2 Esei Ruangan Tun Fatimah: 1. ‘Penulis, Pembacaan Dan Kajian’ dan 2. ‘Tujuan Dan Sanjungan Dalam Penulisan’

Esei 1: Penulis, Pembacaan Dan Kajian

Sukar bagi kita membayangkan seorang penulis, pengajar atau penggiat kesusasteraan yang tidak gemar membaca atau amat terbatas pembacaannya. Kesukaran ini timbul kerana kita mengaitkan orang-orang tersebut terbabit dalam dunia kesusasteraan, secara langsung ataupun sebaliknya, lantas menjadi tugas mereka untuk mengikuti perkembangan dunia penulisan kita. Tetapi kenyataannya tidaklah selalunya seperti yang kita harapkan.

Mungkin pernah kita menemui orang-orang yang seharusnya tahu mengenai dunia penulisan kita tetapi sebenarnya amat tohor pengetahuannya dalam bidang tersebut. Ada penulis yang bila disebut nama penulis-penulis mapan kita seperti Harun Aminurrashid, Mahmud Ahmad, MAS, Hamzah, Masuri S.N., A. Ghani Hamid, Suradi Parjo, A.Samad Ismail, Salmi Manja, Suratman Markasan, Noor S. I., Aliman Hassan dan lain-lain, amat terbatas pengetahuan dan pembacaan mereka terhadap penulis-penulis tersebut. Ada yang mungkin mengenal satu dua karya penulis-penulis mapan ini tetapi tidak meluangkan masa untuk mengkaji atau sekurang-kurangnya mengikuti jalur perkembangan penulisan mereka sejak zaman mereka mula menulis. Akibatnya, kita kurang memahami karya mereka atau menghargai sumbangan mereka kepada kesusasteraan kita. Kalau penulis-penulis mapan ini tidak diteliti, dipelajari kekuatan dan sumbangan mereka, bagaimana pula penulis-penulis golongan pelapis seperti Md Latiff Mohd, Mibarzo, Md Fuad Salim, Jamal Ismail, Rosemala, Ahmad Affandi Jamari, Noor Hidayat, Nor Yusman Abdulmajid, Samsidah Suleiman, Ismail Sarkawi dan lain-lain? Pasti semakin mencorot pengetahuan kita terhadap mereka jika kurang membaca dan mengkaji; besar kemungkinannya kita mungkin mengenal orang-orang yang terbaru sahaja, itu pun tidak sedalamnya kerana pengetahuan kita merupakan sorotan akhbar terhadap penulis-penulis baharu ini, sedangkan kita sendiri kurang membaca karya-karya mereka.

Dan bagaimana pula pengetahuan kita tentang penulis-penulis berbahasa Melayu di negara-negara jiran kita? Apakah kita membaca karya-karya Arena Wati, A. Samad Said, S. Othman Kelantan, Shahnon Ahmad, T. Alias Taib, Muhammad Hj Salleh, Baha Zain, Kemala, Zakaria Ali, Anis Sabirin, Adibah Amin, Zaharah Nawawi, Fatimah Busu, Siti Zainon Ismail, Zurinah Hassan dan lain-lain dari Malaysia? Atau penulis-penulis dari Indonesia dan Brunei seperti Amir Hamzah, Chairil Anwar, S.T. Alisjahbana, Hamka, Hamidah, Pramoedya, Achdiat K. Mihardja, Taufiq Ismail, W.S. Rendra, Umar Kayam, Sutardji Calzoum Bachri, Muslim Burmat, A. S. Isma, Norsiah Abdul Gapar dan lain-lain? Tanpa mengetahui sedikitnya mengenai karya penulis-penulis ini dan sebilangannya yang tidak disebut di sini, pengetahuan sastera kita akan menjadi amat terbatas sekali.

