Archive | May 2017

Catatan 25 – 26 Mei 2017 Masihi/28 – 29 Syaaban 1438 Hijriah

1.Di seluruh dunia, masyarakat Islam sedang bersiap-siap menyambut Ramadan dan diselang-selikan berita-berita yang tetap menyentak – pengeboman di Manchester, United Kingdom, peperangan, pelarian dan berita-berita dunia yang membuat kita merudum dan kadangkala mahu sahaja bertanya – mengapa? Banyak hal bersangkut-paut dan peleraiannya seakan menyusut atau kendur daripada jangkauan kita. Namun, kesedihan dan kadangkala kemarahan ini kita hadam dan cuba mendakkan agar sesuatu yang baik boleh akhirnya muncul.

2.Di tengah kuasa-kuasa dunia yang entah apa agenda mereka – mahu seolah-olah menarik diri dari terlibat dengan rencamnya masalah sedunia dan dengan ada pula kuasa-kuasa besar yang seakan menebarkan sayap mereka dengan perluasaan semacam empayar serta usaha-usaha risikan yang mengingatkan kita kepada zaman Perang Dingin, kita semakin dirisaukan keadaan-keadaan sebegini. Dan insan kerdil seperti kita tertanya-tanya, bagaimana nasib rakyat jelata bila ekonomi merudum dan kuasa-kuasa besar mengembangkan sayap mereka dan bertelagah?

3. Tapi tidak semua hal sebegini seharusnya menggusarkan kita. Dalam kegelapan apa pun, jiwa manusia itu sentiasa hidup dan boleh menangkis kegelapan yang dihadapi, walaupun bertatih. Yang kita boleh ubah, cara kita berhadapan dengan sesuatu masalah atau petaka dan yang boleh kita hidupkan, semangat kita. Masih banyak perkara yang boleh kita usahakan dan masih tak lentur unsur-unsur yang boleh membahagiakan kita.

4. Dalam beberapa minggu ini, berita-berita kematian sejagat dan yang peribadi, tetap menyentuh kita. Ibu mentua sepupu saya meninggal dunia setelah lama sakit. Dan seorang kawan saya, bapanya meninggal dunia dalam masa yang singkat. Kedua-dua berita ini menyedihkan orang-orang yang terdekat dengan Allahyarhamah dan Allayarham. Dan berita pemergian seorang kawan sekampus pada 18 Mei 2017 lalu, begitu menyentak dan menyedihkan bukan hanya keluarga Allahyarham, bahkan kawan-kawan sekampusnya dahulu, rakan sekerja dan anak muridnya. Dan berita-berita sebeginilah yang turut mewarnakan erti Ramadan kita.

5. Hari Bapa akan disambut oleh sebilangan orang pada Jun ini. Sama ada kita menyambutnya atau tidak, saya memasukkan tulisan mengenainya untuk bacaan kita. Semoga mereka yang masih mempunyai bapa dan juga mereka yang bapanya sudah berpulang ke rahmatullah, akan sentiasa menghargai seorang insan yang banyak membentuk dirinya dan pengorbanannya bagi hidup kita ‘bak air laut yang tiada hentinya’.

6. Saya juga lampirkan tulisan mengenai pokok ‘segera’ serta tulisan-tulisan mengenai Ramadan untuk renungan kita bersama.

7. Kenangan Kampus Tahun 70-an Sehingga Awal 80-an Dan Pemergian Seorang Sahabat 

1 Malam Budaya US 19782 Ahmad berdepankan anak dan isterinya serta kawan-kawan 1 Dis 20073 Bernyanyi lagu-lagu zaman mahasiswa 1 Dis 2007.jpg[

4 Bernyanyi Bersama 1 Dis 20075 Bernyanyi bersama 1 Dis 20076 Berpantun secara spontan pada 1 Dis 2007

9 Ahmad Salani 10 Ahmad Salani11 Ahmad Salani

[Gambar pertama di atas – Ahmad berdrama dalam ‘Pesta Budaya’, Universiti Singapura, semasa di tahun pertama, 1978. Gambar-gambar seterusnya [nombor 2, 3, 4, 5 dan 6] semasa pelancaran buku, jamuan dan nyanyian lagu-lagu zaman mahasiswa dan berpantun di Restoran Hajah Maimunah, Geylang Serai, Singapura pada 1 Disember 2007.  Dua gambar terakhir- Ahmad bersama ratu hatinya, Aishah, dan anak-anak serta menantu mereka tidak berapa lama dahulu.]

Pemergian sesiapa yang kita sayang tentunya mengharukan kita. Dan pemergian kawan yang baru kita dengar sakitnya dan umurnya tidak jauh daripada umur kita, tentu menyentakkan kita. Demikianlah pemergian Ahmad bin Salani pada 18 Mei lalu.

Ahmad Salani dan kohortnya menjadi mahasiswa tahun pertama, di Universiti Singapura, Bukit Timah, pada Jun/Julai 1978. Seperti tahun-tahun sebelum kedatangannya ke universiti, tidak terdapat ramai pelajar Melayu-Islam di Universiti Singapura pada ketika itu. Selalunya, setiap kohort ada lebih kurang 70 atau lebih sedikit pelajar Melayu-Islamnya. Jumlah mereka yang masuk ke universiti pun tidak ramai – paling banyak, 4% daripada seluruh kohort pelajar Singapura bagi satu-satu tahun akan dapat meneruskan pelajaran mereka ke peringkat universiti pada tahun-tahun 70-an itu. Dan Universiti Singapura juga tidak terlalu besar – mudah kita bertemu satu sama lain dan persekitaran serta bangunan-bangunan di universiti itu boleh dikatakan mesra pelajar. Lantas tidak hairanlah para pelajar Universiti Singapura mudah mengenali dan mesra dengan rakan-rakan sekampusnya. Begitu juga ada sebuah masjid tidak jauh dari kampus, Masjid Kebun Bunga, yang membolehkan mahasiswa Melayu-Islam Universiti Singapura lebih mengenali satu sama lain kerana selain bersolat, mereka juga beristirehat dalam masjid tersebut.

Tahun-tahun 70-an itu merupakan tahun-tahun yang agak bergolak juga dengan pergerakan mahasiswa di beberapa universiti di Asean. Ketika saya melangkahkan kaki sebagai pelajar tahun pertama Universiti Singapura pada Jun/Julai 1976, keadaannya sudah semakin reda. Namun masih membara sisa-sisanya. Persatuan-persatuan seperti Persatuan Bahasa Melayu (PBMUS) dan Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUS) universiti tersebut ada anasir-anasir yang masih mencetuskan perpecahan. Banyak yang tertusuk oleh anasir-anasir sebegini, termasuk saya.

Saya bergiat dalam jawatankuasa penerbitan kedua-dua persatuan tetapi akhirnya, pada tahun pertama itu,  memilih untuk lebih bergiat dalam Persatuan Bahasa Melayu kerana persatuan ini lebih memerlukan penglibatan saya. Saya menjadi setiausaha penerbitan PBMUS pada tahun pertama dan naib presiden PBMUS pada tahun kedua. Semasa Ahmad dan kohortnya menjadi ‘freshies‘, bersama jawatankuasa PBMUS, kami menganjurkan pelbagai kegiatan untuk mereka. Lantas, banyak kesempatan yang membolehkan saya mengenali kohort Ahmad.

Saya berasa gembira bersama kohort Ahmad kerana sebilangan mereka lebih terbuka, kurang berpuak-puak dan mudah didekati. Ini berbeza daripada kohort-kohort sebelum mereka yang masih ditegar sisa-sisa yang menyelar dan membara. Dan pada tahun ketiga itu (1978/79), saya memilih untuk menolak daripada menjadi presiden PBMUS, tetapi membantu dalam jawatankuasa penerbitan dan kebajikan persatuan tersebut dan mengusahakan sebuah jurnal sastera, Jejak Kembara. Selain jawatankuasa jurnal tersebut (kohort senior Ahmad), yang banyak membantu menyiapkan jurnal itu merupakan kawan-kawan daripada kohort Ahmad Salani.

