Catatan 7-8 Mac 2017

1. Pelbagai fikiran  ingin saya kongsikan sejak masukan terakhir blog saya pada Februari lalu. Tetapi ini tidak kesampaian. Saya disibukkan oleh beberapa tugas, kesihatan saya sedikit terganggu, ada pertemuan-pertemuan yang tidak dijangkakan dan terdapat juga berita-berita yang menyentak perasaan.

2. Ada dua berita kematian di kalangan kerabat saya Februari lalu. Seorang, anak saudara arwah Busu saya, merupakan peniaga yang dikenali di daerah Geylang Serai. Beliau lama menderita sakit barah dan meninggal dunia pada 13 Februari lalu. Sikapnya yang ramah dan dermawan  serta  mengambil berat terhadap mereka yang ditemui, termasuk pekerja asing, mengingatkan kita kepada kebaikan yang sentiasa ada di hati manusia.

Seorang lagi, Hajah Jauyah binti Haji Hashim, merupakan ibu kepada adik ipar saya di Brunei. Allahyarhamah lahir pada 1923 dan meninggal dunia pada 20 Februari lalu. Saya memanggil Allahyarhamah ‘Babu’, yang bererti ‘ibu’ dalam bahasa Brunei.  Orangnya tidak tinggi tetapi semangat berdikarinya tinggi – beliau ada perniagaan menjahit dan dahulu pernah menjahit untuk permaisuri Brunei.

Saya menemui Babu semasa saya melawat Brunei pada 1986 dan mulai 28 Februari 1987 sehingga April 1990, ketika saya bertugas di Universiti Brunei, saya ada juga menemui Babu di rumahnya dan juga di rumah kedua-dua orang anaknya. Orangnya suka bercakap dan  kelihatan cepat bergerak dan bertindak.

Satu kenangan saya dengan Babu yang sukar saya lupakan ialah anggapannya bahawa saya seorang pendengar yang baik terhadap apa pun percakapan dan pandangannya.  Sesekali pada tahun-tahun 80-an itu, saya singgah ke rumah Babu, setelah pulang dari bertugas atau semasa hari cuti umum. Rumahnya tidaklah terlalu jauh dari rumah adik ipar saya. Babu ramah dan suka berbual. Saya mendengar dengan teliti perbualan-perbualannya dan selalu berkata: ‘Ya, Babu’, setiap kali saya berasa perlu menyambut perbualannya. Babu memberitahu adik ipar saya, beliau suka bercakap dengan saya kerana saya seorang pendengar yang baik. Sebenarnya, seperti saya nyatakan kepada adik ipar saya, separuh daripada percakapan Babu yang menggunakan bahasa/dialek Brunei, tidak saya fahami. Lantas saya hanya tersenyum, mengangguk dan berkata ‘ya, Babu’. Bahasa/dialek Brunei sebagaimana bahasa/dialek Malaysia dan Indonesia, menyenangkan saya mendengarnya walaupun tidak semua tutur kata dalam bahasa/dialek tersebut saya fahami.

Babu telah lama sakit dan wanita yang dahulu begitu cergas, tidak dapat lagi secergasnya pada tahun-tahun terakhir kehidupannya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Babu dan seorang kerabat saya serta mereka yang telah berpulang ke rahmatullah dan menempatkan mereka di kalangan hamba pilihan-Nya di syurga. Amin. Al-Fatihah.

3. Menjelangnya bulan Mac membawa berita pemergian dua orang seni, seorang di Singapura dan seorang lagi, di Malaysia.

M. Ishak, penyanyi zaman Pop Yeh Yeh, meninggal dunia pada 2 Mac lalu. Sesiapa yang membesar pada tahun-tahun 60-an dan 70-an dahulu, pasti mengenali Allahyarham. Saya beberapa kali tertembung beliau di  Geylang Serai, terutamanya di  kawasan Pusat Penjaja Haig Road, yang dinamakan ‘Liverpool’ Singapura. Ada sahaja kawan-kawan yang menemani beliau, termasuk penyanyi zamannya. Mungkin itulah kebahagiaan mereka – dapat bersama, bersantai dan mengenang masa silam.

