Joseph Conrad Dan Dunia Melayu Dalam Almayer’s Folly

jc-ajc-1jc-8

jc-6jc-3jc-5

Latar Belakang Joseph Conrad

 Josef Teodor Konrad Korzeniowski ataupun Joseph Conrad dilahirkan pada 3 Disember 1857 di Poland. Anak kepada seorang aktivis politik, penulis dan penterjemah, ayahnya telah ditangkap oleh kerajaan Rusia kerana kegiatan politiknya. Mereka sekeluarga terbuang di daerah terpencil di Rusia; ibunya meninggal dunia dan kemudian diikuti oleh bapanya. Conrad yang piatu dalam usia terlalu muda telah dibesarkan oleh bapa saudaranya.

Beliau telah lama meminati dunia pelayaran tetapi cita-cita ini tidak dikabulkan oleh bapa saudaranya. Hanya setelah berlaku beberapa peristiwa di Eropah (termasuk percubaan Conrad membunuh diri) barulah Conrad dibenarkan menjadi seorang pelaut di England.

Conrad fasih berbahasa Poland, Rusia dan Perancis; bahasa Inggeris hanya dipelajari setelah dia sampai ke England pada usia dewasa. Hanya pembacaannya yang luas dan kesungguhannya mempelajari bahasa tersebut menjadikan beliau penulis ‘Inggeris’ yang baik. Dari segi pengaruh, beliau lebih terpengaruh dengan kesusasteraan Perancis yang ternyata lebih kaya ketika itu. Dua orang penulis Perancis yang banyak mempengaruhi beliau ialah Flaubert dan Maupassant.

Seorang pengkritik yang berwibawa, F.R.Leavis, dalam bukunya, The Great Tradition telah mengangkat Conrad sebagai salah seorang novelis Inggeris yang terbaik, setanding dengan George Elliot, Henry James dan Jane Austen. Malah, menurut Leavis lagi, Conrad boleh dianggap sebagai salah seorang penulis terbaik dalam bahasa Inggeris, mahupun bahasa-bahasa yang lain (Leavis, hal. 257).

Seorang lagi pengkritik, Edward Said, dalam bukunya The World, The Text And The Critic, menganggap bahawa sejarah peribadinya telah membuat Conrad begitu peka terhadap dunia laut dan juga dunia kepengarangan (Said, hal. 100). Conrad seolah-olah ditarik oleh kedua-dua dunia ini: dunia laut yang ngeri, sepi tapi penuh dengan unsur advencer, misteri dan keindahan dan dunia kepengarangan yang dapat merakamkan segala yang eksotik, menawan tapi sering menimbulkan kecurigaannya terhadap kebolehan dan bakatnya. Hanya setelah mencipta novelnya yang kedua, An Outcast Of The Islands (1896) barulah Conrad meninggalkan kerjayanya sebagai pelaut untuk menjadi  pengarang sepenuh masa. Setelah novelnya, Chance, terbit pada 1913, barulah Conrad mendapat kejayaan yang besar dalam bidang penulisan, setelah melalui berbagai kesukaran.

Menurut Edward Said, watak-watak Conrad selalunya memiliki sesuatu yang ingin diketahui umum: sama ada kerana sesuatu rahsia atau watak ini memang terkenal di khalayak ramai (Said, hal. 102). Protagonisnya sering pula didapati dalam keadaan terasing, runcing dan ekstrem terhadap keunggulan yang diperjuangkan, impian hidup dan sebagainya. Lantas watak-wataknya seringkali digambarkan menghadapi berbagai cabaran dalam kehidupan. Cabaran dan pergelutan hidup ini mungkin ditimbulkan oleh kehadiran orang lain, alam sekitar ataupun hati nurani watak-wataknya.

