Archive | February 2017

Berpulangnya Seorang Insan Istimewa Bernama Abang Noh – Lahir: 9 Januari 1946 – Meninggal Dunia: 30 Januari 2017

abang-noh-1a

abang-noh-1

Abang Noh 2.jpg

abang-noh-3

[Gambar di atas sekali merupakan paparan Berita Harian mengenai Abang Noh yang tersiar pada 4 Januari 2017. Gambar-gambar yang menyusul saya petik pada 2 Julai 2015 di rumah Abang Noh.]

Mukadimah

Kadangkala ada orang hadir dalam kehidupan kita dalam tempoh yang purata singkat atau kita tidak seakrabnya dengannya kerana pelbagai keadaan yang tidak mengizinkan hal-hal sedemikian. Namun kehadiran dan ketiadaan orang tersebut tetap meninggalkan kesan kepada kita. Ini lebih-lebih lagi apabila orang tersebut dengan kesederhanaan dan dugaan hidupnya memberi kita pelbagai tafsiran akan erti berlapang dada, bersyukur dan reda, tanpa apa-apa syarat yang diletakkannya.

Seorang insan yang pernah tinggal di Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura, berpulang ke rahmatullah pada 30 Januari 2017 lalu. Allahyarham merupakan seorang manusia istimewa bukan kerana kekurangan fizikal yang membelenggu hayatnya tetapi kerana beliau, dalam segala kesederhanaannya, melangkaui keterbatasan fizikal tersebut. Dan kampung di Lorong L, Telok Kurau Road itu selalu mengingatkan saya kepada insan yang baru berpulang itu.

Suatu masa dahulu, sehingga awal tahun-tahun 1980-an, Lorong L, Telok Kurau Road merupakan sebuah daerah kediaman di timur Singapura yang dipenuhi rumah-rumah kampung, termasuk rumah-rumah panggung, rumah batu setingkat, rumah banglo dan pada tahun-tahun 70-an, ada pula rumah teres. Penduduknya terdiri daripada orang-orang Melayu, Peranakan India/Pakistan, Baba Peranakan, Tionghoa, India, Arab dan Serani. Tiada rumah jenis  kondominium pada tahun-tahun tersebut. Terdapat rumah-rumah banglo yang besar serta berhalaman luas tetapi tiada rumah banglo yang begitu raksasa dan dibina setinggi 4 hingga 5 tingkat.

Dan di kampung tersebut terdapat juga orang-orang seni – keluarga besar Khairuddin Tairu dan Miss Tijah, penggerak dan pengusaha bangsawan, keluarga menantu mereka, S. Kadarisman dan keluarga berangkai mereka yang tinggal selorong tetapi dipisahkan kepada dua kelompok penempatan di lorong tersebut. Insan istimewa yang baru berpulang ke rahmatullah itu merupakan cucu saudara Miss Tijah; Miss Tijah merupakan adik bongsu nenek Allahyarham.

Ketika keluarga saya mula menginap di Lorong L, Telok Kurau Road pada 1966, Tok Kkairudin Tairu dan Miss Tijah sudah berpulang ke rahmatullah. Tetapi keluarga mereka masih menginap di sana dan sebilangan ahli keluarga mereka menjadi sahabat-sahabat keluarga saya.

Dan insan yang baru berpulang ke rahmatullah pada 30 Januari  lalu bukan sekadar penduduk  Lorong L, Telok Kurau Road yang dianggap istimewa sebagaimana istilah ini diguna pakai kini, tetapi istimewa dalam erti kata yang sememangnya kita fahami dahulu. Allahyarham mempunyai beberapa kelebihan dan satu kelebihan yang dimilikinya merupakan hati yang terbuka dan lapang serta mudah meramahi orang lain dan kehidupan, baik mereka yang menjadi penduduk kampung tersebut atau yang datang bertandang.

 Mimpi-Mimpi Yang Mengiringi

 Sekitar sebulan yang lalu, saya bermimpi pulang ke rumah lama keluarga saya yang terletak di Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura. Saya bertemu penghuni-penghuni baharunya, yang kini sudah bertukar tangan kali kedua. Salah seorang pemilik baharu itu merupakan orang Melayu, menantu kepada pemilik pertama rumah tersebut, seorang Tionghoa. Dalam mimpi saya, rumah itu sudah banyak berubah, tidak seperti rumah peninggalan bapa saya dahulu. Dan pemilik-pemilik baharunya akan merobohkan keseluruhan rumah itu dan mengorek halaman luas di sekitarnya, yang mereka simenkan dahulu. Mereka akan menjual rumah tersebut.

Dalam hidup nyata, rumah peninggalan bapa saya dijual kepada orang Tionghoa pada 1982. Saya meninggalkan rumah tersebut sekitar Mei atau awal Jun 1980 dan lama menetap di asrama universiti. Saya tidak pulang ke rumah tersebut kecuali tiga kali. Sekali, pada  bulan Ramadan/Ogos 1980, untuk bertemu nenek saya, yang berakhir dengan peristiwa yang menghiris hati. Kali kedua, pada Januari 1982, saya singgah sebentar untuk bertemu adik saya dan isterinya dari Brunei tetapi mereka tiada di sana. Kali ketiga, pada Februari 1987, saya meminta izin kepada penghuni-penghuni baharu rumah lama saya agar membenarkan saya masuk ke rumah lama saya dan melihat-lihat rumah tersebut serta halaman sekitarnya yang luas. Saya memberitahu mereka, saya akan meninggalkan Singapura untuk bertugas di Brunei dan saya ingin, buat kali terakhir, mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada rumah yang menjadi lambang kehidupan berkeluarga saya.

Rumah dan perkampungan di Lorong L, Telok Kurau Road itu tidak pernah luput dari ingatan saya sehingga kini. Bak dikatakan Charles Dickens dalam novelnya, A Tale of Two Cities – it was the best of times and it was the worst of times… Beberapa kenangan manis dan insan-insan yang berhati mulia saya temui di sana. Selain nenek dan bapa saya yang melambangkan kebaikan bagi saya, salah seorang yang berhati mulia dari kampung tersebut merupakan seorang insan istimewa bernama Abang Noh.

Klinik doktor haiwan (vet) bagi kucing-kucing saya terletak di Lorong L, Still Road. Saya telah melanggani khidmat klinik ini melebihi 10 tahun, setelah klinik doktor haiwan saya di Bedok ditutup. Setiap kali pulang dari klinik tersebut dan menunggu teksi berdekatan Lorong L, Telok Kurau Road, ada sedikit kesayuan yang saya rasai tetapi ia tidak meriakkan apa-apa. Sekadar kenangan. Saya tidak teringatkan sesiapa bila menatap lorong yang pernah menimbulkan pelbagai kenangan itu.

Pada 26 Januari lalu, saya ke klinik doktor haiwan tersebut sekitar 6 petang. Kerana esoknya, hari Jumaat, merupakan hari bekerja separuh hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan diikuti cuti panjang sehingga 30 Januari, saya terlari-lari membereskan beberapa urusan dan mengambil ubat-ubatan untuk dua ekor kucing saya. Kedua-dua kucing saya, Ginger dan Snowy, sudah berusia 17 tahun dan uzur serta ada masalah kesihatan dan Snowy pula, lumpuh kedua belah kaki belakangnya.

Saya menunggu teksi di Telok Kurau Road tetapi teksi yang datang, muncul dari Lorong L, Telok Kurau Road. Ketika menaiki teksi itu, saya menoleh lama sedikit ke Lorong L dan berkata dalam hati – itu dulu rumah Abang Noh. Walaupun saya selang dua bulan sekali harus ke klinik doktor haiwan tersebut, untuk mengambil ubat-ubatan kucing-kucing saya, melainkan mereka tiba-tiba sakit dan saya harus ke klinik itu lebih kerap, itulah kali pertama saya menyebut nama Abang Noh ketika terlihat daerah rumah lamanya yang kini merupakan kondominium.

Entah mengapa saya teringatkan Abang Noh dan semalam dua selepas itu, saya bermimpi berjalan di Lorong L, Telok Kurau Road, tetapi lorong dan rumah-rumahnya seperti pada tahun-tahun 70-an dahulu. Saya berjalan melepasi rumah Abang Noh dan apabila hampir mendekati rumah saya, saya tersedar. Mimpi itu sedikit mengganggu saya. Mengapa termimpikan sebuah daerah yang sudah lama surut dalam kenangan saya? Dan mengapa pula saya teringatkan Abang Noh?

Seorang Insan Bernama Abang Noh

Betapa terkejutnya saya apabila sekitar jam 2 lebih petang pada 30 Januari lalu, saya menerima berita Abang Noh sudah berpulang ke rahmatullah pada pagi tersebut. Anak saudaranya, Fazli, hanya mengetahui hal tersebut sekitar jam 10 lebih pagi apabila dia ingin memberi sarapan kepada pak ciknya. Ambulans dipanggil ke rumah di Tampines itu dan Abang Noh disahkan kembali ke rahmatullah kerana penyakit barah hatinya dan beberapa komplikasi. Dan saya bukannya satu-satu orang yang terkejut menerima berita tersebut.

Baru pada 4 Januari 2017 lalu, berita mengenai Abang Noh terpapar di muka depan akhbar Berita Harian bertajuk ‘Papan Beroda Jadi Teman Harian’.  Dan terdapat dua gambar Abang Noh tersiar; sebuah di muka depan, bersama seorang relawan dari Hospital Besar Changi dan sebuah lagi di halaman 9, bersendirian. Abang Noh kelihatan ceria walaupun dibelenggu beberapa penyakit. Dan berita serta gambar-gambar Abang Noh di akhbar itu telah dihantar kepada beberapa orang, termasuk di luar negara. Malah adik saya, yang menetap di Brunei, yang mengenali dan menyayangi Abang Noh sejak dia berusia kanak-kanak lagi, menyiarkan berita 4 Januari mengenai Abang Noh itu dalam facebook.