Dan sebagai penulis Islam, menjadi tanggung jawab kita juga untuk mengetahui karya-karya dari dunia Islam yang kini telah banyak diterjemahkan ke bahasa Melayu dan Inggeris. Demikian juga perlu bagi penulis, pengajar dan penggiat kesusasteraan Melayu tidak terbatas ruang lingkup pembacaannya kepada karya-karya dari dunia Melayu dan Islam sahaja; sedikitnya perlu juga kita mengetahui karya-karya dari negara-negara ASEAN dan juga dari benua Asia, Afrika, Australia, Eropah, dan Amerika. Tanpa mahu mengetahui sedikitnya karya dan perkembangan sastera di sekeliling kita, akan hanya menjadikan kita bagai ikan besar di sungai yang berselut tetapi sebenarnya sekadar ikan yang amat kecil dalam samudera sastera yang lebih besar, berwarna-warni dan dihuni pelbagai hidup-hidupan laut. Dan penulis kita terutamanya, bukan hanya perlu membaca seluasnya mengenai karya-karya sastera, tetapi juga buku-buku yang tidak terbatas kepada dunia sastera sahaja. Buku-buku ini sama ada mengenai persoalan kemasyarakatan, sejarah, politik, peradaban dunia, psikologi, sains dan sebagainya boleh sahaja menjadi bahan mentah dan ilmu bantu dalam pengkaryaan penulis tadi dan menjadikan karya-karyanya lebih padat dan berbobot.

Penulis muda Indonesia, Helvy Tiana Rosa, dalam kumpulan eseinya Segenggam Gumam halaman ix-x misalnya, mencatatkan bagaimana proses beliau didatangi ilham dan pengkajiannya dalam melahirkan karya:

Sekarang, soal wawasan dan warna lokal dalam cerpen-cerpen saya. Menulis tentang kampung sendiri saja kita sering repot, apa lagi menulis dengan seting luar daerah atau luar negeri. Sebelum menulis cerpen “Jaring-jaring Merah” yang mengambil latar Aceh, misalnya, saya membaca semua hal tentang Aceh, bahkan dari masa pertama kali Islam masuk ke Aceh. Saya juga banyak ngobrol dengan orang Aceh. Memerhatikan gaya dan cara mereka bicara, menanyakan beberapa hal seperti budaya, makanan khas, tokoh-tokoh Aceh yang berpengaruh kini, sampai minta diajarkan beberapa kalimat dalam bahasa Aceh. Begitu juga ketika saya menulis tentang Ambon, Timor Timur (sekarang sudah luar negeri, ya?), Poso, Sampit, saya melakukan riset [penulis—research/kajian] yang tidak sebentar.

Yang paling sulit ketika harus menulis tentang negeri lain. Saya merasa beruntung kalau bisa menemui orang-orang dari negeri tersebut, tetapi bila tidak, saya harus mengunjungi dan berlama-lama di perpustakaan.’

Contoh Beberapa Penulis Yang Banyak Membaca dan Mengkaji

Arena Wati adalah di antara penulis-penulis mapan yang luas pembacaannya dan banyak mengkaji dalam penghasilan karya-karyanya. Salah sebuah novel terawalnya, Lingkaran (1965) menyelongkar masalah rasuah dalam negara membangun. Walaupun terdapat beberapa novel yang menyelongkar hal sedemikian misalnya rasuah pegawai-pegawai kebajikan dalam novel Angin Timur Laut (S. Othman Kelantan, 1969) dan rasuah ahli politik dalam Tikus Rahmat (Hassan Ibrahim, 1963), dalam Lingkaran, masalah rasuah ditelesuri dengan lebih mendalam. Ia menggambarkan bagaimana rasuah boleh terjadi dalam negara membangun apabila pegawai kerajaan, yang dilambangkan melalui watak Ramli, terpancing untuk makan suap oleh orang-orang yang mahukan tender kerajaan, iaitu daripada kalangan peniaga seperti Foo Seng Kow, Arumugam, dan Hess. Tanpa kajian dan pengalaman mengenai kesan negatif rasuah, tidak mungkin Arena Wati dapat menulis karya seperti Lingkaran. Demikian juga beberapa karyanya yang lain, baik novel mahupun cerpen; kita amat jarang kecewa menimba ilmu dan pengalaman daripada karya-karyanya kerana Arena Wati terkenal sebagai orang yang luas pembacaan dan kajiannya yang disisipkan dengan bijak dalam karya-karyanya. Yang diberi kepada pembacanya bagaikan melalui proses penyulingan; kerana yang dikaji lebih luas dan dipadatkan atau disuling untuk tatapan pembacanya.