Penilaian terakhir kita terhadap novel-novel Conrad akan menjelaskan betapa sederhana idea-idea yang cuba beliau kemukakan dalam karya-karyanya. Kesederhanaan idea-ideanya yang dilukis dengan latar, peristiwa, watak dan teknik yang menarik sering menimbulkan suatu panorama yang indah tentang manusia dan kehidupan. Novelnya, Nostromo, misalnya, dianggap sebagai ‘karya agung’ (masterpiece) setanding dengan karya agung Leo Tolstoy, War And Peace. Nilai-nilai atau idea-idea sederhana yang sering beliau sisipkan dalam karya-karyanya ialah mengenai keberanian/keluhuran, kesetiaan dan disiplin, yang Conrad anggap amat penting dalam menjalani kehidupan.

Karya-Karya Joseph Conrad

Joseph Conrad telah melahirkan berbelas buah novel, berpuluh cerpen, dua jilid catatan kenangan dan berpuluh-puluh esei dan kritikan dalam bahasa Inggeris. Karya-karyanya sering mengambil latar dari dunia laut yang berpusar di daerah-daerah Afrika dan Kepulauan Melayu. Di antara karya-karyanya termasuklah:

  1. Almayer’s Folly –  terbit 1895
  2. An Outcast of the Islands –  terbit 1896
  3. Heart of Darkness –  terbit 1899
  4. Lord Jim –  terbit 1900
  5. Nostromo –  terbit 1904
  6. The Secret Agent –  terbit 1907
  7. Under Western Eyes –  terbit 1911
  8. Chance –  terbit 1913
  9. Victory –  terbit 1915
  10. The Rescue –  terbit 1920

Sedikit Huraian Mengenai Novel Almayer’s Folly

 Almayer’s Folly adalah novel pertama tulisan Conrad. Ia didasarkan daripada watak seorang peniaga berbangsa kacukan Belanda, Charles Olmeijer, yang ditemuinya di daerah sungai Berau, Borneo Timur (Ian Watt, Conrad, hal. 34). Novel ini ditulis ketika beliau berusia 32 tahun (1889), disiapkan pada tahun 1894 dan diterbitkan ketika Conrad berusia 38 tahun. Berbagai masalah terpaksa dihadapi oleh Conrad sebelum manuskrip ini dapat diterbitkan; ia hampir musnah dan hilang di Congo dan Berlin dan Conrad sendiri terganggu kesihatannya setelah pelayaran ke Congo. Namun usaha yang dilakukan semasa waktu lapang dalam pelayaran ini mendapat sambutan yang menggalakkan terutama daripada penulis-penulis penting ketika itu seperti Henry James, H.G.Wells dan Ford Madox Ford. Mungkin kerana pendedahan watak-watak Timur dan adanya unsur-unsur eksotik serta advencer dari daerah yang jarang diketahui masyarakat Barat menimbulkan semacam kelianan dalam novel Conrad.

Kisah Pulau Borneo Dan Almayer

Pulau Borneo belum dikenali umum pada akhir abad ke 19 dan jarang pula pertembungan budaya Barat dan Timur (Melayu) diketengahkan dalam novel Inggeris. Bahawa Conrad banyak mengambil ilham dan watak-wataknya daripada orang-orang dan kejadian-kejadian sebenar membuat novel sulungnya lebih meyakinkan. Ini ditambahi pula dengan penyisipan kekata Melayu dan pelukisan cara hidup Melayu yang walaupun tidak seratus peratus tepat, tetap membuat pembaca Inggerisnya mudah menerima penceritaannya.

Dalam Almayer’s Folly, protagonisnya, Olmeijer, seorang kacukan Belanda, telah ditukar namanya kepada Kaspar Almayer, seorang berbangsa Belanda yang dibesarkan di Buitenzorg (Bogor). Almayer bekerja sebagai kerani di pelabuhan Makassar dan menjadi cita-citanya untuk mencari sebanyak mungkin kekayaan yang dipercayai terdapat di daerah Timur.