Saya juga menelefon kawan saya, Comel (nama sebenarnya Marhaini, anak Pak S. Kadarisman), yang merupakan sepupu Abang Noh kerana paparan berita mengenai Abang Noh. Kami berbual-bual mengenai Abang Noh dan hal-hal lain dan saya dimaklumkan bahawa walaupun Abang Noh menghidap pelbagai penyakit, termasuk barah hati, kesihatannya seolah-olah bertambah baik sejak kebelakangan ini. Melihat gambar-gambarnya di akhbar pada 4 Januari itu, tiada siapa akan menyangka Abang Noh sudah lama menghidap pelbagai penyakit, apalagi terlintas di fikiran mereka bahawa Abang Noh akan dijemput oleh Allah  dalam  masa yang tidak sampai pun sebulan.

Kisah  Abang Noh

Nama Abang Noh didaftarkan dalam sijil kelahirannya sebagai Muhammad Noor bin Dol. Nama bapa Abang Noh kadangkala dieja Dol, Dolah atau Abdullah. Walaupun namanya dieja ‘Noor’, semua yang mengenali beliau, memanggilnya ‘Noh’ atau ‘Abang Noh’. Ibu Abang Noh, sebilangan kami memanggil beliau ‘Embok’. Embok terlibat dalam bangsawan yang diusahakan keluarga bapa dan ibu saudaranya, Tok Khairudin Tairu dan Miss Tijah. Ibu Embok juga terlibat sama – menyiapkan pakaian untuk para pemain bangsawan. Abang Noh mempunyai seorang kakak, Zainab, yang kami panggil ‘Kak Nab’. Kak Nab dahulu bergiat dalam bangsawan di Radio Singapura (RTS – sekarang dinamakan Radio Warna) yang pernah dikelolakan oleh Tok Khairudin Tairu dan juga Pak S. Kadarisman – ahli keluarga berangkainya. Beliau meninggal dunia semasa masih menetap di Lorong L, Telok Kuaru Road, pada 1988, meninggalkan suami, yang kami panggil Abang Awang dan dua orang anak kecil, Jun, ketika itu berusia 13 tahun dan adiknya Fazli, 11 tahun. Keluarga Kak Nab tinggal serumah dengan Abang Noh semasa menginap  di Lorong L dan walaupun Kak Nab sudah berpulang ke rahmatullah dan semua penduduk sekitar rumah Abang Noh berpindah ke rumah pangsa lebih kurang tahun 1990, Abang Noh masih tinggal serumah dengan keluarga Kak Nab, di Bedok North.  Adik Abang Noh bernama Zailan, yang kami panggil ‘Kak Lan’. Kak Lan berkeluarga dan menetap di Kuala Lumpur dan mempunyai seorang anak.

Ketika berusia 6 bulan, Abang Noh diserang demam panas. Penyakit ini kemudian berlarut dan neneknya yang takut kehilangan satu-satu cucu lelakinya jika dibawa ke hospital, hanya merawatnya di rumah. Larutan demam panas tadi menyebabkan Abang Noh hilang keupayaan menggunakan kedua belah kakinya. Beliau pada masa mudanya bergerak menggunakan tangannya dan berengsot. Apabila Abang Noh semakin meningkat usia dan uzur, papan beroda yang membantunya bergerak.

Walaupun tidak bersekolah formal, Abang Noh mendapat pendidikan di rumah; neneknya mengupah orang agar datang ke rumah dan mengajar Abang Noh menulis dan membaca. Abang Noh juga dilatih menjahit baju oleh neneknya.

Dunia Kreatif Abang Noh

Beliau menyara hidupnya dengan mengambil upah menjahit baju dan saya termasuk pelanggan Abang Noh, sejak saya berusia remaja pada awal tahun 70-an sehingga dewasa, iaitu sehingga awal 1980. Melihat gambar sahaja Abang Noh sudah boleh mengagak bagaimana menjahit sesuatu baju walaupun cara menjahit baju-baju tersebut mungkin rumit.

Saya masih ingat bagaimana Abang Noh menjahit sehelai baju saya, sempena Hari Raya 1977. Saya berusia 21 tahun ketika itu. Saya kononnya mahu baju saya serupa dengan baju Sharifah Aini, yang tertera pada sampul piring hitam LPnya berjudul ‘Cahaya Keinsafan’, yang diterbitkan pada 1974. Sharifah Aini berusia 21 tahun ketika baju itu dipakainya dan lagu-lagu dalam LP itu dirakamkannya. Kain yang saya beli mirip warna bajunya, walaupun kain saya lebih berwarna merah jambu dengan percikan-percikan merah dan putih.

“Idah ada pattern baju ini?” tanya Abang Noh. Abang Noh tahu saya kononnya hendak mencontohi  baju pakaian Sharifah Aini.

“Ada, Abang Noh,” dan saya menghulurkan sampul LP Sharifah Aini, ‘Cahaya Keinsafan’.

Abang Noh tergelak melihat ‘kegilaan’ saya dan saya memakai baju jahitan Abang Noh itu semasa perjumpaan Hari Raya di Universiti Singapura pada 1977.  Dan itulah kali pertama dan terakhir yang ingin mencontohi pakaian penyanyi kegemaran saya. Tetapi sesekali dahulu Abang Noh akan mengusik saya – “Idah tak ada lagi nak buat baju macam Sharifah Aini?” Saya turut tergelak dan memaklumi ‘kegilaan’ saya suatu ketika dahulu.

Selain mengambil upah menjahit baju, Abang Noh ada juga mengajar orang dalam bidang jahit menjahit. Semasa di Lorong L, Telok Kurau itu, ada beberapa orang kawan sekerja sepupunya, Comel, yang datang ke rumah Abang Noh untuk belajar menjahit. Dan Abang Noh juga pernah beberapa orang berkenan dan mahu Abang Noh memperisterikan salah seorang daripada mereka. Mereka merupakan kawan-kawan Comel yang sama menuntut di PERGAS (persatuan agama yang mengadakan program belajar agama untuk pelajar-pelajar dewasa). Comel beberapa kali memberitahu hal itu kepada Abang Noh tetapi Abang Noh menolak ajuan itu.  Sebabnya – seperti yang Abang Noh katakan kepada Comel, dia tidak mampu menyara hidupnya sebaiknya, bagaimana pula dia dapat menyara seorang isteri?

Beliau seorang yang semula jadi kreatif dan ini ditambahi dengan ketekunannya apabila membuat sesuatu. Ada beberapa perkahwinan ahli keluarga saya yang berlangsung di Lorong L, Telok Kurau dahulu, dari tahun-tahun 70-an sehingga awal 1980-an, sebilangan besar pelamin majlis-majlis tersebut disiapkan oleh Abang Noh.  Pelamin-pelamin rekaan Abang Noh cantik dan unik dan ini bukan pandangan saya seorang sahaja. Beliau pandai menggayakan sesuatu dan boleh melihat sesuatu keseluruhannya, lantas lakaran-lakarannya menjadi ciptaan-ciptaan yang indah. Dan pelamin-pelamin hiasan Abang Noh juga digunakan dalam beberapa majlis perkahwinan keluarga berangkainya.

Di sekitar rumahnya dahulu terdapat beberapa rumah keluarga berangkainya dan jiran-jiran yang bukan ahli keluarganya. Tanah lapang di hadapan rumah Abang Noh  dan rumah-rumah sekitar itulah tempat anak-anak muda, dari kampung Lorong L, Telok Kurau itu, sebilangannya ahli keluarga berangkainya dan sahabat-sahabat mereka bermain sepak takraw. Yang sering ke sana termasuk adik saya, Yusof. Setelah bermain sepak takraw, anak-anak muda ini sering bersama-sama Abang Noh, yang sesekali memerhatikan permainan mereka. Dan di kalangan anak-anak muda inilah yang meluangkan masa mendorong Abang Noh dengan kerusi rodanya ke beberapa tempat di Singapura untuk berjalan-jalan, makan-makan dan mengikuti kelas agama.

Abang Noh lama mengikuti kelas-kelas agama sejak tahun-tahun 70-an, di antaranya yang dikendalikan Ustaz Syed Abdillah Aljufri. Ustaz menyayangi Abang Noh dan beberapa kali datang ke rumahnya di Lorong L, meminta Abang Noh menjahitkan pakaiannya, terutama seluar panjangnya dan berbual-bual dengannya. Saya dengar ramai yang ingin membantu Ustaz Abdillah atau tahu orang-orang yang lebih ‘profesional’ untuk menjahit pakaiannya. Tetapi Ustaz Syed Abdillah tetap memilih Abang Noh – orang yang Ustaz tahu hati budi, keikhlasan dan kebolehannya.

Abang Noh Dan Kerusi Rodanya

 Abang Noh juga beberapa kali datang ke rumah saya di Lorong L itu, malah bermalam di rumah saya. Nenek saya menyayangi beliau  dan Abang Noh mengenali semua ahli keluarga saya dan anak-anak saudara saya, terutama yang membesar di Lorong L. Walaupun bukan bersaudara, beliau dianggap sedemikian oleh sebilangan ahli keluarga saya, terutamanya oleh  nenek dan adik saya.

Sesuatu yang tidak putus berlaku kepada Abang Noh dahulu, terdapat ramai orang yang sedia mendorong beliau dalam kerusi rodanya ke beberapa tempat. Ini berlaku semasa di Lorong L, setelah Abang Noh berpindah ke Bedok dan kemudian ke Tampines.  Tetapi setelah Abang Noh semakin uzur dan mereka yang membantu semakin disibukkan tugas harian, di Tampines, beliau tidak sekerapnya dapat keluar rumah. Mereka yang membantu Abang Noh dalam bidang ini terdiri daripada keluarga terdekatnya dan juga anak-anak muda yang dahulu bermain sepak takraw di halaman rumahnya – dari usia mereka remaja sehingga mereka dewasa dan berumah tangga. Dan ada juga membawanya berjalan-jalan dalam kereta mereka.

