Catatan 19 Januari 2017

1. Saya lampirkan ucapan terakhir Michelle Obama sebagai Wanita Pertama Amerika Syarikat untuk renungan kita bersama. Walaupun konteksnya di Amerika, tukar sedikit latarnya dan anda akan dapati apa yang disampaikan beliau tetap boleh dijadikan iktibar kepada kita semua.

Kita tidak perlu bersetuju dengan beberapa dasar dalam dan luar negara Amerika Syarikat pimpinan Barrack Obama tetapi kita maklumi bahawa suara Michelle Obama bukanlah sesuatu yang dibuat-buat atau tidak terbit daripada hati nuraninya.

Saya membesar pada zaman pergolakan dan perang  di Vietnam, Timur Tengah, beberapa pelosok dunia dan juga Perang Dingin. Selain Nabi s.a.w., sahabat serta keluarga terdekat Baginda s.a.w. yang menjadi ikon saya, terdapat juga beberapa orang dari rantau Asia dan luar rantau Asia, yang turut membentuk pemikiran dan pandangan saya. Di Amerika pada tahun-tahun 60-an itu, empat nama yang demikian memainkan peranan- John F. Kennedy, Martin Luther King jr, Malcolm X (Muhammad Shabbaz) dan Robert Kennedy. Keempat-empat terbunuh pada tahun-tahun 60-an itu. Pengaruh pemikiran ini ditambah oleh orang-orang seperti Gandhi, dan kemudian Mandela. Demikian juga saya membaca mengenai Jose Rizal, Raden Atjeng Kartini, Za’ba dan ramai lagi. Saya didedahkan kepada sebilangan hal-hal sebegini melalui perbualan nenek saya, dan kemudian, bapa saya. Dan di rumah ibu bapa saya ketika saya tinggal bersama mereka pada usia 8 tahun, terdapat banyak majalah seperti Life, Time, Reader’s Digest, selain majalah hiburan, jenaka, sains dan sebagainya serta akhbar-akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris yang dilanggani bapa saya untuk kami. Ini meluaskan lagi pemahaman saya dan juga secara tidak langsung, memacu saya untuk membaca mengenai beberapa tokoh dan isu pada zaman-zaman pembesaran itu.

Nenek dan datuk yang membesarkan saya (datuk saya meninggal dunia ketika usia saya 5 tahun) melalui tunjuk-ajar dan teladan mereka  mengingatkan bahawa warna kulit dan keturunan seseorang bukanlah hal-hal yang menjadikannya lebih baik, bijak dan sebagainya. Mereka menyayangi manusia lain tanpa malu terhadap warisan agama, budaya dan keturunan mereka. Mereka yakin pendidikan itu penting dan walaupun saya mungkin menghadapi pelbagai halangan, tiada masalah sebesar mana pun yang boleh menghalang saya mendapatkan pengetahuan, pendidikan dan memaknakan kehidupan saya, demikian natijah tunjuk-ajar mereka.  Ini banyak persamaan dengan tunjuk-ajar bapa saya – orang yang berkelana ke Singapura pada usia 13 tahun dan kemudian menjadi warga Singapura. Beliau tidak menganggap orang-orang dari negara atau keturunan tertentu sahaja boleh berjaya, mengecap hidup yang saksama dan bahagia. Demikian juga beberapa orang lain dalam keluarga berangkai saya yang turut membentuk jati diri dan pandangan saya. Lantas sukar bagi saya menerima orang-orang yang sering melaung-laungkan ‘kebesaran’ puak tertentu sebagaimana yang kini ada juga berlaku di Amerika Syarikat, Eropah dan beberapa tempat. Ia mengingatkan kita kepada zaman Hitler dan golongan Nazinya.

Dalam konteks ini, ucapan Michelle Obama dan perjuangan orang-orang seperti Gandhi, Martin Luther King Jr,  Malcolm X, John F Kennedy, Robert Kennedy, Mandela dan lain-lain begitu bermakna melatar dan mencorak sebahagian perspektif saya.

Seorang seperti Jackie Kennedy Onassis sebagai Wanita Pertama Amerika Syarikat demikian menyentuh hati ramai orang ketika zaman itu dan sesudahnya. Bagi saya, beliaulah di antara segelintir Wanita Pertama Amerika Syarikat yang membawa gaya tertentu dan beliau juga memang seorang yang meminati dunia ilmu, seni dan sastera. Michelle Obama, bagi saya merupakan penerusnya, malah lebih baik lagi kerana beliau memang seorang yang bijak, berhati nurani dan mempunyai rasa kebersamaan yang pejal. Bukan mudah menegakkan jati diri di tengah-tengah cemuhan atau belajar memperkasakan diri bila orang sering merendahkan anda kerana latar belakang hidup dan keturunan anda atau belajar untuk berharapan berdepankan pelbagai desakan, halangan dan tohmahan. Saya tabik kepada seorang seperti Michelle Obama yang berani melangkaui keterbatasannya, mengetepikan rasa kebencian dan cemuhan demi sesuatu yang lebih luhur – masa depan anak-anak kita dan manusia lainnya – di mana pun kita berada dan apa pun bangsa, agama dan negara kita.