Cita-cita inilah yang menjadi punca tragedi hidupnya. Almayer bertemu dengan Lingard, seorang peniaga berbangsa Inggeris yang digelar ‘Rajah Laut’. Seperti Almayer, Lingard juga mempunyai impian yang sama dan dia telah lama meneruskan perdagangannya di daerah Borneo. Lingard mengajak Almayer bekerja dengannya dan menjanjikan segala hartanya untuk Almayer dengan syarat Almayer mengahwini anak angkatnya, seorang gadis berbangsa Sulu. Gadis ini ditemui semasa bertempur dengan ‘lanun-lanun’ Sulu dan Lingard telah menyekolahkannya di sebuah konvent di Surabaya. Almayer yang diumpan kekayaan, menyetujui cadangan Lingard dan berpindah ke Sambir, sebuah perkampungan di tepi sungai di daerah Borneo.

Rumah tangga yang diasaskan oleh kepentingan kebendaan dan bukan kasih sayang dan persefahaman tentunya sukar melahirkan kebahagiaan, demikianlah rumah tangga Almayer. Dia tidak menyintai isterinya, lebih-lebih lagi isterinya adalah seorang wanita Timur, walau kini telah dipaksa mengikut kepercayaan agama Kristian. Si isteri pula tidak pernah memaafkan bapa angkatnya yang membunuh kaum kerabatnya, ‘lanun-lanun’ Sulu, memaksa dia mendapat pendidikan Barat dan mengahwinkannya dengan ‘orang Blanda’ yang menjadi musuh bangsanya. Keadaan Almayer semakin diburukkan lagi di Sambir dengan adanya persaingan perdagangan daripada orang-orang tempatan dan Arab yang tidak mahu menerima kehadirannya.

Perniagaan Lingard tidak semaju yang disangka dan Almayer terpaksa menguruskan semua kerja perdagangannya apabila Lingard meninggalkannya menuju ke pedalaman Borneo untuk mencari harta yang dijangka tersembunyi. Semakin merosot perdagangan Almayer dengan ketiadaan Lingard kerana Almayer, tidak seperti Lingard, tidak berwatak tegas dan kurang dihormati oleh masyarakat sekelilingnya. Namun Almayer tetap memanjatkan harapan bahawa keadaan hidupnya akan berubah apabila Lingard pulang nanti membawa harta yang diimpikan. Untuk menanti perubahan nasibnya, Almayer telah membina sebuah rumah besar, walaupun rumah ini tidak dibina secara sempurna keseluruhannya. Rumah ini, secara simbolik, digelar ‘Almayer’s Folly’ iaitu gambaran obsesi dan kegilaan Almayer terhadap impiannya untuk mengumpulkan harta sebanyak-banyaknya tanpa dapat melihat kenyataan-kenyataan hidup yang sebegitu jelas terpampang di depan matanya.

Almayer Dan Anaknya Nina

Manusia yang dibelenggu impian dan keadaan hidupnya ini hanya mempunyai satu-satu tempat harapan masa depan dan satu-satu hubungan dengan manusia lain yang bermakna bagi hidupnya: anaknya, Nina. Dia yakin, jika Lingard berjaya dalam ekspedisinya, Almayer dapat membawa anaknya keluar dari daerah terpencil ini dan hidup bahagia di Belanda. Impian kedua inilah menderanya untuk bekerja keras walau dalam keadaan yang amat mengecewakan. Tetapi Lingard pulang tanpa membawa sebarang harta; impian pertama Almayer musnah dan lebih hancur hatinya apabila Lingard memaksa persetujuan Almayer membenarkannya membawa Nina yang masih kecil itu ke Singapura untuk dididik secara Barat. Almayer menjalani hidup yang begitu gelap tanpa satu-satu manusia yang disayanginya.

