Perihal Buku Dan Pembudayaannya

SalinaAngin Timur Laut

Pengenalan

Esei tulisan Kishore Mahbubani berjudul ‘Buying books in aid of literature’ tersiar di akhbar Sunday Times pada 3 Februari 2008, menarik untuk dibaca. Ada beberapa perkara pokok yang diutarakan Kishore, di antaranya termasuklah soal pemberian buku percuma penulis kepada orang lain dan juga membudayakan buku dalam keluarga, walaupun perkara-perkara ini bukan perkara baharu, tetapi ia tetap membuat kita berfikir mengenainya.

Pemberian Buku

Benarkah pemberian buku percuma oleh penulis kepada keluarga dan rakan taulannya selalu tidak menimbulkan kesan yang diingini, kurang dihargai, sebagaimana yang dialami Kishore dan ramai penulis lain? Apakah kerana kita tidak bersusah-payah mengeluarkan wang untuk mendapatkan buku tadi kerana diberi percuma, ia hanya akan tinggal sebagai bahan tambahan di rak-rak buku kita, tanpa membacanya? Saya fikir ini banyak bergantung kepada faktor lain. Kadangkala sesebuah buku memerlukan masa yang lama untuk dihadami dan kita pula mempunyai masa yang terbatas, lantas sukar untuk kita memberi tumpuan yang sepenuhnya jika diberi sesebuah buku dan siap dibaca dalam masa yang singkat. Dan adakalanya buku yang kita terima tidak termasuk dalam lingkungan buku-buku yang kita minati, lantas buku tadi diketepikan buat sementara waktu. Malah, ada buku-buku yang kita beli pun, kita terpaksa ketepikan kerana keterbatasan masa memerlukan kita menyelang-nyelikan pembacaan kita kepada beberapa buku pada masa yang sama.

Benar, apabila kita terpaksa membeli sebuah buku, besar kemungkinannya kita akan meluangkan masa untuk membacanya dan memberi maklum balas, sama ada secara tulisan formal, misalnya dalam bentuk ulasan, menulis kesan-kesan tulisan buku tadi di tepi-tepi buku atau di buku nota yang lain, untuk kegunaan peribadi atau kadangkala kita berdiam sahaja. Tetapi perkara ini juga berlaku semasa meminjam buku-buku dari perpustakaan. Bezanya dengan buku yang diberi percuma, pembacaan dan kesan yang kita terima mungkin lebih mengambil masa, kerana kita kurang tergesa untuk berbuat demikian, melainkan karya penulis tersebut benar-benar kita minati dan tidak sabar kita menantikan kelahiran bukunya.

Buku-Buku Yang Mengesankan

Satu yang ketara, sama ada seseorang pembaca itu diberi buku percuma, membeli atau meminjamnya, penghargaannya terhadap buku tersebut dan kesan pembacaan buku tadi bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa-paksa. Ada buku amat mengesankan kita tetapi mengambil masa yang agak lama sebelum kita dapat menulis mengenainya. Saya teringat membaca novel Salina (karya A. Samad Said), Angin Timur Laut (karya S. Othman Kelantan) dan Ranjau Sepanjang Jalan (karya Shahnon Ahmad) pada usia remaja tetapi saya tidak dapat melahirkan apa-apa kesan daripada pembacaan buku-buku tersebut ketika itu. Saya hanya tahu saya demikian terharu memikirkan nasib orang-orang di Kampung Kambing, Pantai Timur dan Banggul Derdap. Rasa terharu ini kemudian lebih kuat gemanya apabila saya lebih mendalami ketiga-tiga karya itu dan lebih memahami masalah-masalah yang menyaluti beberapa watak dalam ketiga-tiga novel tersebut. Hanya setelah semakin menapak dari usia remaja itu barulah kesan-kesan pembacaan ketiga-tiga novel itu menyedarkan saya kepada beberapa hal, berhubung dengan masalah kemasyarakatan tetapi juga mengenai keterampilan penulisnya mengolah cerita dengan baik dan berkesan. Bertahun-tahun setelah tidak lagi menjengah ke dunia kucar-kacir selepas Perang di Kampung Kambing, Singapura, dahsyatnya angin timur laut mencorakkan kehidupan nelayan di Pantai Timur atau deritanya petani dari Kedah seperti Lahuma, cerita-cerita ini sesekali meruangi juga pemikiran saya dan kemudian tulisan saya. Sukar mengenepikan kesan-kesan buku yang baik kepada kehidupan kita kerana kesannya tidak semestinya berlaku dengan serta-merta atau pada jangka waktu yang singkat sahaja.

Maklum Balas Mengenai Buku Yang Dibaca Atau Dicipta

Untuk mendapatkan maklum balas yang jujur dan serius setelah membaca sesebuah buku, seperti dikatakan Kishore, memanglah tidak semudahnya. Ada yang memberi maklum balas, tetapi penelahannya tidak mendalam. Ada yang membuat ulasan, tetapi isu-isu pokok yang diutarakan penulis dalam bukunya, tidak pula disentuh. Dan ada pula sekadar mencakar-cakar di permukaan kerana sebenarnya tidak menghayati apa yang ditulis oleh seseorang penulis itu. Dan terdapat juga maklum balas yang diberi tidak sejujurnya kerana pemberi maklum balas sekadar memuji-muji kawan sendiri dan sebagainya.

