Catatan Ringkas 31 Disember 2016

1.Banyak kenangan berlalu sepanjang tahun ini – ada yang menggembirakan kita dan ada pula amat mengecewakan kita. Dan diselang-seli segalanya, kita masih boleh tersenyum dan menjadi pemerhati yang cuba tidak terlalu terguris menghadapi semua. Dan betapa sukar tindakan yang dianggap mudah ini.

2. Dunia semakin tidak aman kerana di pelbagai pelosok dunia masih berlaku peperangan secara nyata atau didalangi pelbagai pihak. Yang menderita tentunya rakyat jelata, kanak-kanak, wanita, orang-orang tua dan masyarakat umum. Yang menangguk di air yang keruh tentunya pihak-pihak berkepentingan. Seolah-olah dunia yang semakin porak peranda begitu menyenangkan pihak-pihak sebegini.

3. Sejak akhir-akhir ini, penghujung tahun sering menggerunkan – ada sahaja bencana alam, nahas, pengganasan berlaku. Dalam kita menilai-nilai apa yang telah kita lalui dan semakin terasa mahu melihat dunia dan kehidupan kita semakin damai dan tenang, semakin ‘mendung datang bertalu-talu’. Siapakah orang-orang yang sewel dan tidak berperikemanusiaan yang tiba-tiba merempuh dan memusnahkan manusia semasa mereka ingin meraikan hari kebesaran atau bersantai dengan membeli-belah dan sebagainya pada hujung tahun. Perkara begini terlalu amat jarang berlaku pada tahun-tahun 70-an dan 80-an dahulu. Seolah-olah dengan kita cuba meraikan kemanusiaan bersama kita – apa pun bangsa, agama dan negara kita, atau ada usaha-usaha untuk memperbaiki keadaan para pelarian dan mereka yang dibaham perang dan pengganasan, ada sahaja usaha-usaha yang semakin menyerabutkan keadaan. Tentunya ada pihak-pihak yang tersenyum puas atau ketawa besar kerana kedamaian semakin pupus di hati manusia dan kemanusiaan.

4. Tetapi bukan semuanya yang bersifat besar atau global yang menjejas kehidupan kita. Ada di kalangan kita sukar mencari rezeki atau hilang mata pencarian, ada yang bersedih kerana berpulangnya ke rahmatullah orang-orang yang mereka sayang atau kenal, ada yang menghadapi masalah kesihatan, ada cita-cita terbantut kerana menghadapi terlalu banyak hambatan, ada yang ditegangi masalah kekeluargaan, perhubungan dan sebagainya. Dan tidak kurang pula digenjoti pelbagai hal yang semakin menyukarkan untuk mereka lebih berlapang dada dan reda menghadapi segala.

5. Dalam resah-gelisah kita, berita pemergian orang-orang terkenal, selain kaum keluarga dan sahabat handai, tentunya membuat kita berhenti sebentar. Beberapa orang selebriti meninggal dunia; dan baru-baru ini, Carrie Fisher dan ibunya Debbie Reynolds meninggal dunia selang sehari (pada 27 dan 28 Disember 2016).

Bagi mereka yang membesar pada tahun-tahun 70-an, tentu sukar melupakan Carrie Fisher dalam siri pertama filem Star Wars, yang ditayangkan pada 1977. Wataknya sebagai Princess Leia, dan watak-watak seperti Luke Skywalker, Han Solo, Obi-Wan, Darth Vader, C-3PO, R2 D2, Chewbacca dan lain-lain, menjadi ikutan anak muda zaman itu.