Beberapa orang daripada kohort Ahmad akrab dengan saya dan saya menganggap Ahmad dan sahabat karibnya, Razak, bagaikan adik-adik saya. Ini semakin dibantu apabila kursus sarjana (MA) saya tidak dapat dimulakan setelah saya lulus pada April 1979 dan saya selalu terpaksa ke kampus kerana dipanggil oleh pengetua Jabatan Pengajian Melayu ketika itu, Prof. Syed Hussein Alatas, untuk berbincang-bincang. Kursus teori sarjana saya hanya dimulakan pada Ogos 1980 dan hanya setelah lulus ini, barulah saya dapat meneruskan pengkajian tesis sarjana saya. Saya merupakan salah seorang  pelajar perintis pengajian sarjana di jabatan tersebut.

Serentak dengan ketidak-tentuan bermulanya kursus sarjana saya, dan saya diberitahu oleh pengetua Jabatan Pengajian Melayu agar jangan bekerja sepenuh masa, berlaku beberapa kegenjotan peribadi yang saya hadapi mulai 1980 itu. Sebilangan kawan daripada kohort Ahmad Salani yang banyak membantu saya ketika itu. Seorang menyewakan asrama untuk saya menggunakan namanya kerana kursus saya belum bermula dan saya tidak boleh menyewa asrama dan saya tidak lagi dapat menginap di rumah saya di Lorong L, Telok Kurau Road. Beberapa orang lain membantu dengan pelbagai cara  dan mengambil berat terhadap diri saya. Tidak seorang pun tahu secara terperinci masalah-masalah yang saya hadapi ketika itu kerana saya tidak memberitahu tetapi mereka berlapang dada dan prihatin terhadap saya. Saya tidak dapat melupakan kebaikan kawan-kawan saya ini, keceriaan yang mereka turut kongsikan dengan saya dengan pelbagai karenah dan telatah mereka. Dalam konteks ini, adanya Ahmad Salani, Razak dan lain-lain, turut menggembirakan saya. Dengan pelajar wanita, lebih selesa saya akrabi, dengan pelajar lelaki, walaupun saya anggap mereka sebagai adik, tidak sepantasnya saya bersikap demikian. Namun kehadiran mereka turut membahagiakan saya  pada zaman yang penuh dugaan itu.

Meskipun kawan-kawan daripada kohort Ahmad kemudian lulus dan meninggalkan universiti, saya masih meneruskan pengajian saya di universiti dan masih berhubungan dengan sebilangan kawan sekohortnya. Saya mengikuti dan sesekali terlibat dalam perkembangan hidup kawan-kawan saya ini – meniti dunia pekerjaan, kemudian berumah tangga dan membina keluarga. Demikian juga saya tahu kisah laluan hidup Ahmad dan seorang dua rakan (lelaki) sebayanya.

Walaupun saya amat jarang bertemunya, bagi saya Ahmad Salani dan beberapa orang lain tetap menjadi insan-insan yang istimewa dalam hidup saya. Dan saya terharu, apabila kohortnya semakin dewasa dan mantap dalam dunia pekerjaan serta rumah tangga, mengadakan pertemuan pertama mereka. Saya diundang sebagai tetamu istimewa mereka. Walaupun saya memang bertemu dan akrab dengan beberapa rakan sekohortnya, tapi pertemuan itulah kali pertama saya dapat bertemu lebih ramai orang daripada kohort Ahmad, setelah mereka meninggalkan Universiti Singapura/Universiti Nasional Singapura.

Diselang-seli masa-masa berlalu, dengan pelbagai kisah suka dan duka dialami oleh kawan-kawan saya, baik daripada kohort Ahmad atau kohort-kohort lain, cerita-cerita zaman mahasiswa kami yang turut  menambahkan rencah santapan kebersamaan kami.

Pada 1 Disember 2007, penerbit saya, Pustaka Nasional, telah mendapatkan slot untuk pelancaran dua buku saya, Hikayat Sri Anggerik dan Ayah Tidak Sayang Padaku Lagi, di Earshot’s Cafe, Arts House, semasa Pesta Penulis Singapura. Kerana ruang cafe tersebut terbatas, saya hanya boleh  mengundang sekitar 100 orang.

Dengan bantuan beberapa orang – memikirkan acara, menu dan lain-lain, saya bercadang untuk menjamu keluarga terdekat, jiran dan kawan-kawan saya, selain kami meraikan mantan profesor kami, Pak Liaw Yock Fang, selepas pelancaran buku-buku tersebut di Earshot’s Cafe. Kami ke Restoran Hajah Maimunah di Geylang Serai, yang telah yang telah di tempah lebih awal, untuk jamuan tengah hari dan acara istimewa kami.

Di kalangan kohort 1978/79 itu, saya tidak teragak-agak untuk mengundang Ahmad dan Razak serta keluarga mereka. Begitu juga saya mengundang seorang yang saya anggap adik, bernama ‘Z. Budak’ walaupun beliau tidak dapat hadir kerana berada di luar negara. Kawan-kawan saya datang bersama keluarga masing-masing, termasuk rakan sekampus yang kini menjadi pasangan hidup mereka. Kami menjamu selera, menyanyi lagu-lagu zaman mahasiswa kami dan Ahmad Salani secara spontan, berpantun dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Kami juga meraikan mantan profesor kami, Pak Liaw, yang kami kasihi.

Semasa di kampus, Ahmad Salani dan Razak memanggil saya ‘Kak Rasiah’ tetapi setelah mereka bekerja, mereka memanggil saya ‘Rasiah’. Ahmad pernah berkata saya seperti kakaknya semasa zaman mahasiswa itu.  Semasa majlis pelancaran dan jamuan itu, Ahmad datang bersama isterinya Aishah dan seorang anak perempuannya. Semasa saya sibuk melaksanakan beberapa hal, dia mendekati saya, mengambil tangan kanan saya dan menciumnya. Katanya: ‘Kak Rasiah, you are my sister‘. Saya terharu dengan tindakannya.

Selepas 1 Disember 2007 itu, Ahmad sesekali menghubungi saya melalui e-mel tetapi tidak kerap. Dan komputer saya beberapa kali pula meragam dan teruk  digodam pada 2013. Alamat emel saya juga ditukar. Saya lebih kerap mendengar beritanya daripada kawan-kawan rapatnya. Dan walaupun saya menganggap dia bagaikan adik, saya segan untuk menelefon dan berbual panjang di telefon dengannya. Demikian juga cara saya berhubung dengan suami kawan-kawan rapat saya, baik yang sekampus atau tidak sekampus dan suami mereka sebilangannya merupakan kawan-kawan sekampus saya dahulu dan sebilangannya memang sudah lama saya kenal. Saya bahagia mengetahui Ahmad dan keluarganya serta kawan-kawan saya yang lain alhamdulillah hidup mereka.

Hanya beberapa bulan yang lalu, kami menerima berita Ahmad Salani menghidap penyakit barah. Rupa-rupanya perkara ini sudah lebih setahun disorok daripada pengetahuan kawan-kawannya. Kami benar-benar terperanjat dan seperti sebilangan kawannya, saya menangis mendengar berita itu.

Saya tahu Ahmad seorang yang tabah dan ceria menjalankan tugasnya sebagai guru Geografi, Sejarah dan Bahasa Inggeris di Assumption English School. Beliau juga sempat meneruskan pengajian sarjananya dalam bidang drama Inggeris, yang membuatnya teruja. Saya mendengar sendiri ceritanya bagaimana menyiapkan tesisnya membuat Ahmad seronok dan gembira. Itulah Ahmad, yang semasa freshie pada 1978 di Universiti Singapura, pernah berlakon dalam ‘Pesta Budaya’ anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Singapura. Dan beliau disayangi rakan sekerjanya dan juga murid-muridnya.

Keinginan untuk menjenguk Ahmad di rumahnya tidak kesampaian ketika itu. Ahmad memberitahu kami beliau telah pun menjalani rawatan terapi  (kemo/radiasi) sebanyak 33 kali dan badannya sudah tidak berdaya. Berat badannya susut. Dia mencuba pula perubatan alternatif. Dan untuk memberi semacam kerehatan kepadanya dan menyenangkannya, keluarganya mengajaknya pergi bercuti ke Eropah, lantas kami menunggu Ahmad pulang bercuti untuk menjenguknya. Malangnya semasa bercuti pun Ahmad dimasukkan ke hospital di United Kingdom. Semasa pulang bercuti, dia masih lemah. Ahmad bersama isterinya Aishah, hanya sempat berjumpa beberapa orang kawan, dalam majlis persandingan anak salah seorang sahabat karibnya pada 8 April lalu. Beliau menggagahkan diri untuk hadir dalam majlis itu, walaupun tidak dapat berlama kerana badannya tidak berdaya.

