrip lakon layar, lukisan, tembikar, seni tari, corak tekstil dan sebagainya. Dengan menyatakan sesuatu karya itu adalah hak cipta kita bermakna kita bukan sahaja bertanggung jawab terhadap karya tersebut, buruk dan baiknya, malah orang lain tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil karya kita tanpa izin atau dalam bidang penulisan esei misalnya, tidak diletakkan nota kaki (footnote) daripada mana karya tersebut diambil. Ini penting terutamanya jika karya tersebut digunakan bukan untuk tujuan pembelajaran tetapi komersial.

Rungutan seniman memang sejak dahulu lagi telah wujud dalam bidang ini. Sebahagiannya berpunca kerana masyarakat kita sejak zaman bahari tidak meletakkan nama penulis sesebuah karya kerana menganggap sesuatu karya itu adalah milik bersama. Selain itu, memang sikap orang-orang Melayu dahulu tidak suka menonjol-nonjolkan diri mereka mengenai karya-karya ciptaan mereka. Lantas tidak kita ketahui sejumlah cendekia seni kita yang melahirkan pantun-pantun tradisional, syair, hikayat, cerita lipur lara, muzik dan seni kata lagu tradisional kita dan lain-lain. Kita mengecapi karya mereka dan tersentuh serta dilhami karya-karya tersebut tetapi hak cipta karya-karya asal ini adalah milik kita bersama, kecuali kalau telah dibukukan dan kita menotakakikan daripada mana nukilan kita mengenai karya tadi.

Berbeza dengan seniman-seniman silam, seniman kita pada hari ini perlu lebih berhati-hati mengenai hak cipta karya mereka. Dengan perkembangan Internet dan teknologi, sesebuah karya mudah berpindah daripada seorang kepada orang lain dan karya tersebut juga mudah dialihkan dari bentuk asalnya ke bentuk lain, tanpa pengetahuan pencipta asalnya. Dan ini selalunya menjejas kehidupan penulis tadi; karya yang ditulis untuk satu bidang telah bercambah ke bidang-bidang lain misalnya sebuah puisi dijadikan lagu dan drama, tanpa dia tahu menahu mengenainya melainkan setelah dipaparkan di kaca TV atau dimuatkan dalam cakera padat.

Sejumlah seniman muzik kita tidak memiliki hak cipta karya mereka kerana hak cipta itu telah dijual kepada penerbit semasa mengikat kontrak. Ini berlaku kepada sejumlah lagu-lagu ciptaan/nyanyian Zubir Said, P.Ramlee, Nona Asiah, Momok Latiff, Saloma, Aziz Jaafar, Normadiah, Yusof B dan lain-lain. Berbeza dengan penyanyi atau pencipta lagu Barat, contohnya Frank Sinatra, Elvis Presley, Henry Mancini, Ron Goodwin, keluarga mereka dapat menikmati hasil seni mereka, lama setelah mereka bersara atau tiada, kerana soal hak cipta lebih dititikberatkan di negara mereka. Yang sedihnya, seniman-seniman kita yang banyak berkorban dan memberi sejumlah keindahan kepada kehidupan kita tidak dapat mengecapi kehidupan yang selesa atau keluarga mereka tidak menikmatinya setelah ketiadaan mereka kerana masalah hak cipta ini.

Secara umum, hak cipta itu adalah milik seseorang yang mencipta karya tersebut dan sesiapa yang menukil karyanya harus meminta keizinan atau mencatatkan asal usul nukilannya. Hak cipta itu milik seniman tersebut sepanjang hayatnya dan setelah beliau meninggal, karya-karya itu tetap miliknya selama 50 tahun atau 70 tahun setelah kematiannya. Melainkan karya-karya tadi menjadi milik estet warisnya, 50 atau 70 tahun setelah kematiannya sesiapa saja boleh menggunakan karyanya tanpa izin, walaupun estetnya yang dikelolakan warisnya, berhak menyuarakan sesuatu jika karya yang diambil ditukar sewenang-wenang misalnya. Sebab itu ada karya penulis-penulis silam, misalnya William Shakespeare atau Omar Khayyam, boleh diterjemahkan ke dalam beberapa genre dan versi, tanpa perlu diminta izin daripada sesiapa kerana masa kematiannya telah menjangkau lebih 50/70 tahun dan mereka pula tidak menentukan warisnya untuk mengelolakan soal hak cipta.