Saya terkilan mengenai hal ini. Saya tidak pernah mendorong Abang Noh bersama kerusi rodanya ke mana-mana, kecuali pernah sekali dua, hanya mendorongnya dari sekitar rumah saya ke rumahnya di Lorong L, dan itu pun ditemani kerabatnya Comel dan seorang dua lagi. Semasa remaja dan awal dewasa itu saya agak pendiam dan pemalu. Walaupun dengan Abang Noh saya boleh berbual sedikit lama, dengan penduduk-penduduk lelaki sebaya saya – sebilangannya kerabat Abang Noh, saya amat segan walaupun saya mengenali mereka. Saya sekadar tersenyum atau mengangguk ketika bersua atau bercakap sepatah dua kata dengan mereka. Dengan jiran-jiran perempuan saya yang berusia lebih kurang sebaya dengan saya dan tinggal di hadapan rumah saya – keluarga besar Tok Khairudin Tairu dan Miss Tijah, saya boleh sedikit berbual misalnya dengan Comel, Azizah, Esah, Titiek, Eenam, Oya dan Bibi. Itu pun saya kurang bersembang dengan mereka, kecuali boleh berbual lebih sedikit dengan Comel kerana saya rata-ratanya agak pendiam pada zaman itu. Jadi untuk mendorong Abang Noh dalam kerusi rodanya, walaupun saya ada hasrat untuk turut membantu Abang Noh, adalah sesuatu yang di luar jangkauan saya ketika itu, meskipun saya menganggap Abang Noh sebagai salah seorang kerabat saya.

Rasa terkilan ini seolah-olah terubat pada 1995. Saya ke Iowa, mengikuti Program Penulisan Antarabangsa di sana. Di kalangan peserta program tersebut, tiga orang lebih rapat dengan saya. Mereka merupakan peserta lelaki dari Fiji (Larry), India (Ranjit) dan Tebing Barat, Jerusalem (Jamal). Kerana saya lebih tua sedikit daripada mereka, saya dianggap bagaikan saudara tua. Ketiga-tiga anak muda ini ada urusan masing-masing, sebagaimana saya. Namun, beberapa kali selama 3 bulan lebih di sana, kami akan ke bilik Jamal, memasak dan makan bersama-sama. Kami masak ikan dan sayur – masakan Arab dan India. Ketiga-tiga kami mengambil berat terhadap Jamal dan sering menemaninya ke acara-acara rasmi dan tidak rasmi. Jamal lumpuh kedua belah kakinya sejak lahir dan berkerusi roda.

Sehari dua sebelum meninggalkan Iowa pada Disember 1995, Jamal meminta saya menemaninya ke beberapa tempat di Iowa City. Kami menaiki bas khas untuk Jamal dari penempatan para penulis, yang dipanggil ‘Mayflower’ dan dibawa di kawasan bandar Iowa City, yang terdapat juga Universiti Iowa. Kemudian, saya mendorong Jamal dalam kerusi rodanya ke beberapa tempat – kedai buku, kedai muzik, kafe, gedung membeli-belah. Jamal gembira dapat melihat Iowa untuk kali terakhir dan saya turut gembira dapat menggembirakannya. Bertemu Jamal mengingatkan saya kepada Abang Noh – orang yang hanya sedikit dapat saya bantu selain mendoakan kesejahteraannya.

Bertemu Abang Noh Pada Tahun-Tahun 90-an Dan Seterusnya

 Setelah meninggalkan Lorong L, Telok Kurau pada 1980, saya tidak lagi bertemu Abang Noh sehingga tahun-tahun 1990-an. Saya menginap di rumah sendiri, di Bedok, pada penghujung 1984. Nenek saya dan kemudian seorang ibu saudara saya, tinggal bersama saya. Abang Noh berpindah ke Bedok North sekitar 1990.

Saya bertemu Abang Noh beberapa kali di Bedok Central pada tahun-tahun 90-an itu. Kami selalu bertembung di tempat-tempat makan dan kedai-kedai di sekitar Bedok Central, dan Abang Noh akan duduk dalam kerusi rodanya didorong oleh orang-orang yang sedia membantunya sejak dahulu. Kami berbual-bual dan saya juga pernah ke rumahnya di Bedok North itu. Nenek saya, semasa hayatnya dan setelah berpindah dari Lorong L, Telok Kurau pada 1982, ada juga bertanya mengenai ehwal Abang Noh. Dan Abang Noh turut bersedih apabila menerima berita kematian nenek saya pada bulan Disember 1991.

Semasa Abang Noh lebih sihat, beliau ada juga ke Kuala Lumpur dan tinggal di rumah adiknya, Kak Lan, selama sebulan dua. Tetapi Abang Noh tidak betah lama di sana; beliau lebih suka menetap di Singapura. Beberapa kali adik saya ingin membawanya ke Brunei untuk bercuti tetapi Abang Noh belum bersedia ke sana. Apabila ada majlis perkahwinan anak sulung adik saya, hati Abang Noh terbuka untuk ke Brunei, dengan syarat salah seorang sepupunya, Hussin atau Comel, menemaninya. Kedua-duanya  ada tugas dan tidak dapat cuti, lantas Abang Noh tidak dapat ke sana. Beliau tidak mahu orang lain membawanya ke sana kerana kedua-dua sepupunya lebih memahami keadaannya.

Semasa di Lorong L lagi doktor ada mengatakan Abang Noh tidak dapat hidup lama dan beliau dijangkakan boleh hidup beberapa tahun sahaja. Tetapi ternyata jangkaan doktor itu meleset. Namun begitu, sejak lebih 10 tahun kebelakangan ini, kesihatan Abang Noh semakin terganggu dan banyak pula perkara yang menggusarkan hatinya.

Abang Noh tahu ada keluarga terdekatnya dan mereka yang bukan darah dagingnya tetapi menyayanginya, masih mengambil berat terhadap kebajikannya. Ada yang membantunya dengan tenaga, ada dengan wang, ada yang turut memberi makanan untuknya berbuka dan bersahur dan ada juga menjenguk-jenguknya, menelefonnya dan sesekali membawanya keluar. Tetapi Abang Noh yang semakin uzur semasa tinggal di Tampines, tidak sekerap keluar, kecuali ke klinik dan hospital.

Saya sempat menziarahi Abang Noh semasa beliau menginap di Tampines. Saya tidak lagi pendiam dan dapat berbual-bual panjang dengan Abang Noh. Banyak yang kami bualkan – kisah-kisah semasa yang berlaku di sekitar kami dan dunia, kisah dunia hiburan, kesihatan, dan diselang-seli, ada juga air mata menitis bila bercakap mengenai hal-hal yang dekat di hati kami. Abang Noh sekadar berlinangan air mata – tabahnya beliau menceritakan hal-hal yang mengguriskan hatinya tapi saya pula yang teresak-esak mendengar halnya atau menceritakan perkara-perkara yang menggusarkan saya. Walaupun apa yang dilalui Abang Noh lebih berat daripada apa pun yang saya lalui, namun beliaulah yang menasihatkan saya agar lebih tabah dan selalu berdoa kepada Allah. Ketabahan dan ketenangannya, bagai saya, hanya dapat lahir daripada jiwa yang sudah menghayati erti reda sepenuhnya.

Semasa menziarahinya dan bercakap-cakap pasal Brunei kerana saya ingin membawanya bercuti di sana, Abang Noh menyuarakan persetujuannya. Pada mulanya beliau menolak ajakan saya kerana takut menyusahkan saya dan orang-orang yang bakal diziarahinya tetapi setelah diyakinkan sebaliknya, beliau bersetuju. Selain sepupu-sepupunya, Hussin dan Comel, hanya dengan saya, menurut kata Abang Noh, beliau bersetuju pergi ke Brunei. Saya berasa bertuah, Abang Noh sudi mengikut saya ke Brunei, yang kali terakhir saya ke sana pada 1998. Tetapi hajat untuk ke Brunei ini tidak kesampaian kerana beberapa halangan, termasuk gangguan kesihatan Abang Noh dan juga saya.

Dalam pertemuan terakhir saya dengan Abang Noh, beliau ada juga bertanya mengenai hal agama walaupun saya bukannya pakar dalam bidang ini. Abang Noh risau solatnya kurang sempurna kerana beliau disukarkan mengambil wuduk dan beliau tidak dapat sekerapnya menukar pakaian  yang lebih bersih untuk bersolat. Saya menerangkan apa yang saya tahu dan terharu akan perhatiannya mengenai hal-hal sebegini. Dalam susah senang hidupnya, dan lebih disukarkan oleh keadaannya yang uzur dan daif, Abang Noh tidak mengabaikan kewajipannya kepada Allah. Dan beliau juga, dengan penyaraan hidup yang tidak semantapnya dahulu sebagai tukang jahit, telah menunaikan fardu haji. Allah sahaja yang memudahkan segala urusannya untuk menyempurnakan tanggungjawabnya kepada-Nya.

Sekitar tahun lepas, beberapa kali saya ingin menziarahi Abang Noh tetapi tidak kesampaian. Abang Noh sukar mengangkat telefon dan kesihatannya semakin terganggu. Dan saya pula beberapa kali terganggu kesihatan pada 2016 lalu. Saya hanya menelefon sepupu Abang Noh, Comel, untuk bertanyakan khabarnya. Dan kali terakhir saya mengikuti kisah Abang Noh ialah ketika Berita Harian memaparkan kisah Abang Noh di muka hadapan akhbar tersebut pada 4 Januari 2017. Saya berbual-bual dengan Comel pada minggu itu mengenai Abang Noh. Dan pada 30 Januari lalu, berita berpulangnya Abang Noh ke rahmatullah pula yang mengejutkan kami yang mengenalinya.

