Boris Pasternak – Suara Sunyi Dari Rusia

GB 1GB 2GB 3

B 1B 3B 4

Latarbelakang

Boris Leonidovich Pasternak dilahirkan di Russia pada 10 Februari 1890. Kedua orang tuanya adalah daripada kalangan orang yang meminati bidang seni: ibunya seorang pemain piano klasik dan bapanya pula seorang pelukis terkenal. Keadaan sekitaran yang kaya dengan unsure seni ini dan ditambahi dengan unsure-unsur pendidikan dan intelektual banyak meninggalkan kesan di jiwa Pasternak.

Pada tahap pertama perkembangannya, Boris Pasternak amat meminati bidang muzik klasik, seperti ibunya, dan beliau mendalami ilmunya dalam bidang ini untuk beberapa tahun. Beliau kemudian beralih minat ke bidang undang-undang, tetapi minat ini hanya sementara sahaja. Bidang falsafah pula menjadi tumpuannya; suatu bidang yang didalami sepanjang hayat. Semasa di universiti, Pasternak dipengaruhi oleh Hermann Cohen dalam bidang tersebut.

Pasternak terdidik di Universiti Moskow dan juga Universiti Marburg di Jerman. Buku puisinya yang pertama, A Twin In The Clouds, diterbitkan pada 1914. Kumpulan puisi ini menampilkan kecenderungan Pasternak dalam aliran seni yang disebut ‘futurisme’. Namun, minatnya dalam aliran itu tidak membuat beliau mengenepikan khazanah sastera Russia yang diwarisinya, sebagaimana yang sering berlaku kepada penganut-penganut aliran ini.

Karya-Karya Pasternak

Boris Pasternak telah menerbitkan beberapa kumpulan puisi, cerpen, autobiografi dan sebuah novel. Berikut disenaraikan beberapa buah di antara karya beliau:

1.  A Twin In The Clouds (1914)
2. Over The Barriers (1917)
3. My Sister – Life (1922 )
4. Airy Paths (1925)
5. The Adolescence of Zhenya Luvers (1925)
6. The Year 1905 (1925 – 26)
7. Lieutenant Schmidt (1926-27)
8. Safe Conduct (1931)
9. Spektovsky (1931)
10. The Second Birth (1932)
11. On Early Trains (1943)
12. The Terrestrial Expanse (1945)
13. Doctor Zhivago (1958)
14. The Poems of Doctor Zhivago (1967)
15. Blind Beauty (1969)

Boris Pasternak terkenal kerana puisi-puisi liriknya: bahasa yang digunakan agak padat dan imej-imej yang dikedepankan jarang pula digunakan oleh penyair-penyair yang sezaman dengannya. Minat dan pengkajiannya yang mendalam dalam bidang muzik klasik dan falsafah meninggalkan pengaruhnya dalam puisi-puisi Pasternak. Bersabit dari hal tersebut, puisi-puisinya boleh dianggap sukar difahami dan seorang peneliti perlu membaca berulang kali untuk mencari makna yang tersurat dan tersirat dalam puisi-puisi beliau. Pasternak juga terkenal sebagai penyair yang banyak menimba ilham daripada alam dan agama.

Pada tahun-tahun 1920-an, Pasternak sering dihubungkan dengan penyair-penyair Modenis Rusia, Sergei esenin dan Vladimir Mayakovsky. Etiga-ketiga penyair ini adalah penyair-penyair yang paling terkenal di Rusia ketika itu. Kematian Esenin pada tahun 1925 dan Mayakovsky pada tahun 1930 menjadikan Boris Pasternak penyair paling terkenal yang masih hidup pada masa itu.