Saya pernah menulis dahulu mengenai menghargai dan mengabadikan sumbangan seniman kita. Sebelum terlalu terlambat, semoga ada usaha untuk mendokumentasikan zaman Pop Yeh Yeh, yang bermula di Singapura dan kemudian bertali-arus ke Malaysia dan diikuti di Nusantara. Kumpulan anak-anak muda ini bukan hanya boleh bermain muzik, malah mencipta lagu dan seni kata, yang masih menjadi kenangan bersama (collective memory) kita. Selain kugiran dan penyanyi utama mereka, terdapat penulis seni kata lagu yang baik, misalnya Allahyarhamah Salamah Basiron. Kita belum banyak mendokumentasikan penyumbang dan sumbangan zaman Pop Yeh Yeh. Pemergian M. Ishak mengingatkan kita, terutama pihak-pihak yang berkaitan yang mahu melestarikan sumbangan seni zaman tersebut, agar bertindak cepat sebelum terlambat. Kita tidak seharusnya sekadar bernostalgia tetapi tidak melakukan apa-apa untuk mengekalkan sumbangan seni penggiat seni muzik kita dalam bentuk dokumentasi atau mengadakan pelbagai lowongan agar mereka masih boleh terus memberi sumbangan seni mereka.

Pemergian Tan Sri Dr Jins Shamsuddin pada 1 Mac lalu tentunya mengharukan ramai orang. Allahyarham terkenal sebagai pelakon sejak 1957 apabila menjadi pelakon utama, Suria Kencana, dalam filem arahan P. Ramlee, ‘Panca Delima’.  Beliau menjadi pujaan ramai orang, termasuk saya. Filem pertamanya yang saya tonton di Panggung Queen, Singapura, pada 1961 berjudul ‘Si Tanggang’. Dan beberapa filemnya kemudiannya saya tontoni, termasuk filem-filem arahannya.

JSSatuth[1]th[6]

thTE38LTRMdownload (4)th51DL3O9Y

download (3)th39T073X4js

 

 

[Gambar-gambar di atas diambil dari Internet. Dua gambar terakhir diambil pada 24 November 1993 di Dewan Bahasa dan Pustaka dan perkarangannya semasa saya menghadiri dan menyampaikan kertas kerja dalam ‘Siri Dialog Puisi Nusantara’ anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.  Gambar-gambar ini disiarkan dalam Majalah Nona, keluaran 15 -28 Februari 1994.]

Saya bertemu Allahyarham dalam satu pertemuan sastera di Perak pada 1980 .Beliau membaca puisi dan saya terkejut beliau hadir dalam majlis tersebut. Selepas majlis, beliau bertemu khalayak. Arwah  gembira bila mendengar saya dan seorang kawan datang dari Singapura. Saya tergamam kerana hero saya ada di hadapan mata dan mula berbual tetapi kerana tergamam, saya berbual dalam bahasa Inggeris dan bertanyakan mengenai filem-filem arahannya. Ketika itu ‘Menanti Hari Esok’ sudah pun ditayangkan dan filem ‘Esok Masih Ada’ belum atau baru ditayangkan. Bagi saya, bahasa Melayu merupakan bahasa jiwa dan emosi saya, kalau saya tuturkan semasa tergamam, saya lebih beremosi. Beliau tersenyum dan ramah orangnya. Kawan saya mengusik, hero saya rambutnya sudah luruh tetapi bagi saya, beliau tetap hero saya sebagaimana P. Ramlee, Ahmad Mahmud, Aziz Jaffar, Mustaffa Maarof dan beberapa orang lagi.

Kali kedua, saya bertemu Allahyarham di Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia pada 24 November 1993. Beliau menghadiri acara ‘Siri Dialog Puisi Nusantara’. Saya menyampaikan kertas kerja mengenai ‘Puisi Melayu Singapura’ dan membaca sebuah cerpen saya pada siang harinya. Saya dapat  bergambar dengan beliau dan beberapa gambar saya yang lain bersama penulis dan peserta serta wawancara, disiarkan dalam Majalah Nona, pada Februari 1994. Acara Dewan Bahasa dan Pustaka itu diteruskan pada malam tersebut atau keesokan malamnya. Saya membaca sajak berjudul ‘Perca Kehidupan’. Dalam sajak tersebut (ada dimuatkan dalam blog ini dahulu) ada menyebut nama beberapa orang seni, termasuk nama Jins Shamsuddin. Saya memilih sajak ini lebih awal, semasa diminta penganjur ketika saya berada di Singapura. Dan sajak tersebut didengar Allahyarham, yang hadir dalam majlis deklamasi puisi itu.

