Penulis Senegal Mariama Ba – Cuba Melawan Adat Kuno

book-1book-2mb-2
Prakata

Jarang sekali kita menemui seorang penulis wanita Islam dari benua Afrika. Kita mungkin ketahui penulis-penulis seperti Bessie Head, Nadine Gordimer, Flora Nwapa, Efua Sutherland dan lain-lain dari benua tersebut. Walaupun tradisi naratif (seperti cerita-cerita penglipur lara) banyak diperturunkan oleh wanita dalam kebanyakan masyarakat, namun tradisi tulisan oleh penulis-penulis wanita masih boleh dianggap suatu keluarbiasaan.

Mengenali Mariama Ba

Mariama Ba, adalah di antara segelintir penulis wanita Islam dari benua Afrika. Lahir di Dakar, Senegal, pada 1929, beliau terdidik di sekolah berbahasa Perancis dan Maktab Perguruan di sana. Mariama juga terdidik dalam pelajaran agama Islam. Pernah bertugas sebagai guru dan nazir sekolah, serta aktif dalam beberapa pertubuhan wanita, Mariama Ba menulis esei dan novel. Novel pertamanya So Long A Letter, yang ditulis dalam bahasa Perancis, dianggap sebagai salah sebuah novel yang penting bagi mengenali suara baharu wanita Afrika. Novel ini memenangi anugerah Noma Award bagi penerbitan di Afrika dan telah diterjemahkan ke dalam 16 bahasa. Terjemahan bahasa Inggerisnya muncul pada 1981. Mariama Ba meninggal pada 1981, sebelum sempat melihat novel keduanya, Scarlet Song, diterbitkan pada tahun yang sama.

Dalam kedua-dua novelya, Mariama Ba mengemukakan isu konflik di antara adat-istiadat yang membelenggu dengan idea-idea pembaharuan yang cuba muncul. Dalam Scarlet Song, misalnya, Ousmane, lelaki Afrika yang walaupun terdidik di Perancis, masih tetap tertutup mindanya: pendidikannya sekadar ‘pameran’ kuasa membelinya, sedangkan sikapnya terhadap pembaharuan dan wanita, tidak banyak berbeza daripada lelaki-lelaki Afrika yang lain pada zaman itu. Isterinya pula, Mireille, wanita Perancis daripada golongan menengah, menolak kekayaan hidupnya demi fahaman kesamarataan, dan kemudian memeluk Islam dan cuba mendekati masyarakat suaminya, tetapi disingkirkan. Rasa terpinggir ini semakin hebat apabila Ousmane mengahwini pula wanita Afrika; seolah-olah perkahwinan Mireille juga adalah satu ‘pameran’ dan Ousmane belum bersedia dalam perhubungan yang lebih sama rata dan saksama.

Novel So Long A Letter

Kegagalan yang hampir serupa kita temui dalam novel pertamnya, So Long A Letter. Menurut Mariama Ba, misi suci seorang penulis ialah memberantas adat-adat kuno yang sebenarnya bukan sebahagian daripada warisan budayanya. Novel So Long A Letter ditulis dalam bentuk surat yang panjang oleh Ramatuolaye kepada sahabatnya, Aissatou, setelah kematian suaminya, Modou. Ramatoulaye menyingkap beberapa peristiwa silam mengenai dirinya, perkahwinan, keluarga, sahabat serta masyarakatnya, dalam usaha untuk cuba memahami beberapa kegenjotan yang dialaminya. Kematian suaminya yang tiba-tiba serta upacara-upacara yang bersangkut-paut dengan kematian itu, membuat Ramatoulaye meluahkan keresahannya kepada sahabatnya yang jauh di kedutaan Senegal di Amerika Syarikat.

Kita ketahui, misalnya, Ramatoulaye dan Aissatou kedua-duanya guru, adalah di antara wanita Senegal yang terawal mendapat pendidikan Perancis. Demikian juga suami mereka: Modou (suami Ramatoulaye) menjadi peguam dan terlibat dalam kesatuan sekerja dan Mawdo (suami Aissatou) menjadi doktor. Merekalah penegak dan pengisi kemerdekaan Senegal. Namun konflik adat dan kehendak melunturkan kebahagiaan mereka. Mawdo yang berdarah bangsawan, dipaksa berkahwin dengan golongannya yang menyebabkan Aissatou menuntut cerai. Modou pula, setelah 25 tahun berkahwin, jatuh hati dengan Binetou, rakan anak gadisnya. Dia berkahwin dan meninggalkan Ramatoulaye dan anak-anaknya selama 5 tahun, sehinggalah kematiannya, dan jenazahnya dibawa pulang ke rumah isteri pertamanya. Ramatoulaye tidak menuntut cerai; dan melalui ‘pembuangan’nya, dia membesarkan anak-anak dan belajar berdikari.

Yang jelas, kita tersua dengan beberapa adat yang agak bercanggah dengan Islam diamalkan oleh masyarakat Ramatoulaye. Modou misalnya, berkahwin dengan isteri keduanya tanpa sebab yang munasabah di sisi agama, dan meninggalkan keluarganya tanpa tanggungan, dan sekali gus mewajarkan perbuatannya. Demikian juga dalam masyarakat Senegal, balu harus dikahwini adik/abang ipar setelah iddah, tetapi ini ditolak oleh Ramatoulaye. Demikian juga pembahagian harta dan sebagainya. Konflik yang ketara ialah nilai-nilai pembaharuan (yang turut dibawa oleh Islam, selain pendidikan moden) dengan adat istiadat serta pandangan hidup yang masih tertutup.

Penutup

Suara Ramatoulaye bukan sekadar suara seorang wanita tetapi juga suara baharu Senegal yang mencari keyakinan teguh untuk mengharungi hidup yang bercanggah nilai. Dan suara kewanitaan Mariama Ba tidak agresif sebagaimana digambarkan dalam surat panjang Ramatoulaye, namun ia tetap menjentik kita dengan kelembutan dan rasa mandiri penulisnya.

Ditulis: Jun 1998
Tersiar: Berita Minggu (Singapura) pada 19 Jun 1998
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s