Makna Bertanggungjawab

Pertemuan Sri dengan beberapa orang baru-baru ini mengingatkan Sri akan peri pentingnya kita pandai memikul tanggungjawab. Bukan maksudnya orang-orang yang Sri temui ini tidak bertanggungjawab, tetapi terfikir pula oleh Sri, mungkin mereka kurang memberi perhatian makna tanggungjawab itu bagi kehidupan mereka.

Sri pernah terbaca daripada sebuah buku Inggeris bahawa tanggungjawab atau perkataan Inggerisnya responsibility itu sebenarnya ialah suatu ‘kebolehan untuk bertindak balas’ atau bahasa Inggerisnya: an ability to respond. Setiap kita diterjah oleh pelbagai gejala dan masalah dalam kehidupan ini; ada yang menyedihkan dan ada pula menggembirakan. Bertanggungjawab, dalam hubungan ini, bererti tindak balas kita terhadap gejala dan masalah yang menerjah kita berpatutan atau seimbang. Terlalu sedih dirundung nestapa akan hanya melarakan kita dan terlalu gembira dengan apa-apa pun yang kita alami mungkin membuat kita hanyut dalam erti kehidupan sebenar dan mungkin pula lupa daratan. Dan keseimbangan inilah boleh kita rumuskan sebagai keupayaan kita untuk belajar ‘menanggung’ dan juga ‘menjawab’ apa-apa pun jalan hidup yang telah kita tempah. Tidak berani menanggung mengenai satu-satu gejala atau masalah hidup, tentunya kita tidak berani menjawab apa pun yang berhubungkait dengan gejala tadi. Begitu juga jika kita tidak berani menjawab, tentunya kita tidak berani memikul apa pun yang perlu ditanggung.

Sri berpanjang lebar cuba menerangkan makna tanggungjawab ini mungkin kerana disedarkan hal ini oleh pertemuan yang tidak disengajakan itu.  Ada orang demikian dewasa bila berhujah dan anda termakan dengan hujahnya tetapi setelah anda mengkaji dengan mendalam, anda semakin diyakinkan orang tersebut sebenarnya ‘omong kosong’ sahaja. Tanggungjawab bagi orang begini sekadar bercakap bukan membuat sesuatu. Misalnya dia katakan dia bertanggungjawab terhadap diri dan kehidupannya tetapi tidak tanduknya bertentangan dengan pendapatnya itu. Dia berasakan dia dimangsakan, dan ini mungkin wajar bila anda memaklumi keadaannya tetapi berlarut-larut dengan hal tersebut dan hanyut dalam sungai ‘terlalu mengasihani diri sendiri’ tiada apa pun yang akan terhasil dengan keadaan dimangsakan itu. Ini bukan bermakna kita tidak boleh berasa sedih atau kecewa terhadap kejadian-kejadian buruk dalam kehidupan kita tetapi melihat beberapa orang yang hampir ‘tenggelam’ dalam hal demikian, tentunya secara waras kita akan katakan orang tersebut mesti memberi semacam noktah kepada perasaan-perasaan yang menghanyutkan itu. Dan kadangkala kita juga memangsakan diri sendiri dan dengan secara tidak langsung mewajarkan dan mendapat semacam ‘ganjaran’ tersirat daripada perasaan dimangsakan itu. Mungkin salah satu ganjaran tersirat itu ialah orang sentiasa mengasihani kita, lantas kerana ingin terus dikasihani, kita kekal dalam keadaan ‘dimangsakan’ dan tidak perlu berbuat apa-apa.

Sri teringat salah sebuah novel penulis Jerman-Swiss,  Hermann Hesse; seorang watak novel itu berkata: cara terbaik untuk membunuh seseorang ialah dengan membenarkannya melakukannya sendiri. Bukan, bukan maksudnya membunuh diri sendiri dengan cara-cara biasa tetapi membenarkan seseorang itu ‘membunuh diri’ secara tersirat dengan membuatnya tidak bertanggungjawab terhadap kehidupannya lantas dibazirkan dengan berlarut-larut dalam gejala yang tiada manfaat dan penghujungnya. Dan kita maklum, ramai juga manusia ‘membunuh diri’ secara tersirat ini dan membiarkan kehidupannya berlalu begitu sahaja.

Ada orang pula amat kecewa dengan manusia-manusia yang digantungkan harapan sama ada yang digantungkan itu berupa cinta, kasih sayang, persahabatan, usahasama perniagaan, cita-cita yang belum tercapai, wang ringgit dan lain-lain. Kerana terlalu kecewa, kita menjadi daun semalu; terus menutup diri dan tidak mahu menggulati kehidupan ini lagi. Kita berasa kehidupan ini amat tidak adil kerana mereka yang memangsai orang lain masih merajalela sedangkan kita pula seolah-olah terus terseksa. Orang yang anda cintai atau sahabat yang anda percayai rupa-rupanya mempermainkan cinta dan kasih anda atau pandai mempergunakan anda untuk kepentingannya. Hendak kecewa, bolehlah, tapi hendak berlarut-larut mengenainya hanya akan menyeksa jiwa kerana ini akan hanya membuat anda kurang bertanggungjawab terhadap diri anda. Seperti kata nenek Sri, kalau sesuatu perkara amat mengecewakan kita, hendak menangis, menangislah. Sudah puas kita menangis, kata nenek Sri lagi, kita mesti bertanya: apa yang harus kita lakukan selepas ini? Buat apalah dirundung kecewa seolah-olah selama-lamanya sedangkan orang yang mengecewakan anda itu tidak pun berasa apa-apa atau sudah pun beredar ke pusingan kehidupan yang lain.

Kata orang, kelebihan kita sebagai manusia bukan kerana kita tidak pernah buat silap tetapi kerana setelah tersilap sama ada dalam memilih kasih, kawan, rakan niaga, tempat pergantungan dan lain-lain, kita menggagahkan diri kita untuk bangun semula walaupun terpaksa bertatih untuk memulakan lagi kehidupan. Tanpa berani melangkah kita akan terus terjerat dalam semacam lumpur jerlus yang pasti menelan satu persatu semangat, jiwa, harapan dan ketahanan kita. Dan inilah semacam ‘membunuh diri’ kerana kita membiarkan keadaan seakan-akan memangsakan kita dan kita pula seolah-olah berlepas tangan dan tidak perlu bertanggungjawab terhadap kehidupan kita dan orang-orang yang kita kasihi serta mereka yang mengharapkan kehadiran kita. Hanya mereka yang diperkasakan jiwanya akan tahu erti tanggungjawab pertama-tama pada diri sendiri dan bagaikan pusaran konsentrik, melingkari juga keluarga, kerabat, masyarakat, agama dan negaranya.

Ditulis: 25 September 2002
Tajuk Yang Disiarkan Dalam Berita Minggu: Berlarutan Kasihani Diri Sendiri Bererti Anda Tak Bertanggungjawab
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 6 Oktober 2002
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s