Dan Brown merupakan novelis yang heboh diperkatakan kini, terutama kerana novelnya, The Da Vinci Code. Walaupun timbul pelbagai tengkarah mengenai novel ini, namun karya Brown ini menarik untuk dibaca kerana tulisannya yang lancar dan mencabar selain pengetahuannya mengenai beberapa bidang ilmu misalnya seni lukis, teologi agama Kristian, kumpulan rahsia Opus Dei dan Priory of Sion, kod bersimbol dan lain-lain. Dalam novel ini, Robert Langdon, profesor simbolisme dari Universiti Harvard, diminta pergi ke Muzium Louvre di Paris kerana terbunuhnya kurator muzium tersebut,  Jacques Sauniere, di sana, dan meninggalkan beberapa simbol di badannya sebagai pesanan untuk ditafsir oleh Langdon. Lukisan terkenal Leonardo da Vinci ‘Mona Lisa’ dan beberapa lukisan serta teka-teki yang lain terpaksa ditafsir oleh Langdon dan Sophie Neveu, penyelidik simbol dan cucu kurator yang terbunuh itu.

Kita dibawa oleh Brown ke beberapa lapisan teka-teki yang mencabar minda dan jawapan yang kita temui di akhir novel ini, agak tidak diduga. Kebolehan Dan Brown dalam mengkaji serta menghadami beberapa bidang ilmu dan kemahiran penulisannya dalam menghidangkan karya yang menyeronokkan membuat kita sukar berhenti membaca sehingga selesai. Walaupun novel Brown ini bukanlah karya agung dari segi penilaian kesusasteraannya, ia tetap dianggap karya berunsur misteri yang agak baik. Kajian dan pertukangan Brown tidak sia-sia sebagaimana terbukti dengan luasnya pembacaan novel The Da Vinci Code ini.

Karya-karya Dan Brown yang lain misalnya Angels and Demons, yang juga berkisar pada persoalan kumpulan rahsia, Illuminati, dan kubu Katolik serta Popenya di Vatican City, juga mengenengahkan Robert Langdon sebagai protagonis yang cuba merungkai beberapa simbol. Digital Fortress pula mengenai Agensi Sekuriti Nasional, sebuah agensi yang amat rahsia di Amerika Syarikat dengan kecanggihan komputernya yang boleh memecahkan kod-kod rahsia dari seluruh dunia. Sementara novelnya yang berjudul Deception Point menggunakan Agensi Angkasa Lepas Amerika (NASA) dan polisi-polisi agensi ini sebagai tumpuan kisahnya. Kerana NASA dikatakan menemui sesuatu yang luar biasa dari luar bumi, dan kini tersimpan di Artik, penyelidikan beberapa orang saintis dan penyelidik seperti Rachel Sexton, membuat kita lebih memahami beberapa perkara berhubung dengan sains dan NASA. Dan seperti novel-novelnya yang lain, Dan Brown pandai menimbulkan unsur ingin tahu dan kejutan kepada pembaca-pembacanya. Dengan pembacaan dan kajiannya yang luaslah, selain kemahiran penulisannya yang membolehkan Dan Brown menulis novel-novel misteri yang menarik hati.

Salah seorang penulis muda Malaysia yang berbakat, Faisal Tehrani, merupakan satu lagi contoh bagaimana pembacaan dan kajian yang mendalam, selain kemahiran penulisan yang tinggi, dapat menghasilkan karya-karya yang bermutu. Faisal menulis esei, cerpen, novel dan puisi dan di antara karya-karyanya termasuklah novel/novelet 1515, 1511H (Kombat), Perempuan Politikus Melayu, Rahsia Umi, Cinta Hari-hari Rusuhan dan kumpulan cerpennya, Perempuan Anggerik.

Dalam novel 1515 misalnya, kita dibawa ke dua alam: masa silam di Melaka dan masa kininya. Sejarawan Dr Adi Fimiyun sedang mengkaji mengenai kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511, tetapi dikenalkan secara bawah sedar dengan watak Nyemah Mulya, pejuang zaman Melaka. Dan watak Nyemah Mulya juga hidup dalam masa kini, bertugas sebagai seorang profesor. Kesedaran Adi Fimiyun akan perlakuan sejarah dan peranan penting yang dimainkan oleh pejuang Melaka, yang dipimpin pejuang wanitanya, Nyemah Mulya, membuat kita banyak berfikir mengenai sejarah Melaka pada zaman tersebut. Faisal Tehrani tidak akan berjaya menyampaikan mesejnya dengan berkesan jika pengetahuannya mengenai Melaka, Portugal, sejarah dan masyarakat pada zaman silam Melaka atau zaman kininya, tidak mendalam. Demikian juga, dengan terhimpunnya demikian banyak fakta untuk mencipta novelnya tidak akan melahirkan sebuah novel yang baik, jika pertukangan seninya tidak sebaiknya. Novel 1515 ini membuat kita banyak berfikir mengenai Melaka dan yang menarik, Faisal memberi satu lagi versi mengenai Melaka: bahawa yang dikalahkan selepas apa yang dianggap kejatuhan Melaka, sebenarnya kejatuhan Lisbon dan Portugal di tangan Melaka di bawah pimpinan Nyemah Mulya!

