Jadilah Seperti Burung Phoenix

gs2

Sejak kebelakangan ini terdengar beberapa seruan agar kita sebagai masyarakat berani menghadapi risiko. Perkara ini dijangkakan penting kerana senario dunia dan kehidupan demikian cepat berubah dan banyak disaluti unsur risiko ini. Kita yang tidak tahu menahu akan jauh terpinggir jika kita enggan memikirkan hal ini semasak-masaknya.

Sebenarnya berani menghadapi risiko bukanlah sesuatu yang baharu bagi masyarakat kita mahupun masyarakat dunia. Tanpa berani menghadapi risiko sudah tentu sesebuah masyarakat itu pupus. Dan apa pun kejayaan kita sebagai individu mahupun anggota masyarakat tidak akan tercapai. Sri yakin anda pasti tahu banyak kisah mengenai orang dulu-dulu yang banyak menempah risiko. Ada di kalangan ibu bapa atau datuk nenek kita berasal dari daerah lain di rantau ini atau di luar rantau ini. Risikonya tinggi untuk meninggalkan tanah air sendiri maklumlah peribahasa kita sudah menegaskan: ‘Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri’.

Tapi mereka berani meninggalkan semuanya untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik untuk diri dan keluarga mereka. Ada itu terpaksa berjualan, membuat beberapa kerja sambilan dan berani menceburi beberapa bidang kehidupan yang tak pernah pun difikirkan oleh keluarga mereka – semuanya membuktikan bila terdesak kita boleh dan berani menghadapi risiko demi kesejahteraan semua yang kita cinta.

Tapi risiko yang dihadapi oleh masyarakat semasa sedikit berbeza walaupun intinya tetap sama. Dunia kita sudah seolah-olah tak bersempadan dan bakat boleh saja didapatkan di mana pelosok dunia. Kalau kita jual nasi padang, orang lain pun boleh jual asal dia tahu bahan-bahan untuk membuat nasi padang. Demikian juga dengan sebahagian besar rencah kehidupan kita. Sebab itu, Sri rasa, kita terpaksa melihat senario baharu ini dengan mata dan fikiran terbuka. Kerana tanpa berbuat begitu akan hanya merugikan kita.

Apakah risiko ini ? Risiko adalah sesuatu yang boleh menimbulkan kesukaran tapi boleh juga membawa kemanfaatan yang lebih bagi kita. Ia ada sedikit persamaan dengan ‘kos melepas’ (istilah ekonominya: opportunity cost) iaitu mengerjakan sesuatu bererti anda tidak dapat mengerjakan yang lain; misalnya bila anda menuntut sepenuh masa bererti anda menghilangkan peluang anda mendapat gaji sepenuh  masa. Banyak pilihan hidup terpaksa anda fikirkan risiko dan kos melepasnya. Tapi seperti kata kawan Sri, dalam hidup mana ada semuanya senang?

Masa kecil-kecil belajar mengaji dulu, risiko belajar pun ‘hebat’ sebab boleh dirotan guru ngaji bila benak sangat tapi risiko tak belajar lebih ‘terror’: anda mungkin buta huruf sepanjang hayat, nanti alif, seperti kata P.Ramlee, anda sangka batang kayu. Risiko juga boleh jadi semacam mangkin untuk memacu kita melakukan yang terbaik untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara kita. Dan ia tidak semestinya berhubung dengan soal wang sahaja.

Sri ingat dulu kisah bapa Sri. Bapa Sri datang ke Singapura pada usia 13 tahun. Beliau ini, seperti istilah sekarang adalah ‘bakat asing’. Tapi bakatnya terletak pada keyakinan pada diri, usaha sungguh-sungguh, berani menghadapi risiko dan keyakinannya bahawa rezeki itu di tangan Allah, walaupun secara formal bapa Sri tidaklah berpelajaran tinggi.  Banyak cabaran yang beliau hadapi, termasuk ditipu orang dan lain-lain tapi akhirnya beliau berjaya dalam bidang perniagaannya. Demikian juga beberapa orang yang kita kenali. Seandainya mereka tidak mahu menghadapi risiko, berani mencuba, berani gagal, takkan ada kejayaan yang mereka tempah.

Kata Albert Einstein: orang yang tidak pernah berbuat kesilapan, tidak pernah mencuba sesuatu yang baharu. Berani menghadapi risiko bererti kita akan sekali sekala melakukan kesilapan. Tapi kesilapan begini, dalam istilah pengurusan disebut  sebagai risiko yang telah difikirkan (calculated risks). Ia tidak bermaksud kita melakukan sembarangan dan tanpa tanggungjawab.

Ada orang menempah risiko tapi yang ditempah sekadar manfaat sampingannya (fringe benefits)nya: mahukan segala kemudahan tapi yang sukar seperti menampung keperluan keluarga dan soal sandang pangan, biar orang lain yang tanggung. Ini bagi Sri bukanlah berani menghadapi risiko, tapi sekadar berani berlagak atau berani berangan-angan saja. Tanpa tanggungjawab, risiko yang berani kita cubai bagaikan percubaan penggodam komputer saja; ia memanfaatkan di satu pihak tapi merosakkan bagi khalayak terbanyak.

Dalam dunia yang serba canggih, keberanian kita mencuba yang baharu atau melihat dari perspektif yang baharu, berani menghadapi risiko dan berani gagal adalah perkara-perkara yang penting. Ketika syarikat-syarikat ‘dot.com’ bak cendawan, kita yang masih mempunyai mentaliti gaji bulanan (pay check mentality) dan setakat berenang di kolam kecil mungkin akan hilang tempat berenang.

Sesekali kita harus berani menempah risiko, berani gagal, dan bagai burung phoenix, berani bangun di atas segala kegagalan untuk terbang ke ufuk kejayaan. Sesekali kita harus juga keluar dari kolam kecil keselesaan untuk berenang di sungai, laut dan lautan ketidaktentuan kerana kadangkala hanya menempah risiko begini, jati diri kita akan terus utuh dan insya-Allah berkembang.

Ditulis: 8 Mac 2000
Tajuk Asal: Risiko Dan Tanggungjawab
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 12 Mac 2000
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s