Pada pagi 18 Mei 2017, saya dan ramai kawannya mendapat berita pemergian Ahmad Salani. Kami tersentak dan amat sedih. Saya sedih kerana tidak sempat menjenguknya dan lebih sedih kerana tidak pernah terfikir, seorang kawan yang saya anggap bagaikan adik, begitu ceria, tegap dan sihat satu masa dahulu, tiba-tiba berpindah ke alam barzakh. Saya tahu, seperti yang dialami dua orang sahabat karib saya dahulu yang tiba-tiba menjadi balu, pemergian Ahmad begitu memeranjatkan isterinya, Aishah. Begitu juga perasaan anak-anak dan keluarga terdekatnya. Tetapi saya yakin, keluarganya akan tabah menghadapi kehilangan ini, insya-Allah.

Pemergian seseorang yang kita kenal sering membuat kita jeda sebentar dan mengenang semula masa-masa kita bersamanya. Sama ada seseorang itu ahli keluarga kita atau sebaliknya, banyak kenangan kita berpusar pada diri orang tersebut, yang seringkali bagai diulang-tayang di hadapan mata kita. Dan air mata kita  bercucuran kerana itu, selain berasa sedikit kesal atau berasa kehilangan yang mendalam. Demikian juga perasaan mereka yang mengenali dan menyayangi Allahyarham Ahmad Salani.

Saya bukan hanya teringat kisah-kisah zaman silam dan telatah Ahmad  dan kawan-kawannya; saya juga diingatkan bahawa kesihatan saya yang  menjunam sebelum kesihatan Ahmad terjejas, tetapi Allah menjemput beliau ke sisi-Nya dahulu. Dan betapa singkatnya masa-masa yang terluang.

Dan saya terkenang betapa dalam hidup ini Allah pertemukan saya sejumlah orang yang baik – ada saya anggap bagai saudara tua, ada bagai saudara muda,  ada pula bagaikan anak/anak saudara saya, ada sebagai sahabat karib saya, selain sememangnya ada keluarga berangkai saya sendiri. Kadangkala pertemuan itu tidak begitu lama atau kerap tetapi kalau kejujuran dan keikhlasan yang menjalinkan perhubungan sedemkian, ia tetap bermakna bagi kehidupan kita.

Semoga Aishah, anak-anak dan keluarga Ahmad Salani tabah menghadapi pemergian ini.  Semoga segala jasa baik Allahyarham Ahmad akan sentiasa mengobori kasih sayang dan semangat keluarganya untuk sabar,  tenang dan reda dalam menjalani kehidupan ini. Semoga semua yang menyayangi Allahyarham Ahmad Salani akan sentiasa mendoakan kebajikannya di alam barzakh dan tetap menyambung tali persaudaraan dan persahabatan dengan keluarga yang Allahyarham tinggalkan. Dan semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan saudara dan sahabat saya ini di sisi-Nya, di kalangan hamba pilihan-Nya di syurga.. Amin, ya Rabbal Alamin. Al-Fatihah untuk Allahyarham Ahmad Salani dan semua yang telah berpulang ke rahmatullah.

Bagi mereka yang berpuasa, selamat menjalani ibadah puasa dengan sebaiknya, maaf zahir dan batin dan  kita akan ‘bertemu’ lagi semasa bulan Syawal nanti, insya-Allah.

Salam
Rasiah Halil
25 – 26 Mei 2017 Masihi bersamaan 28 – 29 Syaaban 1438 Hijriah.

Sajak: Sempadan (Mengenang Ahmad bin Salani)

Sempadan
(Mengenang Ahmad bin Salani – Lahir: 1 Jan 1959 – Meninggal Dunia: 18 Mei 2017)

Sempadan inikah terbina
duniamu & dunia kita
setelah sejenak ditular barah
setelah segala usaha dicuba
pagi tadi, tersentap temali hayat
bersemadi di Pusara Aman, Jalan Bahar,
& kenangan kita bagai tak teranjung
layang-layang yang putus talinya.

Betapa dugaan hidupmu beranjau
dipengapa, dipisah,
kerana mencintai Aishah
yang berbeza bangsa & agama
& betapa jodoh itu ketentuan Allah
cinta & Islam membuhul kau berdua
& tika anak lelakimu jantungnya berlubang
berusia 2 tahun, semasa bersenda, tiba-tiba meninggal
betapa dugaan itu seakan menggelapi
kebahagiaan yang baru bertiang seri
tapi kau berdua tetap redah, reda
katarsis daripada-Nya.

Akankah kami terkenang
telatah kau & ‘Ratno Timoer’ semasa di universiti
berkongsi makanan kerana kurang berduit
spontan berpantun dalam bahasa Melayu, Inggeris,
menceriakan masa-masa muda kami
dengan pelbagai gelagat, gurauan,
& aku menggelarkan kau ‘Hero Hindustan’.

Dapatkah kami lupakan
kemesraan & kejujuran
yang tak lokek kaukongsikan
pada saat-saat singkat
digesa kehidupan
diburu pekerjaan
& dugaan bak guruh
berdentum tiba-tiba
di kalangan kita –
yang kehilangan orang yang disayangi
yang dirundung petaka
yang ditusuk kesihatannya
yang dihitami pintu-pintu ria –
namun kita masih bersama
sesekali bertemu, belajar berlapang dada
kerana persahabatan itu ikhlas, indah,
walau kehidupan mencalar kita.

Sempadan itu hanya sementara
saudaraku & sahabat
dalam doa
dalam amal jariah
dalam kenangan
kau tetap bersama kita, Ahmad,
selamanya.

Ditulis: 18 – 24 Mei 2017
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Jiwa Perlu Dipersiap Untuk Hidupkan Ramadan

Hari ini memang kita semua sibuk berbelanja, maklum hendak buat persiapan bagi menyambut bulan Ramadan yang jatuh pada hari Rabu ini (5 Oktober 2005). Di Geylang Serai pada hari Ahad ini, orang berpusu-pusu membeli barang-barang keperluan dapur, selain ada yang sudah mula membuat persiapan Hari Raya. Yang hendak menjamu selera pun tumpang semangkuk, maklum, ada yang takut ‘kempunan’ semasa puasa nanti. Dan dalam segala kesibukan kita pada hari-hari menjelang bulan puasa, terfikir juga Sri, apa pula persiapan kita, selain soal sandang pangan ini dalam menghidup dan menggemerlapankan bulan kesembilan, bulan Ramadan yang mulia di sisi Allah ini?

Memang Ramadan membawa banyak kenangan dan pengertian kepada kita, baik kita berusia dewasa, remaja mahupun kanak-kanak. Dan setiap seorang daripada kita pasti dibuai pelbagai peristiwa tertentu bila menjelmanya Ramadan. Dari zaman ketuk mengetuk rumah jiran untuk membangunkannya ketika sahur, kisah-kisah lucu keluarga anda semasa sahur, berpuasa dan berbuka, sehinggalah kisah-kisah menyambut malam-malam likur dan membuat kuih-muih Hari Raya. Kebanyakan kita lebih ‘tukar gear’ semasa bulan mulia ini, walaupun kesibukannya semacam, terutama bagi kaum wanita. Yang mengantuk dan terlentuk-lentuk disebabkan kurang tidur kerana mengerjakan sembahyang tarawih, bertadarus dan menyediakan persiapan sahur dan berbuka pun sama banyaknya dengan mereka yang mungkin tak mahu berasa lapar, lalu ngorok sahaja, bila tak bekerja.

Namun Ramadan bukan sekadar kenang-kenangan begini sahaja. Banyak pengajaran yang boleh kita timba daripada menjelmanya bulan yang mulia ini. Satu yang ketara, kita semua boleh merubah hidup kita; dari makan biasa kepada makan ketika berbuka dan sahur sahaja, jika kita mahu (atau mesti lakukan) semasa berpuasa. Apa yang dianggap sukar boleh menjadi senang bila ada tekad untuk melakukannya. Sebab itu ada orang yang merokok, boleh berhenti merokok, kecuali setelah berbuka, semasa Ramadan. Dan ada pula, kerana sudah terbiasa tidak merokok, ketagihnya pada rokok berkurang dan akhirnya dia dapat berhenti merokok buat selama-lamanya.

