‘Akhirnya’ Dan ‘Selat & Sungainya’ -2 Kuntum Sajak

Akhirnya

Akhirnya kupilih perjalanan ini
digeseri tuntutan & cagaran
diceruti perit kenyataan
kerana laluan ini semakin lengang
& sesekali
kicauan burung perlu terdengar.

Akhirnya aku harus menyisih
antara tanaman & rumpai
kerana kebun ini luas
manusia mudah bertukar
antara akrab & orang luar
& bagai jambatan, aku melihat
gugusan tanah besar
pesat membangun
& tidak lagi menghubungi
pulau-pulau.

Akhirnya aku terpaksa memilih
antara ilusi & kenyataan
kepedihan yang mendewasakan
atau kecelaruan mencengkam
kerana perjalanan ini masih terlalu panjang
ramai musafir terbiar
& hidup ini pasti membezakan
kaca & manikam.

Akhirnya berilah aku ketabahan
menghadapi segalanya, Tuhan.

Ditulis: 13 – 14 Julai 1990
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Selat & Sungainya

Dari Bintan belayarlah Sang Nila Utama
setelah dilihat pantai putihnya
& tika dihampiri pulau, ombak mengganas
dicampakkan ke laut satu-satu mahkotanya
demi penakatan semua.

Redalah selat, sungai, lalu mereka mendarat
& kelibat haiwan tangkas menjelma
sang putera pun menamakan Temasik, Singapura
kerajaan dibangunkan di Bukit Larangan
dengan pelbagai peristiwa & sempadan
sehingga Raffles tiba
ditimbus muaranya, selamanya.

Di selat & sungai ini pernah tamadun dibina
perairannya laluan sehenti
pelayar, pedagang, penjajah, bersilih ganti
tercatat dalam rakaman sejarah, hikayat, puisi.

Betapa lesu kini selat & sungai ini
bila airnya dituba toksik
& amnesia memukat
pulau & penghuni.

Ditulis:  1 Mac 2015
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

 

Leave a comment