Nilai Dan Penilaian Sastera

Prakata

Setiap kali sebuah karya dicipta dan dipasarkan kepada khalayak ramai, kita selalu bertanya apakah karya tersebut mempunyai nilai-nilai tertentu yang menjadikannya karya yang baik? Banyak unsur yang membangunkan sesebuah karya; kalau puisi, kita tinjau misalnya penggunaan bahasa, lambang, kiasan, tema, kesan dan sebagainya kepada kita. Kalau novel pula kita mungkin mengkaji mengenai watak dan perwatakan, penggunaan bahasa, plot, tema dan lain-lain. Tidak kurang pentingnya kita perlu juga tahu sedikitnya pengaruh-pengaruh luaran misalnya kesan sejarah, dorongan penulisan, latar belakang penulis, pendidikan dan pandangan hidupnya untuk lebih mengetahui mengapa sesebuah karya itu dicipta. Setelah mengkaji dengan mendalam dan bertemu beberapa unsur yang lumrahnya dianggap baik, barulah kita menganggap karya tersebut baik.

Nilai Karya

Karya yang baik juga seringkali memberi pelbagai nilai kehidupan kepada pembacanya. Membaca novel Badai Semalam karya Khadijah Hashim misalnya, seorang pembaca akan didorong untuk lebih bersungguh-sungguh dalam mengejar cita-citanya, sebagaimana Mazni, watak utama novel ini, terpaksa mengharungi pelbagai rintangan demi mencapai cita-citanya. Novel ini diolah sedemikian sehingga mudah menambat hati pembaca muda terutamanya dan nilai-nilai yang baik, misalnya teguh dalam mengejar cita-cita murni, menghormati ibu, cinta yang murni, sabar dan tabah, jelas tergambar dalam novel ini. Walaupun Khadijah Hashim kemudiannya melahirkan beberapa buah novel lain dan karya-karya sastera genre lain, Badai Semalamlah yang ternyata dapat lama bertahan dan memikat pembaca novel umumnya. Tentunya ada nilai-nilai tertentu dan cara pengolahan Khadijah Hashim yang kreatif yang membuat novel ini salah sebuah novel malar segar, terutama bagi pembaca muda.

Dalam kesusasteraan tradisional, karya seperti Sejarah Melayu atau Cerita-cerita Binatang dan Jenaka akan selalu menjadi ingatan kita. Banyak nilai yang diajarnya, secara terang-terangan mahupun tersirat, dan karya-karya tersebut dapat bertahan bukan hanya kerana ia telah menjadi sebahagian daripada kenangan bersama (collective memory) kita, bahkan kerana kepelbagaian makna yang dititipkan kepada kehidupan kita. Semasa zaman kanak-kanak, cerita Sang Kancil kita anggap sekadar haiwan yang bijak, tetapi semasa meningkatnya usia, cerita Sang Kancil boleh menjadi lambang kebijakan mereka yang kecil atau kerdil, walaupun kesombongan Sang Kancil tidak perlu kita tiru.

Demikian juga dengan kisah-kisah daripada Sejarah Melayu.  Bukan sahaja ia menjadi bahan kajian ilmiah mengenai masyarakat Melayu silam, ia juga telah banyak menjadi ilham untuk dicipta semula sebagai novel, misalnya Harun Aminurrashid dengan Sultan Mahmud Shah Jilid 1 dan 2, A. Samad Ahmad dengan Zaman Gerhana, antologi puisi, misalnya Sajak-Sajak Sejarah Melayu oleh Muhammad Haji Salleh dan Salasilah oleh Zurinah Hassan, malah telah dijadikan bahan drama, cerpen, sketsa, pantomin, taridra dan sebagainya. Sejarah Melayu dapat bertahan, sama seperti pantun dan peribahasa kita kerana banyak nilai yang disajikan kepada kita, zaman berzaman. Kita sekadar memetik pelbagai bunga dan buah yang ranum, jika sesebuah karya itu baik, untuk menjadi santapan kita, mengikut waktu-waktu yang sesuai. Walaupun kita boleh dari masa ke semasa mempertikaikan sesuatu watak dalam Sejarah Melayu misalnya, menyoal benar tidaknya tindakan Hang Tuah dan Hang Jebat bertikam keris, namun yang utama, Sejarah Melayu sebagai sebuah karya, sedia bertahan begitu lama dan masih mengilhamkan kita pada zaman ini.

