Apalah Ada Pada Darah?

Anda tentu sudah membaca kisahnya kerana kedua-dua akhbar Berita Harian dan The Strait Times melaporkannya. Bukan, bukan pasal yang diheboh-hebohkan pada 18 April lalu, tapi pasal yang dekat dengan detakan jantung kita; apa lagi kalau bukan pasal darah.

Di sini darah jenis apa yang anda miliki dan bagaimana pula personaliti anda jarang pula diambil kira, sebagaimana di Korea. Malah, ada sesetengah kita tak ambil pusing langsung mengenai jenis darah yang kita miliki, sebab semua jenis darah nampak sama saja. Lainlah kalau pernah digunakan orang dulu-dulu untuk keluarga diraja iaitu disebut ‘berdarah putih’ (kita pun ada darah putih tapi bukan pula berketurunan diraja) dan bagi bangsa Eropah pula, disebut ‘berdarah biru’ (nasib baik tak berkulit biru, macam kartun Smurf). Sebagaimana dilaporkan, wanita Korea agak gerun kalau bertemankan lelaki yang berdarah jenis B, kononnya banyak yang tak baik terdapat pada pemiliknya.

Bercakap pasal darah ini, ada juga beberapa simpulan bahasa kita mengenainya. Ada orang mudah ‘mabuk darah’, lantas tak bolehlah jadi doktor, jururawat atau bidan. ‘Mabuk darah’ juga membawa maksud, seseorang yang gemar membunuh orang dan berasa bahagia kerananya. ‘Tumpah darah’ pula kadangkala berlaku kepada wanita hamil, sedangkan ‘muntah darah’ pula bererti seseorang itu diserang penyakit tertentu. ‘Tanah tumpah darah’ tentulah bermakna tanah air kelahiran seseorang, tempat darah pertamanya tumpah. Yang kita tak mahu diri atau keluarga kita terjadi, tentulah ‘cekik atau makan darah’. Kerana kalau sudah kerap menyeksa orang begini, pakai nampak, akan ‘tersirap darah’ orang pula, dan nantikan saja balasan, terutama bila ada yang mudah ‘panas darah’. Dalam usia meningkat ke asar, kebanyakan kita sudah belajar tenang, tak macam dulu, ‘darah muda’ lah katakan. ‘Saudara’ pula digunakan sebagai kata ganti diri selain panggilan ‘Encik’ untuk orang yang lebih muda ataupun sebagai makna ‘kawan’ atau ‘rakan seperjuangan’, terutama semasa Hari Buruh. Tetapi ahli keluarga dan kerabat kita juga kita sebut sebagai ‘saudara’ kita; kerana sebenarnya mereka ini se + darah (saudara) kita.

Tapi betulkah darah menentukan personaliti kita? Ini bagaikan mereka yang percaya bintang seseorang itu menentukan keperibadiannya. Jadi kalau anda berbintang Libra, anda seharus berwatak sebegini dan sebegitu dan anda pula tak boleh berpasangan dengan orang bintang tertentu. Setahu Sri, sebelum bernikah, baik juga kita tahu jenis darah pasangan kita, bukan apa-apa, ada cantuman darah kita dan pasangan kita boleh melahirkan sesuatu yang perlu diawasi, misalnya alahan G6PD, agar anak-anak kita lebih selamat jika menghadapi alahan ini.

Namun, ada juga orang, walaupun tidak seperti wanita Korea, amat mengambil berat soal darah. Kalau ada orang yang berjaya, sering disusur-galurkan pada darah orang tersebut; seolah-olah mereka yakin hanya darah tertentu sahaja boleh membuat seseorang berjaya. Kejayaan seseorang tidak bergantung pada darahnya tetapi kepada kesungguhan, proses pelaziman (conditioning), sosialisasi, peluang dan halangan yang diperolehinya. Walau darah yang kononnya baik, tapi tidak bersungguh-sungguh atau mahu memanfaatkan peluang yang ada, tak menjadi juga.

Demikian juga seseorang yang diambil sebagai anak angkat dalam keluarga yang berlainan bangsa, walaupun darahnya tetap berupa darah daripada keluarga asalnya, tetapi proses pelaziman dan sosialisasi akan amat membezakannya daripada keluarga asalnya. Misalnya anak Cina yang dibesarkan oleh keluarga India Hindu; mereka akan terikut-ikut cara percakapan, pemakanan dan sebagainya seperti keluarga angkatnya. Hanya keturunannya berbeza tetapi dalam banyak segi, mereka sama dengan keluarga angkat mereka. Sebab itu, Sri rasa tak sedap bila orang terlalu membeza-bezakan; kalau ada orang itu ada pertalian darah dengannya, walaupun orang tersebut tidak ambil kisah padanya, akan tetap dibesar-besarkan; sebaliknya anak angkat yang dibesarkan dalam keluarganya dan kini sudah jadi anak dara/bujang atau emak orang, dan yang mengambil berat terhadap keluarga angkatnya, kadangkala diketepikan. Betullah seperti kata pepatah Inggeris, darah lebih pekat daripada air; tapi takkanlah orang yang membesar di hadapan keluarga kita harus kita anggap air dan disisihkan, kerana darah yang berbeza?

Ada orang pula amat mengawal pasal soal darah. Kalau anaknya ingin berkahwin dengan orang yang dianggap berdarah lebih rendah, tak dibenarkan langsung, walaupun tiada sebarang tegahan agama. Biar saja anaknya membujang daripada berkahwin dengan orang tak berketurunan tertentu. Dan ada orang pula, walaupun mengaku berdarah tertentu, demi mendapatkan peluang dan manfaat tertentu, tetapi dengan pantas mengasingkan dirinya daripada bangsa tersebut, jika kelemahan bangsa tersebut sering didedahkan. Tapi kalau yang baik-baik, dialah yang mahu ke depan……

Menukil dan menukar kata-kata Shakespeare: apalah ada pada darah? Kalau keturunan kita ada yang menjadi panglima perang atau pemikir, tentu juga ada di kalangan keturunan kita sejumlahnya penyangak dan pengacau. Keturunan atau darah seseorang hanya dapat mewariskannya beberapa perkara sahaja misalnya bentuk fizikalnya; kepandaiannya hanya sebahagian sedikit sahaja diwarisi daripada orang tuanya. Dan apa pun darah anda, yang penting adalah apa yang ada di dalam segumpal darah yang disebut ‘hati’. Jantung seseorang mungkin bermasalah, hati (liver)nya juga sedemikian tetapi jika ‘hati’nya (yang sering digunakan secara berkias atau metafora) baik, insya-Allah, banyak yang baik akan terbit daripada kehidupannya.

Tiada masalah jika kita berbangga secara positif terhadap darah atau keturunan kita asalkan kita tidak memandang rendah darah orang lain. Apa pun jenisnya, B, A, AB, atau O, tetap darah manusia jua.

Ditulis: 27 April 2005
Tajuk Asal: Berkisah Pasal Darah
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 1 Mei 2005
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s