Usah Anggap Diri Anda Sempurna Jika…

Anda ingat zaman kanak-kanak bila anda bergaduh dengan kawan anda ? Kadangkala, bila dah tak ada modal, anda akan menyatakan: “Ah, bapa aku lebih kuat/kaya/baik dan sebagainya daripada bapa kau” seolah-olah dengan itu anda tentunya tak akan kalah. Tapi kawan anda juga tak mahu kalah, lantas berlarut-larutlah anda berdua. Kita bertolak dari apa yang kita anggap ‘kesempurnaan’; sewaktu kanak-kanak orang yang kita anggap sempurna selalunya ibu bapa atau keluarga kita dan dengan ini kita mudah menganggap lawan kita tidak sesempurna kita atau keluarga kita.

‘Permainan’ kita acapkali berlanjutan sehingga kita dewasa dan ketika peringkat ini, kesan sampingannya boleh menjejas hubungan baik kita dengan manusia lain. Dari membanding barang-barang yang kita miliki atau teman-teman istimewa kita semasa remaja, ini mungkin merebak kepada pasangan hidup kita, kepandaian anak-anak kita dan lain-lain. Pendek kata tak ada kesudahannya bila kita suka menganggap segala-gala yang kita miliki atau yang berkait dengan kita ‘sempurna’ dan segala-galanya daripada orang lain tak sempurna. Dunia kita menjadi begitu hitam putih sedangkan kehidupan selalunya menampakkan daerah kelabunya bagi tatapan dan penghayatan kita.

Dalam ilmu tasawuf memang ada konsep ‘insan sempurna’ atau ‘insanul kamil’ yang diketengahkan oleh al-Jili. Dan insan sempurna itu tidak lain daripada Nabi Muhammad s.a.w. Kesempurnaan sebegini tentulah di luar jangkauan kita sebagai manusia biasa tetapi konsep kesempurnaan yang Sri bincangkan ini lebih mendasari perkara-perkara biasa, dan bukan konsep tasawufnya.

Memang dalam kehidupan biasa, seorang bayi dikatakan ‘sempurna’ bila cukup sifatnya. Dan kita juga berkata: dah sempurna orang itu, maknanya hidupnya dah lengkap dan mantap sebagai manusia. Semua ini adalah perkara-perkara yang baik. Yang tak baiknya muncul bila unsur kesempurnaan itu mengaburi penglihatan atau penilaian kita . Dalam ilmu psikologi, dikatakan kita sememangnya tidak sempurna kerana sebagai manusia biasa kita memang ada kelebihan dan kekurangan kita. Cuma manusia itu boleh saja didorong ke arah kebaikan untuk menyempurnakan lagi kehidupannya. Kesempurnaan itu lantas boleh dianggap sebagai suatu proses atau matlamat tapi bukannya suatu keadaan. Bila kita berkata kita dah sempurna dalam erti kata segala kebaikan, kepandaian, keme -wahan dan sebagainya kita miliki, itulah tandanya kita sebenarnya tidak sempurna sebagai manusia.

Konsep kesempurnaan yang seleweng ini boleh saja menyukarkan kita menghadapi kenyataan atau memahami orang lain yang keadaannya berbeza daripada kita. Bayangkan jika anda berhubung dengan seseorang dan titik tolak orang ini ialah diri, keluarga, masyarakat atau negaranya begitu sempurna, dapatkah orang begini benar-benar memahami kekurangan-kekurangan dalam lingkungannya tadi? Yang berlaku nanti adalah semacam penafian: bahawa kerana lingkungan-lingkungan kita itu sempurna, tiada kekurangan yang wujud. Perkara ini jelas tergambar bila Sri menemani seorang kawan dalam tugasnya memberi kaunseling kepada ibu bapa para penagih dadah. Walaupun sejumlah besar menerima kenyataan sebenar mengenai anak mereka, ada juga yang terus-menerus menafikannya. Bagi orang-orang begini, keluarga mereka adalah orang baik-baik lantas perkara buruk itu tak mungkin dilakukan secara waras oleh anak mereka.  Lantas ditudingkan kesalahan pada semua pihak kecuali pihak yang sepatutnya kerana konsep ‘kesempurnaan’ mereka terjejas. Dan masalah sebenar tak akan terhurai.

Dalam hubungan peribadi, bila unsur ‘sempurna’ ini mengembang, akan menguncup pula rasa empati dan simpati kita kepada orang lain. Anda berkata misalnya, keluarga anda ada juga yang berkerenah, dia pula menyampuk, keluarganya semua baik-baik belaka. Tak ada pergaduhan atau berkecil hati dan sebagainya. Walhal kita tahu, tak ada perselisihan bukan bererti semuanya berjalan baik sama juga berselisih faham bukan pula bermakna kita saling membenci. Mungkin pula anda berkongsi mengenai perceraian orang tua anda atau kurangnya pengetahuan agama di kalangan keluarga anda, dia menyebut keluarganya tak ada yang bercerai-berai dan ramai yang warak. Gelagat ‘kesempurnaan’ ini boleh menjadi semacam tabir tebal bila anda menafikan wujudnya masalah-masalah yang dihadapi kawan anda hanya kerana ia bercanggah daripada konsep kesempurnaan tadi. Kerana anda terdidik di sekolah/universiti tertentu, tak pernah berasa peritnya mencari nafkah, tak pernah membuat kesilapan besar dan kehidupan anda seolah-olah sempurna dan mendatar, mereka yang ‘terkeluar ring’ sukar anda fahami atau lebih buruk lagi, tak mahu anda fahami kerana menurut anda, masalah-masalah begini sebenarnya tak wujud.

Arah kesempurnaan kita bermula bukan dengan ‘kesempurnaan’ yang kita miliki dan menafikan segala-segala yang tidak sempurna tetapi bila kita sanggup menerima ‘ketidaksempurnaan’ diri kita dan orang lain serta pandai membezakan yang unggul/ideal dengan kenyataan. Bukan maknanya sempurna bila kita tak ada kekurangan tetapi sempurnanya kita bila kita berani mengatasi kekurangan kita demi mencapai kesempurnaan sebenar.

Ditulis: 12 September 2001
Tajuk Asal: Bertolak Dari Kesempurnaan
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 23 September 2001
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s