Sebuah lagi novelnya, Perempuan Politikus Melayu mendedahkan dengan bijak penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan sang politikus. Novel-novel bernafaskan politik banyak dicipta oleh A. Samad Ismail misalnya Kail Panjang Sejengkal, Menduga Lautan Dalam, Menimba yang Jernih, Patah Sayap Terbang Jua, Tembok Tidak Tinggi, Detik-detik Cemas dan lain-lain atau Shahnon dalam novel Menteri, Perdana, Terdedah dan juga Alias Ali dengan Krisis dan Yahaya Ismail dengan Langkah Kiri. Demikian juga terdapat banyak cerpen, terutama pada tahun-tahun 60-an dan 70-an di Malaysia yang merakamkan harapan rakyat yang kecundang di tangan politikus yang mementingkan diri sendiri. Kemunculan novel Faisal menambahkan satu lagi dokumentasi sedemikian, dan beliau mahir mengadun fakta semasa yang dibalut oleh benang imaginasi dan kajian serta kemahiran penulisannya untuk membidas wujudnya manusia penyeleweng seperti sang politikus, protagonis novelnya ini.

Dalam novel 1511H (Kombat), Faisal Tehrani mengimbas ke hadapan pada tahun 2087 Masihi iaitu 1511 Hijrah. Terjadi krisis yang mengakibatkan perang apabila presiden Amerika, Richard Nosirname, mengiystiharkan perang ke atas Gabungan Tentera Pemuda Islam, pimpinan Syarifah Nusaybah Syed Abdullah, seorang jeneral dan ahli sufi. Presiden Nosirname mahu menceroboh Makkah dan Madinah dan ini dipertahankan oleh pemuda pemudi Islam dari seluruh pelosok dunia, dipimpin oleh komander masing-masing. Bercorak futuristik, Faisal pastinya mendalami bidang sains, sejarah, persenjataan dan agama/sufisme untuk menulis novel ini kerana fakta-fakta tersebut disisipkan dalam novelnya. Demikian juga gambaran beliau mengenai beberapa fenomena seperti cyborgs, sarcos, biobots dalam kehidupan masa hadapan. Dan daripada 11 orang komander dari seluruh pelosok dunia, Jeneral Nusaybah (dan juga Faisal) memilih Komander Muhammad Ameen Muhammad, orang Melayu dari Malaysia, untuk meneruskan perjuangan memartabatkan Islam dan menjernihkan gambaran kacau bilau mengenainya setelah peristiwa 11 September. Walaupun watak-watak dalam novel 1511H (Kombat) ini tidak dikembangkan secukupnya, kita masih dapat menikmati karya ini kerana ternyata tulisan Faisal bukan sekadar omong kosong saja.

Barbara Kingsolver, yang mendapat sarjana dalam bidang biologi, menjadi penulis sepenuh masa dan menulis cerpen, novel, esei, puisi dan karya-karya bukan cereka. Di antara karya-karyanya termasuklah: The Bean Trees, Animal Dreams, Homeland and Other Stories, High Tide in Tucson: Essays from Now or Never, Another America dan lain-lain. Tulisannya sarat dengan pengetahuan dan pandangannya mengenai sesuatu isu, yang disampaikan dengan bersahaja. Dalam cerpen pun, terdapat keinginan beliau untuk melihat kebergantungan pelbagai spesies dalam kehidupan ini dan watak-wataknya kaya dengan segala kepelbagaiannya. Dalam antologi esei terbarunya, Small Wonder, kita temui penulis yang diperkukuhkan kemahiran penulisannya kerana pengetahuan dan kajiannya mengenai satu-satu perkara yang menarik perhatian atau menusuk nuraninya. Saya nukil beberapa tulisannya untuk menggambarkan ini:

I was trained as a biologist and can appreciate the challenge and the technical mastery involved in isolating, understanding, and manipulating genes. I can think of fascinating things I’d like to do as a genetic engineer. But I have only to stand still for a minute and watch the outcome of thirty million years’ worth of hummingbird evolution transubstantiated before my eyes into nest and egg to get knocked down to size. I have held in my hand the germ of a plant engineered to grow, yield its crop, and then murder its own embryos, and there I glimpsed the malevolence that can lie in the heart of a profiteering enterprise. There once was a time when Thoreau wrote, “I have great faith in a seed. Convince me you have a seed there, and I am prepared to expect wonders.” I’m a scientist who thinks it wise to enter the doors of creation not with a lion tamer’s whip and chair, but with the reverence humankind has traditionally summoned for entering places of worship: a temple, a mosque, or a cathedral. A sacred grove, as ancient as time (mengenai kejuruteraan genetik, halaman 108).