Seorang mahaguru saya pernah bertanya: apakah buku-bukunya tidak mengesankan masyarakat Melayu-Islam Singapura? Mahaguru ini terkenal seantero Nusantara, malah buku-buku dan kajian-kajian ilmiahnya mendapat perhatian pemikir-pemikir di luar Nusantara. Tetapi jarang benar beliau mendengar maklum balas mengenai buku-bukunya, kecuali dalam majalah/jurnal kampus dan perbincangan di kalangan mahasiswa dari unversitinya. Dan buku-bukunya bukan calang-calang, malah menerjah kita untuk berfikir dan memikirkan beberapa hal seperti persoalan mitos peribumi yang malas, kajian mengenai timbulnya rasuah dan kesannya, peranan intelektual dalam negara membangun dan sebagainya. Saya pernah menjawab: orang Melayu-Islam bangga terhadap sumbangan beliau tetapi soal mendapatkan maklum balas ini mungkin sukar sedikit. Agaknya sesetengah kita lebih suka berdiam, kerana diam bagaikan pengantin perempuan, bermakna setuju, walaupun yang diperlukan sang mahaguru ialah maklum balas dalam bentuk perbincangan dan tulisan mengenai idea-idea dalam buku-bukunya. Demikianlah betapa besar peranan maklum balas yang jujur kepada penulis, hatta walaupun beliau seorang mahaguru yang terkenal dan berwibawa.

Prasarana Untuk Membudayakan Buku

Satu lagi perkara yang diutarakan Kishore ialah mengenai membudayakan buku, iaitu mengadakan rak-rak buku dalam rumah kita. Perkara ini pernah disentuh oleh beberapa penulis lain, termasuk saya, dahulu. Rata-ratanya masyarakat Melayu dan masyarakat Singapura kurang mengambil berat hal ini. Bila kita berpindah ke rumah baharu atau mengubah elok rumah, banyak perkara yang kita beri perhatian, tetapi jarang benar kita mengadakan ruang untuk rak-rak buku dan usaha-usaha berkaitan dengannya. Seperti kata Kishore, kita sanggup membeli TV plasma yang mahal, barang-barang elektronik yang mahal dan canggih tetapi rak-rak buku yang tidak seberapa harganya, tidak pula kita endahkan. Kalau ada pun ia mungkin sebagai bahan perhiasan, bukan sebagai tempat untuk mendekati buku dan ilmu.

Mengadakan rak-rak buku dan ruangan untuk buku bukanlah sukar atau mahal dilakukan. Rak-rak buku juga boleh juga dibuat sendiri, tanpa membelinya dari gedung. Seandainya kita tidak mampu membeli buku dan majalah yang baik, kita boleh mendapatkan buku dan majalah terpakai atau meminjam daripada perpustakaan dan meletakkannya di rak-rak tadi buat sementara. Wujudnya ruang untuk buku sebegini boleh menimbulkan suasana yang selesa untuk ahli keluarga kita bermesra dengan bahan bacaan yang baik. Kesannya tentulah pelbagai.

Ada orang mengadakan ‘hari membaca’ bagi keluarganya, lantas semua anggota keluarganya akan membaca buku atau majalah pada hari tersebut. Bayangkan berapa banyak bahan bacaan dapat dibaca dan mungkin juga dibincangkan oleh keluarga tersebut jika budaya mencintai buku ini diamalkan oleh sebilangan besar masyarakat kita. Lebih ramai yang akan diperkayakan kehidupannya dengan ilmu, banyak buku yang akan terbit, ramai lagi penulis akan muncul dan usaha-usaha memartabatkan keilmuan, dan bukan hanya yang bercorak hiburan, akan lebih meruangi kehidupan kita. Semua usaha ini bukanlah sesuatu yang dapat menimbulkan kesan baiknya dengan serta-merta bagai mi segera tetapi ia akan mengambil masa. Seorang penulis yang baik tidak tiba-tiba muncul tanpa bertahun-tahun dipersediakan untuk tugasnya melalui pengasuhan, pendidikan dan ilmu. Selain manusia-manusia yang rapat dengannya yang membentuk peribadi dan kecenderungannya, bukulah yang telah mencorak-warnakan kehidupannya. Membudayakan buku bererti kita membudayakan ilmu dan ilmu yang baik itu selalu melorongkan kita ke tangga kejayaan, walaupun kejayaan itu tidak semestinya adanya nama yang gemilang, wang yang banyak atau pangkat yang besar. Tetapi ilmulah, yang dilambangkan dengan buku, yang membolehkan kita menjelajah ke pelbagai zaman, makhluk, masyarakat dan persoalan, menyedarkan kita akan kayanya kepelbagaian kehidupan. Dan tidak perlu kita menjadi seorang mantan duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations), sebagaimana Kishore Mahbubani, untuk mengetahui ini

Ditulis: 6 Februari 2008
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada Februari 2008 dengan tajuk atau tajuk-tajuk berlainan (tulisan yang tersiar entah di mana tersimpan).
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s