Nina pulang ke Sambir setelah remaja, seorang gadis kacukan yang cantik dan memikat hati ramai pemuda dan digelar ‘Mem Putih’. Dia yang telah dididik secara Barat dan berayahkan orang Barat, masih tetap dianggap bermartabat rendah oleh orang-orang Barat tulen, seperti Mrs. Vinck, wanita yang menjaganya di Singapura. Dalam zaman kekuasaan penjajahan itu, orang-orang kacukan sentiasa dipandang dengan curiga dan sedikit rasa kebencian kerana mereka adalah lambang pertembungan dua budaya dan bangsa yang tidak diinginkan. Nina terperangkap dalam dua jenis kesetiaan yang berberantakan: kepada ayahnya dan budaya Barat yang mencemuhnya dan kepada ibunya dan budaya Timur yang tidak sepenuhnya menerimanya. Keluarganya sendiri, dengan ketegangan yang amat ketara di antara ayah dan ibunya, tidak memberi sebarang perlindungan bagi gadis kacukan ini. Almayer, walaupun amat sayang kepada Nina, tidak pandai berterus-terang terhadap anaknya sedangkan Puan Almayer (tidak diberi nama Melayunya) sering pula menghasut Nina agar membenci orang-orang Barat.

Masalah terbesar Almayer ialah kegagalannya berterus-terang mengenai rancangan masa depannya untuk Nina dan dirinya. Dan lebih daripada itu, Almayer gagal menangkis kesangsian Nina terhadap orang-orang Barat khususnya dirinya; bahawa walaupun dia orang Barat, penilaiannya terhadap Nina adalah berbeza daripada tanggapan Mrs. Vinck atau orang-orang Barat yang lain. Kerana gagalan ini dan juga penerimaan yang lebih ketara di kalangan orang-orang Melayu serta pengaruh ibunya, Nina lebih cenderung kepada cara hidup dan dunia Melayu warisannya.

Dain Maroola Dan Rancangannya

Novel ini bertambah lancar penceritaannya dengan munculnya watak Dain Maroola, seorang peniaga (putera Raja Bali) ke Sambir. Dain bekerjasama dengan Almayer dan bersetuju membuat ekspedisi ke pedalaman Borneo untuk mecari harta, seperti yang pernah dilakukan oleh Lingard. Ekspedisi Dain ini memberi secarik harapan kepada Almayer kerana dia percaya bahawa akhirnya belenggu masalah yang mengikat dia dan Nina di Sambir akan menemui ke penghujungnya.

Sekali lagi Almayer ditipu oleh rencananya. Dain tidak membawa harta, sebaliknya menjadi buruan pihak Belanda kerana telah membunuh 2 orang pegawai Belanda semasa bertembung di laut. Dan Dain, yang pulang ke Sambir secara rahsia dan dibantu oleh ibu Nina dan beberapa orang tempatan, hanya akan meninggalkan Sambir jika Nina mengikutinya. Hubungan cinta Dain-Nina ini tidak diketahui oleh Almayer dan telah digalakkan oleh Puan Almayer. Nina pula, walaupun tetap menyayangi ayahnya, terpaksa mengikut Dain demi menyelamatkannya dari buruan Belanda.

Terbukanya rahsia percintaan Nina-Dain ini memeranjatkan Almayer dan rancangan Nina untuk meninggalkan Sambir menghancur-luluhkan hati ayahnya. Babak pertemuan terakhir di antara anak dan ayah amat menyayat hati pembaca; di sinilah kita ketahui mengapa Nina memilih warisan Melayunya dan memilih Dain, orang Melayu, sebagai teman hidupnya, walaupun Almayer tetap dicintainya.

Tragedi Almayer

Dalam kegelapan malam, Almayer sendiri mengayuh dan melepaskan anaknya dan Dain ke laut, jauh dari buruan orang Belanda. Usahanya untuk melupakan Nina gagal dan lebih setahun setelah Nina meninggalkannya, Almayer kehilangan fikiran dan kemudian mati. Terputusnya hubungan Almayer dengan satu-satu manusia yang disayanginya sesungguhnya adalah suatu tragedi yang lebih besar daripada tragedinya mengasas dan mengarahkan kehidupannya demi pengumpulan harta sahaja. Demikianlah tragedi Kaspar Almayer dalam novel Almayer’s Folly.