Namun, kemasyhuran beliau tidak menjadi penghalang bagi rejim komunis Soviet untuk terus mengecamnya. Pasternak bukanlah seorang penyair ‘propaganda’ seperti kebanyakan penyair Rusia ketika itu. Beliau jarang menulis puisi-puisi yang bertemakan ‘realisme sosial’ seperti yang dikehendaki oleh pihak Soviet. Keengganannya untuk turut menyuarakan aspirasi pihak tersebut membuat beliau sentiasa dipandang dengan curiga oleh pihak berkenaan.

Boris Pasternak mencuba juga untuk mengurangkan ciri-ciri peribadinya dalam puisi-puisinya, seperti yang terdapat dalam kumpulan puisi naratifnya The Year 1905 dan Spektovsky. Namun, tanpa cirri-ciri peribadi yang ditukil dan diperkayakan oleh unsure-unsur alam dan agama, ternyata kedua-dua percubaan tersebut gagal. ‘Realisme sosial’ seperti yang dikehendaki oleh rejim Soviet bukanlah tema-tema yang serasi dalam puisi-puisinya.

Tema-tema sosial hanya dipilih apabila tema-tema tersebut mempengaruhi nasib manusia individu, bukan sebagai alat propaganda. ‘Kedegilan’nya ini dikecam oleh pihak akhbar dan rejim komunis Soviet, dan selama beberapa tahun karya-karyanya tidak lagi diterbitkan oleh pihak akhbar Soviet. Menghadapi tekanan ini, Boris Pasternak mengalihkan kecenderungannya dalam bidang penterjemahan. Bidang ini sering diceburi oleh penulis-penulis Rusia yang ‘diharamkan’ oleh rejim Soviet pada tahun-tahun 1930-an dan 1940-an dahulu. Pasternak yang dapat menguasai beberapa buah bahasa, telah menterjemahkan karya-karya Goethe, Shakespeare dan penulis-penulis agung lainnya.

Pasternak Dan Novel Dr Zhivago

Karya Pasternak yang teragung dan membolehkan beliau dianugerahi Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan ialah novelnya, Doctor Zhivago. Novel ini mengandungi 17 bahagian dan bahagian terakhirya dimuatkan 25 kuntum puisi yang disusun mengikut urutan peristiwa dalam novel tersebut dan kononnya ditulis oleh Dr Yuri Zhivago.

Pasternak mula menulis novel ini pada tahun 1948, walaupun idea-idea yang terdapat dalam novel ini dapat disusur-galurkan melalui karya autobiografinya, Safe Conduct (1931). Beliau menyiapkan novel ini pada tahun 1955 dan dihantar kepada sebuah majalah sastera Rusia, Novy mir. Beliau juga mendapat keizinan dari pihak Soviet untuk menghantar manuskrip novel tersebut kepada seorang penerbit di Milan, Itali.

Doctor Zhivago ditolak oleh pihak Novy mir dan diharamkan oleh rejim Soviet. Namun, penterjemahan karya tersebut, dalam bahasa Itali, diterbitkan dalam tahun 1957 dan penterjemahan Doctor Zhivago dalam bahasa-bahasa Barat yang lain dapat kita temui mulai tahun 1958. Novel ini juga dilakon-layarkan oleh David Lean pada tahun 1965. Hanya baru-baru ini, novel Pasternak ini diberi keizinan untuk diterbitkan dalam bahasa Rusia di Rusia sendiri.

Sasterawan selalu menyaring pengalaman hidupnya untuk dijadikan bahasa tulisan. Begitu juga dengan novel Doctor Zhivago. Beliau merakamkan peristiwa-peristiwa pahit yang dialaminya pada tahun-tahun revolusi Rusia iaitu 1905 dan 1917 serta kejadian-kejadian berdarah yang mengekori revolusi-revolusi tersebut. Novel ini juga memuatkan sebuah epilog yang membawa pembaca ke ambang Perang Dunia Kedua, walaupun ia berakhir dengan kematian Dr. Zhivago pada tahun 1929.