Penutup

Saya menziarahi keluarga Abang Noh pada 30 Januari lalu tetapi tidak sempat melihat jenazahnya kerana saya hanya sempat datang sejurus selepas solat asar dan jenazah Abang Noh telah pun bertolak ke Pusara Abadi, di Jalan Bahar, sekitar jam 3 lebih petang. Saya berbual-bual dengan anak saudaranya, Jun, sanak-saudara dan orang-orang yang mengenali Abang Noh.

Apabila mereka yang mengiringi jenazah dan pengkebumian Abang Noh pulang ke Tampines, majlis tahlil diadakan. Yang memimpin majlis itu, Saad (bukan Saad anak Pak S. Kadarisman) – orang yang mengenali Abang Noh sejak muda dan merupakan salah seorang insan yang sering mendorong Abang Noh dalam kerusi rodanya. Saad menangis semasa memimpin majlis itu, begitu juga sebilangan kami. Setelah majlis itu, saya berbual-bual dengan Jun dan Fazli, anak saudara Abang Noh, dan dengan seorang dua, dan kemudian pulang. Seperti keadaan saya bila dahulu pulang setelah menziarahi Abang Noh, saya menangis dalam teksi.

Ramai yang masih terkenangkan Abang Noh setelah pemergiannya, begitu juga saya. Betapa saya mengharapkan saya dapat lebih membantu Abang Noh semasa hayatnya tetapi masa-masa itu sudah berlalu. Saya lama berbual dengan kerabat saya dari Sydney, sahabat sekampus saya dahulu, di California dan Comel mengenai Abang Noh. Pemergian Abang Noh dan pelbagai dugaan yang beliau harungi memusarkan kesedihan yang mendalam kepada saya dan saya yakin, kepada mereka yang benar-benar menyayanginya.

Saya berjanji kepada diri saya bahawa saya akan menulis mengenai Abang Noh dalam blog saya setelah menerima berita kepulangannya ke rahmatullah. Tetapi tulisan itu tidak dapat saya mulakan pada 30 Januari lalu. Selalunya saya menitipkan sebuah dua lagu dalam entri-entri blog saya – kadangkala sekadar hiburan, kadangkala lagu itu sesuai dengan topik yang saya kemukakan dan kadangkala saya ingin merakamkan sesuatu yang saya alami semasa menyiapkan entri blog tersebut. Dua buah lagu bermain-main dalam fikiran saya – lagu ‘Namun Ku Punya Hati’ dan ‘Selamat Tinggal Bungaku/Kenang Daku dalam Doamu’ – kedua-duanya bagi saya seolah-olah menggambarkan keadaan dan perasaan Abang Noh.

Pada 2 Januari lalu, saya menitipkan kedua-dua lagu tersebut dalam kiriman Whatsapp kepada adik saya di Brunei. Dan pada 3 Januari lalu, saya menelefon Comel lagi dan bercakap-cakap mengenai Abang Noh. Saya memberitahu Comel bahawa saya telah memilih 2 buah lagu untuk tulisan saya mengenai Abang Noh.

Saya sedikit terkejut sekali lagi – Comel memberitahu saya, Abang Noh menangis apabila pertama kali mendengar lagu ‘Namun Ku Punya Hati’ dahulu dan beliau menelefon Comel mengenai hal itu. Lagu ini menggambarkan perasaannya, yang seolah-olah ‘menumpang di sudut dunia’. Dan setiap kali bila terdengar lagu ini, Abang Noh menangis. Saya terharu mendengar penerangan ini.

Dan Comel juga memberitahu, beberapa hari sebelum Abang Noh meninggal dunia, beliau menelefon Comel. Suaranya biasa dan kesihatannya kelihatan okey. Abang Noh meminta maaf kepada Comel dan memberitahu Comel agar menyampaikan kepada semua orang yang beliau kenal, agar memaafkannya. Kata Abang Noh lagi, mungkin Allah ingin membersihkan dosa-dosanya lantas Allah menduganya. Apa pun, menurut Abang Noh, beliau reda akan kententuan Allah untuk dirinya.  Comel tidak tertangkap ketika itu bahawa Abang Noh sebenarnya mengucapkan selamat tinggal kepadanya dan kepada semua yang beliau sayang. Air mata Comel dan saya bertitisan bila bercakap mengenai hal ini. Abang Noh juga selagi boleh, saya dimaklumkan oleh Comel, menunaikan solatnya, rajin berzikir dan berselawat sehingga ke akhir hayatnya.

Sudah lebih seminggu Abang Noh berpulang ke rahmatullah. Kita yang menyayanginya tetap menitipkan namanya dalam doa-doa kita bagi mereka yang telah berpulang ke alam barzakh. Kehidupan Abang Noh beranjau dugaan dan tidak terbatas kepada kedua belah kakinya yang lumpuh. Namun, dalam segala dugaan yang beliau hadapi, Abang Noh tetap tersenyum, malah boleh menenangkan mereka yang lebih sempurna sifatnya, ada pekerjaan tetap dan lebih sihat. Beliau amat tabah dan cekal hatinya serta tidak patah semangat walaupun sesekali, berdepan dengan mereka yang akrab dengannya, Abang Noh boleh juga menitiskan air mata.

Bagi saya Abang Noh merupakan permata di kalangan kita. Hatinya lapang menerima orang dan beliau reda di atas segala kententuan Allah baginya. Abang Noh tidak ‘menumpang di sudut dunia’ tetapi akan sentiasa menetap di hati mereka yang menyayanginya. Yang diminta dari kehidupan itu sedikit sahaja dan sesiapa yang telah meluangkan tenaga, masa, wang serta menyayangi dan memudahkan segala urusan Abang Noh,  tahu bahawa yang lebih bertuah bukan Abang Noh tetapi diri mereka sendiri kerana disantuni seorang insan sebaik Abang Noh. Yang cacat hanya kedua belah kakinya, bukan hati nuraninya, yang tetap berdegup dengan prasangka baik terhadap Allah, ikhlas meramahi manusia, bersykur dan reda di atas segala ketentuan Allah bagi dirinya.

Semoga pemergian Abang Noh akan memberi kita iktibar untuk mendekati orang-orang yang memerlukan perhatian kita, walaupun perhatian itu mungkin kelihatan kecil. Semoga akan wujud lebih banyak usaha, baik secara individu atau persatuan, untuk membantu kehidupan orang-orang seperti Abang Noh dan mereka yang memerlukan bantuan, dengan lebih wajar dan saksama.

Dan semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas roh Abang Noh, seorang insan yang amat istimewa, menempatkan Allahyarham di kalangan hamba-hamba pilihan-Nya dan menjadikan syurga tempat kediamannya, insya-Allah. Al-Fatihah. Amin.

Ditulis: 4 – 6 Februari 2017
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Catatan 4 – 5 Februari 2017

q1q3q4q2

1. Melihat beberapa kejadian di sekeliling, saya teringat kata-kata yang pernah diutarakan oleh guru agama saya dahulu, Allahyarham Syed Abdillah Aljufri. Kata-katanya merupakan petikan hadis – bahawa pada akhir zaman, mereka yang tidak berkelayakan akan ke hadapan sebagai pemimpin dalam pelbagai bidang. Inilah yang menimbulkan huru-hara dan kecelaruan. Satu lagi pesanan arwah ustaz saya dan juga arwah nenek saya, juga merupakan petikan hadis – bahawa dalam hidup ini, kita jangan menganiaya atau menzalimi sesiapa. Sesiapa pun yang dianiaya atau si zalimi, tidak kira orang itu orang Islam atau bukan Islam, doanya dimakbulkan Allah. Tentunya Allah yang menentukan bila termakbulnya doa orang-orang sebegini. Kedua-dua peringatan ini saya rasa begitu relevan melihat beberapa kejadian di sekitar kita dan dunia yang lebih besar.

2. Saya sedang menulis mengenai pemergian seseorang yang pernah duduk sekampung dengan saya. Tulisan ini beberapa kali tersekat kerana halangan tugas harian dan melebihi ini, saya begitu sukar  menulisnya. Lantas, saya memasukkan entri-entri catatan, puisi dan lain-lain dahulu. Tulisan yang sukar saya siapkan itu, kalau sempat, saya masukkan pada malam ini, jika tidak, awal pagi esok.

 3. Banyak yang bergolak, terutama setelah perlantikan presiden Amerika Syarikat yang ke-45. Kita bagaikan tidak percaya bahawa sebuah institusi yang demikian penting dan turut mencorakkan keamanan dan sebaliknya di dunia, boleh diduduki oleh orang dan penyokong-penyokongnya yang dianggap tidak wajar oleh sebilangan besar penghuni dunia, termasuk di Amerika Syarikat.

Segala-galanya bagaikan suatu persembahan ‘Reality Show’, dengan menularnya berita palsu (fake news), ‘kicauan’ twitter sang presiden yang tidak tahu sempadan kuasa dan kesopanan, pelbagai dasar yang boleh dipertikaikan dan membawa Amerika Syarikat semakin bertindak seperti burung kasawari serta gejala-gejala tegar yang semakin mercup kerana dipacu pentadbiran yang baharu memerintah.

Banyak konflik kepentingan bertali arus – apakah Amerika Syarikat melantik seorang presiden atau keluarganya? Apakah orang-orang yang nyata bagai tidak menjejak di bumi nyata tapi kelihatan lebih utamakan tukikan (niche) masing-masing boleh benar-benar ‘Make America Great Again’?

Betapa anehnya bahawa seorang presiden seperti Jimmy Carter, seorang yang mengusahakan ladang kacang yang dimulakan bapanya, terpaksa melepaskan ladang yang membawa banyak erti dan kenangan kepadanya kerana menjawat jawatan presiden Amerika Syarikat tetapi sang presiden baharu yang banyak kepentingan perniagaan dan sebagainya, boleh sahaja meluncur tanpa ada apa-apa hambatan. Dan betapa beberapa dasarnya bagai seorang pembuli yang benar-benar tegar dan bukan Amerika Syarikat yang pernah dibayangkan oleh Abraham Lincoln dan John F. Kennedy.