Demikian juga mereka yang ingin berdiet, Ramadan mengajar kita bahawa kita boleh menahan kehendak perut kita, kalau kita telah membuhulkan niat untuk melakukannya.. Bak sabda Nabi s.a.w., awal sesuatu amal itu adalah niatnya. Dengan berniat kita sebenarnya memberi arahan kepada otak kita yang menjadi semacam pemimpin dalam menggerakkan anggota, saraf, otot, aliran darah kita dan lain-lain agar bertindak sebagaimana yang kita kehendaki. Sebab itu dalam semua amalan, kita harus bermula dengan berniat.

Pada malam-malam sahur masa silam, kita sering terdengar kanak-kanak melafazkan niatnya: Nawaitu saumaghadin an ada-i…….. Dan kerana niat berpuasa, kita tidak hanya menahan lapar dan dahaga malah lebih daripada itu. Kalau setakat tak makan dan tak minum, memang tidak terlalu sukar melakukannya, tetapi yang akan kita dapat setakat lapar dan dahaga sahaja; yang dipinta adalah semacam overhaul terhadap beberapa kebiasaan kita agar yang berubah bukan sekadar badan kita yang susut atau kurangnya kita merokok, tetapi beberapa perilaku yang tidak mendatangkan manfaat kepada diri kita dan masyarakat.

Salah satu perkara yang kita harus lebih berhati-hati adalah dalam pertuturan (termasuk penulisan) kita. Kadangkala cara kita bercakap begitu tajam bak laser atau kita bersikap seperti saluran televisyen CNN, mudah menyampaikan berita (selalunya yang tidak harus kita sampaikan dan yang tak baik), lantas menyusahkan atau memporak-perandakan orang lain. Kadang-kadang gurauan kawan atau saudara kita yang tiada sekelumit pun niat jahatnya, tetapi kerana lasernya lidah kita, yang gurauan pun kita jadikan bahan mencetuskan kemarahan orang lain. Demikian juga ada di kalangan kita suka mengadu domba, mahu score point dalam satu-satu keadaan atau perhubungan, dan kita terlupa bisanya kata-kata dan perilaku kita, boleh meracuni kehidupan orang lain.

Perkara ini baru-baru ini mendapat perhatian dengan beberapa orang Singapura dihadapkan ke mahkamah kerana tulisan mereka dalam diari maya atau blog. Sama ada ketika menulis dairi maya, mengumpat, mengadu domba, semuanya tidak membawa manfaat kepada diri dan masyarakat kita. Bak kata pepatah kita, bila cakap, pandang-pandang dan dengar-dengar, dan bila tulis juga seharus sedemikian. Ini tidak bermakna kita tiada kebebasan, tetapi sebebas mana pun seseorang, dia harus tertakluk kepada adab dalam perhubungan sesama manusia dan juga dalam sesebuah masyarakat, baik masyarakat majmuk atau homogen..

Dan dalam bulan puasa, lagi terasa yang dipandang-pandang dan didengar-dengar itu bukan setakat manusia sahaja. Kerana dengan manusia, Sri rasa, kebanyakan kita menganggap kita boleh putar belit, tetapi bagaimana nak lari dari pendengaran dan perhatian Allah, ya? Setakat tegur menegur untuk kebaikan bersama itu tentunya lain daripada mereka yang mengumpat, mengadu domba, dan laser melaser sesama kita. Kerana akhirnya cara kita membetulkan sesuatu keadaan yang kurang baik atau menegurnya juga sama penting dengan pesanan kita untuk membaiki keadaan tersebut.

Dalam bulan Ramadan, syaitan dibelenggu tetapi syaitan dalam bentuk mengumpat dan sebagainya mungkin berleluasa jika kita kurang menjaganya dan menghiasi lidah kita dengan yang baik-baik bagai manisnya kurma semasa kita berbuka. Biarlah yang baik dan manis sahaja kita lahirkan dalam percakapan kita.semasa berpuasa.

Nenek Sri selalu berkata: bolehkah berjumpa satu lagi Ramadan, tiap kali Ramadan bermula dan berakhir. Beliau tidak ucapkan sedemikian untuk Hari Raya. Kita gembira semasa Raya walaupun sebilangan kita tetap menangis mengenang yang tiada. Tapi Ramadan juga kita menangis kerana kita menginsafi kekurangan kita sebagai hamba yang telah banyak dikurniai kelebihan oleh-Nya.

Ditulis: 28 September 2005
Tajuk Asal: Menjelangnya Bulan Mulia
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 2 Oktober 2005
Tulisan: Rasiah Halil.

Apabila Beramal Usahlah Berkira-kira, Berbelanja Raya Biarlah Berkira-kira

Mengikuti beberapa berita mengenai bencana alam yang menimpa Pakistan, India, Amerika Selatan dan di beberapa tempat yang lain, kita begitu terusik. Dalam sekelip mata, manusia boleh dimusnahkan, dan satu generasi mungkin musnah sebab tertimbus dalam tanah kerana gempa bumi. Manusia, bukanlah seperti kata Shakespeare dalam King Lear: tiada apa-apa dan bercabang (a bare, forked animal) tetapi bak kata penyair John Donne, manusia bukanlah pulau yang tersendiri, tetapi dihubungkaitkan dengan manusia-manusia lain dalam gugusan yang dinamakan kemanusiaan. Sebab itu setiap bencana yang menimpa masyarakat dunia, kita turut bersedih, sama seperti kita bersedih bila berlaku pertumpahan darah akibat perang atau bom nekad.

Mendengar bencana, kita selalu terpanggil untuk menghulurkan bantuan kerana kurang-lah etika kita sebagai manusia jika kita hidup dalam keadaan yang agak selesa tetapi ada penghuni dunia terpaksa kelaparan, kesejukan, dan tanpa tempat berlindung, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia ini. Sri yakin ramai di kalangan kita akan memban-tu sebagaimana kita membantu mangsa tsunami dahulu. Konsep bantuan kita mungkin berteraskan ‘picit paha kiri, paha kanan terasa’; kerana akhirnya tiada ‘badan’ yang akan menjadi sihat jika ada anggotanya sakit atau tenat. Biarlah seperti kata pepatah kita, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Namun, dalam sebilangan kita berura-ura membantu mereka yang di luar negara, kita tidak harus pula melupakan mereka yang turut memerlukan bantuan kita di dalam negara.  Ini lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan. Ada Sri terdengar, orang beriya-iya benar ma-hu membantu mereka yang di luar negara, kerana nak cari pahala yang banyak sempena Ramadan tetapi mereka pula menganggap sepi keperluan orang-orang tempatan. Ada pula bersungguh- sungguh membuat semacam kebajikan di luar tetapi keperluan keluarga dan sanak saudaranya jarang pula diambil berat. Mungkinkah yang diluar itu, kalau kita bantu, jelas ternampak, tetapi dengan sanak saudara yang memerlukan, tidak? Dalam membantu, kita tidak boleh bertindak seperti teguran pepatah kita: kuman di seberang lautan jelas ternampak, gajah di pelupuk mata tiada kelihatan. Kebajikan itu bukan sekadar yang besar-besar; sementara kita membantu mangsa bencana alam atau orang lain, keihsanan kita harus juga mengalir kepada mereka yang di dalam negara serta sanak saudara kita.

Dalam bulan yang mulia ini memang ramai yang berlumba-lumba nak buat amal kebaji-kan. Baik amal sesama manusia atau melebihkan amalan-amalan keakhiratan kita. Tetapi ada juga di antara kita agak ‘berkira-kira’ dengan Allah. Kita mencongak dulu sebelum beramal. Kalau nak beramal, kita hanya tunggu waktu atau hari tertentu dengan adanya pahalanya yang berganda; pada hari atau waktu biasa, kita seakan buat dak saja.

Benar Allah menjanjikan pahala berganda tetapi dalam usia dewasa ini, takkanlah kita beramal kerana mahukan itu saja kerana yang utama, adalah keredaan-Nya. Sri berkata begini kerana pernah Sri temui orang-orang yang menganggap, kalau beramal, kita ‘tangkap’ hari dan waktu yang penting-penting saja, misalnya nak beramal, buat hanya sepuluh hari terakhir Ramadan, yang 20 hari sebelum itu, tak perlu terlalu bersusah payah. Kita sedia maklum kelebihan 10 hari terakhir Ramadan, tetapi takkanlah amalan yang kita lakukan hanya semasa 10 hari terakhir, ya?