Tentunya ada unsur-unsur istimewa karya seperti ini, maka ia boleh bertahan begitu lama. Sekadar perbandingan daripada dunia filem; mengapa sebilangan besar kita menggemari filem-filem P.Ramlee, terutama yang dibuat sebelum beliau berpindah ke Malaysia? Filem-filemnya nampak sederhana, peralatan yang digunakan tidaklah begitu canggih tetapi dengan segala keterbatasannya, P.Ramlee dan rakan-rakan seangkatan beliau telah melahirkan karya-karya yang boleh dianggap klasik. Banyak nilai yang kita pelajari dan kadangkala perlu sempadani dalam filem-filem beliau. Semestinya ada unsur-unsur tertentu dalam filem-filemnya sehingga ia dapat bertahan lama dan masih diminati sehingga kini. Karya-karyanya tidak dapat tidak, sebagaimana karya-karya sastera yang baik, memberi nilai dan nilai tambahan kepada kehidupan kita, lantas masyarakat memberi sesuatu yang istimewa kepadanya: karya-karyanya menjadi malar segar, walaupun semasa hayatnya keunikan filem-filemnya sebilangan kita kurang menghargainya.

Sesebuah karya seni dapat bertahan lama jika unsur-unsur yang membina karya tersebut tetap memberi makna kepada khalayaknya, walaupun karya tersebut mungkin tidak mendapat hadiah-hadiah tertentu semasa dihidangkan kepada khalayak sastera atau seni. Meminjam daripada filem-filem P.Ramlee, andainya beliau tidak memenangi apa pun hadiah untuk filem-filem seperti Anakku Sazali, Ibu Mertuaku, Nujum Pak Belalang dan lain-lain, kita tetap menghargai karyanya, kerana ternyata lakonan dan karya-karya ciptaannya di Jalan Ampas dapat mengesankan kita dan memberi ‘saham’ kepada kenangan bersama kita. Yang baik itu tetap baik, walaupun kurang dihargai pihak-pihak tertentu semasa hayat penggubahnya; sama seperti adanya lagu-lagu pop yang mendapat hadiah itu dan ini, tetapi ternyata dalam sekelip mata sahaja, lagu-lagu tersebut lenyap dari ingatan kita. Ada tidaknya nilai dalam sesebuah karya sastera atau seni hanya dapat kita ketahui dalam jangka waktu yang panjang; bukan setakat seminggu atau setahun sahaja. Yang terbaik itu akan tetap kekal sebagaimana kita tidak akan lupa kepada kisah-kisah daripada  Sejarah Melayu atau novel-novel tersohor kita.

Penilaian Sastera

Penilaian sastera mempunyai dua cabang utama: penilaian formal misalnya melalui Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan, Hadiah Penulis Komanwel, Hadiah Booker, Hadiah Whitbread, Hadiah Pulitzer, Hadiah Dewan Bahasa dan Pustaka, Hadiah Utusan Publications, Hadiah Sastera Islam, Hadiah Sastera, Anugerah Persuratan, Hadiah Pena Emas/Golden Point Award dan lain-lain.  Penilaian formal ini selalunya diusahakan oleh badan atau negara tertentu, yang dikukuhkan oleh senarai penilai yang berwibawa, dan ditunjangi oleh kayu ukur-kayu ukur tertentu mengenai apa yang dianggap sebagai karya yang baik bagi satu-satu negara, tahun atau pertubuhan antarabangsa.