Mendalami Novel Doctor Zhivago

Watak utama novel ini ialah Yuri Zhivago, seorang doktor perubatan dan penyair. Novel ini merakamkan pengalaman-pengalaman hidup Yuri dari tahun-tahun 1903 sehingga 1929. Yuri Zhivago adalah daripada kalangan kelas atasan masyarakat Rusia, yang bakal kehilangan segala keselesaan dengan tercetusnya revolusi. Namun, Yuri, seorang intelektual, menanti dengan penuh minat akan tercetusnya revolusi kerana ia menjanjikan wujudnya susunlapis masyarakat yang lebih adil dan saksama. Tetapi ternyata harapan Zhivago tidak menjadi kenyataan; revolusi hanya menimbulkan kekejaman, kehancuran dan keganasan dalam masyarakatnya. Berlaku perang saudara yang besar di kalangan askar-askar ‘Red’ dan ‘White’ selepas revolusi, dan Yuri terperangkap dalam pertelegahan mereka. Perisitiwa-perisitwa dahsyat dan berdarah ini banyak menyedarkan Dr. Yuri Zhivago akan pentingnya mempertahankan anugerah kehidupan yang dikurniai Tuhan ini dan memperteguhkan nilai-nilai luhur dalam diri manusia.

Tema utama yang ingin diungkapkan oleh Boris Pasternak dalam Doctor. Zhivago ialah, nasib manusia itu amat bergantung kepada manusia lain. Manusia bukanlah sebuah pulau, seperti kata penyair Inggeris, John Donne, dan menjadi tugas manusia untuk menentukan agar hak asasi manusia lain dihormati dan nilai-nilai luhur kehidupan dipertahankan. Novel Doctor Zhivago juga banyak menyerlahkan imej-imej agama dan nilai-nilai yang bersabit daripadanya. Bahawa Dr. Yuri Zhivago dilukiskan sebagai seorang intelektual yang jujur, teguh keyakinan agamanya dan menghormati hak-hak asasi manusia, adalah suatu gambaran yang tidak disenangi oleh pihak Soviet yang berfahaman komunis.

Novel ini bukanlah sebuah novel politik dalam erti kata yang sebenar; ia lebih merupakan sebuah novel berunsur falsafah yang cuba mengkedepankan nilai-nilai kemanusiaan dan harapan manusia dalam menghadapi berbagai bentuk kekejaman dan kehancuran. Novel ini banyak mengemukakan nilai-nilai sarwajagat yang luhur dan ia melampaui batas daerah dan zaman penulisnya. Nilai-nilai luhur yang cuba beliau pertahankan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Tolstoy, Dostoevsky dan Chekov, menjadikan Boris Pasternak salah seorang sasterawan Rusia yang ulung.

Hadiah Nobel Bagi Kesusasteraan

Sumbangan Pasternak yang besar dan berterusan dalam bidang kesusasteraan, terutama kemunculan karya agungnya, Doctor Zhivago, menyebabkan beliau dianugerahi Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan pada tahun 1958. Hadiah ini pada mulanya diterima tetapi akhirnya terpaksa ditolak kerana kecaman dan ancaman daripada pihak-pihak tertentu. Beliau dituduh sebagai pengkhianat bangsa dan negara dan tidak dibenarkan menerima anugerah tersebut. Seandainya diterima juga Hadiah Nobel itu, Pasternak akan dibuang negeri dan tidak akan dibenarkan menjejakkan kaki di bumi Rusia. Cinta beliau yang mendalam terhadap tanah airnya dan orang-orang yang disayangi di sana, menyebabkan Pasternak terpaksa menolak pemberian anugerah sastera yang tertinggi itu bagi para sasterawan.

Peristiwa pedih itu pernah ditulis kepada seorang sahabatnya dan kata-kata tersebut akan senantiasa mengingatkan kita betapa tabah dan teguh hatinya menerima malapetaka itu:

‘Masa akan berlalu. Masa-masa yang agung. Aku tidak akan lagi berada di sini. Kita tidak harus kembali ke zaman bapa atau datuk kita kerana ini tidak diperlukan atau diingini.