Dan

No bomb has ever been built that can extinguish hatred and while I have told that this is not the point, I insist on it as my point, if one is ever made for me. Vengeance does not subtract any numbers from the equation of murder; it only adds them. Empathy, comprehension, resolution—-these are the only powers for murder’s reduction. ……….I’d rather be remembered as a lesson learned, a sympathy made acute, a moment in which humanity rose humanely to a fearful occasion. (mengenai kesan 11 September dan tindakan perang selepasnya, halaman 193-194).

Kesimpulan

Tanpa pembacaan yang luas, pengalaman, pengamatan, kajian dan pertukangan, karya-karya kita hanya indah mungkin pada bentuknya tetapi isinya hampas belaka. Kalau kita sekadar ada ilmu pengetahuan dan melongokkan fakta-fakta yang tidak dipadatkan, karya kita akan terasa hambar. Sebaliknya, karya tanpa terisi ilmu-ilmu bantu daripada pembacaan, kajian, pengalaman atau pengamatan kita juga tidak akan meninggalkan kesan. Seimbangan kesemuanya yang diperlukan untuk melahirkan karya yang baik untuk tatapan masyarakat. Saya akhiri dengan dua nukilan untuk renungan kita daripada Syed Hussein Alatas dalam bukunya Kita Dengan Islam, halaman 167:

Kalau banyak sekali yang dihalau dari otak, nanti akhirnya otak kita kosong dan hanya debu yang terdapat di dalamnya. Kalau ada pergolakan, ini adalah pergolakan debu yang hasilnya debu juga, kerana debu tidak dapat menghasilkan apa-apa melainkan debu juga.

Dan Barbara Kingsolver dalam Small Wonder, halaman 21:

It seems to me that there is still so much to say that I had better raise up a yell across the fence. I have stories of things I believe in: a persistent river, a forest on the edge of night, the religion inside a seed, the startle of wingbeats when a spark of red life flies against all reason out of the darkness. One child, one bear. I’d like to speak of small wonders, and the possibility of taking heart.

Ditulis: 8 – 9 Mac 2005
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) dengan beberapa tajuk berlainan sedikit daripada tajuk yang saya beri, pada 2005
Tulisan: Rasiah Halil.

 

Esei 2: Tujuan Dan Sanjungan Dalam Penulisan

Mukadimah

Kebanyakan penulis mempunyai tujuan tertentu apabila mereka berkarya. Ada yang ingin meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu yang menggugat; ada yang mahu menjadi ‘tukang perubah nasib bangsa’, sebagaimana kata A. Samad Said; ada yang ingin menimbulkan kesedaran kerohanian; ada pula mahu mencatatkan kehidupan, menggam-barkan pelbagai gurisan yang menghiasi kehidupan insan; ada yang ingin mengisi makna kehadirannya dalam kehidupan ini dan tidak kurang pula yang menulis kerana inilah caranya untuk menjadi terkenal, menempah nama, mengisi masa senggang, mendapatkan imbalan-imbalan tertentu. Apa pun tujuan seseorang itu menulis, dialah yang lebih arif akan tujuan-tujuan sebenarnya.