Cabang kedua penilaian sastera lebih bersifat tidak formal; sesebuah karya tidak memenangi apa-apa hadiah tempatan atau luar negara tetapi dianggap oleh khalayak sastera sebagai karya yang baik dan telah menunjukkan ia dapat bertahan lama dan menjadi sebahagian daripada kenangan bersama kita dalam dunia sastera. Kita mungkin terfikirkan karya-karya seperti puisi-puisi Amir Hamzah, Chairil Anwar, Taufiq Ismail, Usman Awang, T. Alias Taib, Siti Zainon Ismail atau beberapa novel tulisan Ahmad Murad Nasaruddin, Harun Aminurrashid, Arena Wati, Zaharah Nawawi, Abdoel Moeis, Hamka, Achdiat K. Mihardja, atau cerpen-cerpen, Keris Mas, Umar Kayam, Fatimah Busu,  Azizi Hj Abdullah, Anwar Ridhwan dan lain-lain. Sama ada mendapat apa-apa hadiah ataupun tidak, ternyata sejumlah karya penulis ini adalah baik dan akan tetap menjadi sebahagian daripada perbendaharaan sastera kita yang akan terus dikaji dan dijadikan ukurtara untuk karya-karya lainnya, pada zaman-zaman mendatang.

Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan yang diadakan setiap tahun di Sweden, bermula pada 1901. Orang pertama yang menerima hadiah tersebut ialah Sully Prudhomme dari Perancis, dan yang terakhir, pada 2005, ialah Harold Pinter, dari United Kingdom. Ada ahli panel yang memilih daripada sejumlah saranan yang diajukan, walaupun seorang penulis itu tidak dibenarkan menyarankan dirinya untuk mendapatkan hadiah kesusasteraan tersebut. Saranan yang dikemukakan berserta corpus karya penulislah menjadi pertimbangan ahli panel untuk diberi hadiah tersebut; seorang yang menulis karya-karya yang dianggap tidak berbobot dari segi sastera sama ada karya picisan atau popular, misalnya J.K. Rowling dengan siri Harry Porternya, tidak akan diberi Hadiah Nobel tersebut.

Walaupun demikian, Hadiah Nobel ini juga tidak jauh dari tengkarahnya. Ada yang menganggap hanya penulis-penulis berhaluan tertentu dan dari benua-benua tertentu yang diberi hadiah. Dan sejauh ini hanya segelintir orang Asia yang diberi Hadiah Nobel. Mereka ialah Rabindranath Tagore (1913), Yasunari Kawabata (1968), Naguib Mahfouz (1988), Kenzaburo Oe (1994), Gao Xingjian (2000), dan V.S. Naipaul (2001). Apakah Asia kurang penulis kreatif atau karya-karya dari Asia kurang mendapat perhatian pihak Hadiah Nobel? Mungkin sejumlah karya Asia tidak mendapat perhatian kerana kurang diketahui mereka, sebagaimana kita dari Asia kadangkala kurang mengetahui karya-karya dari benua kita kerana karya-karya ini kurang diterjemahkan ke bahasa Inggeris atau Melayu, misalnya. Dan dari Dunia Melayu terdapat penulis-penulis yang baik misalnya Pramoedya Ananta Toer dan Arena Wati, tetapi kita tidak tahu sama ada nama mereka pernah dicalonkan sebagai penerima Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan. Demikian juga dari Dunia Arab, apakah sekadar Naguib Mahfouz seorang yang berwibawa? Mahmud Darwish, seorang penyair Arab yang berbobot misalnya tidak akan disenaraikan, kerana beliau banyak menyuarakan harapan dan kekecewaan masyarakat Palestin, lantas haluan sebegini tidak akan disetujui, walaupun ini tidak disebut secara rasmi.