Tetapi Kemuliaan, Daya Cipta dan Keagungan, setelah lama menghilang, akan muncul kembali. Ketika itu hidupmu akan diperkayakan, memberi lebih erti.

Kenanglah aku ketika itu.’

Selepas penolakan Hadiah Nobel itu, Pasternak terus dikecam dan dipulaukan oleh pihak Soviet sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada 30 Mei 1960, di Peredelkino, dekat Moskow.

Kesimpulan

Untuk mengakhiri esei ini, kita akan perturunkan salah sebuah sajak Boris Pasternak berjudul ‘Daybreak’, yang diambil daripada antologi puisinya The Poems Of Dr. Zhivago. Sajak ini diterjemahkan oleh penulis dan pernah tersiar di Jurnal Jejak Kembara, terbitan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Singapura, dalam Jilid I, Bilangan III, Disember 1979/80.

Sebagaimana yang terserlah dalam novelnya Doctor Zhivago, sajak ini mengajak kita untuk keluar dari keterbatasan masalah yang membelenggu kita dan berani berdepan dengan berbagai dugaan hidup berperisaikan harapan dan keyakinan. Ia seolah-olah menyuarakan hasrat Boris Pasternak untuk melihat hari muka yang cerah dan jernih bagi semua manusia:

Fajar Menyingsing

Kau adalah segalanya buatku, masa depanku.
Kemudian perang meledak dan segalanya musnah,
Dan untuk suatu ketika yang begitu lama, tiada ku
Terima daripadamu sebarang tanda, tiada secebis pun berita.

Dan ketika ini aku terdengar suara amaranmu
Melewati tahun-tahun yang duka dan pilu.
Waktu malam hari aku membaca Kitab Suci
Dan cuba membangkitkan semangatku untuk hidup lagi.

Aku ingin sekali bersama lain manusia, rakyat jelata,
Mengongsi kegembiraan waktu pagi mereka,
Bersedia membawa mereka ke jalan Tuhan,
Menghancurkan dari hati mereka bibit-bibit kesepian.

Lalu tiap hari aku akan berlari ke bawah
Menuruni tangga, dengan kelajuan menggila,
Seolah inilah kali pertama aku dibebaskan
Ke lorong-lorong bersalji yang lengang.

Lampu-lampu mula dipasang dalam bilik-bilik yang nyaman.
Lelaki-lelaki meminum teh, dan terburu-buru
Ke perhentian bas. Dan dalam masa sejam
Kau pasti tidak akan kenal perubahan pekan.

Salji mula berkepul dan menebarkan
Jala-jala putihnya di atas jalanan.
Lelaki-lelaki tergopoh-gapah pergi ke pejabat
Tanpa mempunyai masa untuk bersarapan.

Hatiku bersama tiap seorang daripada mereka,
Untuk sesiapa pun yang dirundung duka nestapa;
Kuhilangkan diriku bagai salji dicairkan,
Dan ketika pagi ini suram, aku pun sedemikian.

Sepertimana juga kaum wanita, kanak-kanak dan pohon-pohon
Juga semua yang tak bernama, kini adalah sebahagian daripada diriku.
Mereka telah menghidupkan kembali jiwaku, dan dengan ini sebagai tanda
Aku tahu inilah kemenanganku yang sesungguhnya.

Rujukan

      1. Livingstone, A., (ed.) 1985. Pasternak on Art And Creativity. Cambridge: Cambridge University Press.
      2. Pasternak, B. 1969. The Poems of Doctor Zhivago. London: R.H.S. (Pubs.) Ltd
      3. Plimpton, G., (ed.) 1983. Writers at Work. England: Penguin Books.
      4. The World Book Encyclopedia, 1985. Vol. 15, USA: World Book Inc.

Disiapkan: 30 Januari 1988
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Tersiar: Majalah Pustaka (Singapura), 1988
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s