Apa Salahnya Menyingkap Kenangan Silam

Katong 1Katong 2Sebuah pantun/lagu lama sering terngiang-ngiang di telinga Sri sejak seminggu dua ini:

Di Tanjong Katong airnya biru
Di situ tempatnya mencuci mata
Duduk sekampung lagikan rindu
Inikan pula nun jauh di mata…

Bukan, bukan Sri tiba-tiba hendak menyanyi; takut pula Sharifah Aini dan lain-lain tidak mahu menyanyi lagi setelah terdengar suara Sri. Cuma rasa hati macam hendak menyanyi bila mendengar berita beberapa kawasan yang akan dikekalkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA). Salah sebuah kawasan itu ialah daerah Katong.

Memang terdapat beberapa kawasan begitu bersejarah bagi sebilangan kita walaupun kawasan tersebut telah tiada dalam peta Singapura. Tanyalah mereka yang pernah menginap di kawasan-kawasan demikian, baik apa pun bangsa; kecuali kenangan hidup di tempat-tempat tersebut terlalu pahit, kebanyakan kita terasa nostalgik terhadapnya. Seorang kenalan Sri, berbangsa Tionghua, amat gemarkan bunga walaupun yang ditemui di tepi-tepi jalan kerana beliau membesar di kawasan kampung di daerah Changi dan daerahnya banyak bunga. Setelah dewasa, berumah tangga dan berpindah, bunga-bunga yang ditemui di tepi-tepi jalan tetap mengingatkan-nya pada kampung kecil tempatnya membesar pada suatu masa.

Dan sesetengah kita pula akan terkenangkan cara kehidupan di satu-satu kawasan: dari penghuninya yang pelbagai kerenah, lorong-lorongnya yang bagaikan bercerita, penjual goreng pisang, rojak, nasi lemak, kuih-muih, kedai mama, nyonya jiran sebelah, tempat main tingting, guli, bola hentam, rounders, mahupun tempat kita belajar mengaji, berehat, dan sebagainya. Walaupun sistem paip air dan tandas di beberapa kawasan itu mungkin tidak begitu selesa, namun yang istimewa di kawasan-kawasan tersebut pun banyak juga, bukan sekadar kemudahan-kemudahan moden saja.

Hati Sri tidak pernah terpikat dengan Orchard Road atau kawasan seperti itu kerana Orchard Road terdapat di mana-mana. Tapi Katong lain; demikian juga beberapa kawasan seperti Geylang Serai, daerah Kaki Bukit/Jalan Eunos, Arab Street/Kampong Glam dan lain-lain. Sama seperti Chinatown dan Serangoon begitu unik demikian juga kawasan-kawasan ini bagi Sri.

Dengan perubahan Singapura begitu pesat dan pengaruh dari luar semakin hebat serta pergerakan manusia tidak boleh disekat, mengekalkan jati diri dan menanjapkan ‘akar’ kita pada satu-satu kawasan dapat secara tidak langsung, menarik anak muda kita terutamanya selain penghuni-penghuni lain, kekal menyayangi daerah perumahannya dan juga negaranya. Tanpa ikatan simbolik ini selain faktor-faktor lain, lebih mudah bagi sesiapa sahaja bersikap tidak peduli, kerana rumahnya sekadar tempat tinggal dan kawasan perumahannya tidak pula dianggap ‘kampung’ lantas tidak perlu dia menanjapkan akar untuk melihat pohon kehidupannya dan orang-orang di sekelilingnya sama-sama membesar. Kawasan perumahannya sekadar sebuah hotel besar.

.Sri agak sukakan kawasan Katong yang meliputi juga kawasan-kawasan Mountbatten Road, Dunman Road, East Coast Road, Koon Seng Road, Joo Chiat, Telok Kurau, Siglap, Opera Estate, Frankel dan Marine Parade. Sri lama membesar di daerah tersebut, malah masih ingat bagaimana kami sering ke laut, hanya dengan berjalan kaki, sebelum kawasan perumahan Marine Parade didiirikan pada akhir tahun 60-an dan awal 70-an. Beberapa daerah di  Katong dipanggil  residential area lantas rumah-rumah pangsa dan bangunan-banguanan terlalu tinggi tidak boleh didirikan di sana. Adanya rumah-rumah kedai, rumah kampung (satu masa dahulu) , rumah privet dan lain-lain, menambahkan keunikan kawasan ini. Dan satu ciri istimewa kawasan ini ialah kepelbagaian penduduknya; ada orang Melayu, Serani, Baba Peranakan, Peranakan India, Arab, Tionghoa, India, Yahudi dan lain-lain. Setiap hari di Katong seperti hari Ahad; rentak kehidupannya lebih perlahan dan penghuninya lebih ramah dan mudah mesra di antara satu dengan lainnya.

Awal tahun 90-an Sri ada menulis sebuah karya kreatif mengenai beberapa kawasan di Singapura yang pernah dihuni oleh keluarga Sri. Karya itu mengingatkan yang silam dan ditujukan kepada seorang sahabat yang menginap di negara Barat. Nostalgia Sri adalah terhadap satu cara hidup, selain kawasan-kawasan tertentu, yang kini semakin hilang atau luntur. Tapi anehnya, ada orang ‘menghentam’ Sri melalui telefon selepas karya itu tersiar; seolah-olah menyingkap yang silam itu adalah satu kesalahan besar. Bagi Sri, kalau tujuan kita menulis untuk menghasut, itu salah, tetapi kalau kita sekadar terkenang dan mengenang, itu adalah hak kita sebagai manusia.. Sri pernah juga menulis mengenai yang silam, baik tempat dan cara hidupnya, lama sebelum terbitnya karya tersebut. Malah Sri pernah bersama beberapa orang kawan, berura-ura menulis buku kenangan kami di daerah-daerah tertentu pada 1996 tetapi hajat ini belum kesampaian kerana penerbit yang Sri hubungi menghadapi beberapa masalah.

Kini nostagia seolah-olah happening; anda lihat sahaja pada fesyen pakaian, muzik dan sebagainya. Tidak semua yang bernostalgia itu jujur; ada yang menangguk di air keruh dan ada pula mahu dianggap ‘pakar rujuk’.  Tetapi jika anda jujur dan besar-benar sayangkan beberapa ciri kehidupan lama kita yang baik, anda juga akan cuba mengekal dan memuliharanya dengan cara-cara semampu anda. Dengan wujudnya rumah-rumah teres/banglo setinggi tiga empat tingkat dan bangunan-bangunan yang terlalu besar; melihat rumah dan kedai biasa serta adanya ruang terbuka untuk anak-anak kita, amat menyenangkan mata dan jiwa. Demikian juga kepelbagaian, keramahan, sikap tidak tergesa-gesa dan lebih bersahaja yang sering kita saksikan di Katong…

Ditulis: 23 Julai 2002
Tajuk Asal: Menanjapkan ‘Akar’
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 28 Julai 2002
Tulisan: Rasiah Halil.

 

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s