Apa yang sering berlaku dalam dunia penulisan misalnya ialah soal ciplakan. Seseorang mengambil karya atau idea orang lain dan mengaku itu adalah idea atau karyanya. Memang sesuatu idea bukan milik seorang manusia sahaja tetapi jika pendekatan pelanduk dua serupa berlaku pada idea yang sama dengan gaya penulisan yang sama, tentu ini memberatkan pertimbangan kita untuk mengatakan karya tersebut adalah karya ciplakan. Walaupun ada pepatah Inggeris mengatakan peniruan adalah bentuk pujian yang paling ikhlas, bagi penulis, karyanya yang dijadikan bahan ciplakan bukanlah satu pujian yang harus dibanggakan. Sering juga terjadi apabila seseorang itu mula menulis dia mungkin ‘meniru’ karya-karya penulis pujaannya. Dia mungkin terpengaruh dengan gaya Chairil Anwar, Usman Awang, Siti Zainon Ismail, Md Latiff Md dan lain-lain. Tetapi pengaruh ini, dari segi semangat dan pendekatan, bukan pula satu ciplakan. Kalau Usman Awang menyajakkan kisah ‘Pak Utih’ dia tidak pula menulis kisah ‘Pak Ali’ tetapi mungkin dia terpengaruh dengan kesukaran yang dihadapi oleh Pak Utih dan perjuangannya untuk hidup lantas melahirkannya dalam puisinya. Pengaruh begini selalunya sementara bagi penulis yang serius kerana akhirnya dia akan menemui suaranya sendiri dalam menghujah pelbagai perkara yang menyentuh diri dan masyarakatnya dalam karya-karyanya.

Yang perlu kita titikberatkan ialah soal hak cipta karya kita dan orang lain. Memanglah bukan mudah tetapi sebagai orang seni, karya kita bagaikan ‘anak-anak’ kita, lantas hak ciptanya harus dijaga dengan rapi. Jika tidak, ‘anak-anak’ kita tadi akan diculik dan dijadikan hak milik orang lain pula, tanpa bersusah-payah membesarkan ‘anak-anak’ tadi. Demikian juga dengan karya-karya orang lain. Pernah beberapa kali kita mendengar kisah-kisah begini. Karya seseorang ditukarkan ke bentuk lain atau bentuk asalnya dan dijadikan semacam tarikan untuk satu-satu syarikat komersial, padahal penulis tersebut tidak tahu menahu atau mendapat satu sen pun daripada usaha tersebut. Yang anehnya, orang akan menganggap penulis tadi ada saham dalam syarikat tersebut, walaupun ini jauh panggang dari api. Dan nama baiknya terjejas jika syarikat tersebut mempergunakan karyanya untuk tujuan komersial atau menyalahgunakan.

Perkara yang sama serius ialah apa yang disebut sebagai ‘jenayah ilmiah’ (academic crime). Anda membuat kajian yang mendalam mengenai sesuatu bidang sastera, lengkap dengan nota kakinya. Kajian anda mungkin kajian perintis atau kalau bukan perintis pun, jarang pula dikaji orang pada era tersebut. Tiba-tiba orang lain mengambil sejumlah kajian anda, termasuk menukil nota kaki anda dan halaman yang sama, tetapi tidak menyebut itu adalah kajian anda. Seolah-olah kajian anda adalah sesuatu yang merupakan bahan sekunder/sampingan, pahahal kajian anda dalam bidang sastera itu adalah teras. Mereka yang tidak mengetahui akan menganggap penulis yang ‘mencuri’ kajian orang pertama tadi adalah pengkaji yang tekun dan cendekia; padahal dia adalah penjenayah ilmiah kerana tidak menghargai sumbangan orang lain dan mengakui membuat kajian tetapi sebenarnya sekadar mengambil kajian orang.

Inilah sebabnya kita perlu mengetahui dan menitikberatkan soal hak cipta kerana tanpanya banyak lagi ‘penyelewengan’ dalam bidang sastera baik karya kreatif mahupun kajian, akan dilakukan dan kita akan berdiam serta membenarkannya berlaku. Akhirnya yang ciplak kita anggap tersohor dan yang asli dan jati kita anggap sampingan atau dipinggirkan. Alangkah ruginya bidang sastera dan seni kita jika ini terus menerus terjadi.

Ditulis: 29 Jun 2005
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada bulan Julai 2005.
Tajuk Yang Tersiar: Tulisan yang tersiar di Berita Minggu, tiada dalam simpanan saya kini.
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s