Beberapa Cetusan Fikiran Daripada Almayer’s Folly

Pertembungan Dunia Timur Dan Barat

Conrad berjaya mengenengahkan watak-watak Melayu dan dunia Melayu dalam novel sulungnya. Walaupun cara hidup Melayu gambarannya tidak seluruhnya sahih, seperti sanggahan Hugh Clifford, namun ia tetap memberi kita secebis gambaran masyarakat Melayu dalam pertembungan mereka dengan orang-orang Barat pada abad ke 19 itu. Ternyata orang-orang Barat, seperti Lingard dan Almayer walau pada mulanya mempunyai kuasa monopoli dalam perdagangan, masih tetap tidak diterima oleh orang-orang Timur, dalam novel ini, orang-orang Sambir. Dan orang-orang Barat sendiri tidak dapat menerima orang-orang Timur, walaupun mereka berdarah kacukan seperti tindakan Mrs. Vinck terhadap Nina. Kesukaran Almayer menerima isterinya, orang Melayu, dan masyarakat Melayu di daerah Sambir dan keengganan isterinya dan masyarakat Melayu menerimanya seolah-olah menunjukkan bahawa tiada pertembungan di antara kedua-dua bangsa dan budaya ini, lebih-lebih lagi dalam zaman penjajahan. Hubungan setaraf di antara kedua-dua bangsa ini tidak wujud lantas adalah mustahil untuk mengharapkan penerimaan daripada kedua belah pihak.

Kesukaran menerima seseorang kerana bangsa dan budaya yang berbeza yang dianggap menghalalkan hubungan yang tidak setaraf di antara manusia ini mengingatkan kita kepada persahabatan Dr. Aziz dan Cyril Fielding dalam novel A Passage To India karya E.M.Forster (1924). Walaupun mereka bersahabat baik pada permulaan cerita, tetapi hubungan setaraf ini tidak dapat diteruskan setelah beberapa kejadian dalam novel ini kerana pada natijahnya, Fielding tetap orang Inggeris yang memerintah India, dan Dr. Aziz tetap anak jajahan negara Inggeris. Dalam halaman terakhir novel ini, Dr. Aziz dan Fielding berbincang mengenai perhubungan kedua-dua bangsa mereka, yang tidak boleh bersahabat baik, kerana penjajahan tidak membenarkan hubungan sedemikian. Kata Dr. Aziz:

If I don’t make you go, Ahmad will, Karim will, if
it’s fifty or five hundred years we shall get rid of you,
yes, we shall drive every blasted Englishmen into the
sea, and then, only then, you and I shall be friends.”
(Forster, hal. 289, garisan saya).

Almayer’s Folly Dan Bumi Manusia

Novel Almayer’s Folly ini juga mengingatkan kita kepada novel Bumi Manusia karya Pramoedya Ananta Toer (1981), mungkin kerana latar penjajahan dan pertembungan budaya yang sama dipaparkan. Kalau Almayer berasal dari Buitenzorg (Bogor), Herman Mellema dalam Bumi Manusia juga menginap di sana, malah wanita Jawa simpanannya juga digelar Nyai Ontosoroh (sebutan Jawa bagi Buitenzorg). Pertembungan budaya Timur-Barat lebih hebat tergambar dalam Bumi Manusia, mungkin kerana kekuasaan penjajah lebih ketara di Jawa berbanding dengan Borneo pada zaman itu.

Watak ayah dalam Almayer’s Folly lebih penyayang terhadap Nina berbanding dengan watak ayah dalam Bumi Manusia terhadap anaknya, Annelies. Watak ibu ada ciri-ciri persamaannya tetapi cara bertindak mereka agak berbeza.