Allahyarham membuat persembahan sebagai pelakon pentas di Singapura pada akhir tahun-tahun 1990-an atau awal tahun 2000 dahulu. Beliau bermonolog dalam drama tulisan Kuo Pao Kun, ‘The Coffin Is Too Big For The Hole‘ yang telah diterjemahkan ke bahasa Melayu. Lakonannya hebat. Setelah lakonan itu, beliau beredar ke tempat duduk penonton kerana bertemu dengan seorang kawan lama, yang juga merupakan kawan Allahyarham P. Ramlee dan Saloma. Saya duduk tidak jauh dari kawan beliau tetapi saya terlalu segan untuk menyapanya. Bagi saya, dapat menonton lakonan pentas Allahyarham merupakan sesuatu yang sudah cukup menggembirakan saya.

Apakah sumbangan seorang Jins Shamsuddin kepada dunia seni kita? Sumbangannya banyak dan kehidupan kita turut diwarnai kerana adanya orang-orang seperti beliau. Ada hasratnya tidak kesampaian – untuk membuat filem mengenai perpisahan Singapura dari Malaysia kerana perpisahan kedua-dua negara ini ada sentuhan peribadinya bagi diri Allahyarham. Hasrat beliau untuk membuat filem sejarah mengenai Pasir Salak juga tidak tercapai. Dan seperti seniman Jalan Ampas dan Cathay Keris yang lain, beliau juga melalui pelbagai liku untuk terus menjadi anak seni setelah studio-studio filem di Singapura ditutup. Dan beliau juga bergelut dengan beberapa masalah peribadi yang sesekali terpancar juga dalam filem-filem arahannya. Namun, semangat juangnya dan kecintaannya kepada seni, ilmu dan majlis ilmu, sehingga mendapat Phd pada 2010, merupakan hal-hal yang membanggakan kita. Allahyarham juga sempat merakamkan biografinya, Suria Kencana, yang ditulis oleh Mohd. Zamberi A Malek pada 1998.

Seniwati Sarimah pernah berkata, setiap kali filem-filem seniman dahulu ditayangkan, tiada satu sen pun diberi kepada para seniman itu. Inilah kontrak buat filem pada zaman dahulu, berbeza dengan kontrak filem di Hollywood.

Mungkin masih belum terlambat agar beberapa usaha dapat dijalankan agar kontrak-kontrak filem dan yang berhubungkait dengannya lebih memanfaatkan seniman kita. Dan mudah-mudahan akan ada lebih banyak kajian dan dokumentasi mengenai  Allahyarham Jins Shamsuddin dan para seniman silam kita yang dibuat sesaksamanya.

Lebih banyak cerita Allahyarham yang dikenang keluarga dan rakan taulannya, saya pasti. Yang saya berasa sedikit kurang senang, mengapa dalam Wikipedia berbahasa Melayu atau pautan-pautan tertentu, gambar Allahyarham yang uzur diketengahkan? Kita tahu Allahyarham uzur sebelum pemergiannya tetapi adalah lebih baik jika gambarnya semasa beliau sihat dipaparkan dan boleh sahaja ditulis bila gambar tersebut dipetik. Kita tidak meminta gambar Allahyarhan yang terlalu muda belia dipaparkan dalam pautan seperti Wikipedia atau pautan-pautan tertentu, tetapi pilihlah gambar yang tidak merendahkan martabatnya. Demikian juga dengan seniman-seniman kita yang lain, yang telah berpulang ke rahmatullah.