Benar, Allah telah menerangkan ‘perniagaan’ yang paling ‘menguntungkan’ ialah dengan-Nya; namun dalam setiap amalan, kita lakukan bukan untuk mendapatkan ganjaran pahala sahaja tetapi yang pertama dan utama, adalah untuk mendapatkan keredaan-Nya. Waktu kanak-kanak bolehlah diterima pakai kalau kita melakukan sesuatu amalan, jumlah inilah pahalanya; dengan meningkatnya usia, kita maklum bukan jumlah pahala yang menjadi sasaran tetapi keikhlasan kita melakukannya demi Allah sebenar-benarnya; dan ganjaran apa pun yang diberi adalah hak-Nya.

Masyarakat kita kini begitu sibuk berbelanja; kalau tak percaya singgahlah ke Geylang Serai, Kampung Gelam, selain pusat-pusat membeli-belah. Banyak pula tawaran-tawaran istimewanya. Ada yang menawarkan wang pendahuluan yang sedikit saja dan semua boleh dibayar secara ansuran. Ada pula menggalakkan kita agar ‘pakai dulu, bayar kemudian’.  Pendek kata, kalau kita tidak bijak menguruskan kewangan dan mudah tergoda, kita juga akan termakan tarikan sebegini. Rasanya sebilangan orang kita suka benar menukar kepada yang baharu setiap menjelang Hari Raya; seolah-olah tak sah kalau yang lama masih dipakai. Lantas ada yang sanggup bergadai bergolok hanya untuk bergaya semasa Raya. Sri rasa, daripada kita menukar yang di luar itu, biarlah yang kita tukar dan perbaharui apa yang berada di dalam: keazaman kita untuk mencorakkan hidup, perhubungan dan keterlibatan kemanusiaan kita ke tahap yang lebih baik lagi.

Biarlah yang kita pentingkan, baik kebajikan kita sesama insan di dalam mahupun  luar negara  ataupun amal ibadat kita kepada Allah berteraskan ‘buat dulu, biarlah Allah tentukan bayarannya kemudian’ daripada kita ‘berkira-kira’ dengan-Nya. Dan daripada kita berbelanja berkonsepkan ‘pakai dulu, bayar kemudian’, biarlah kita lebih berhemat, menukar yang perlu sahaja dan memaklumi yang baharu itu bukan setakat di luar sahaja. Dalam kese-derhanaan, biarlah yang tetap kita perbaharui itu adalah keikhlasan kita kepada-Nya.

Ditulis: 12 Oktober 2005
Tajuk Asal: ‘Buat Dulu, Bayar Kemudian’
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 16 Oktober 2005
Tulisan: Rasiah Halil.

Hidup Bak ‘Pokok Segera’ Tak Dapat Bertahan

pokok 1pokok 3

Dalam beberapa hari ini hujan turun dengan lebat, tanpa disangka-sangka. Kita yang sibuk bekerja, membeli-belah atau masih berjalan Hari Raya, terpaksa meluru dan mencari perlindungan. Di saat-saat beginilah terasa benar kekecilan kita; baru hujan turun, segala rancangan kita boleh tergendela walaupun ada di kalangan kita memiliki payung. Hujan itu memang indah, tapi bila munculnya tanpa disangka-sangka atau kita sendiri tanpa persediaan menghadapinya, sukar juga kehidupan kita dibuatnya.

Sri teringat beberapa bulan lalu membaca berita di akhbar mengenai pokok-pokok yang tumbang kerana hujan lebat. Sebenarnya hujannya bukanlah banjir besar seperti yang pernah kita alami pada tahun-tahun 60-an dulu; sekadar hujan yang berlarut sedikit. Tapi pokok-pokok itu tumbang dan menyusahkan orang ramai, baik pejalan kaki, pemandu dan harta benda awam. Semacam kesedihan menyelubungi hati Sri setiap kali melihat pokok-pokok tumbang kerana Sri gemarkan pokok, tumbangnya pokok-pokok tadi menunjukkan ada sesuatu yang tak kena.

Kita selalu lambangkan pokok dengan pelbagai lambang yang positif – sebagai pelindung, pemberi bunga dan buah-buahan serta oksigen segar, jadi melihatnya tumbang bercanggah dengan gambaran positif tadi. Dan jika anda suka bercucuk tanam, anda tahu betapa mengambil masa dan perhatian anda, setiap pokok yang anda tanam dan mahu melihatnya subur membesar. Kenapa pokok-pokok itu tumbang, anda akan bertanya. Mungkin hujan terlalu lebat, angin terlalu kencang atau mungkin pula tanahnya kurang baik. Ini sering berlaku pada pokok-pokok yang kita tanam sendiri di halaman dan koridor rumah kita.

Tetapi bagaimana pula pokok-pokok yang menghiasi jalan raya dan taman-taman di estet perumahan kita? Apa sebab mereka mudahnya tumbang ? Selain faktor-faktor di atas, satu faktor yang amat ketara ialah sebilangan besar pokok-pokok di tempat-tempat awam ini adalah pokok-pokok ‘segera’. Pokok-pokok ini sebilangannya tidak ditanam dan mengakar di sekitarnya sejak tumbuhan lagi tetapi digunakan untuk menghiasi jalan raya dan tempat-tempat awam setelah mereka agak besar dan dianggap mantap. Dan kerana unsur ‘segera’ ini, walaupun mencantikkan persekitaran kita, pokok-pokok ini tidak benar-benar mengakar seperti tanaman-tanaman kita yang lain, lantas mudah benar tumbang bila hujan lebat sedikit.

Untuk mendapatkan pokok-pokok yang dapat bertahan lebih lama, kita terpaksalah mengadakan masa untuk menanamnya dari benih atau tumbuhan lagi; memberi tanah, baja, air, sinar suria dan perlindungan yang rapi, agar pokok-pokok ini membesar dengan baik dan tak mudah tumbang. Semua ini mengambil masa dan komitmen kita tetapi bagi Sri, ini lebih baik kerana semua orang akan tahu, inilah pokok-pokok kita, yang berakar dan membesar dalam persekitaran kita, dan kerana penjagaan yang rapi sejak tumbuhan lagi dan akar-akar menanjap di tanahnya, pokok-pokok ini insya-Allah akan dapat lebih bertahan lama dan tak mudah tumbang seperti pokok-pokok segera.

Demikian juga dengan kehidupan, fikir Sri. Sering kita inginkan sesuatu itu dengan segera lantas kita mengambil jalan pintas, yang sebenarnya tidak baik untuk kita, untuk jangka panjangnya. Ada orang ingin cepat kaya, dia pilih yang segera, lantas cara-cara yang bercanggah dengan undang-undang, agama dan persekitarannya, menjadi pilihannya. Sebab itu satu hari dia akan ‘tumbang’ seperti pokok-pokok segera tadi. Atau ada orang mahukan kemasyhuran atau kejayaan, tetapi tanpa mengakar kepada persekitarannya, kemasyhuran atau kejayaan itu kalau berlaku pun, hanya sekelip mata. Sri yakin pencarian kita yang lama dan panjang mengenai sesuatu perkara, walaupun nanti yang kita temui adalah batu dan bukan permata adalah lebih baik kerana itulah hasil pencarian kita sejak demikian lama. Apalah ada pada permata yang gemerlapan kilauannya tetapi sebenarnya bukan daripada hasil pencarian kita, sekadar muncul dengan tiba-tiba? Seperti kebanyakan orang, Sri percaya semua yang baik itu mengambil masa dan perkara-perkara yang segera itu, tidak semuanya baik untuk kita.

Sri semakin diingatkan oleh isu pokok-pokok segera ini bila berdepan dengan sebuah tempat makan dekat estet perumahan Sri. Dulu tempat makan ini dimiliki oleh orang tempatan yang baik pengurusannya. Walaupun dia bukan orang Islam, semua gerai di tempatnya hanya dipenuhi dengan makanan-makanan halal dan tiada minuman keras dijual. Kita berasa selamat makan di tempat tersebut atau membeli juadah berbuka puasa. Setelah beliau, tempat makan ini disewakan kepada sebuah restoran Islam; juga tiada masalah. Sejak setahun ini, pengurusannya diambil-alih oleh orang asing. Pelbagai masalah timbul kerana berbeza dengan orang tempatan, yang lebih memahami pegerai dan sekitarannya, orang asing ini hanya memikirkan keuntungan.