Sebaliknya, Boris Pasternak, penulis Russia, diberi Hadiah Nobel bagi novelnya Dr Zhivago, pada 1958, kerana dianggap secara tidak langsung menentang fahaman golongan Komunis di Russia. Pasternak kemudian menolak penerimaan hadiah ini, kerana negaranya tidak membenarkannya menerimanya. Kegenjotan sebegini menunjukkan adakalanya ahli panel Hadiah Nobel boleh juga dipengaruhi oleh isu yang dekat dengan hati mereka, dan yang lebih langsung menyentuh kehidupan mereka misalnya isu komunisme tetapi bukan isu Palestin, misalnya. Walaupun demikian, kerana sejumlah besar cara penilaian Hadiah Nobel masih dianggap adil, penerima hadiah ini puratanya dipandang tinggi oleh khalayak sastera.

Seorang kenalan saya pernah terlibat dengan penilaian Hadiah Penulis Komanwel (HPK) bagi cereka. Hadiah ini terbuka kepada penulis-penulis berbahasa Inggeris yang pernah dijajah Britain. Karya-karya cereka ini dibahagi kepada empat rantau iaitu Caribbean dan Canada, Asia Tenggara dan Pasifik Selatan, Eurasia, dan Afrika. Sejumlah ahli panel dipilih untuk keempat-empat rantau ini, yang akan memilih dua hadiah: cereka terbaik bagi rantaunya dan juga buku cereka pertama yang terbaik bagi rantaunya. Semua karya terbaik dari keempat-empat rantau akan masuk ke pusingan terakhir dan panel penilai kemudian akan memilih karya yang terbaik bagi HPK. Pengalaman kenalan saya,  seorang penulis berbahasa Inggeris dari Singapura, dapat memberi betapa rinci dan sungguh-sungguh penilaian HPK ini dijalankan.

Kenalan saya dipilih kerana beliau telah menghasilkan cereka yang dianggap baik, lama berkecimpung dalam bidang sastera Inggeris dan terlatih dalam bidang sastera Inggeris dan kerjayanya dahulu pun dalam bidang tersebut. Beliau tidak menghasilkan sebarang novel pada tahun tersebut lantas masalah konflik kepentingan memang tidak wujud. Satu perkara yang amat dipentingkan, menurut kenalan saya, ialah integriti para penilai dan kesaksamaan penilaian mereka. Kenalan saya terpaksa ‘berperap’ lebih sebulan dengan beberapa orang penilai di sebuah desa terpencil di Perth, Australia. Mereka tidak dibenarkan berbincang mengenai karya yang mereka nilai, kecuali semasa pertemuan formal. Mereka juga tidak dibenarkan berbincang dengan masyarakat luar mengenai karya-karya yang dinilai. Perbincangan mereka untuk memilih karya-karya terbaik memang mengambil masa dan kriteria-kriteria tertentu digunakan sebagai kayu ukur, yang disetujui panel penilai, untuk menentukan baik tidaknya sesebuah karya. Pihak HPK harus juga memastikan bahawa semua karya cereka yang terbit pada tahun penilaian telah diterima dan kemudian disaring oleh panel penilai tadi.

Menurut kenalan saya, pengalaman ini agak ‘menyeksa’ kerana jadual dan cara kerja yang ketat dan berdisiplin tetapi ia amat membantunya menghargai karya cereka yang baik. Yang diutamakan ialah karya cereka tersebut dan sejauh mana karya yang dipilih memenuhi kriteria-kriteria kesusasteraannya. Yang ‘menang’ nanti adalah kesusasteraan bukan sekadar penulis tertentu, dari rantau tertentu sahaja. Kenalan saya amat menghargai pengalaman ini kerana bukan sahaja beliau harus membaca karya-karya yang baik, beliau juga harus peka mengenai apa itu yang dianggap baik dalam sastera, dan mengetahui secara mendalam betapa integriti dalam penilaian telah memungkinkan karya-karya terbaik diberi HPK itu. Malah beliau dapat berbangga bahawa cereka yang benar-benar terbaik telah diberi HPK pada tahun tersebut. Kenalan saya juga yakin, kerana cara penilaian yang lebih rapi, saksama dan berintegriti, penilaian HPK kurang tengkarahnya dan lebih adil bagi melihat perkembangan sastera penulis Komanwel pada tahun-tahun tertentu.

