Jangan Terlalu Takjub Dengan Pencapaian Masyarakat

g3

Anda tentu, seperti Sri, berasa bangga dengan pencapaian pelajaran anggota masyarakat kita setiap kali berita ini kita dengar, baca atau maklumi. Rasa bangga ini mungkin juga terbetik kerana kita yakin pencapaian anak-anak kita tadi memudahkan orang lain untuk meningkatkan lagi pencapaian mereka dalam bidang tersebut kerana jalan-jalan ke arah itu telah pun direntasi.

Namun, ada juga orang berasa begitu takjub dengan segala pencapaian itu bukan takjub yang positif tetapi sebaliknya. Orang-orang begini beranggapan adalah mustahil anak-anak kita boleh maju dalam satu-satu bidang, terutama bidang yang dianggap asing dalam masyarakat kita. Dan kadangkala rasa kemustahilan ini terbawa-bawa dan kita menghubungkaitkan pencapaian tersebut dengan perkara-perkara yang tiada kena mengena dengan pencapaian tadi; anda tentu lebih maklum, tak perlulah Sri memberi contoh, kerana ada ‘fakta’nya begitu peka.

Sri rasa, setiap kali kita terlalu takjub atau rasa kemustahilan kita begitu menebal terhadap pencapaian yang dianggap luar biasa, kita sebenarnya bersetuju dengan beberapa stereotaip yang dikaitkan dengan masyarakat kita. Perkara stereotaip dan orang-orang yang telah memecahkan stereotaip ini pernah Sri sentuh dalam ruangan ini lebih tiga tahun yang lalu. Bila kita dikaburi oleh beberapa stereotaip terhadap pencapaian masyarakat atau diri kita, besar kemungkinan pencapaian sebenar kita akan terbantut.

Kita mungkin tidak mahu bertekun dalam satu-satu bidang kerana mengganggap ia di luar stereotaip tadi atau sebaliknya, kita menjadi terlalu berbangga dengan sedikit pencapaian kerana menganggap diri kita istimewa kerana telah terkeluar dari stereotaip itu. Kedua-dua gambaran ini sebenarnya menunjukkan betapa berjayanya stereotaip tadi meruangi jiwa kita; bak kata penyair Usman Awang, kita ‘berjiwa hamba’.

Beberapa orang yang Sri kenal memang tidak setuju dengan kedua gambaran ekstrem ini; mereka yakin sesiapa pun (kecuali mereka yang dilanda masalah mental) boleh berjaya dalam bidangnya jika dia bersungguh-sungguh, mendapat peluang mengembangkan bakatnya serta mendapat sokongan pihak-pihak tertentu, misalnya keluarga atau seumpama itu. Kalau lingkungannya tidak menyokong, dia tidak mahu bertekun, atau dia tidak diberi peluang mengembangkan bakatnya, walaupun berkebolehan, bagaimana mungkin dia mencecah pencapaian tadi? Lantas, kata orang-orang yang Sri kenal ini, tidak mustahil ada anggota masyarakat kita nanti menjadi angkasawan, saintis tersohor, seniman berbobot dan sebagainya. Yang penting, ‘prasarana’ tadi diada dan dipertingkatkan, kalau kita benar-benar mahu melihat apa pun pencapaian.

Pencapaian dalam bidang-bidang yang memanfaatkan masyarakat tentunya harus kita galakkan dan membanggakan kita. Mencintai ilmu pengetahuan itu penting, dan ini tidak terbatas kepada mendapatkan sijil dan ijazah formal sahaja. Tetapi kini timbul pula semacam trend dalam masyarakat kita yang kurang menyenangkan. Ada yang terkejar-kejar sijil atau ijazah tetapi kecintaannya kepada ilmu pengetahuan itu amat sedikit atau tiada. Ada yang sanggup melakukan apa saja, termasuk di luar batas etika atau akademik, demi mendapatkan kelulusan ini. Apa yang Sri dengar dari luar negara misalnya, orang membeli ijazah atau membayar orang lain untuk menulis latihan ilmiah atau tesisnya, dan proses mendapatkan kelulusan itu lebih menjadikannya ‘berjiwa hamba’ dan bagaikan burung kakak tua, kini menyusup juga dalam masyarakat kita. Adakah sebilangan kita hanya mengejar ‘bentuk’ dan terlupakan ‘isi’ sesebuah ilmu pengetahuan itu?

Satu lagi trend yang kurang menyenangkan beberapa orang ialah perkaitan unsur-unsur pembaharuan (inovasi) dan keusahawanan dengan nilai-nilai perdagangan sahaja. Dan ini kadangkala diajar juga di sekolah-sekolah kita. Bukannya salah menanamkan nilai-nilai pembaharuan dan keusahawanan ini dalam diri pelajar-pelajar kita tetapi jika segala-galanya kita halakan kepada matlamat komersial, pakai nampak akan benarlah pandangan umum bahawa kita (orang Singapura) hanya pandai menganut ‘falsafah kaum pedagang’. Unsur-unsur pembaharuan dan keusahawanan itu boleh juga kita juruskan pada bidang-bidang yang lain, misalnya dalam menangani hal-hal kebajikan, sosial, menjaga persekitaran, membina perhubungan di antara kaum dan lain-lain.

Dan bukankah penting juga selain sering menjurus ke arah komersial, anak-anak kita benar-benar dikembangkan potensinya, digilap minatnya dan dikukuhkan peribadinya untuk berani mencuba, berani gagal dalam percubaannya dan masyarakat kita juga lebih terbuka dalam percubaan dan kegagalan tadi? Untuk itu, minda kita harus dibuka lebih luas dan pemahaman kita mengenai pembangunan manusia juga perlu diperluaskan. Lantas kita akan lebih mudah menerima pelajar atau manusia lain seadanya dan yakin, jika diberi ‘prasarana’ yang mencukupi, anak-anak kita boleh membina kekuatan dan pencapaian dalam apa pun bidang pilihan mereka.

Menurut Dr Charles Handy, pakar ekonomi dan pengurusan, kerjaya abad ke 21 ini lebih tertumpu kepada kerjaya sambilan atau kontrak, berbeza daripada zaman bapa atau ibu kita. Ini bermakna, anak-anak kita seharusnya mendapat pendidikan asas dan etika yang baik, ditanamkan dengan nilai-nilai seperti mencintai ilmu, kesungguhan dalam sesuatu bidang pilihannya, keanjalan (flexibility) dalam menghadapi cabaran, minda yang lebih terbuka, berani mencuba, berani gagal dan sebagainya. Demikian juga masyarakat di sekelilingnya.

Dengan beberapa asas yang baik, pencapaian dalam bidang akademik atau apa pun bidang pilihan yang memanfaatkan pasti boleh dalam genggaman mereka. Dan stereotaip-stereotaip mengenai sesuatu masyarakat atau mereka yang sanggup ‘berjiwa hamba’ demi mendapatkan apa yang dianggap ‘pencapaian’ mungkin juga akan pudar bersama masa.

Ditulis: 20-21 Julai 2004
Tajuk Asal: Memeta Pencapaian Kita
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 25 Julai 2004
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s