Sri nampak sendiri perubahan-perubahannya – dari tempat yang aman dan halal untuk kita makan, tempat ini menjadi tumpuan mereka yang tikam ekor pada hari-hari tertentu. Dan minuman keras, walaupun tak jual, diminum juga oleh mereka yang tikam ekor dan duduk di sana. Dan kini, tempat makan ini menjual juga makanan-makanan yang tidak halal. Kerana pihak pengurusan bukan orang tempatan atau mengakar bersama masyarakat di sekelilingnya, yang penting baginya hanya wang, bukan kesentosaan pegerai atau sejumlah besar pelanggan. Kita sedih melihat satu lagi tempat makan ‘tumbang’ dan mencongak-congak apakah langkah gejala ‘pokok segera’ ini akan menimbulkan kesan, tanpa hujan lebat yang tiba-tiba bertandang?

Ditulis: 11 Disember 2003
Tajuk Asal: Pokok-Pokok Yang Tumbang
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 14 Disember 2003
Tulisan: Rasiah Halil.

Hargai Lelaki Yang Besar Jasanya Kepada Anda

bapa 2bapa 3bapa 1

Bilakah kali terakhir anda menyatakan penghargaan anda kepada bapa anda? Mungkin sesetengah kita tidak pernah atau amat jarang sekali menyatakan hal demikian. Kalau Hari Ibu disambut dengan meriah, Hari Bapa, yang disambut pada hari Ahad ketiga bulan Jun (20 Jun 20 2004; hari ini), tidak pula diraikan semeriahnya. Kurangkah kasih sayang kita kepada bapa kita?

 Tentunya ada sebilangan kita tidak mahu menyambut Hari Ibu atau Hari Bapa kerana pada pandangan golongan ini ia bukan budaya kita. Tetapi, apa salahnya meraikan orang tua kita, walaupun dulu ini bukan budaya kita, asalkan ia tidak bercanggah dengan agama dan adab kita dan kita tidak terbawa-bawa dengan unsur komersil penyambutannya?

Kebanyakan kita yang membesar sehingga tahun 70-an, rata-ratanya mempunyai hubungan yang sedikit berbeza dengan bapa kita, berbanding yang generasi sesudahnya. Kini anak-anak kita lebih ‘terbuka’ dengan bapa mereka sedangkan kita dahulu lebih segan, kalau tidak pun takut, dengan bapa kita. Memang ada kemesraan, yang kadangkala amat mendalam di antara bapa dan anak tetapi keterbukaan perhubungan keduanya yang kita lihat kini, jarang pula dipamerkan pada zaman itu. Namun, keterbukaan yang dipamerkan tidak semestinya menunjukkan perhubungan yang benar-benar akrab. Kenapa Sri berkata demikian? Sri rasa budaya Melayu itu demikian beradab dan santun, lantas betapa terbuka pun perhubungan antara bapa dan anak, ia tidak boleh terlalu terbuka sehingga menghilangkan adab sopan yang dituntut daripada kedua-dua pihak bapa dan anaknya.

Satu kekeruhan dalam struktur keluarga kita ialah kurangnya peranan yang dimainkan sang bapa, yang disebut sebagai masalah kebapaan. Tanpa peranan bapa sebagai ketua keluarga yang sebenarnya dalam pelbagai bidang kehidupan anak-anak, isteri dan mungkin juga keluarga berangkainya, orang-orang di bawah jagaannya akan menghadapi pelbagai masalah, termasuk masalah psikologi, pada zaman pembesaran anak-anak tadi. Tanpa menjadi contoh yang baik, bapa juga secara tidak langsung mempen-garuhi anaknya untuk tidak menjadi contoh yang baik kepada keluarganya nanti.

Namun, yang kita raikan hari ini ialah bapa kita – lelaki yang selalunya banyak berkorban untuk membesarkan anak-anak, yang mungkin tidak sebecok atau semudahnya didekati berbanding dengan ibu kita tetapi kasih sayangnya tidak sedikit pun kurang berbanding dengan kasih sayang ibu kita kepada kita. Bagi anak perempuan pula, bapanyalah lelaki pertama yang membentuk pandangannya terhadap lelaki umumnya. Kalau bapa anda adalah sumber contoh yang baik, besar kemungkinan anak perempuan tadi akan mencari ciri-ciri terbaik bapanya dalam diri lelaki yang menjadi pasangan hidupnya dan bagi anak lelaki pula, dia mungkin ingin menjadi lelaki sebaik bapanya.

Apakah kenangan anda dengan bapa anda? Adakalanya kenangan anda bukanlah perkara-perkara yang ‘hebat’ tetapi episod-episod kecil dalam kehidupan anda bersamanya. Anda mungkin terkenang, seperti Sri, dalam kegilaan Euro 2004 kini, ‘kegilaan’ bapa anda terhadap bola sepak. Bapa Sri bukan hanya gila bola sepak, malah beberapa sukan. Zaman Merdeka/Malaysia Cup dulu, pada tahun 60-an, beliau sanggup mengangkut kami dalam kereta Holden jenis stationwagonnya, berhimpit-himpit, ke rumah Pak Busu Sri di KL, untuk menyaksikan pertandingan bola sepak di sana. Yang indah bagi kami ialah sepanjang perjalanan ke KL, kami banyak berhenti untuk makan sepuas-puasnya, termasuk buah-buahan tempatan seperti durian. Satu lagi kenangan Sri ialah bapa membawa Sri dan seorang saudara Sri (dan juga anak-anak yang lain—berpasang-pasangan) ke pejabatnya semasa cuti sekolah, bila beliau tak berkesempatan membawa kami bercuti ke KL. Pejabat bapa Sri terletak di Telok Ayer Basin, berhadapan laut dan syarikatnya mengendalikan hal-hal perkapalan/logistik perkapalan lantas bagi anak-anaknya memang seronok bila sesekali dapat pergi dan menggelinjang sampai ke petang di pejabatnya dan laut yang berdekatan.

Bapa Sri juga pandai mencipta ‘peribahasa’nya sendiri, selalunya kelakar, tetapi tak boleh Sri tulis di sini kerana bahasa Melayu bapa Sri tidaklah begitu standard, kecuali sebutan bahasa Melayunya yang sejak remaja memang dah baku……Dan bila menyebut nama anak-anaknya disebut penuh kecuali nama seorang dua anaknya, tidak seperti kita yang memanggil dengan nama pendek atau gelaran.

Yang selalu Sri terkenang ialah pengorbanannya membesarkan anak-anaknya dan sayunya hati Sri dan seorang saudara Sri bergilir-gilir menyiap dan menemaninya makan bila ibu Sri telah tiada. Satu lagi kenangan ialah menyuntik insulin ke lengannya kerana penyakit kencing manisnya, tugas yang dulu dilakukan ibu Sri. Beliau gemar membaca dan menghargai ilmu walaupun tidak berpelajaran tinggi. Ramai mengenalinya sebagai seorang yang jujur dan amanah dan suka membantu orang susah.

Sesuatu yang membanggakan bapa Sri ialah bila ada anaknya berjaya dalam bidang akademik ataupun sukan Beliau terharu bila Sri dapat melanjutkan pelajaran ke universiti. Namun, Sri lebih terharu apabila bapa Sri meninggal dunia ketika Sri sedang menduduki peperiksaan tahun pertama di Universiti Singapura. Dan semasa Sri mendapat ijazah, air mata Sri menitis mengenangkan segala pengorbanan dan kasih sayangnya. Sri hanya memiliki segulung ijazah tetapi beliaulah, selain nenek Sri, yang benar-benar memiliki ‘ijazah kehidupan’ kerana menanamkan semangat ketabahan dan keyakinan di hati Sri.

Hargailah bapa anda hari ini dan selamanya. Kecuali Nabi s.a.w., tiada lelaki, apa pun kekurangan atau kelebihannya, yang demikian besar jasanya kepada anda selain lelaki yang anda panggil ‘bapa’.

Ditulis: 17 Jun 2004
Tajuk Asal: Menghargai Bapa Kita
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 20 Jun 2004
Tulisan: Rasiah Halil.

Catatan 7 – 8 Mei 2017

Q1Q2Q3

1. Saya baru menerima berita berpulangnya bapa mentua anak saudara saya di Scotland. Allahyarham yang berusia 60-an tahun, tiba-tiba disahkan menghidap barah dan dalam masa 5 bulan sahaja, berakhir sudah riwayatnya. Banyak usaha telah dilakukan, dari segi perubatan dan pendanaan perubatannya, namun Allah lebih mengasihinya. Saya tahu isteri anak saudara saya sekeluarga selain anak saudara saya, amat terjejas. Pemergian ahli keluarga bukanlah sesuatu yang mudah dihadami.