Bagi penulis, pertama kali karyanya tersiar atau mendapat hadiah tertentu selalunya menimbulkan kegembiraan yang sedikit luar biasa. Memang aneh dan sekali gus agak ‘menakjubkan’ apabila nama dan wajah kita tersiar di akhbar atau karya kita diperdengar/ dipertontonkan di radio atau televisyen. Kita seakan-akan tidak percaya: betulkah aku seorang penulis atau orang yang menulis itu sebenarnya bukan aku –  kerana sukar juga bagi kita mempercayai bahawa karya kita akhirnya tersiar atau mendapat hadiah dalam peraduan-peraduan tertentu. Perasaan ‘kurang percaya’ ini kadangkala berlarut-larut untuk beberapa lama pada waktu-waktu awal penulisan kita kerana kita seakan-akan enggan percaya bahawa kita telah mula mendapat tempat di persada sastera tanah air dan khalayak ramai juga telah mula mengenal karya-karya kita dan kadangkalanya, mengenal diri kita. Di peringkat awal penulisan, mendapat tempat dan dikenali mungkin lama juga ‘mengawang-awangkan’ kita dalam dunia sastera kerana segala-galanya begitu baharu bagi kita. Ego kita sebagai pencebur seni juga mungkin semakin berkembang kerana perhatian-perhatian di peringkat awal itu.

Ego Dan Penulis

Menurut ilmu psikologi, memang dorongan ego itu begitu kuat dalam diri manusia, termasuk manusia penulis. Ego atau nafs (bukan sekadar syahwat) memang boleh mendorong manusia menembusi benteng-benteng yang menghambat dirinya. Dalam agama ada disebut terdapatnya nafs/ego yang baik atau sebaliknya. Ada ego/nafs mendorong manusia penulis agar menjadi penulis yang bertanggung jawab, berketeram-pilan dan sentiasa terbuka untuk kebaikan bidang yang diceburinya. Dan ada ego pula, sebagaimana biasa kita maklumi, menjadi pendorong ke arah yang kurang bermanfaat bagi sang penulis, walau pada mata kasarnya, ia memanfaatkan penulis tadi pada jangka pendeknya. Ego sebegini mendorong seseorang penulis itu untuk menganggap dirinya serba baik sebagai penulis, suka disanjung-sanjung, mahu sering dirujuk sebagai pakar itu dan ini (walaupun dia sebenarnya bukan pakar bidang tersebut), mahu dirinya dianggap orang terpenting dalam bidang sastera dan sebagainya. Ego si penulis mudah terjejas apabila ada penulis-penulis lain yang tidak seiring sejalan dengannya kerana mereka berasa ‘lemas’ dengan kecenderungan ego penulis sebegini.

Mungkin kerana ego yang tidak beres dikendali, terdapat banyak cek-cok dalam dunia sastera kita. Orang mudah terguris dan melatah walaupun angin-angin yang mengimbau di sekitarnya, bukan pula berdesir kerananya. Ada yang suka memonopoli perhatian dan menjadi jengkel apabila ada penulis-penulis lain mendapat perhatian yang sewajarnya bagi bakat mereka. Orang-orang sebegini mengamalkan apa yang disebut sebagai ‘zero sum game’: jika orang lain naik di persada sastera, mereka anggap mereka akan turun, dan jika mereka yang berada di takhta sastera, orang lain pula harus turun. Mereka percaya sebagaimana kata William Shakespeare dalam salah sebuah dramanya: ‘Two Henry cannot be in one England’. Konsep kita sama-sama naik sebagai penulis dan sama-sama menyumbang tanpa mementingkan siapa harus dicanangkan sebagai jempolan, kurang benar wujudnya di kalangan penulis-penulis sebegini. Ego yang demikian besar tidak membenarkan sebilangan penulis ini menerima sumbangan pelbagai pencebur seni kerana dengan demikian kedudukan penulis-penulis ini akan selalu terancam. Sebilangannya pula suka berlegar-legar dalam semacam dunia gosip dan seumpamanya, yang langsung tidak memanfaatkan. Akhirnya sastera kita yang menerima akibatnya; kita berlegar dengan ego yang besar di permukaan sementara akar sastera kita selamanya tidak akan bertunjang.