Demikian banyak tembok ingin didirikan tetapi ramai yang yakin, terdapat ramai orang yang berhati ihsan dan mulia di Amerika Syarikat dan seluruh dunia, yang mahu meruntuhkan tembok-tembok itu dan sedia bekerjasama membina pelbagai jambatan untuk sesama orang Amerika dan juga dunia.

Tetapi semakin aneh dunia kita ini – bila ada usaha-usaha untuk menyatupadukan kita sebagai penghuni dunia – apa pun agama, bangsa, negara dan budaya kita, semakin muncul anasir-anasir yang kurang sihat. Dalam tersiarnya berita golongan minoriti diperlekeh dan dipengapakan, baik secara peribadi mahupun rumah ibadat mereka dan masyarakat dunia semakin bersimpati, tiba-tiba muncul seseorang atau segolongan orang daripada kumpulan minoriti tadi cuba membuat hura-hara atau membunuh. Seolah-olah ada dalang-dalang yang demikian resah dan takut kehilangan kuasa bila masyarakat dunia cuba bersama dalam jalur kemanusiaan milik kita.

Pengharaman Amerika Syarikat terhadap golongan pendatang dari 7 negara majoritinya orang Islam ke negaranya telah ditentang beberapa pihak. Ini bukanlah Amerika, tanah orang bebas (land of the free) seperti sering diuar-uarkan. Pernyataan yang disampaikan Dr Fareed Zakaria ini lebih menjelaskan:

Melihat beberapa hal terkini, kita semakin resah. Bagaimana pula jika anasir-anasir yang kurang sihat ini menular ke daerah kita? Bagaimana pula negara-negara kecil jika raksasa-raksasa dari Amerika Syarikat, Rusia dan China semakin semakin bertelegah dan meluaskan jaringan masing-masing? Yang boleh kita teguhkan, sebagaimana dilaungkan oleh beberapa pihak di Singapura, ialah perpaduan masyarakat kita. Tapi janganlah kita setakat bercakap – wajarkan harapan ini dengan tindakan-tindakan yang saksama dan adil untuk semua rakyat kita.

4. Namun, kita sebagai rakyat biasa kadangkala tidak terlalu dilarutkan oleh hal-hal besar yang berlaku di Amerika Syarikat dan dunia. Yang kita gusarkan, mungkin hal-hal keperluan biasa-biasa. Bolehkah kita kekalkan pekerjaan kita, dapatkah latihan membantu tugas kita, apakah hal-hal berkaitan kesihatan, terutama kos kesihatan, boleh kita tampungi? Apakah kos pengangkutan awam atau bayaran untuk air lampu akan meningkat? Bagaimana pula sistem persekolahan untuk anak-anak kita – apakah terlalu ‘mendera’ atau berada di landasan yang sememangnya boleh membawa rakyat kita menjadi insan-insan yang lebih menyeluruh dan bermanfaat? Dapatkah kita berasa turut dipentingkan di tengah-tengah landaan ramai orang dari luar Singapura yang bekerja dan mendapat kerakyatan di negara kita? Tidak, kita tidak setuju dengan dasar pentadbiran baharu Amerika terhadap pendatang, tapi bolehkah gelombang-gelombang tertentu yang seolah-olah boleh menenggelamkan sebilangan orang, kita tangani dengan saksama dan berhikmah? Betapa nanti jika Kota Singa kita (Singa + Pura/Kota) kita nanti menjadi Kota Singgah + Pura-pura? Betapa ini menangkis segala usaha para pemimpin dan rakyat kita sejak dahulu – Kota Singa kita yang tinggi kepiawaiannya, saksama dan turut mencorak sekitarnya.

Kita semua ada harapan dan impian, betapa pun gelap awan-awan yang bertiup di sekeliling kita – baik dari Amerika Syarikat mahupun dari pelosok dunia lainnya. Mudah-mudahan segala harapan dan impian yang baik itu dapat kita saksikan menjadi kenyataan. Dan tidak seperti pentadbiran baharu di Amerika Syarikat, kita dan masyarakat dunia lebih berani membina pelbagai jambatan dan bukan dengan angkuhnya mendirikan pelbagai tembok yang menyesakkan nafas.

5. Ada banyak perkara lain telah saya fikirkan untuk masukan blog kali ini tetapi ini bertukar apabila saya menerima berita berpulangnya ke rahmatullah seorang insan istimewa yang saya kenal pada 30 Januari lalu. Perkara-perkara ‘besar’ itu boleh sahaja membuat kita berdebat dan menggusarkan kita tetapi akhirnya, perkara atau peristiwa yang amat peribadi yang begitu menyentuh hati dan menitiskan air mata kita.

Orang yang saya maksudkan, lumpuh kedua belah kakinya, diterjah pelbagai penyakit dan baru pada 4 Januari 2017 lalu kisahnya dipaparkan oleh Berita Harian (Singapura) di muka hadapan.

Pemergian beliau mengingatkan lagi betapa telah kita lakukan dalam usaha-usaha kebajikan sebagai individu dan masyarakat. Banyakkah telah kita lakukan sebaiknya dan manfaatnya benar-benar dinikmati mereka yang kita sasarkan atau ada juga usaha-usaha kebajikan kita dilakukan bagaikan melepaskan batuk di tangga?

Benar, kini terdapat lebih banyak usaha membantu golongan yang kurang upaya dan mereka yang memerlukan, dalam masyarakat Singapura. Kita mudah tersentuh bila menyaksikan acara-acara amal yang dilakukan badan-badan tertentu mahupun individu ke arah ini. Namun, apakah semua itu sebaik yang termampu kita?

Ada orang diberi bantuan tetapi disuruh mengambil bantuan makanan harian atau bulanan itu sendiri. Ada yang benar-benar kurang upaya untuk keluar atau tidak boleh menyuruh sesiapa untuk mendapatkan bantuan itu, tapi badan-badan yang menganjurkan hal-hal sedemikian, mahu mereka yang datang. Ada yang diberi bantuan seadanya, terpaksa menanti berjam-jam kerana ada orang penting yang akan datang dan bergambar tetapi setelah bantuan kewangan dan habuan diberi, tiada pengangkutan disediakan untuk membawa mereka pulang bersama barang-barang yang diberikan kepada mereka. Ada yang terpaksa mengambil cuti hanya untuk menghadiri majlis demikian dan sebahagiannya hanya bergaji hari, menghadapi masalah kesihatan dan hambatan-hambatan lainnya.

Benar, ada orang yang menyalahgunakan apa pun bantuan yang diberi tetapi sebilangan besarnya tidak melakukan sedemikian. Kita sebagai penganjur acara-acara demikian seharusnya lebih peka akan keperluan mereka yang kita bantu agar bantuan kita tidak pula menjadi bebanan kepada mereka.

Mereka yang kurang upaya terutamanya lebih memerlukan perhatian kita – huluran wang sahaja tidak mencukupi jika beberapa keperluan golongan ini tidak dapat dipenuhi. Usaha-usaha badan tertentu menyediakan makanan, pengangkutan, pendamping untuk menjenguk-jenguk mereka tentunya kita hargai. Yang kita harapkan lebih banyak lagi dapat dilakukan dan diselaraskan agar golongan ini tidak terasa dipinggirkan daripada kehidupan. Mereka  dan penjaga mereka seharusnyalah mendapat sokongan kita kerana kedua-duanya terpaksa mengharungi pelbagai dugaan. Mudah-mudahan banyak lagi usaha dapat kita lakarkan agar kesejahteraan mereka diutamakan.

Demikian juga kita harapkan agar mereka yang benar-benar memerlukan bantuan baik daripada golongan yang kurang upaya atau golongan yang memerlukan tidak diabaikan. Pernah beberapa kali saya mendengar cerita ini – ada yang meminta bantuan  ke sana sini tapi bagaikan bola, ditolak dari satu bahagian atau badan ke bahagian atau badan yang lain. Akhirnya individu-individu ini bagaikan terdera untuk mendapatkan bantuan yang bukan daripada kalangan yang terbiasa.

Dalam dunia yang serba canggih, bantuan tanpa sempadan boleh sahaja diusahakan dengan mengikut garis pandu negara masing-masing. Namun kecanggihan yang sesempurna mana pun tidak bermakna jika kecanggihan kita hanya pada peralatan dan bukan orang-orang sasaran kita.

Mereka yang benar-benar memerlukan bantuan tidak banyak meminta daripada sesiapa dan juga kehidupan. Kita yang lebih berupaya dan mampu seharusnya lebih peka terhadap kehendak-kehendak mereka.

Semoga hati kita lebih terbuka untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan kita dengan sebaiknya demi kesejahteraan semua, insya-Allah. Amin.

Salam
Rasiah Halil
4 – 5 Februari 2017.

2 Kuntum Puisi: ‘Penjual Jam Loceng’ dan ‘Kisah Daun Keladi’

Penjual Jam Loceng
 
Tiba-tiba muncul penjual jam loceng
awal pagi, suatu Jumaat
berlegar-legar di koridorku
‘Jam loceng, jam loceng, mahu beli, cik?’
aku terkejut, terlalu sibuk
& ingin segera bertugas.

Tanpa berkata, aku hanya memandang
wajah cerah berkaca mata, tubuhnya gempal
belum pernah penjual datang sepagi ini
apalagi menjual jam loceng
benarkah dia seorang penjual
atau sekadar pengingat
yang datang tiba-tiba
adalah isyarat
dari cembul waktu terhad?

Ditulis: 23 November 2000
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Kisah Daun Keladi

Yang mengalir daripada jiwa
sukar digomoli pura-pura
mengalirlah semahunya
dari daun, batang, ke akar tunjangnya.