Beberapa minggu lalu, sepupu-sepupu kepada sepupu-sepupu saya di Singapura kehilangan bapa mereka. Walaupun Allahyarham sudah lanjut usia dan menghidap beberapa penyakit, pemergiannya tetap menjejas ahli keluarga.

Dalam usia berapa pun dan dalam keadaan tiba-tiba atau telah lama menghidap penyakit, pemergian orang-orang yang kita sayang, tidak mudah berlalu begitu sahaja. Kita akan selalu terkenang masa-masa kita bersamanya, mengulangi pesanan, kerenah, kasih sayang dan pelbagai gelagat mereka yang menyentuh hati kita. Yang akan sentiasa hidup adalah segala kenangan dan amal jariah mereka dan yang terpisah hanya alam kita dan alam mereka. Namun, segala kasih sayang, jasa dan pengorbanan mereka untuk kehidupan kita tidak akan luput insya-Allah selamanya, walaupun kita tetap berperisaikan harapan dan yakin pada janji Allah, dalam meneruskan kehidupan kita. Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat kepada roh mereka yang telah berpulang ke rahmatullah ini. Amin.

2.EOW1download (2)

othman-wok-6-data EOW4

EOW1A EOW5  EOW6

EOW8EOW9EOW10

[Gambar-gambar diambil daripada Internet. Wanita dan kanak-kanak yang bersama Allahyarham Encik Othman Wok merupakan anak-anaknya, Lily (wanita) dan Diana (kanak-kanak].

Encik Othman Wok, lahir 8 Oktober 1924, merupakan satu-satunya menteri Melayu dalam kabinet pertama Singapura (1963-1977), meninggal dunia pada 17 April 2017 lalu.

Banyak yang telah ditulis dan diucapkan mengenai Allahyarham. Jenazah Allahyarham telah dikebumikan dengan bantuan pemerintah, mengikut istiadat seorang penyumbang negara. Sesiapa yang membesar pada tahun-tahun 50-an sehingga 70-an pasti mengenali Allahyarham. Semasa rusuhan kaum di Singapura pada Julai 1964, pelbagai perkara yang tidak disangka-sangka berlaku, namun secara keseluruhannya, rakyat Singapura daripada pelbagai kaum dapat berjeda dan menimba pelajaran daripada kejadian sedemikian.

Ada saudara-mara  selain sahabat handai saya yang terlibat dalam perarakan maulud pada 21 Julai 1964 itu dan saya masih ingat bagaimana resahnya sebilangan orang kerana rusuhan yang berlaku. Yang terucap dan bertindak kadangkala boleh juga dilihat dari pelbagai perspektif yang saksama. Saya berusia 8 tahun ketika itu dan bapa saya memang melanggani akhbar Straits Times dan Berita Harian – jadi banyak juga berita yang saya ikuti walaupun sebahagian besarnya tidak saya faham ketika itu.

Yang saya tahu, ramai rakyat Singapura daripada pelbagai keturunan, cuba mengurangkan kesan rusuhan itu. Kampung nenek saya, berdekatan Kampong Melayu, Kaki Bukit, penduduk Tionghoanya dilindungi oleh orang-orang Melayu. Rumah ibu bapa saya di Kampong Wak Tanjong ketika itu, yang berdepankan kuil Cina dan berbelakangkan kampung Cina, tiada apa-apa yang berlaku. Yang ada di beberapa tempat selalunya bukan perbuatan anak-anak kampung tersebut tetapi samseng dan orang-orang sedemikian yang suka membuat onar.

Pemergian Encik Othman Wok mengingatkan kita perit getirnya zaman itu. Dan menyaksikan Encik Othman Wok, Menteri Kebajikan Masyarakat ketika itu melibatkan diri dan menggalakkan sukan, sedikit sebanyak membentuk juga generasi saya pada zaman itu. Mendengar cerita-cerita orang dahulu dan menyaksikannya sendiri, kita tahu Allahyarham seorang yang ramah dan EQ (emotional quotient)nya tinggi. Allahyarham terlibat dalam pergerakan buruh semasa bekerja sebagai wartawan Utusan Melayu.

Allahyarham benar-benar anak jati Singapura kerana beliau berketurunan Orang Laut. Orang Laut bukanlah lanun dan keturunannya memang menetap di Singapura lama sebelum kedatangan Raffles. Demikian juga sebilangan kecil orang Singapura, walaupun bukan berketurunan Orang Laut, memang peribumi Singapura, sebagaimana keluarga sebelah ibu saya. Hanya mereka yang buta sejarah sahaja menganggap Singapura wujud hanya setelah kedatangan Raffles atau ia sekadar kampung nelayan yang terbiar atau segala-galanya mengenai Singapura hanya wujud pada 1965. Benar, Singapura mencapai kemerdekaannya pada 1965 – seandainya kita tidak menjadi sebahagian daripada Malaysia pada 1963, Britain tidak akan melepaskan Singapura. Dan peristiwa-peristiwa yang berlaku, memungkinkan kita mencapai kemerdekaan kita.

Bagi saya, kita mungkin tidak setuju dengan beberapa dasar satu-satu parti politik tetapi kita tidak semestinya membenci seseorang jika benar dia bertindak sebaik dan sejujur mungkin. Untuk beberapa tahun dalam hidup saya, saya membesar di kampung nenek saya di Jalan Kobis, berdekatan daerah Kampong Melayu, di Kaki Bukit. Walaupun saya kemudian menginap di rumah keluarga saya, pada mulanya di Kampong Wak Tanjong dan kemudian di Telok Kurau, dalam kawasan Katong, saya sering berulang tidur dan berkunjung ke Jalan Kobis, sehingga seluruh orang kampung tersebut dipindahkan pada 1978. Orang yang banyak menggerakkan kerja-kerja kemasyarakatan di kampung tersebut merupakan Haji Abdul Rahman Zain. Beliau dibantu oleh beberapa orang kampung, termasuk pak cik saya yang saya panggil Busu.

Haji Abdul Rahman Zain dari parti PKMS atau UMNO Singapura. Orangnya berhemah dan ramah dengan semua. Bagi saya beliau dan Encik Othman Wok memang berbeza parti tetapi sikap gentlemen mereka tiada siapa ragui.

Encik Othman Wok menyertai People’s Defense Force bila ia ditubuhkan pada 1965 dan beliau bukan satu-satunya anak Melayu yang menyertai pasukan begitu. Ada di kalangan bapa orang-orang yang saya kenal menyertai askar wataniah dan seumpama itu, lama sebelum perkhidmatan negara bagi warga Singapura, dalam negara merdeka, dilembagakan. Kesetiaan orang-orang begini, termasuk Encik Othman Wok , kepada tanah air tidak pernah berbelah bagi. Malah ada orang-orang Melayu, semasa Perang Dunia Kedua, turut membela tanah air dengan menyertai pasukan menentang Jepun. Ini termasuk orang-orang seperti Pak Uda saya yang menjadi pegawai tentera laut, mempertahankan Singapura. Adalah kurang bijak jika kesetiaan orang seperti Encik Othman Wok dan generasinya serta generasi seterusnya kepada tanah air, tidak dilihat dari perspekstif yang saksama.

Banyak perkara dicatat dan dihujahkan semasa dan setelah pemergian Encik Othman Wok –  sejarah nanti akan memberi gambaran sebenar sumbangannya sewajarnya. Dan sumbangannya bukan sekadar mengenai keharmonian kaum walaupun beliau terkenal kerana  mempunyai sahabat-sahabat yang akrab daripada pelbagai kaum, dan perhubungannya ikhlas dan tidak dibuat-buat dengan semua.

Saya kira Allahyarham Encik Othman Wok telah dibentuk oleh budaya dan sejarah masyarakat Melayu yang jelas tergambar dalam beberapa peribahasa. Allahyarham berpegang teguh pada peribahasa ‘Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’, lantas soal kesetiaan tidak pernah menjadi persoalan baginya walaupun keadaan sekeliling mungkin seakan meragui beliau dan masyarakatnya.  Dan saya yakin, sebagaimana dijelaskan dalam peribahasa Melayu, Allahyarham Encik Othman Wok maklum akan peranan pelanduk dan gajah, harimau,  serigala dan ular  dalam meruangi  kehidupan di sekelilingnya.