Sanjungan Dan Tujuan Penulis/Seniman

Semua pencebur seni yang baik akan menerima sanjungan juga akhirnya, kalau bukan semasa hidupnya, setelah kematiannya. Pelukis Vincent van Gogh hanya dapat menjual beberapa lukisannya dan menderita dari segi emosi, psikologi, fizikal dan kewangan kerana penceburan seninya. Namun setelah kematiannya barulah khalayak seni mengetahui sumbangan besarnya kepada dunia lukisan. Ada orang mendapat sanjungan bukan kerana dia benar-benar bagus tetapi kerana dia pandai membina rangkaian atau ada penyokong-penyokong tertentu yang mahu dia ke depan. Contoh yang baik ialah penulis Salman Rushdie. Walaupun beberapa tulisannya agak baik, misalnya novel Midnight’s Children, tetapi novel Satanic Versesnya bukanlah novel yang baik, dan pertimbangan ini belum lagi mengambil kira unsur menghina Islam yang terdapat dalam novel tersebut. Sebagai novel pun, Satanic Verses bukanlah karya yang baik atau besar tetapi kerana ada pihak-pihak yang menyokongnya setelah fatwa yang dikeluarkan oleh pihak Iran, novel itu dianggap novel besar dan dia pula dianggap penulis jempolan dan ‘pejuang’ kebebasan penulisan. Tidak hairanlah sokongan yang diberikan kepada Salman Rushdie menjadi sanjungan daripada pelbagai pihak sehingga pada tahun ini dia diberi gelaran ‘Sir’/’knighted’ oleh Ratu Elizabeth II. Dan tidak menghairankan pula jika suatu hari nanti dia diberi Anugerah Nobel bagi Kesusasteraan kerana kehadiran Salman Rushdie sebagai penulis mendapat sokongan pihak-pihak tertentu yang berkepentingan walaupun karya-karya Salman Rushdie belum tentu layak menerima anugerah berprestij itu.

Memang sebagai manusia biasa kita suka juga karya-karya kita dihargai dan tidak dipinggirkan. Tetapi sanjungan yang kita terima kerana penceburan seni kita bukanlah pula sesuatu untuk dibangga-banggakan, membuat kita lupa diri atau menjadikan kita orang yang menganggap dirinya serba sempurna. Setiap sanjungan itu datang bersama amanah dan tanggungjawab. Apakah kita benar-benar layak menerima sesuatu sanjungan itu atau kita benar-benar pandai menghargai sanjungan yang diberikan kepada kita? Atau ego kita yang terlalu besar lalu sanjungan-sanjungan itu kita anggap sebagai hak peribadi kita seorang?

Apa pun tujuan penulisan kita dan apa pun sanjungan yang kita terima, kita harus akur, semuanya adalah sementara. Kalau tujuan penulisan kita murni, penglibatan seni ini kita ceburi dengan rasa tanggungjawab, integriti, dan keterampilan yang sentiasa terbuka untuk diperbaiki, ada atau tiadanya sanjungan bukanlah perkara inti. Sanjungan tidak membuat kita besar kepala dan tiadanya sanjungan pula membuat kita berkecil hati. Kesementaraan segala sanjungan yang diberikan oleh manusia membuat kita lebih insaf akan tujuan penglibatan seni kita kerana akhirnya segala penceburan seni kita akan terungkai makna sebenarnya kelak.

Kesimpulan

Antara tujuan dan sanjungan dalam bidang kesusasteraan atau kesenian, akhirnya kita semua akan berpaksi pada titik asal. Bukan nama, perhatian, sanjungan yang harus dikejar tetapi perkara-perkara yang lebih besar dan hakiki daripada hal-hal tersebut. Ini dijelaskan dengan indah oleh Muhammad Haji Salleh dalam kumpulan puisinya,  Sajak-Sajak Sejarah Melayu (Dewan Bahasa dan Pustaka: 1981), berjudul ‘ceretera yang kedua puluh tiga’.

Dalam sajak tersebut, Sultan Mansur Syah yang gering, menasihatkan anaknya Raja Husin (kemudian bergelar Sultan Alauddin Riayat Syah) agar lebih peka pada rakyat serta tahu tujuan dan amanah yang harus dipegang setelah kemangkatannya. Nasihat Sultan Mansur Syah, melalui puisi Muhammad Haji Salleh ini, boleh juga membuat kita semakin memikirkan tujuan penceburan seni kita dan betapa kemurnian tujuan dan amal itu boleh memanfaatkan semua, sebagaimana ditujukan kepada Raja Husin (petikan halaman 56-57):

iii

dengar juga orang yang tidak berkata
atau bila berkata tidak bersetuju,
kerana mereka juga perlu.
mereka juga melihat dengan mata negeri,
memikir di waktu kita memikir.

————————————————–

dan akhirnya fikirlah di luar dirimu
kejarlah tujuan yang lebih besar dari harta,
anak sungai atau gelaran.
manusia itu kecil
kecil dan kaku seperti aku,
usia pendek
tapi negeri itu panjang,
dan rakyat itu banyak keturunannya.

Ditulis: 20 Ogos 2007
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) dengan tajuk-tajuk sedikit berlainan pada 23 dan 30 September 2007 (dua bahagian).
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s