Tapi semurni mana pun air itu
kalau disiram ke daun-daunmu
tiada yang akan berbekas
bak gerimis di padang pasir
secepatnya diserap, menghilang,
& daun-daun itu pun melebar
berbunga, bergoyang,
tanpa setitis pun air jiwa itu
meresap ke akar.

Ditulis: 8 – 9 Ogos 2006
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Kebajikan Dan Kita

Mukadimah

Setiap hari kita disogokkan dengan berita-berita peperangan, bencana alam, kebuluran dan sebagainya di dada-dada akhbar. Semua berita ini kadangkala menjadi suatu klise dan kurang merangsangkan daya haru dan simpati kita. Cuma sesekali, bila terpandang gambar kanak-kanak yang dibaham senjata kimia, wanita yang menggendong anak di khemah pelarian atau melihat wajah-wajah murung yang menderita kebuluran atau bencana alam, hati kita turut terguris. Dan kita mula bertanya, apakah yang telah kita lakukan bagi meringankan kesukaran-kesukaran yang dialami oleh lain manusia, dalam keadaan hidup kita yang sebegini selesa?

 Konsep Kebajikan

Konsep kebajikan bukanlah sesuatu yang asing bagi kita sebagai penganut agama Islam. Agama kita sendiri berteraskan kebajikan; bahawa tiap orang Islam itu diibaratkan seperti satu bahagian bangunan yang sokong menyokong. Masalah saudara kita bukan pula masalah ‘orang lain’ tetapi adalah  masalah kita juga yang perlu difikirkan dan dicari penyelesaiannya bersama. Dan konsep kebajikan dalam Islam bukan pula terbatas kepada orang-orang Islam sahaja bahkan menjangkau seluruh umat manusia dan makhluk-makluk lainnya.

Memandangkan hakikat ini kita mungkin dapat menilik dan menilai semula sejuah mana kita sebagai seorang Muslim dan manusia dapat memainkan peranan kita bila berhadapan dengan masalah-masalah yang memerlukan pengalaman konsep kebajikan ini. Menurut laporan akhbar Berita Minggu bertarikh 18 Oktober 1987 mengenai ‘Persidangan Bersama Majlis Tertinggi Masjid Sedunia dan Muktamar Islam’ yang diadakan di Makkah, lebih kurang 80 peratus pelarian di dunia kini terdiri daripada masyarakat Islam. Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini pula, satu perempat daripada pelarian dunia terdiri daripada orang-orang Afghanistan yang membuat khemah-khemah pelarian mereka di perbatasan Pakistan. Persidangan di Makkah itu telah menyarankan kepada pihak Rabitah al Alam al Islam agar mengadakan ‘pembentukan sebuah agensi penyelia kegiatan kebajikan untuk mangsa pelarian dan bencana alam’. Saranan ini amatlah baik dan kita berharap ia akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Umat Islam secara kesulurhannya bukanlah umat yang bakhil dalam membantu sesuatu usaha yang murni. Ini telah kita tunjukkan misalnya dalam membantu anak-anak yatim, orang-orang tua, kanak-kanak yang memerlukan rawatan di luar negara, mangsa kebakaran, mangsa bencana alam di Bangladesh, bantuan dan derma bagi ‘Sharity’ atau ‘Heart-Strings’ dan usaha-usaha kebajikan yang lain. Namun demikian, bantuan-bantuan ini dapat dihulurkan dengan lebih berpanjangan jika terdapat penyelarasan yang lebih rapi dan ia tidak bersifat musiman sahaja.

Beberapa tahun yang lalu Habsyah/Etopia dilanda kebuluran yang panjang. Badan-badan tertentu dan kumpulan-kumpulan muzik telah mengadakan berbagai acara besar-besaran bagi memungut derma untuk membantu orang-orang Habsyah. Dan tidak kurang pula orang perseorangan yang memberi bantuan dengan cara mereka sendiri. Di London misalnya, semasa berita kebuluran di Habsyah baru tersiar, beberapa orang muda yang sering memetik gitar di kaki-kaki lima, juga melancarkan bantuan mereka dengan memberi wang pungutan daripada nyanyian mereka, yang disalurkan kepada badan-badan tertentu. Dan ini berlaku sebelum adanya ‘Live Aid’ misalnya dan secara spontan juga timbul beberapa badan bagi memungut derma dan bantuan untuk Habsyah, tanpa campur tangan dari pihak pemerintah Inggeris. Kita mungkin terharu mengetahui tindakan spontan orang-orang muda tadi, yang sanggup mengorbankan satu-satu sumber rezeki mereka bagi membantu tujuan yang murni dan kita mungkin bertanya, bilakah di kalangan kita yang mampu dapat memberi perhatian kepada isu-isu kebajikan seperti ini?

Bilakah akan diwujudkan sebuah badan antarabangsa bagi menyelaraskan kerja-kerja kebajikan bagi orang Islam? Soalan ini dirasakan genting kerana tanpa mengambil perhatian dalam hal ini kita sebenarnya tidak menunjukkan konsep kebajikan yang ditekankan oleh Islam. Ia juga akan memberi gambaran yang kurang baik terhadap umat Islam; bahawa kita adalah masyarakat yang sanggup menerima bantuan tetapi tidak  sanggup memberi bantuan.

Telah wujud beberapa badan yang bertaraf antarabangsa bagi membantu pelarian, mangsa kebuluran, bencana alan dan sebagainya. Kita mungkin terfikirkan nama-nama seperti World Vision, Medical Aid For Palestine dan lain-lain. Tetapi sebahagian besar daripada badan-badan ini diusahakan oleh orang-orang bukan Islam, sedangkan penerima bantuan terdiri juga daripada orang-orang Islam. World Vision misalnya, mengadakan skim anak angkat, di mana seorang penderma boleh membantu seorang atau lebih kanak-kanak yang dijadikan anak-anak angkat mereka. Skim ini memastikan bahawa kanak-kanak tersebut mendapat bantuan makanan, persekolahan, tempat tinggal dan sebagainya terus menerus sehingga dia meningkat dewasa. Sayangnya skim seperti ini telah juga dijadikan sebagai satu bentuk dakyah bagi badan-badan tertentu mengembangkan agama mereka. Beberapa bulan yang lalu, misalnya, 11 orang kanak-kanak Bangladesh yang miskin telah dibawa oleh sebuah badan kebajikan antarabangsa ke Perancis untuk dijadikan anak-anak angkat sebenar kepada keluarga-keluarga Perancis. Usaha murni ini mungkin menimbulkan sedikit ketidak-senangan kerana kanak-kanak itu adalah kanak-kanak Islam sedangkan keluarga angkat mereka bukan daripada kalangan Islam. Bagaimana nanti pegangan kanak-kanak tersebut, sedangkan mereka memerlukan bantuan dan tiada badan Islam yang menghulurkannya?

Ternyata daripada beberapa keterangan ini, kita sebagai orang-orang Islam perlu melakukan sesuatu yang lebih mampat dalam usaha kebajikan. Kata penyair John Donne, manusia bukanlah sebuah pulau. Dan ini dirasakan benarnya apabila kita melihat bahawa kesejahteraan kita amat bergantung kepada kesejahteraan orang lain dan begitu juga sebaliknya. Bila lebih kurang 80 peratus pelarian dunia terdiri daripada orang-orang Islam, sama ada di Palestin, Afghanistan, Afrika dan sebagainya, dapatkah kita, seperti burung kasawari, menyembunyikan kepala ke dalam tanah, dan berkata, kita tidak ternampak sebarang masalah lantas tidak perlu melakukan apa-apa? Sebagai seorang Muslim setiap langkah dalam kehidupan kita dijuruskan kepada memenuhi tuntutan fardu ain dan fardu kifayah dan dengan hal yang demikian, masalah kebajikan ini seharusnya mendapat perhatian kita yang saksama.

Akhir Kalam

Mungkin beberapa perkara berikut dapat kita fikirkan bersama bagi menjayakan usaha-usaha kebajikan kita:

    1. mewujudkan sebuah badan kebajikan Islam yang bertaraf antarabangsa bagi menyelaraskan usaha-usaha kebajikan di peringkat antarabangsa dan negeri.
    2. Mengadakan berbagai skim bagi memudahkan bantuan sedunia, misalnya skim anak angkat seperti yang dilakukan oleh Medical Aid For Palestine dan World Vision.
    3. Mengadakan semacam tabung kebajikan khas bagi setiap pertubuhan Islam dan derma ini dibagi kepada dua, iaitu kebajikan di dalam dan di luar negara, mengikut keperluan.
    4. Memikirkan cara-cara bagi menyalurkan bantuan makanan kepada orang-orang yang memerlukannya, misalnya, membolehkan daging-daging korban diproses dan ditinkan dan kemudian diberi kepada pihak-pihak berkenaan dan tidak terbatas kepada musim haji sahaja tetapi sepanjang masa yang diperlukan. Sebahagian daging yang ditinkan ini boleh juga dijual di pasaran dan wang yang diperolehi disalurkan untuk membeli ubat dan lain-lain kemudahan bagi mereka yang memerlukannya.

NB: Kini (2017) terdapat banyak usaha di Singapura dan di luar Singapura oleh badan-badan bukan pemerintah (NGO), pemerintah dan orang perseorangan dalam usaha kebajikan ini. Namun, banyak lagi perkara boleh diperhalusi dan dipertingkatkan dalam bidang kebajikan ini untuk kesejahteraan semua.

Disiapkan : September – 14 Oktober 1988
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Tersiar : Majalah An-Nisaa’ (Majalah Persatuan Pemudi-Pemudi Islam Singapura/PPIS), 1988.
Tulisan: Rasiah Halil.

Yang ‘Kecil’ Dalam Sastera

eliot-1the-little-prince

Beberapa orang pernah bertanya, apakah mereka boleh menulis puisi atau cerpen sedangkan mereka tiada topik-topik atau tema-tema besar untuk diketengahkan. Pertanyaan mereka membuat andaian bahawa hanya perkara-perkara besar sahaja seharusnya menjadi bahan sastera  dan selagi kita belum boleh menulis sesuatu yang ‘besar’, kita tidak seharusnya menulis.

