Catatan 7 Disember 2016

1. Disember menjelma dengan hujan berselang-seli mendatangi kita. Seperti tahun-tahun yang sudah, kita mula menilai semula apa yang telah dilalui sepanjang tahun ini. Betapa banyak kebahagiaan yang melimpahi kehidupan kita dan mungkin ada juga limpahan duka yang tidak disangka-sangka. Antara riang tawa dan kegirangan kita, sesekali kita juga menyeka air mata .

2. Datangnya Disember juga membawa bersama musim cuti sekolah, kesibukan kita pergi bercuti atau mengadakan hal-hal pertemuan keluarga, mengadakan dan menghadiri majlis nikah kahwin dan ada juga yang menunaikan umrah atau sekadar lepak-lepak dengan sahabat dan keluarga yang disayangi. Bulan ini dua orang anak saudara saya akan mendirikan rumah tangga – seorang di Kuala Lumpur dan seorang di Brunei. Seakan baru semalam saya melihat mereka bertatih dan bergurau senda dengan pelbagai kerenah  dan bulan ini mereka akan bergelar suami dan isteri orang. Saya hanya boleh mendoakan kesejahteraan mereka sebagaimana doa saya untuk anak-anak saudara saya yang lain – baik yang berumah tangga atau yang belum mendirikan masjid. Hanya doa tetapi terhimpun di dalamnya adalah sejumlah harapan dan kesejahteraan dunia dan akhirat untuk semua yang saya sayang ini. Dan mereka tidak terbatas kepada anak-anak saudara saya sahaja.

3. Mudah-mudahan semasa musim cuti ini, kita meluangkan masa untuk anak-anak kita dalam beberapa kegiatan mereka pada bulan ini. Masa berputar begitu cepat – dalam sekelip mata, anak-anak kita yang kecil membesar, menjadi remaja, menjalani perkhidmatan negara, meneruskan pembelajarannya, bekerja, berumah tangga dan menjadikan kita nenek dan datuk. Adakanlah masa dan sayangi  mereka dengan sebenar-benarnya kerana akhirnya kehadiran mereka merupakan antara hadiah terbesar kehidupan kita.

4. Akhir tahun juga mengingatkan kita kepada mereka yang kita sayangi tetapi kini telah berpulang ke rahmatullah. Betapa kita ingin bersama mereka lagi tetapi Allah lebih menyayangi mereka dan kita tidak akan putus mendoakan kesejahteraan mereka di alam barzakh. Dan kita juga akan lebih melapangkan dada kita untuk menerima dugaan-Nya dan menjadikan kenyataan cita-cita murni mereka yang telah tiada ini, untuk kehidupan kita dan mereka di sekeliling kita. Air mata kita akan sesekali menitis tetapi biarlah mengalirnya air mata kita mengingatkan betapa bertuahnya kita orang yang telah tiada itu pernah hidup dan hadir dalam kehidupan kita. Dan mereka tetap hidup, di hati kita, selamanya.

5. Beberapa berita dan kejadian di dunia meresahkan kita. Kemunculan golongan the far-right di beberapa tempat, retorika perkauman dan sebagainya yang berapi-api dan anasir-anasir yang boleh menghancurkan kita semua akhirnya. Benar, banyak perkara boleh dileraikan kalau nurani (conscience) kita tidak dibisukan. Banyak perkara itu kadangkala tiada kena-mengena dengan soal warna kulit, bangsa, negara mahupun agama seseorang, jika kita benar-benar ikhlas menelusurinya. Tapi sebilangan kita suka mencari jalan pintas dan meletakkan semacam ‘kotak’ atau kategori kepada insan dan masalah yang didepani. Ini tentulah lebih mudah. Tetapi ia mungkin tidak sebenarnya menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Berbanggalah dengan keturunan, budaya, negara, agama dan sebagainya tetapi kita juga harus maklum ia bukanlah semacam ‘zero-sum game’ – bahawa bangganya kita terhadap keturunan kita misalnya, keturunan orang lain mesti direndah-rendahkan. Retorika-retorika sebeginilah yang semakin menggelegak di beberapa pelosok dunia kini.

Sebilangan kita membesar dalam masyarakat yang majmuk dan hidup harmoni dalam masyarakat sedemikian. Benar, sewaktu-waktu ada semacam kegenjotan dalam hal-hal sebegini tetapi mereka yang inginkan keharmonian terus menjadi sebahagian hidup kita, lebih besar jumlahnya.

