Biarlah Kita Belajar Erti Kesusahan…

Beberapa orang sahabat dan handai Sri merungut: anak-anak sekarang tidak tahu susah. Semua disiapkan dan semua diadakan lantas sesetengah mereka tidak tahu erti jerih-payah, pengorbanan dan kerja keras. Ini berbeza dengan zaman ibu bapa mereka membesar. Tidak semua yang diidamkan tersedia di depan mata malah ada cita-cita terpaksa dikuburkan dahulu untuk membantu ahli keluarga yang lebih muda.

Terlalu senang memang tidak menyenangkan, demikian juga terlalu susah. Keadaan pertama boleh membuat kita lewa dan yang kedua pula boleh membuat kita putus asa. Sebab itu agaknya Nabi s.a.w. menggalakkan kita agar bersederhana dalam kehidupan supaya kesan ekstrem kedua-duanya tidak kita sebatikan di jiwa. Ini tidak pula bermakna kita tidak berusaha sesungguhnya atau tidak boleh hidup senang; apa pun yang kita perolehi atau dinafikan daripada kehidupan tidak akan menjejas kesyukuran kita kepada Pencipta kita.

Banyak negara dan masyarakat lebih mudah hancur kerana kesenangan. Bila segala-galanya boleh dibeli dengan wang, apa pula makna ‘nilai’ dalam kehidupan ? Anda pasti sudah membaca mengenai negara dan masyarakat begini. Segala yang terbaru di pasaran, sama ada telefon bimbit, perisian komputer, kereta terbaru, alat-alat canggih mereka miliki; yang tidak mereka miliki ialah ilmu mengenai alat-alat terbaru itu. Kerana semuanya boleh diperolehi dengan wang, tiada kesungguhan untuk bekerja keras dan mendalami ilmu sama ada yang terbaru atau yang silam, lantas mereka sentiasa menjadi masyarakat pengguna dan bukan masyarakat pembuat. Seandainya sumber kesenangan mereka itu kontang atau hilang, semakin hanyut daya ketahanan mereka sebagai masyarakat. Ini berbeza dengan masyarakat yang susah tetapi sedia membangun. Kerana tiada apa yang dijanjikan kepada mereka, modal utama mereka ialah daya kesungguhan dan kreativiti mereka untuk menghadapi segala kemungkinan. Setiap cabaran itu dijadikan landasan untuk menguatkan lagi daya ketahanan dan merubahnya pula menjadi kenikmatan.

Anda ingat zaman kanak-kanak anda? Sebahagian besar kita tidaklah hidup senang tetapi Sri rasa kita kreatif menghadapi kehidupan zaman kanak-kanak itu. Tidak ada anak patung, kita buat sendiri, demikian juga layang-layang, batu seremban, congkak, keleret. Kita mengubah-suai apa yang ada dan sanggup berjimat demi mendapatkan apa yang diidamkan. Demikian juga orang-orang tua kita; ada yang berjualan di rumah, berniaga kecil-kecilan, mengambil upah membasuh kain, berkebun dan sebagainya hanya untuk mencukupkan perbelanjaan keluarga. Dan bila sesekali kita dapat makan sedap seperti ayam dan daging dan dapat baju baharu hasil titik peluh orang tua kita, bukan main dirasakan kenikmatannya. Kesusahan itu mengajar kita untuk lebih menghargai hasil usaha ibu bapa kita dan bagi sesetengah kita pula, mendorong kita agar lebih bersungguh-sungguh dalam apa pun bidang penceburan kita terutama dalam bidang pelajaran. Kesusahan itu boleh menjadi penggerak perubahan positif seandainya kita pandai memanfaatkannya.

Sesekali Sri, sebagaimana sebilangan kawan dan handai Sri jadi nostalgik pada zaman susah itu kerana ia banyak membina peribadi kita. Ketika daya membeli kita terhad misalnya, kita dipaksa untuk meminjam buku dari perpustakaan dan memanfaatkan ilmu yang ada tetapi jika sebaliknya, kita mungkin pula asyik membuat salinan foto atau membeli sahaja tanpa benar-benar mendalami ilmu yang terkandung dalam buku-buku tersebut. Demikian juga dengan barang-barang yang lain. Kesusahan mengajar kita tiada apa yang datang bergolek tanpa usaha dan sekecil mana pun usaha, ia boleh membuahkan sesuatu yang besar akhirnya. Sebagaimana kata pepatah Arab, ‘engkau bergeraklah (berusahalah), Allah akan memberkati’. Tanpa usaha, yang datang nanti tidak akan kita nikmati dengan sesungguhnya kerana terlalu mudah mendapatkannya.

Cendekia Islam, Ibn Khaldun (1332-1395 Masihi) dalam karya agungnya  The Muqaddimah, mencatatkan mengenai sejarah serta pembangunan dan kejatuhan sesuatu empayar dan peradaban. Dianggap sebagai sosiologis pertama dunia, tulisan ilmiahnya ini antara lain menjelaskan bahawa dalam tiga generasi sahaja sesuatu kelompok yang di tahap teratas, akan jatuh seandainya mereka dilewakan oleh keselesaan. Sebabnya, generasi pertama yang banyak melalui kegetiran itu tidak akan melupakannya dan generasi kedua pula walaupun hidup lebih senang, juga pernah mengalami atau sekurang-kurangnya tahu makna kesusahan dan perjuangan kelompok tadi. Tapi generasi ketiga, yang tidak pernah mengalami apa pun kesusahan hidup akan leka dengan kesenangan hidup lantas rasa kesatuan, perjuangan dan sebagainya kurang wujud dalam sanubari mereka. Segala-gala sedia ada lantas timbul masalah taking for granted dan inilah benih kehancuran apa pun masyarakat.

Sesekali, biarlah anak-anak kita belajar susah sedikit agar mereka tahu nikmat kesenangan. Terlalu ‘kesian’kan mereka sekarang nanti masa depan mereka pula terpaksa kita kasihankan. Tidak semua kesenangan itu menyenangkan kerana kesan sampingannya juga berganda. Biarlah kita belajar sedikit rasa susah kerana apa yang kita kecapi nanti kerana kesusahan itu tentunya manis rasanya dan tidak melewakan pula…

Ditulis: 30 Julai 2001
Tajuk Asal: Bila Susah Itu Menyenangkan
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 5 Ogos 2001
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s