Sastera memang berpusar dari dan kepada kehidupan kerana ia tidak boleh wujud dalam hampawa/vakum. Namun, dalam kehidupan bukan semuanya besar atau menggugat dunia. Kekecilan sesuatu tema tidak pula bermakna ia tidak penting sebagaimana besarnya sebuah tema bukan pula bermakna ia penting. Pablo Neruda (1904-1973), penyair Chile, menulis puisi-puisi cinta, landskap, perjuangan dan isu-isu yang agak berat. Tetapi beliau juga terkenal kerana menulis puisi-puisi kecil misalnya puisi-puisi jenis ode mengenai jagung, garam, ikan tuna, buku, bawang dan sebagainya. Rakaman-rakaman kecilnya mengenai kehidupan sehariannya tidak pula bermakna beliau tiada bahan untuk ditulis atau kehidupan tidak lagi mengilhaminya. Perkara-perkara yang nampaknya kecil dalam puisi-puisinya sebenarnya menggambarkan besarnya tanggapan beliau terhadap kehidupan kerana tanpa yang mikro, yang berbentuk makro tidak akan terwujud. Yang kecil dari kehidupan seharian itu sebenarnya memberi semacam rempah ratus dalam masakan perpuisiannya. Dan sajak-sajak kecilnya bukan pula bermakna ia tiada nilai sastera kerana nilai seninya tetap terjaga rapi.

Demikian juga dengan penyair Amerika-Inggeris, T.S.Eliot (1888-1965). Terkenal kerana karya-karyanya yang berat dan simbolik misalnya ‘The Waste Land’ dan beberapa esei sastera yang menerjah pemikiran kita, beliau juga menulis puisi-puisi ‘kecil’ misalnya mengenai kucing dalam antologinya Old Possum’s Book of Practical Cats. Kita akan berfikir mengapa seorang cendekia sastera menulis mengenai kucing, tema yang kecil dan ringan. Namun tema dan topik sebeginilah yang menggambarkan penyair dan penulis Eliot dengan lebih lengkap. Persoalan-persoalan kecil dan besar dalam sastera sebenarnya adalah yang sama diperlukan dalam pengadunan sesebuah karya dan juga menampilkan jalur perkembangan seseorang penulis.

Antione de Saint-Exupery (1900-1944), penulis Perancis, menulis beberapa buku yang menggambarkan pengalaman-pengalamannya sebagai seorang juruterbang. Salah sebuah bukunya yang menjadi klasik merupakan bahan bacaan untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa berjudul The Little Prince. Bukunya kelihatan mudah difahami dan mengenai pertemuan seorang juruterbang yang terkandas di Gurun Sahara dengan seorang Putera Diraja. Kisah-kisahnya yang disampaikan Sang Putera inilah yang mudah difahami oleh kanak-kanak, sebenarnya memberi makna yang lebih mendalam bagi orang dewasa. Sang Putera bercakap mengenai bunga mawar, kambing, serigala, raja, ahli geografi, pemetik lampu dan lain-lain. Dengan pelukisan-pelukisan yang bersahaja dan mudah difahami, walaupun oleh seorang kanak-kanak, de Saint-Exupery juga menyelitkan kata-kata yang sarat dengan lambang misalnya: ‘What I see here is nothing but a shell. What is most important is invisible…..’

Demikian juga dengan sasterawan Usman Awang yang menulis dalam beberapa genre penulisan. Walaupun terkenal kerana rasa kemanusiaannya yang mendalam, namun banyak juga karyanya yang kelihatan ‘kecil’ atau menyentuh topik-topik yang tidak menggugat dunia, misalnya kisah cinta dalam drama ‘Serunai Malam’, cemburu dalam cerpen ‘Betisnya Bunting Padi’ atau berjenaka dan kelihatan menulis tema ‘kecil’ dalam puisinya ‘Pantun Moden’. Kita terhibur membaca karya-karyanya yang berat atau kelihatan ringan dan kecil kerana dengan kemahi-rannya menulis dan penghayatan seninya, karya-karya kecilnya sebenarnya ‘besar’ di mata khalayaknya.

Tidak semua penulis boleh melahirkan karya besar yang dianggap karya agung seperti novel War and Peace tulisan Leo Tolstoy (1828-1910). Namun Tolstoy juga tidak bermula dengan War and Peace; beliau bertatih dahulu dalam bidang penulisan sehinggalah tahun-tahun awal itu mengasah kemahirannya untuk melahirkan karya yang besar dari segi tema, skop dan halamannya, pada zaman dewasanya. Seorang penulis boleh sahaja menulis mengenai serangga, haiwan, daun keladi, pucuk ubi, kertas peperiksaan, sebatang pena, hujan menitis atau sebiji saga, yang kelihatan topik atau tema kecil sahaja. Namun, tema-topik biasa ini boleh sahaja menjangkau sesuatu yang besar jika ia dicipta dengan kemahiran, penghayatan dan kejujuran penulisnya. Sama seperti ada orang mengenengahkan topik atau tema yang besar misalnya mengenai kemajuan, perjuangan, isu-isu global dan sebagainya tetapi tanpa kebolehan mencerna apa yang dicipta dan kemahirannya sebagai penulis, idea-ideanya tidak kesampaian. Nanti yang tercipta sekadar slogan yang berbau kempen-kempen tertentu tetapi tidak menyentuh nurani, pemikiran dan perasaan kita sebagai pembaca.

Kadangkala penulis harus terus menulis walaupun dia tahu karyanya itu belum mencapai tahap yang tinggi kerana kesungguhan dan penghayatannya nanti akan mengasah bakatnya dalam bidang sastera. Kalau hanya topik atau tema besar sahaja yang dinantikan, besar kemungkinan tiada karya yang dapat dilahirkannya. Yang penting seseorang itu tidak berputus asa, menulis sejujurnya dan mengasah bakatnya. Topik atau tema kecil hanya pertimbangan kedua kerana apa yang dianggap kecil boleh sahaja menjadi besar dan memberi makna berganda kepada khalayak sasteranya.

Ditulis: 7 September 2005
Tajuk Yang Disiarkan Di Berita Minggu: Apa Saja  Boleh Jadi Bahan Tulisan
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada 25 September 2005
Tulisan: Rasiah Halil.

 

 

Cerpen: Ke Alam Ketenangan

Sudah lama aku duduk di kerusi empuk ini.  Tidak tahu apa yang mesti kubuat.  Buku-buku berselerak di atas meja yang menghala ke dewan rumahku.  Aku tidak menghiraukan.  Jam berdenting satu kali, menandakan pukul satu pagi.  Terasa kebimbangan dan keraguan merangkum seluruh jasadku.  Adakah hidup untuk derita?  Aku ingin pergi jauh jika hidup hanya untuk derita.  Dan air mata, mengapa kau mengalir?  Kau selalu menemani aku di malam sepi begini.  Malam … malam ini terasa berlainan daripada malam-malam sudah.  Ia seolah-olah mahu memujukku.  Ia seakan mengetahui rahsiaku.  Ah, aku tidak boleh turutkan perasaan.  Tangan, capailah buku-buku sastera di para-para buku itu.  Mata, renungkan sajak-sajak Chairil, Hardy, Keats, Owen, Amir Hamzah, dan Iqbal.  Hati, tenanglah sebentar.  Dan akalku, mari gambarkan kisah hidup yang paling indah.  Marilah ke Utopia.  Ketenangan … kau merapatkan hubunganku dengan alam dan sajak …

Penghuni rumahku telah lama tidur; kesunyian menyelubungi di sini.  Cuma sekali-sekala terdengar gonggongan anjing dari jiran sebelah rumah.  Si Timmy, anjing Mr. Seow, memang nakal.  Tak boleh diam sekejap.  Dan di atas mejaku ada tetamu juga. Seekor kumbang emas melanggar lampu mejaku.  Dia melanggar dan melanggar lagi.  Ting!  Ting!  Ting!  Kau mabuk,  aku bertanya, tapi sayang dia tidak mengerti.  Dia pun nakal juga.  Hampir tiap-tiap malam dia atau salah seekor daripada kawannya akan menerbang dan melanggar lampu mejaku.  Teman sejati di malam sepi.

Malam semakin larut.  Gonggongan si Timmy sudah sayup-sayup kedengaran; si kumbang kini berehat di belakang bukuku.  Angin malam berhembus.  Langsir menyapu-nyapu pipiku.  Angin menciumku.  Kau bawa pesan?  Daripada siapa?  Dia tidak mahu memberitahu.  Aku merenung bulan.  Dia tidak secantik kelmarin.  Malam ini dia ditutup awan.  Tapi kau boleh tersenyum, bukan?  Untukku?  Bulan, sampai hati kau.  Kan hampir setiap malam kita bersama?  Tolonglah aku, jangan ceritakan aku kisah derita dengan wajahmu yang muram.  Ah, kau cantik bila kau tersenyum.  Mengapa?  Ke taman?  Tapi, kan mawar dan anggerikku sudah tidur, pokok-pokok ru aku sudah berdengkur?  Kejut mereka?  Baiklah.