Seperti anda, saya membesar dengan saudara dan sahabat yang ada juga berlainan keturunan, budaya dan agama. Saya juga seperti anda, didedahkan kepada pelbagai cerita, lagu dan input yang tidak terbatas kepada dunia Melayu-Islam sahaja. Benar, seperti kebanyakan orang Singapura, saya tidak begitu berlapang dada melihat beberapa daerah dan pekerjaan tertentu seolah-olah menjadi monopoli golongan-golongan yang tiba-tiba dibukakan pintu seluas-luasnya untuk mereka datang ke negara saya. Yang saya tidak begitu setuju ialah dasar-dasar sebegini yang kelihatan tiada keseimbangannya tetapi saya tidak akan berpihak dengan sesiapa pun yang berapi-api mencemuh mereka yang telah sedia ada di negara saya. Ubahlah dasar-dasar negara kita mengenai hal-hal sebegini dengan adil dan saksama tetapi usahlah kita melatah dan menghina serta menyelar tanpa sedikit pun terasa mereka juga manusia seperti kita. Ini terutamanya bagi mereka yang benar-benar mencari rezeki yang sah di sisi undang-undang dan bukannya mereka yang hanya menangguk di air yang keruh.

Mungkin saya dibuai kenangan silam – teringat zaman di kampung dahulu dan kawan-kawan lama – bahawa dalam susah senang zaman-zaman awal dahulu, kita seakan-akan lebih berlapang dada. Yang tegar, membenci kaum lain itu tentunya ada pada zaman itu tetapi pada zaman ini, selar-menyelar dan retorika negatif kadangkala demikian menjadi-jadi. Akhirnya, bak dinyanyikan Ramli Sarip – yang ada hanyalah kehidupan – dan tentunya kemanusiaan bersama kita.

6. Di penghujung tahun ini tanyalah hati kita – apakah kita berlapang dada untuk meraikan kemanusiaan bersama kita atau kita ingin berkelompok dengan mereka yang pandai beretorika sahaja dan bakal menghangusi dunia ini dengan pelbagai bentuk kebencian mereka. Peganglah nilai-nilai terbaik kemanusiaan dan keagamaan kita – akhirnya kita semua berasal daripada keturunan yang sama iaitu daripada Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa r.a.

Dan semoga kelapangan hati kita dengan langkah-langkah kecil, sekecil zarah (atom) akan membuahkan keranuman kemanusiaan bersama kita – di tengah-tengah dunia yang dihancuri perang, kebencian dan pelbagai anasir yang tidak wajar, insya-Allah.

Salam
Rasiah Halil
7 Disember 2016.

Advertisements

2 thoughts on “Catatan 7 Disember 2016

  1. cepat masa beredar, muharram berlalu maulidurrasul menjelma dan tahun 2017 segera mendatang. Khabar penganiayaan di Rakhine dengan perli tak malu Suu Kyi amat menyentap naluri, dan Aceh diuji lagi sungguh menyayat. Jadi cengeng bila memuhasabah doa-doa

    • Ya, Rohayah, air mata kita mudah mengalir menyaksikan keadaan dunia kini. Semasa menulis semalam – saya mengambil masa untuk menulis entri blog saya kerana sebahagian tulisan saya, maklumat penuhnya misalnya tarikh terbit karya dsb tak lengkap – saya tidak menonton TV, jadi saya tidak tahu berlakunya gempa bumi di Aceh. Kesian mereka diuji begini.

      Dunia kita semakin menganiaya si lemah, baik di Rakhine atau di mana sahaja. Yang disanjung-sanjung konon pejuang demokrasi dan hak asasi ternyata meleset akhirnya.

      Ya, sudah menjelma Rabiul Awal dan kita semakin diingatkan makna perjuangan Rasulullah s.a.w. – membawa rahmat untuk seluruh alam. Dengan adanya golongan-golongan yang konon ‘memperjuangkan’ Islam tetapi sebenarnya mencemarkan nama baik Islam dan Rasulnya, semoga Rabiul Awal dan tahun 2017 yang bakal menjelma, lebih banyak kebaikan melimpahi penduduk dunia, insya-Allah.

      Terima kasih, Rohayah, kerana sudi membaca blog saya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s