Kita masih ada orang-orang seperti Nona Asiah, Rosnani, Hashimah Yon, Zaiton, Sarimah, Ruminah Sidek, A. Bakar Ali (jurugambar zaman P.Ramlee), Wahid Satay, Mat Sentol dan mungkin beberapa orang lagi. Lakukanlah sesuatu agar penglibatan dan pengetahuan mereka dapat dimanfaaatkan dan didokumentasikan. Dan juga golongan pelapis mereka yang kini juga sudah meniti usia senja. Pelbagai cara, sama ada dengan  memberi geran penulisan/kajian, membolehkan mereka menjadi pensyarah/penceramah seni, menulis biografi atau autobiografi selain dokumentari boleh diusahakan, sebelum terlambat. Orang-orang seni ini, sebagaimana Allahyarham Jins Shamsuddin sudah pun memberi sumbangan mereka kepada dunia seni kita, inilah masanya sumbangan itu kita perpanjangkan lagi dalam pelbagai cara untuk kemanfaatan mereka dan dunia seni kita.

Semoga Allah mencucuri rahmat kepada roh Allahyarham Jins Shamsuddin, M.Ishak dan semua seniman kita yang telah berpulang ke rahmatullah. Dan semoga mereka ditempatkan di kalangan hamba pilihan-Nya di syurga. Amin. Al-Fatihah.

4. Dalam bulan Februari dan awal Mac juga saya menerima berita-berita yang tidak disangka-sangka. Seorang kawan baiknya tiba-tiba dimasukkan ke hospital. Kami sudah berkawan sejak tahun-tahun 70-an lagi dan telah melalui pelbagai suka-duka kehidupan. Saya benar-benar terperanjat kerana tidak mendengar beliau sakit teruk, tiba-tiba dimasukkan ke  hospital. Alhamdulillah kesihatannya bertambah baik walaupun masih dalam pengawasan doktor.

Seorang lagi kawan, guru geografi yang pandai berpantun secara spontan dalam bahasa Melayu dan Inggeris dan semasa di kampus dahulu saya menggelarnya ‘Hero Hindustan’ (beliau tiada darah India atau Pakistan), tiba-tiba kami dapat berita beliau sakit. Beliau sudah menjalani kemoterapi berpuluh kali kali. Saya tersentak betul. Inilah orangnya semasa di kampus memanggil saya ‘Kak Rasiah’. Apabila semakin dewasa, bekerja dan berumah tangga, beliau memanggil saya ‘Rasiah’. Dan semasa pelancaran dua buku saya pada Disember 2007 dahulu, beliau mendekati saya dan memanggil saya ‘Kak Rasiah’ sekali lagi. Beliau juga memberitahu beberapa orang kawan, saya adalah kakaknya, walaupun kami tiada pertalian darah. Orangnya baik, sebagaimana kawan baiknya, yang saya gelarkan ‘Ratno Timoer’ (pelakon Indonesia).

Saya mendoakan agar beliau tabah menhadapi dugaan kesihatan ini, sebagaimana kawan saya yang seorang lagi. Dan semoga Allah memberi penawar kepada penyakitnya. Amin.

Seorang lagi kawan baik saya dari Malaysia, tiba-tiba memberitahu dia, suami dan seorang anaknya akan ke Singapura dan ingin bertemu saya dan dua orang lagi kawan saya. Kami bersekolah bersama dan walaupun tinggal berjauhan, masih berhubungan. Dalam pelbagai kesibukan dan gangguan kesihatan, saya sempat berjumpanya. Betapa masa telah merubah wajah kami – daripada wajah segar kerana begitu muda belia, kini sebilangan kami sudah pun bertaraf nenek – tetapi keikhlasan yang menyaluti persahabatan kami tidak pernah luntur. Saya bahagia dapat berjumpa kawan-kawan lama ini. Sebagaimana saya bahagia bila ada kawan-kawan lama, zaman sekolah rendah/awal remaja saya berjumpa, bertanya khabar atau mengirim makanan dan buah durian belanda untuk saya. Begitu juga dengan sebilangan keluarga berangkai dan kerabat saya yang selalu mengingatkan saya bahawa mereka prihatin terhadap saya dengan pelbagai cara semasa hari-hari biasa, hari istimewa mahupun hari kebesaran yang kita raikan bersama.

5. Di Singapura ada beberapa berita menarik perhatian saya. Saya gembira dan teruja apabila Menteri Kewangan Singapura, Encik Heng Swee Keat membentangkan Belanjawan Singapura di Parliamen pada 20 Februari lalu. Bukan, bukan pasal belanjawan tersebut – perkara ini, orang lebih mahir mungkin dapat lebih memperincinya. Saya gembira melihat Encik Heng semakin sihat setelah rebah dan koma pada Mei 2016 lalu.

