Dulu Cuti Sekolah Main Layang-Layang, Tangkap Belut, Main Kuti-Kuti…

layang-layang-satulayang-layang-dua

Sekali lagi musim cuti bermula. Ramai yang berbondong-bondong ke luar negara sama ada ke negara-negara yang jauh mahupun yang dekat. Sudah menjadi semacam trend kita, kalau cuti sekolah mesti pergi bercuti agaknya sama tekanan kita semasa musim periksa, ada ibu bapa yang mengambil cuti mengajar/menelaah dengan anak mereka. Dengan tekanan yang semakin meruncing di kalangan kita, cuti di luar negara menjadi seakan pelali segala tekanan anak-anak dan kita. Dan beruntunglah mereka yang berniaga dalam bidang percutian ini kerana besar kemungkinan stres kita akan sentiasa meningkat.

Hal bercuti ke luar negara bukanlah satu kemestian pada suatu masa dahulu. Bila cuti, hanya sebilangan sahaja yang dapat keluar negara, itu pun mungkin ke Malaysia. Hendak naik kapal terbang pun ramai yang tak mampu kerana memang harga tiket kapal terbang mahal tak macam sekarang. Lagi pun tekanan hidup kita masih di peringkat rendah pada masa itu, tak perlu dirawat dengan cara-cara mengurangkan stres seperti cuti nan mahal.

Kalau anda tinggal di kampung pada tahun-tahun 50-an sehingga 70-an di Singapura, masa cuti selalu bertembung dengan musim-musim tertentu. Misalnya musim layang-layang atau kegilaan main kuti-kuti, getah, kumpul kad bubble-gum, tangkap belut/ikan, main masak-masak dan lain-lain. Semua perkara ini tak perlukan wang yang lumayan, cukuplah sikit saja duit dan sejumlahnya adalah masa dan tenaga anda.

Musim layang-layang misalnya, bukan hanya terhad kepada pelajar lelaki saja. Anda yang tak tahu menahu dan selalu bermain masak-masak dan anak patung pun akan terlibat sama, sama ada membuat layang-layang atau mengejar layang-layang tersebut. Di sana sini anda lihat orang membuat layang-layang: gelas dihancurkan dan dicampur air kak, kemudian benang dibenamkan ke dalam air kak itu dan dijemur. Biar benang itu tajam dan boleh memutuskan layang-layang lain. Layang-layang pun dibuat sendiri dengan menggunakan kertas surih (tracing paper) dan lain-lain dan lidi yang telah diraut. Yang paling indah ialah bila ada saudara anda menyuruh anda menganjungkan layang-layangnya. Rasanya tak terkata bila melihat layang-layang tadi terbang – seakan anda terbang bersamanya – tak perlulah bercuti ke luar negara dan naik kapal terbang!

Dengan barang-barang yang murah ini dan dengan membuat sendiri serta menjadi lebih kreatif kerana tidak semua harus atau mampu dibeli, kebahagian anda terasa besar ertinya. Cuti menjadi masa-masa riang bukan kerana anda dapat ke luar negara tapi kerana anda diberi banyak masa untuk ‘bergelumang’ dengan kegiatan-kegiatan kesukaan anda yang seringkali memerlukan daya kreatif anda untuk melaksanakannya. Sebuah layang-layang boleh dibeli dengan harga lima atau sepuluh sen ketika itu tapi bila anda membantu membuatnya dan sama-sama terkejar-kejar bila layang-layang hanyut atau menjoloknya kerana tersangkut di pokok, anda tahu harga sebenarnya adalah keriangan sebenar zaman kanak-kanak anda. Anda kini sudah boleh menganjungkan lebih daripada layang-layang atau boleh memasak lebih daripada daun-daun yang dilumatkan sebagai lauk tapi keindahan –keindahan zaman serba kekurangan itulah yang anda selalu terkenang, terutama bila anak-anak anda lebih gemar menghabiskan masa cuti mereka dengan hanya berbelanja besar.

Kata seorang psikologis, hadiah terbaik yang dapat anda berikan kepada anak anda ialah membenarkannya menikmati zaman kanak-kanaknya. Bukan setakat menambahkan tekanan hidupnya atau memaksanya menghafal dan meluahkan fakta tanpa memahami inti sesuatu ilmu. Sri melihat ini menjadi semacam trend masyarakat Singapura – mungkin sebahagiannya memang sudah menjadi kehendak hidup perbandaran yang serba cepat. Lantas masa cuti pun kita terbawa-bawa dengan segala ketergesaan, seperti kata pepatah Inggeris, kita tak tahu membezakan ‘the wood for the trees’.

Mungkin cuti anak-anak kita juga boleh diisi dengan kegiatan-kegiatan yang lebih sederhana dan alamiah. Membawa anak-anak kita ke ladang-ladang ternakan ayam, itik, kambing dan lembu bukan hanya tidak mahal, tapi yang lebih utama, anak-anak kita terdedah kepada haiwan-haiwan begini. Kanak-kanak yang terdedah kepada haiwan atau memelihara haiwan bukan hanya akan mejadi lebih berilmu mengenai haiwan-haiwan tersebut, tapi akan juga mempelajari erti bertimbang rasa dan bertanggungjawab terhadap haiwan yang dipelihara dan semua yang lebih lemah daripada mereka. Atau anda membawa mereka ke taman atau kebun bunga, yang biasa atau yang hidro/aerofonik atau melawat hutan semula jadi di Sungei Buloh Singapura. Atau pergi berkelah, memancing, melawat pulau-pulau selatan sebelum semuanya dibangunkan, dan yang lebih penting, membiarkan anak-anak anda ‘merayau’ sedikit – mendengar muzik dan khazanah bumi agar mereka membesar dengan lebih menghargai unsur-unsur alam dan penghuninya, yang membuat hidup mereka lebih bererti dan berwarna-warni. Begitu juga mereka boleh didedahkan kepada seni.

Yang penting, cuti mereka menjadi lebih bererti kerana kita turut terlibat meriang-riakan zaman kanak-kanak dan remaja mereka dan memberi lebih daripada wang untuk menunjukkan kasih sayang dan keprihatinan kita terhadap perkembangan anak-anak kita.

Ditulis: 8 Jun 2000
Tajuk Asal: Kanak-Kanak Dan Musim Cuti
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 11 Jun 2000
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s