Tidak semua Wanita Pertama atau isteri seorang presiden, perdana menteri, menteri dan sebagainya mudah kita pandang tinggi, seenaknya. Ada yang memainkan peranan bagaikan boneka, ada yang mengaibkan dan menyalahgunakan kuasa yang diberi pasangan mereka dan ada pula membuat kita hormat kepada mereka. Semoga mesej Michelle Obama dalam lampiran di atas membuat kita berfikir dan bertindak sewajarnya, walaupun kita bukan lagi anak muda sebagaimana ditujukan sebahagian besar ucapannya.

Kerana akhirnya, kita juga mahu memercupkan harapan di tengah-tengah dunia yang seakan semakin tidak menentu dengan orang-orang yang berfikiran tertentu dan menggusarkan kita, di pucuk pimpinan tertinggi dunia. Dan kita dan negara kita yang kecil ini bagai disempadani hal-hal yang semakin bercelaru kerana gelombang-gelombang di luar jangkauan kita. Namun, ucapan Michelle Obama ini akan sering mengingatkan kita agar jangan berputus asa untuk melihat kecerahan, walaupun terowong dunia kini bagai diselubungi pelbagai anasir yang cuba menghilangkan kecerahan tadi.

2. Tahun baharu masih terasa kerana di Singapura dan rantau ini terutamanya, kesibukan menyambut Tahun Baharu Cina begitu ketara. Seperti sambutan Krismas yang baru berlalu, kita yang tidak menyambutnya juga turut sibuk kerana harus membeli barang-barang keperluan harian bersebabkan sebilangan kedai akan tutup. Dan ada juga yang akan bercuti panjang sempena Tahun Baharu Cina ini. Selain itu, mungkin anda seperti saya, masih mengirim kad-kad ucap ‘Selamat Tahun Baharu Cina’ kepada rakan-rakan anda atau membeli kuih untuk dihadiahkan kepada mereka. Inilah sebilangan amalan kita sejak dahulu – bersama menyambut hari kebesaran masing-masing kerana kita turut dipayungi hasrat yang sama untuk saling mengecap bahagia dan sejahtera, walaupun kita berbeza agama, bangsa dan negara.

3. Seorang kawan dari Malaysia memberitahu saya bahawa pengarah filem ‘Hanyut’ (U Wei Hj Shaari) yang didasarkan daripada novel Almayer’s Folly karya Joseph Conrad (terjemahan bahasa Melayunya yang di usahakan ITBM dinamakan Kemudi) dan beberapa orang akan membincangkan mengenai filem dan novel ini di Kuala Lumpur pada Sabtu ini (21 Januari 2017). Saya beritahu kawan saya itu, saya ada menulis mengenai Almayer’s Folly pada tahun 1980-an dahulu, semasa bertugas di Negara Brunei Darussalam. Tulisan saya bukanlah tulisan ilmiah tetapi ia merupakan sedikit pandangan saya mengenai novel tersebut dan hal-hal yang berkaitan dengannya. Kawan saya meminta saya merakamkan tulisan saya itu dan menghantarkan kepadanya melalui whatsapp. Saya beritahunya saya akan memasukkan esei tersebut, yang diterbitkan oleh Berita Minggu (Singapura) pada 1989 dalam 2 atau 3 keluaran, dengan tajuk-tajuk berlainan. Lantas, saya masukkan esei tersebut dalam masukan blog kali ini.

4. Anak-anak dan cucu-cucu kita baru memulakan persekolahan mereka. Banyak yang menggusarkan mereka dan kita dan banyak pula yang perlu kita ketahui, fahami dan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk kebaikan dan pembangunan mereka. Zaman ini amat mencabar untuk membesarkan anak dan sama mencabar untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan bukan setakat informasi sahaja. Mudah-mudahan kita akan tabah menghadapi apa pun kesukaran yang dihadapi – baik sebagai pelajar, ibu bapa, guru dan mereka yang terlibat dalam pembangunan dan pendidikan anak-anak kita.