Hanya setelah pemergian Encik Othman Wok baru kita, sebagai masyarakat umum, ketahui bahawa Allahyarham telah mewakafkan sebidang tanah peninggalan bapanya untuknya, bagi mendirikan rumah anak-anak yatim di Mattar Road. Dan ini berlaku lama dahulu sebelum Allahyarham Encik Othman Wok menjadi menteri kabinet.  Di tengah-tengah kehebohan orang-orang yang suka berlagak apabila membuat kebajikan, kesenyapan Allahyarham mengenai sumbangan murni ini boleh kita contohi.

Satu perkara yang saya terkilan, sebagaimana saya selalu terkilan terhadap beberapa orang – kita tidak pernah meminta pandangan Allahyarham, setelah beliau bersara dan masih sihat, untuk memberi ceramah atau berbincang-bincang mengenai penglibatannya sebagai penulis dan wartawan. Allahyarham Encik Othman Wok bukan calang-calang wartawan, malah pernah masuk  ke hutan menjejaki komunis dan Allahyarham juga penulis cerita-cerita seram yang masyhur.  Banyak yang Allahyarham boleh kongsikan dengan khalayak, tetapi sayang kita tidak memanfaatkan ini.

Semoga keluarga yang ditinggalkan Allahyarham Encik Othman Wok akan tabah dan tenang menghadapi pemergiannya. Dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya di kalangan hamba-hamba pilihan-Nya di syurga. Amin.

3. Sebagai penulis memang banyak perkara yang boleh kita tulis. Tetapi sebagai orang beradab tentu kita dibentur oleh nilai-nilai yang baik. Bukan maksudnya kita berkhutbah dalam penulisan atau menulis tanpa kemahiran. Segunung kejujuran pun tidak menjadikan karya kita dianggap bermutu, jika kita tidak ada ilmu dan kemahiran dalam menulis. Demikian juga segunung ilmu dan kemahiran pun tidak bermakna apa-apa jika tulisan-tulisan kita kurang sopan, malah mengaibkan itu dan ini serta disalut lucah. Keterbukaan bukan bererti segala-gala bebas terbuka dan adab kita sebagai manusia dipinggirkan sesukanya.

4. Ada beberapa berita mengenai buku dan penulisan yang menggembirakan saya.   Noraliah Norasid, memenangi hadiah pertama dalam Hadiah Cereka Epigram Books, yang dianjurkan oleh Epigram Books, Singapura, pada November 2016 lalu. Hadiah tersebut berjumlah S$25,000 dan karya yang menang mendapat kontrak penerbitan. Buku Dr Noraliah, The Gatekeeper, baru diterbitkan Mac 2017 lalu dan walaupun saya belum sempat membacanya, saya gembira dan teruja dengan kemenangan ini. Semoga Noraliah akan terus berkarya dan memperkayakan lagi kesusasteraan kita.

Kedai Buku Haji Hashim memang terkenal di kalangan masyarakat Melayu-Islam Singapura. Baru-baru ini generasi keempat daripada keluarga besar Allahyarham Haji Hashim telah mengembangkan sayap untuk memasarkan buku-buku Melayu dalam talian. Ini memudahkan ramai orang mendapatkan buku-buku Melayu – baik buku bahasa, sastera, budaya atau agama, dari dalam mahupun luar negara. Anda boleh melungsuri The Buku Bookstore Sg (www.thebukubookstore.com) untuk membeli buku-buku ini.

Satu lagi, merupakan usaha dua orang penulis muda, yang merupakan suami isteri, memulakan penerbitan mereka demi memajukan sastera Melayu di Singapura. Dua buah buku telah mereka terbitkan, kedua-dua mendapat sokongan Majlis Seni Kebangsaan Singapura (NAC) dan karya dalam buku tersebut, sejumlahnya memenangi Hadiah Pena Emas Singapura (Golden Point Award). Lungsurilah penerbitan ini melalui Unggun Creative (www.ungguncreative.com).

5. Saya agak sibuk dan kurang sihat dalam sebulan ini. Tetapi saya sempat membaca beberapa buah buku ketika masa lapang saya. Salah sebuah buku itu merupakan kumpulan monodrama (lakonan pelbagai watak oleh seorang pelakon) tulisan Hatta Azad Khan. Dr Hatta memang terkenal dengan drama-dramanya, misalnya  Syy! dan Pi Mai Pi Mai Tang Tu serta lain-lain.  Kumpulan monodramanya berjudul OTG (Orang Tua Gila; terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, KL, 2015) yang memuatkan drama-dramanya berjudul “My Honey”, Ahlong dan Kak Long, Menunggu Lampu Hijau, Sarjana Muda Seni Kepujian (Gagal) atau “B.A. Honours (Failed)” dan OTG. Banyak unsur humor diselitkan dan walaupun ada hal-hal ‘tertutup’ dikemukakan, cara pengolahannya mencuit kita dan tidak lucah. Monodrama OTG kelihatan lebih serius dan saya perturunkan sedikit untuk renungan kita:

PAK ALKAF: Dalam suatu festival filem saya pernah berhujah, selonggok tahi lembu dan sejambak bunga dilihat melalui lensa kamera dengan sinaran matahari condong 45 darjah atau bulan penuh, akan sama-sama kelihatan cantik, tetapi baunya tetap berbeza. Filem yang baik mempunyai bau yang segar, wangi, menusuk kalbu, menggerakkan akal dan pemikiran, menimbulkan kesedaran dan akhirnya membahagiakan. Itulah filem yang merupakan sejambak bunga dalam silau matahari dan bulan dan bukannya selonggok tahi lembu yang berbau busuk! Selepas itu saya tidak lagi dipanggil untuk duduk sebagai panel juri.‘ [Halaman 252-252].

Sebuah lagi buku, In Other Words (terbitan Bloombury, United Kingdom, cetakan 2017) oleh Jhumpa Lahiri, ditulis dalam bahasa Itali  dan diterjemahkan oleh penulis lain kepada bahasa Inggeris. Jhumpa, warga Amerika dan penulis berbahasa Inggeris, menggambarkan bagaimana beliau bergelut mempelajari dan mendalami bahasa Itali. Tulisannya menarik dan mungkin menjadi teladan kepada kita di Singapura terutamanya, yang seakan kurang mendalami bahasa Melayu kerana kurang melihat khazanah dan keindahannya (bukan maknanya kita hanya menggunakan bahasa Melayu tetapi di Singapura pada zaman ini bahasa-bahasa ibunda seperti bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil sering tidak diberi perhatian secukupnya oleh para pelajar dan orang tua mereka, lantas penggunaan bahasa Melayu misalnya kedengaran janggal oleh sesetengah penutur). Saya peturunkan petikan daripada buku tersebut:

Should I dream of a day, in the future, when I’ll no longer need the dictionary, the notebook, the pen? A day when I can read in Italian without tools, the way I read in English? Shouldn’t that be the point of all this?

I don’t think so. When I read Italian, I’m a more active reader, more involved, even if less skilled. I like the effort. I prefer the limitations. I know that in some way my ignorance is useful to me.

I realize that in spite of the limitations the horizon is boundless. Reading in another language implies a perpetual state of growth, of possibility. I know that, since I’m an apprentice, my work will never end.

When you’re in love, you want to live forever. You want the emotion, the excitement you feel to last. Reading in Italian arouses a similar longing in me. I don’t want to die, because my death would mean the end of my discovery of the language. Because every day there will be a new word to learn. Thus true love can represent eternity.

Every day, when I read, I find new words. Something to underline, then transfer to the notebook. It makes me think of a gardener pulling weeds. I know that my work, just like the gardener’s, is ultimately folly. Something desperate. Almost, I would say, a Sisyphean task. It’s impossible for the gardener to control nature perfectly. In the same way it’s impossible for me, no matter how intense my desire, to know every Italian word.

But between the gardener and me there is a fundamental difference. The gardener doesn’t want the weeds. They are to be pulled up, thrown away. I, on the other hand, gather up the words. I want to hold them in my hand. I want to possess them.

When I discover a different way to express something, I feel a kind of ecstasy. Unknown words present a dizzying yet fertile abyss. An abyss containing everything that escapes me, everything possible.’ [ Halaman 43 – 45].

Semoga  masukan-masukan blog kali ini ada juga manfaatnya bagi anda.  Selamat membaca dan mengisi hidup anda sebaiknya.

Salam
Rasiah Halil
7 – 8 Mei 2017.