Saya baru memasuki tahun kedua di Universiti Singapura, di Bukit Timah, ketika filem Star Wars yang pertama, ditayangkan. Carrie Fisher seusia dengan saya – pemergiannya yang tiba-tiba tentunya mengingatkan saya dan generasi saya betapa rapuh dan singkatnya kehidupan ini. Dan sebelum berita kematiannya tersiar, di saluran TCM, ada ditayangkan filem-filem lakonan ibunya, Debbie Reynolds. Saya sempat menonton sedikit filem The Singing Nun dan Singin’ In The Rain. Tidak saya sangka, lakonan-lakonan yang menggembirakan itu kemudian diselangi berita kematian pelakon wanita utamanya. Saya menganggap Debbie Reynolds sebagaimana Doris Day dan Julie Anrews, lakonan dan nyanyian mereka sering menggembirakan saya. Mungkin seperti sebilangan pelakon dan penyanyi Melayu pada suatu zaman, kehadiran mereka menambahkan darjah kegembiraan pada kehidupan saya.

Saya masih menghadami berita-berita sebegini, bila seorang kawan, yang whatsapp saya mengenai berita pemergian Debbie Reynolds, memberitahu saya mengenai pemergian Tan Sri S M Salim. Saya terperanjat walaupun saya maklum ada berita-berita mengenai kesihatan arwah baru-baru ini.

Saya suka mendengar lagu-lagu nyanyian S M Salim dan pernah membeli beberapa piring hitam (LP) dan kasetnya dahulu. Sama ada Allahyarham bergurau, menceritakan keadaan kehidupan atau menyindir, suaranya lunak. Arwah nenek saya dahulu menggemari lagu-lagunya dan sewaktu-waktu meminta saya memainkan lagu-lagunya. Lagu Allahyarham yang paling saya gemari bertajuk ‘Selamat Tinggal Bungaku’, ciptaan Johar Bahar – saya tidak pernah jemu mendengarnya dan ia begitu menyentuh kalbu. Seni kata lagu ini, yang saya ubahsuaikan sedikit, pernah saya catatkan dalam tulisan terakhir ruangan ‘Sri Anggerik‘ di kampus yang ditulis pada April 1981 (siri ‘Sri Anggerik‘ di kampus yang bermula pada Ogos 1978 – bukan ruangan ‘Sri Anggerik‘ terbitan Berita Minggu, Singapura, yang bermula pada Julai 1998).

Lagu-lagu Allahyarham mengingatkan saya kepada keindahan dan khazanah lagu dan seni budaya Melayu yang saya cintai dan hargai. Dan kesungguhan Allahyarham dalam bidang pilihannya adalah sesuatu yang boleh kita teladani. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Tan Sri S M Salim. Amin. Al-Fatihah.

6. Kematian itu satu pusingan kehidupan – siapa pun kita, ia adalah sesuatu yang harus kita hadapi. Namun dibaham pelbagai anasir yang menghancurkan kehidupan, diterjah isu-isu semasa yang demikian mengharukan kita serta gambaran-gambaran perang, pengganasan, pelarian dan kehancuran yang berlaku di mana-mana, pemergian orang-orang yang dekat di hati kita sering menjejas kehidupan kita untuk jangka waktu yang lama. Semoga semua yang mengalami kehilangan orang-orang yang mereka sayang akan tabah menghadapi ini dan berani sesekali menyeka air mata dan tersenyum menghadapi kehidupan yang sedia ada.

7. Apa pun kesukaran yang kita hadapi, insya-Allah ada peleraiannya. Kita tidak boleh merubah dunia tetapi kita boleh membuat langkah-langkah kecil agar kehidupan kita lebih tenang dan sejahtera. Kadangkala kita terpaksa membakar jambatan kerana kita harus memulakan perjalanan yang baharu. Dan walaupun kita boleh berlinangan air mata, sebagaimana Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini semasa mengalunkan lagu ‘Sayang Musalmah’ pada 2012, linangan itu bukan penghalang untuk kita membezakan kaca dan manikam dan memilih, bak disajakkan Muhammad Haji Salleh, ‘yang teruji bandingan’.

Selamat Tahun Baharu Masihi – semoga kebahagiaan, kesejahteraan dan ketenangan menghiasi kehidupan kita, insya- Allah.

Salam
Rasiah Halil
31 Disember 2016.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s