Puan Almayer terdorong kebenciannya kepada orang-orang Barat kerana dendamnya; keluarganya terbunuh dan dia dipaksa mendapat pendidikan Barat dan dikahwinkan dengan orang Barat. Bagi Nyai Ontosoroh, dendamnya berpunca kerana dia dijual oleh bapanya kepada Mellema dan menjadi perempuan simpanan orang Barat. Dia tidak berpelajaran Barat, tetapi memaksa dirinya belajar cara Barat dan menimba pengetahuan mereka, kerana hanya dengan demikian, dia tidak akan dihina oleh orang-orang Barat. Puan Almayer tidak berbuat demikian; dendam Nyai Ontosoroh disalurkan melalui perusahaan yang didirikan dan didikan yang diberi kepada anaknya, Annelies. Kedua wanita ini menggalakan anak mereka menyintai lelaki Timur; Puan Almayer lebih terdorong kerana kebendaan tetapi Nyai Ontosoroh lebih mengutamakan pengaruh dan keselamatan anaknya. Watak Puan Almayer juga tidak seteguh Nyai Ontosoroh, mungkin kerana Conrad, sebagai orang Barat, tidak dapat melihat ketegasan wanita Timur, seperti yang digambarkan oleh Pramoedya. Dan Nyai Ontosoroh, dengan fikirannya yang rasional dan semangatnya yang waja mengingatkan kita pula kepada watak seorang pejuang wanita Timur, Raden Ajeng Kartini, yang riwayat hidupnya pernah dijadikan novel oleh Pramoedya (sila baca novelnya,  Panggil Aku Kartini Saja, 1962).

Nina Dan Annelies

Bagi Nina dan Annelies pula terdapat persamaan masalah yang dihadapi mereka, iaitu keengganan kedua-dua pihak Timur dan Barat menerima mereka sepenuhnya kerana mereka berdarah kacukan ataupun Indo. Mereka terpaksa memilih satu budaya sahaja agar maslah ‘ketidak-terimaan’ ini tidak wujud lagi. Pengaruh ibu mereka dan pengalaman yang dilalui menyebabkan mereka memilih budaya dan bahasa Timur. Bahawa kedua-duanya memilih orang Timur sebagai teman hidup mereka: Dain Maroola putera Raja Bali (bagi Nina) dan Mingke anak bupati kota B. (bagi Annelies), menunjukkan bahawa bagi mereka budaya dan bangsa ibu dan kekasih mereka lebih menjamin mereka sebagai manusia setaraf berbanding dengan budaya dan bangsa ayah mereka. Pilihan mereka ini jelas menggambarkan bahawa pada zaman penjajahan dahulu, pertembungan dan pembauran di antara bangsa dan budaya Timur dan Barat bukanlah sesuatu yang diingini apalagi digalakkan. Ini selaras dengan serangkap sajak seorang penulis Inggeris, Rudyard Kipling, yang banyak merakamkan percanggahan dan pertembungan budaya Timur dan Barat:

Timur itu Timur
Barat itu Barat
Dan tiada keduanya
Kan bertembung.

Kesimpulan

Almayer’s Folly, walaupun sederhana cara pengolahannya, ternyata boleh mencetuskan berbagai tanggapan kita terutama mengenai hubungan Timur dan Barat dan juga tentang tujuan hidup seseorang yang menjadi punca tragedinya. Adanya pewarnaan setempat dan unsur psikologi serta teknik yang digunakan Joseph Conrad pasti merangsang kita untuk terus membaca. Tidak menghairankan mengapa novel sulung Conrad ini mendapat galakan daripada penulis-penulis ternama di Inggeris ketika itu.

Rujukan

  1. Conrad, J. 1986 (Cetakan Pertama, 1895). Almayer’s Folly, England: Penguin Books.
  2. Forster, E.M., 1985 (Cetakan Pertama, 1924). A Passage To India, England: Penguin Books.
  3. Leavis, F.R., 1986 (Cetakan Pertama, 1948). The Great Tradition, England: Penguin Books.
  4. Pramoedya Ananta Toer, 1981. Bumi Manusia, Melaka: Wira Karya.
  5. Said, E.W., 1984. The World, The Text And The Critic, London: Faber & Faber.
  6. Watt, I. 1980. Conrad; In The Nineteenth Century, London: Chatto & Windus.

Disiapkan: 5 Januari 1989
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Tersiar: Berita Minggu (Singapura), 1989, dalam 2 atau 3 siri yang berlainan tajuknya.
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s