Walau Kulit Berlainan Warna, Darah Yang Mengalir Tetap Merah

Adakah anda, seperti Sri, tersentuh membaca kisah Cik Kartini dan kawannya, Judy, yang dapat berhubung setelah lama terputus hubungan? Pasti ada di antara kita yang tergenang air mata membaca kisah ini dan pelbagai kisah seumpama ini. Jarang sekali di kalangan kita yang tiada kisah sebegini: sama ada yang terputus hubungan dengan kawan sekampung, sesekolah, sekerja, saudara yang diberi kepada keluarga lain atau yang hilang berita entah ke mana. Jauh di lubuk hati, sesekali terkenang juga kita kepada mereka.

Dan bukanlah suatu keanehan ramai di kalangan kita mempunyai sahabat yang berlainan bangsa dan agama ; seperti kata kawan Cik Kartini: “Saya tidak fikirkannya sebagai orang Melayu atau Islam tetapi sebagai kawan saya.” Menjadi kawan, dalam erti kata sebenar, bukan sekadar basa-basi keadaan, adalah sesuatu yang indah dan membahagiakan. Bagi generasi lama, perkara ini bukan pula satu keluarbiasaan. Semasa tinggal di kampung dulu, bukan tak ada orang-orang Melayu dan bukan Melayu sama membantu dan menjadi lebih daripada sahabat baik. Malah ada di antara kita masih ingat bahawa ayah atau ibu kita tak akan marah seandainya kita dimarahi oleh Acek atau Mama jiran sebelah bila kita terlalu nakal atau membuat salah kerana perkara yang sama juga boleh dilakukan oleh ayah ibu anda terhadap anak mereka. Dalam mengharungi pelbagai masalah hidup, kita seolah-olah lebih bersama berani melangkaui perbezaan kita dan mencari persamaannya.

Namun, hubungan yang akrab tidak dapat dibina oleh undang-undang, prasangka atau sikap toleransi di bibir saja. Seperti kata pemimpin Indonesia Dr Muhammad Hatta, yang muncul nanti hanya satu ‘persate-an’ bukan persatuan. Kita bersama hanya secara luaran, macam daging-daging pada sebatang sate, tapi tidak bersama dalam erti kata sebenar. Seandainya ada kelompok menganggap monopoli kebaikan, kepandaian, kekuatan dan sebagainya hanya milik mereka dan memandang negatif terhadap kelompok lain, fahaman saling menghormati kalau tidak pun saling menyayangi, sukar dapat dibina bersama.

Bila bercakap pasal toleransi ini, Sri selalu terkenangkan nenek Sri. Banyak laluan hidupnya menggambarkan hal ini. Ramah dan penyayangnya nenek Sri, sehingga ada jiran Tionghoanya tetap mengunjunginya lama setelah mereka berpindah dari kampung yang sama. Malah ada di antara anak mereka, kerana berkawan dengan ibu-ibu saudara Sri, sanggup bermalam di rumah nenek semasa cuti sekolah. Bukan itu sahaja, malah ada jiran Tionghoanya menjadi semacam saudara, kemudian memeluk Islam dan berkahwin dengan orang India Muslim. Anak-anaknya menjadi sebahagian daripada saudara Sri, walau kami tiada pertalian darah. Dan Sri panggil wanita Tionghoa ini ‘Nek Nyonya’. Seorang jiran depan rumah kami pula yang mengendalikan kedai runcit, menjadi semacam anak angkat nenek Sri. Nenek menjadi tempatnya mengadu dan selain menasihat, kalau ada nenek masak makanan yang disukai keluarga nyonya ini, tak dapat tidak akan dihantar semangkuk untuknya. Dan banyak lagi kisah-kisah nenek Sri yang sebegini.
.
Berhubung akrab dengan orang yang berlainan bangsa dan agama bukanlah suatu perkara mustahil bagi nenek Sri. Dan beliau bukanlah satu-satu orang sebegini. Nenek Sri tidak mendapat pelajaran formal; hanya pandai membaca tulisan Jawi, membaca Quran, menjadi bidan dan boleh bercakap sedikit beberapa dialek Tionghoa, Tamil, Jawa dan satu dua perkataan Inggeris. Beliau bangga menjadi orang Melayu tetapi rasa bangga yang positif ini tidak pula bermakna menolak orang yang berlainan bangsa, agama atau budaya. Pelajaran terpentingnya didapati daripada hati nuraninya: bahawa apa pun jenis kulit seseorang, dia tetap manusia di sisi Allah. Sebab itu agaknya nenek Sri dapat menerima menantu yang berlainan bangsa atau cucu menantu yang berlainan agama (pada mulanya) menjadi sebahagian daripada keluarganya

Yang Sri risaukan, ada di kalangan kita kadangkala berfikir dalam semua hal kita mesti ‘bersama’ untuk kita saling menghormati dan menyayangi. Perkara ini sukar dilaksanakan melainkan masyarakat itu homogen. Seperti tulisan Asad Latiff (Straits Times: 11 Mac 2002), persamaan itu tidak bererti tiada kepelbagaian. Kepelbagaian itu boleh membuahkan berbagai pandangan dan keindahan dan ini dapat sebenarnya mewarnakan sesebuah masyarakat. Asal ada nilai-nilai sejagat yang mengukuhkan kita, unsur-unsur seperti prasangka, stereotaip dan sebagainya boleh dielakkan, kalau kita semua jujur menginginkannya. Bukan bererti toleransi bila anda sanggup menghilangkan jati diri anda hanya untuk diterima khalayak terbanyak pada hal penerimaan sebegini hanya bersifat luaran.

Ceongsam, sari, gaun, dan baju kurung hanyalah pakaian sama seperti kway teow, tose, devil’s curry dan rendang sekadar makanan. Yang berbeza itu di luar, yang sama dan seharusnya dikukuhkan ialah kemanusiaan kita. Seperti nenek mengingatkan Sri: lihatlah di sebalik kulit yang berlainan kerana darahnya tetap merah, masalah dan kegirangan yang orang lain hadapi tidak jauh berbeza daripada apa yang Sri atau sesiapa pun hadapi selagi kita bergelar manusia. Dan Usman Awang pernah menyajakkan: air mata seorang ibu itu tetap serupa sama ada ibu itu berbangsa Melayu , Tionghoa, India atau apa pun bangsanya.
.
Ditulis: 12 Mac 2002
Tajuk Asal: Saling Sehati
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 17 Mac 2002
Tulisan: Rasiah HaIil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s