Aku ke taman.  Memang benar mawar, anggerik dan pokok-pokok ru aku sudah tidur.  Aku mengejut mereka dan menanti arahan dari bulan.  Mereka terpaksa menanti hingga panglima berkuda datang.  Mereka mesti menyaksikan aku pergi bersama panglima tersebut.  Itu sahaja arahan bulan.  Aku menanti.  Panglima berkuda?  Dialah panglima yang menjaga para-para bukuku.  Dia betul-betul serupa dengan ‘The Queen’s Life Guard’ yang terdapat di London.  Cuma sayang tangannya kodong sebelah dan dia pula tidak berkuda.  Aku gelarkan dia Admiral Nelson.  Tiba-tiba kedengaran bunyi kuda berlari.  Tepat seperti yang di janjikan, Admiral Nelson datang untuk mengambilku.  Pokok-pokok di tamanku melambai-lambai …

“Cepat,” katanya, “mereka sedang menunggu”.  Aku terus meloncat ke atas belakang kuda.  Aku tidak berani bertanya siapa ‘mereka’ itu.  Nelson memacu kuda putihnya.  Makin lama makin cepat pelarian kuda itu.  Kuda kami melalui gunung-ganang, padang-padang pasir dan tempat-tempat yang sungguh mengilhamkan, yang tidak pernah aku lihat.

“Kau suka pemandangan ini?” Nelson bertanya.

“Suka, tapi kita di mana?”  Dia tertawa girang mendengar pertanyaanku.  Tapi akhirnya dia terpaksa memberitahuku juga.

“Di alam idaman kau –- alam ketenangan.  Tapi kau mesti balik segera bila tiba masanya,” dia memesanku, seolah-olah aku Cinderella. Seketika, kami berhenti.  Aku turun dari kuda putih Nelson dan kemudian Nelson dan kudanya menghilang dari pandanganku.

Aku mencari-cari ‘mereka’ yang dikatakan menungguku.  Seorang pun tidak ada. Tapi tempat ini terlalu mengkhayalkan.  Cuacanya amat sesuai sekali; bukan malam dan bukan siang.  Langit kelihatan perang di sebelah timur dan berwarna biru muda di sebelah barat.  Ada pelangi yang bermula dan berakhir di bukit sebelah sana.  Dan di hadapanku berhamparan rumput-rumput hijau bagaikan permaidani.  Pokok-pokok bunga pun banyak terdapat.  Besar-besar dan cantik-cantik bunga-bunganya.  Ada yang memanggil namaku.  Aku tidak hiraukan.  Tempat ini terlalu indah dan mempesonakan.  Oh, di mana aku?  Syurga?  Mengapa banyak sekali burung-burung di sini?  Mereka menyanyikan lagu riang untukku? Dan binatang-binatang ini?  Mengapa mereka begitu jinak?

Ada yang memanggil namaku.  Siapa?  Orangnya berpakaian Melayu, lengkap dengan destar dan capalnya sekali.  Dia mengajakku pergi ke bukit tempat pelangi bermula dan berakhir.  Katanya namanya Hamzah.  Hamzah Fansuri*.  Entahlah, aku mengikut saja.  Di puncak bukit itu terdapat sekumpulan manusia yang menunggu kedatanganku.  Seorang daripada mereka, bermisai dan tertua daripada yang lain-lain, datang mendapatkan aku.  Orangnya peramah.

“Kau kenal kami bukan?” pertama pertanyaannya.  Agaknya aku kenal.  Wajah mereka seakan-akan pernah aku ketemu.  Dan dia yang bermisai?  Thomas Hardy*!  Ya, Hardy yang kupuja, Hardy yang kuminati sajak-sajaknya!  Di situ pula?  Owen?  Wilfred Owen*!  Oh!  Betapa gembiranya dia.  Dan di sana?  Amir Hamzah*, John Keats*, dan entah siapa-siapa lagi berkerumun di sebelah batu yang agak besar.  Mereka sedang membincangkan sesuatu dan nampaknya mereka sangat gembira di atas kedatanganku.

“Aku ingin menolong kau,” Chairil* membuka bicara dengan keakuannya. “Aku tahu jiwa kau tak tenang.  Kau selalu mencari-cari.  Aku akan cuba menolong kau mencari ketenangan.”

“Tapi bagaimana kau kenal aku, kau tahu rahsiaku?”  Mereka tertawa.  Tapi mereka bukan tertawa mengejek.  Ada satu keistimewaan dalam ketawa mereka itu.  Aku menangis kerana terlalu gembira.  Aku menangis lagi, kali ini entah mengapa pula.  Wilfred memujukku.  Oh, benarkah ini kenyataan atau mimpi?  Kan mereka semua sudah mati, bagaimana mereka boleh bersamaku?  Chairil dapat menangkap keraguanku, lalu menerangkan:

“Sajak-sajak aku dan mereka yang selalu kau baca itulah perantaraan antara alam kau dan alam kami.  Kami ingin kau mengecap kebahagiaan seperti yang telah kami kecap.  Dunia ini bukanlah tempat berduka, kebahagiaan dan ketenangan ada di mana-mana…”  Aku nampak mata Chairil berlinangan.  Oh Chairil, benarkah kebahagiaan ada di mana-mana?  Benarkah?  Aku menangis lagi.  Thomas Hardy mendampingi aku.

“Anak,” katanya, “selagi kau menjalankan tugas-tugas kemanusiaanmu, kau tetap benar.  Biar seribu mengatakan kau bersalah, tapi jangan takut jika kau tidak bersalah.  Hidup ini adalah satu cabaran, kau mesti berani menegakkan nilai-nilai hidupmu walaupun ada yang tidak menyetujuinya.  Kau tetap kau dan kau mesti membuktikan kecekapanmu dalam apa bidang pun yang kau pilih dalam hidup ini.  Jadi, jangan lagi bersusah-susah hati.”

Aku memeluk Hardy.  Kedewasaan umurnya dan kematangan kata-katanya memberi aku keyakinan baharu untuk terus hidup dengan sebenar-benar hidup.  Kemudian, Chairil dan Hardy memimpin tanganku menuju ke penjuru bukit itu.  Yang lain masih berbincang.  Aku dengar suara berfalsafah Hamzah Fansuri, suara tegas antiperang Wilfred, suara sayu Amir Hamzah, suara Keats dan suara dan suara …

Memandang dari penjuru bukit ini kelihatan pokok-pokok hijau yang melambai.  Kedengaran burung-burung berkicau riang, ombak laut nun jauh berirama dan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa.  Inikah kebahagiaan?  Tangan Hardy dan tangan Chairil begitu mesra di tanganku.  Tangan mereka memberi aku semangat untuk menghadapi segala rintangan.  Aku sungguh gembira bersama mereka.  Tapi alamku dan alam mereka jauh berbeza.  Alamku memerlukan aku untuk terus berusaha dan alam mereka menghendaki aku mencatat rasa.  Alamku … alam mereka … dua alam sama dicinta.  Aku … tapi kuda Nelson sudah sayup-sayup kedengaran.  Aku mesti pulang.  Mestikah aku?

Chairil memberiku sehelai kertas, tanda persahabatan kita.  Kau akan tolong aku, kan Chair?  Yang lain-lain mendoakan kejayaanku.  Dan yang paling sedih sekali ialah sewaktu aku berjabat tangan dengan Thomas Hardy.  Aku terlalu sayangkannya, sayangkan cara hidupnya, sayangkan kata-kata nasihatnya.  Kata-katanya masih terngiang-ngiang di telingaku …

“Anak, ketenangan dan kebahagiaan ada di mana-mana selagi kau pandai menerima hidup sebagai kurniaan Tuhan yang paling berharga.  Sejuta masalah dan sebarang kekacauan tidak akan menyekat kau daripada berterima kasih dan menggunakan hidup ini dengan sepenuh-penuhnya.  Pandai-pandailah …”  Dia mahu berpesan lagi tapi Nelson sudah tercegat di sisiku.  Aku mesti pergi.  Adieu pencari ketenangan … Chairil … Hardy … Aku menangis ketika Nelson menaikkan aku ke atas kuda putihnya.

Aku menangis dan menangis.  Tiba-tiba ketenangan alam sekitarku dipecahi oleh suara bilal dari masjid di sebelah lorong. Inikah ketenangan dan kebahagiaan?  Mengapa aku menangis.  Di mana aku?  Hardy?  Chairil?  Mataku menjalar ke meja.  Di atas meja berselerak buku-buku sastera.  Di manakah aku sebentar tadi?  Sehelai kertas usang terjatuh dari meja oleh tiupan angin malam.  Tertulis di dalamnya:

Panggillah aku bila kau kesunyian
Aku akan membawamu ke alam ketenangan.
– Chairil Anwar

Aku semakin terpinga-pinga.  Admiral Nelson?  Aku menoleh ke arah para-para bukuku. Soldadu plastik itu masih tersenyum dan menjaga setiap bukuku seperti biasa.  Tapi di sebelahnya tercegat seekor kuda putih.  Siapa taruh kuda plastik itu?  Aku tak tahu.  Dan surat ini, siapa yang beri?  Aku semakin hairan.  Benarkah aku telah bertemu dengan Chairil Anwar dan Thomas Hardy?  Mungkinkah aku ke sana lagi?  Atau saat inikah alam ketenangan yang dijanjikan Chairil menjelma?  Ayat-ayat suci dari Masjid Abdul Aleem Siddique, di Lorong K, Telok Kurau,  begitu tenang meresap ke hatiku.  Ketenangan dan kebahagiaan adakah bermula pada saat ini?

*Hamzah Fansuri – penyair sufi dan pemikir dari Aceh, abad 16 – 17 Masihi.
*Thomas Hardy – novelis dan penyair Inggeris, 2 Jun 1840 – 11 Januari 1928
*Wilfred Owen – penyair Inggeris, 18 Mac 1893 – 4 November 1918
*Amir Hamzah – penyair Indonesia, 28 Februari 1911 – 20 Mac 1946
*John Keats – penyair Inggeris, 31 Oktober 1795 – 23 Februari 1821
* Chairil Anwar – penyair Indonesia, 26 Julai 1922 – 28 April 1949

Ditulis  : Akhir 1973 (ditambah nama dan penerangan mengenai ‘Wilfred Owen’ pada awal 1974)
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tersiar : Ruangan Remaja, Radio Singapura (RTS) 1973 dan Jurnal Jejak Kembara, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Singapura,  Bilangan 11, 1978/79.