Di Malaysia pada tahun-tahun 70-an dan 80-an dahulu, penilai hadiah sastera juga ‘diperapkan’ di tempat tertentu dan penilaian mereka diteliti dengan rapi, menurut kriteria-kriteria kesusasteraan tertentu. Zaman Keris Mas dan Usman Awang di Dewan Bahasa dan Pustaka dahulu, kita dapat membaca bagaimana telitinya penilaian yang dilakukan, sepertimana yang dilaporkan dalam majalah Dewan Sastera tahun-tahun tersebut. Mungkin kerana kerapian tersebut dan nilai integriti yang rata-ratanya diterapkan, khalayak sastera kurang bersungut mengenai penerima-penerima hadiah sastera tertentu. Ternyata, walaupun sekali sekala ada terdengar sedikit percanggahan pendapat mengenai penilaian yang dijalankan, isu baiknya karya yang dipilih kurang dipertikaikan. Yang dipilih pada tahun-tahun 70-an dan 80-an tersebut, ternyata sebilangan besarnya adalah penulis tersohor Malaysia sehingga kini.

Akhir Kalam

Bagaimana pula penilaian sastera melalui badan-badan formal yang kita jalankan di Dunia Melayu kini? Adakah ia dijalankan dengan penuh integriti, adil dan saksama terhadap karya yang dicipta, demi memartabatkan kesusasteraan Melayu di negara-negara seperti Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura? Atau mungkin ada sesetengah pihak tidak menganggap pentingnya unsur ‘demokrasi’ dalam sastera, kerana yang seakan-akan diutamakan, bak kata seorang penyair Singapura, Elfy Runianto, pada tahun 70-an dulu, yang dimahukan ialah ‘dia-mahu-kerusi’ iaitu bukan ‘demokrasi’ dalam penilaian tetapi mereka mahukan kedudukan dengan adanya penilaian-penilaian sebegini?

Yang menjadi mangsa ialah sastera kerana karya-karya baik tidak dipilih, sebaliknya kalau yang kurang baik mendapat tempat, ia sebenarnya menunjukkan kedaifan sastera kita sendiri. Peminat dan penggiat sastera akan semakin kecewa kalau seandainya sesuatu yang dianggap baik dan murni seperti sastera sesuatu bangsa atau negara seringkali diperkotak-katikkan oleh anasir-anasir yang kurang sihat, dan yang dicanang-canangkan sebagai yang terbaik, bukanlah padi, tetapi hampas. Landskap kesusasteraan Melayu banyak yang indah dan baik, jangan pula kerana faktor-faktor kepentingan diri sendiri, memilih puak, kurang persiapan, tiada kayu ukur yang boleh diterima, kurangnya penyerapan nilai-nilai integriti, keadilan, kesaksamaan dan ketelusan dalam sastera menjadi semacam racun serangga, yang sebenarnya membunuh tanaman dan ladang sastera kita.

Pohon-pohon sastera kita masih terlalu muda, berbanding dengan sejumlah sastera dari luar Dunia Melayu, untuk terus disemburi pelbagai racun serangga seperti ini. Dan kita mahu, melalui penilaian-penilaian sastera yang penuh integriti dan ketelusannya, menjadikan taman sastera kita tumbuh segar dan rimbun, dan bukan pula kerana penilaian-penilaian yang seakan songsang, menyebabkan lalang-lalang tegak berdiri dan pohon-pohon yang mendatangkan khasiat dan manfaat, semakin layu, tumbang, dan mati dalam taman sastera di Dunia Melayu yang sama kita cintai.

Ditulis: 2 – 6 Februari 2006
Tajuk Asal: Seperti tajuk di atas. Tulisan ini terbit dalam dua siri di Berita Minggu (Singapura) dengan tajuk-tajuk berlainan yang diberi pihak akhbar.
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada Februari 2006
Tulisan: Rasiah Halil.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s