Di Singapura juga ada berita mengenai basikal-basikal berjenama ‘ofo’  dan ‘OBike’ mula terdapat di tempat-tempat awam bagi meletak basikal. Bayaran untuk menyewa basikal-basikal  ‘ofo’  dan ‘OBike’ murah. Yang menghairankan, bagaimana perniagaan sebegini boleh menyelinap di tempat-tempat awam tanpa halangan dan tidak pun membayar sewa, sebagaimana kedai-kedai yang menyewakan basikal. Tentu ada silapnya sedangkan kita sebagai orang awam, jika meletakkan basikal atau lain-lain pengangkutan sembarangan akan disaman.

Sungei Road atau dinamakan juga ‘Robinson Petang’ oleh orang-orang dahulu, akan ditutup pada 10 Julai 2017 ini. Sungei Road, yang juga dinamakan ‘Thieves Market‘ wujud sejak tahun-tahun 1930-an lagi dan ia merupakan tempat untuk mendapatkan pelbagai barang yang sukar didapatkan di tempat-tempat lain. Sungei Road juga merupakan tempat berniaga kecil-kecilan bagi mereka yang tidak mampu menyewa gerai.

Sebahagian besar tempat-tempat yang bermakna bagi rakyat Singapura kini semakin hilang dalam peta Singapura – hanya berpeta dalam kenangan kita sahaja. Benar, sebagai negara kecil kadangkala kita tidak mampu terlalu dihanyut nostalgia tetapi sebagai masyarakat, apalah ada yang dapat membumbui kebersamaan dan kenangan kita, kecuali pelbagai kenangan dengan orang-orang dan tempat-tempat yang kita sudah terbiasa. Inilah landskap kenangan bersama kita.

Saya berharap, walaupun Sungei Road akan ditiadakan, akan diusahakan juga oleh pihak berwajib untuk memberi tempat lain yang berdekatan, sebagai gantinya. Peniaga-peniaga kecil-kecilan, yang sudah lanjut usia ini, tidak semudahnya mencari nafkah. Dan barangan yang mereka jual, ada juga yang berminat membelinya. Benar, tanah tempat perniagaan mereka akan dibangunkan dan pulangannya bukan kecil bila Sungei Road menjadi bangunan kediaman atau perniagaan. Tetapi bukan semua perkara boleh ditimbang dengan neraca wang – berilah kesempatan agar secebis kenangan kita ini dapat juga dikekalkan.

Kini begitu mudah berita tersebar di merata tempat. Kadangkala tidak semua berita itu seratus peratus benar dan orang-orang yang giat menulis dalam media sosial boleh sahaja bertindak tanpa usul periksa yang mendalam. Akibatnya, perkara yang wajar, boleh sahaja dinilai tidak wajar kerana konteks yang silap atau perkara yang tidak wajar, boleh sahaja dianggap wajar kerana banyak penyokongnya. Inilah yang boleh menyukarkan keselesaan kita sebagai sebuah masyarakat yang berinteraksi dengan pelbagai bangsa dan agama dalam negara yang majmuk. Semoga kita lebih saksama membuat pertimbangan, tidak mudah melatah, menuduh, menghukum dan menggunakan kata-kata yang kurang sopan hanya untuk kelihatan benar. Kebenaran itu tidak pernah berbohong dan tidak perlu disaluti hal-hal ketidakjujuran, ego dan kepentingan diri sendiri.

5. Banyak perkara boleh sahaja meresahkan kita meniti hari-hari mendatang. Mudah-mudahan dengan diduga pelbagai cara sebagai individu mahupun masyarakat, kita tidak mudah patah semangat. Dugaan dan cabaran itu boleh sahaja mengejap dan memperhaluskan matlamat kita dan mudah-mudahan menjadikan kita insan-insan yang lebih tabah dan berlapang dada. Apa pun dugaan, sebagaimana dilantunkan dalam lagu ‘Dondang Sayang’ ini  akan lebih menertipkan semangat juang kita dan memperkasa jiwa kita untuk menuju ‘Pulau Harapan’ kita, insya-Allah.

Salam
Rasiah Halil
7 – 8 Mac 2017.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s