Berbeza dengan zaman saya, kini terdapat pelbagai lowongan untuk mendapatkan pendidikan. Zaman saya cuma ada satu politeknik, Politeknik Singapura, dan universiti yang tersohor, Universiti Singapura, walaupun ada sebuah lagi universiti, Universiti Nanyang (Nantah) yang dianggap tidak sesohor Universiti Singapura ketika itu. Mereka yang meneruskan pelajaran ke peringkat tinggi tidak ramai dan yang masuk ke universiti, paling ramai sekitar 4 peratus kohort mereka pada tahun-tahun sehingga akhir 70-an dahulu.

Kini, keadaannya amat berbeza. Banyak peluang pendidikan disediakan dan kita sebagai pelajar, orang tua, guru dan mereka yang terlibat dengan hal-hal sebegini, perlu memikirkan dengan mendalam laluan-laluan pendidikan yang harus ditempuh, dengan wajar dan saksama.

Tidak semua kita kaya raya dan boleh menghantar anak ke luar negara jika mereka tidak dapat meneruskan pelajaran mereka di Singapura tetapi setiap kita ada ‘kekayaan’ mengambil berat, menyayangi, membantu dan memudahkan anak-anak kita meneruskan pembelajaran mereka. Demikian juga anak-anak tersebut – tak semua boleh datang bergolek melainkan kita berusaha dengan tekun, tahu makna menumpukan perhatian dan tidak mudah digoda kesenangan sementara dan jangka pendek. Bak kata pepatah: ‘Perjalanan seribu batu bermula dengan tapak yang satu.’

5. Beberapa orang yang saya kenal resah kerana ekonomi yang tidak menentu. Ini menjejas kehidupan mereka. Dan saya sedih membaca para pemandu teksi kita terpaksa lebih giat bersaing dengan pemain-pemain baharu – kereta-kereta yang menyertai Grab dan Uber. Perkara ini mudah-mudahan dihuraikan dengan saksama kerana anda tidak akan tahu apa ertinya terjejas mata pencarian kerana hal-hal sebegini atau diberhentikan kerja, melainkan anda atau orang yang anda sayangi mengalaminya. Saya yakin ada penyelesaian menang-menang (win-win) jika pihak-pihak tertentu berlapang dada dan benar-benar cuma menyelesai dan menyelesakan pihak-pihak yang terbabit dengan adil dan saksama. Keuntungan itu penting dalam perniagaan tapi apalah ertinya kalau sebilangan orang begitu terjejas kehidupan mereka kerana keuntungan yang diraih beberapa pihak tetapi bukan si pemandu teksi biasa.

6. Mereka yang berniaga dan masih bekerja juga sedikit gusar kerana jumlah pelanggan merosot dan kerja pula semakin bertambah. Selain itu, ada orang-orang yang kita kenal semakin tak terlarat, walaupun tetap tekun dan ngotot semasa menjalankan tugas masing-masing. Kita terpaksalah lebih tabah, sabar, memperkasakan diri dengan ilmu dan kemahiran, belajar bertenang dan yakin bahawa apa pun, betapa sukar sekali pun, ada hikmahnya. Memang tidak mudah menghadami ini dalam keadaan ekonomi dan dunia sekarang tetapi dalam lingkungan kecil kita, masih banyak hal yang boleh kita perbaiki, kawal dan rancangkan sebaiknya.

7. Semoga kita lebih tabah menghadapi apa pun cabaran dan dugaan kehidupan serta yakin, selagi kita bersungguh-sungguh berusaha, walaupun dihambat halangan dan lambat tercapai, ranumnya ketenangan, kebahagiaan dan keberkatan kehidupan itu tetap akan kita kecapi, insya-Allah.

Harapan kita mudah-mudahan sentiasa  dipercik dan diobori agar kita jangan mati semangat, putus asa dan hilang kekuatan hidup kita – apa pun yang kita hadapi. Nabi s.a.w. mengajar kita untuk tidak berputus harap daripada rahmat Allah. Dan sebagai manusia biasa, baik beragama Islam atau beragama lain, kita tahu harapan yang saksama itu boleh mempelitai segala kesukaran yang kita alami kini. Betapa benar kata Shakespeare: ‘Hope springs eternal in the human breast’.

Semoga harapan, kesungguhan dan tawakal kita akan membantu kita melayari tahun 2017 dan seterusnya dengan sebaiknya dan membolehkan kita melihat pemandangan di sekitar pelayaran kita dengan mata yang lebih syukur dan sabar akan anugerah kehidupan yang masih kita miliki ini, insya-Allah.

Salam
Rasiah Halil
19 Januari 2017.

Leave a comment