Ulasan Buku – Dol Said Pahlawan Naning

kulit-buku-dol-said-pahlawan-naning

Tajuk Novel : Dol Said Pahlawan Naning
Penulis: Abdul Latip Talib
Penerbit: PTS Litera Utama, Selangor, 2009, 319 halaman.

Pengenalan

Berapakah harga sebuah kemerdekaan? Menurut novel Dol Said Pahlawan Naning, harganya tiada ternilai. Dan anak watan sanggup bermati-matian mempertahankan tanah airnya bila ia diserang. Mengikut cerita, Naning telah dibuka oleh Datuk Perpatih Pinang Sebatang, Raja Tanah Minangkabau, Sumatera, setelah baginda belayar ke kawasan baharu di Tanah Melayu. Serangga seperti tebuan iaitu naning, yang agak besar, dikatakan sakti, boleh mengubati penyakit dan jarang ditemui, dijumpai Datuk Perpatih di kawasan itu, lantas penempatan itu dinamakan Naning. Jawatan Penghulu Naning, setelah zaman Datuk Perpatih dan warisnya dipimpin oleh orang-orang daripada suku Biduanda dan suku Semelenggang, bergiliri-gilir.

Dol Said Pahlawan Naning

Abdul Said atau lebih dikenali sebagai Dol Said, lahir pada 1773, di Alor Gajah, Naning, Melaka, dan berasal daripada suku Semelenggang. Beliau anak tunggal keluarga sederhana, perilakunya baik dan pandai bersilat. Bersama sahabat-sahabatnya, Petah Melayu, Andika, Cik Had dan Cik Mohamad, Dol Said telah dilatih dalam hal-hal silat dan agama oleh guru Tok Wali Singa, sejak berusia muda. Dalam pertandingan silat yang diadakan di Naning semasa Dol Said meningkat dewasa, dia telah menjadi juara dan bergelar Pahlawan Naning. Dan sebagai Pahlwan Naning, Dol Said dapat menjaga kemaslahatan umum dengan baik. Beliau berkahwin dengan anak Penghulu Andak, setelah penghulu tersebut berkenan akan kepimpinannya. Setelah kematian bapa mentuanya, Dol Said dilantik sebagai Penghulu Naning yang ke-9, pada 1799, ketika berusia 26 tahun.

Naning berasal dari negara yang merdeka tetapi kedatangan penjajah-penjajah Barat ke Tanah Melayu, menyebabkan ia dijajah oleh Portugis, Belanda dan akhirnya British. Walaupun dijajah, Naning tidak pernah menyerahkan kemerdekaannya bulat-bulat . Mereka kalah dengan Portugis tetapi bila Belanda muncul, orang Naning berani bekerjasama dengan Belanda untuk mengusir Portugis. Kerjasama ini dan usaha-usaha lain oleh para pemimpinnya membolehkan Naning menjadi negara berdaulat di tengah-tengah berkembangnya empayar Barat di Tanah Melayu (Malaysia) dan Hindia Timur (Indonesia).

Masalahnya timbul bila British memerintah Tanah Melayu selama 17 tahun kerana Perang Napoleon di Barat. Semua jajahan Belanda dan kawasan berkaitan jatuh ke tangan British. Naning dipaksa membayar cukai, tidak sekadar hadiah sahaja yang diberi pihak Naning kepada Belanda dahulu. Kedatangan Belanda ke Tanah Melayu selepas Perang Napoleon, memulihkan kedaulatan Naning. Tetapi ini berubah lagi apabila Belanda dan British membahagi semua jajahan dan kawasan berkaitan di Kepulauan Melayu kepada dua: ke selatan Selat Singapura, diberi kepada Belanda dan ke utaranya, British menjajah. Naning dianggap tanah jajahan British.

Orang Naning Dengan British

Dol Said, selaku Penghulu Naning, disuruh membayar cukai yang tinggi kepada British. Keengganannya menurut telunjuk British menyebabkan Naning diserang selama 18 hari pada 1831 dan British kalah. Malu, British mencari helah menghancurkan Naning melalui pemecahan kerjasama Naning dengan orang-orang Melayu di luar Naning dan juga melalui pelbagai habuan bagi mereka yang bersekongkol dengan British serta penangkapan Dol Said dan kawan-kawan rapatnya. Naning diserang lagi pada 1832, dan Dol Said dapat bertahan selama 2 bulan,walau tanpa bantuan daripada orang-orang Rembau dan Sri Menanti. Naning dihancurkan British dan mereka menganggap orang-orang Naning berjuang bermatian-matian kerana di Naning ada emas dan bijih. Betapa meleset tanggapan itu. British menghabiskan wang lebih 100,000 pound, ramai askarnya terkorban walaupun mereka bersenapang dan bermeriam berdepan dengan orang-orang Dol Said yang bersenjata tradisional.

Penutup

Naning kalah dan Dol Said serta beberapa pengikutnya dapat melarikan diri ke Pasir Besar dan kemudian, Gunung Pasir. Apakah kesudahan pahlawan Naning ini? Kisah perjuangan inilah yang dirungkai oleh Abdul Latip Talib dalam novel sejarahnya. Beberapa fakta sejarah yang kurang kita ketahui mengenai Naning dan perjuangan anak watannya, semakin jelas apabila membaca novel ini. Tanpa emas dan bijih, daerah terpencil Naning ini tetap dipertahankan kerana yang lebih berharga melebihi itu ialah kemerdekaan.

Ditulis: 3 Februari 2010
Tersiar: Berita Harian (Singapura) pada 20 Mei 2010
Tajuk Asal: Dol Said Pahlawan Naning
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s