Filem Melayu [Ditulis pada Ogos 2005]

JA 2Jalan Ampas PicJA 1

(Gambar-gambar diambil daripada Internet.)

Seorang kawan Sri dari Malaysia pernah meminta Sri membawanya ke stesen Kereta Api Tanah Melayu (KTM) yang terletak di Tanjong Pagar. Dia bukan hendak pulang melalui kereta api tetapi kerana dia hendak mengambil gambar stesen tersebut. Kerana banyak menonton filem Melayu lama yang kebanyakannya dibuat di Singapura, gambaran-gambaran di stesen KTM telah lama terakam dalam ingatannya. Kenangannya pada filem-filem Melayu membawa bersama kenangannya kepada beberapa tempat di Singapura yang terakam dalam filem-filem tersebut.

Sebagaimana yang ditulis oleh Rahmad Sakom, sebilangan kita mengenali secercah budaya dan sejarah masyarakat Melayu melalui filem-filem Melayu lama. Tanpanya, dokumentasi mengenai pelbagai bidang kehidupan kita akan hilang bersama masa. Dari kisah Singapura Dilanggar Todak, Dang Anum, Si Tenggang, Hang Tuah, sehinggalah  kisah Penarik Beca, Gurindam Jiwa, Antara Dua Darjat, Ibu Mertuaku, siri Bujang Lapuk dan lain-lain, kita terhibur dan tersentuh kerananya. Sebilangan cara hidup, permasalahan dan tempat-tempat silam di Singapura dan daerah sekitarnya telah terakam melalui filem-filem tadi. Dan kita berterima kasih kerana sekurang-kurangnya ada semacam dokumentasi untuk generasi kini dan akan datang melalui filem-filem tersebut.

Sri teringatkan kisah filem-filem kita bila membaca laporan akhbar Straits Times (pada 17 Ogos 2005) mengenai dua filem buatan tempatan yang akan ditayangkan minggu ini iaitu filem The Maid oleh Kelvin Tong dan Perth oleh Ong Lay Jinn atau Djinn. Memanglah kita turut berbangga kerana ada usaha anak tempatan untuk merancakkan industri perfileman kita. Nama-nama seperti Eric Khoo, Jack Neo, Roystan Tan, Abdul Nizam, Glenn Goei, Colin Goh dan lain-lain mula terukir dalam dunia filem kita. Kecuali sebuah dua filem, kebanyakan filem ini tidak pula menggambarkan kepelbagaian masyarakat majmuk kita. Lantas gambaran yang terakam pada khalayak yang menonton terasa sedikit kurang seimbang.  Ini tidak mengapa jika isu yang diketengahkan banyak berlegar dalam satu-satu kaum, tetapi jika ia lebih bersifat umum, rasanya perlu juga kita secara tidak langsung memunculkan kepelbagaian kita seadanya sebagaimana dilakukan oleh Colin Goh dalam filem TalkingcockThe Movienya.

Memang industri filem kita tidaklah serancaknya semasa zaman akhir 40-an sehingga awal 60-an di Singapura. Ketika itu Singapura bukan sahaja menjadi pusat perfileman Melayu malah menjadi nadi penggerak bagi beberapa petubuhan dan penerbitan Melayu. Kini studio filem Shaw Brothers di Jalan Ampas and Cathay Keris di East Coast Road hanya menimbulkan linangan air mata sahaja. Dan sesekali kita bersua dengan karyawan filem lama kita, rasa gembira kita tidak dapat tidak berbaur dengan rasa keharuan kita.

Namun, industri berfileman kita kini sekali lagi mula mendapat tempat, walaupun masih lagi bertatih. Bantuan daripada pihak-pihak tertentu misalnya Suruhanjaya Filem Singapura dan lain-lain disediakan selain biasiswa untuk mereka yang ingin mendalami bidang ini. Tetapi yang akan dibantu tentunya terhad dan ada pula batas-batasnya jika diberi bantuan. Di politeknik dan universiti kini ada bidang-bidang pembuatan/kajian filem dan video dijalankan dan terdapat juga sejumlah orang Singapura yang ghairah mengikutinya. Tetapi keghairahan ini akan malap jika apa yang diimpikan semakin tidak terjangkau. Mungkin ada baiknya jika lebih banyak ruang disediakan bagi menampilkan bakat-bakat orang kita dalam industri ini melalui filem-filem pendek atau membuat siri drama untuk televisyen. Ini tentunya memakan masa, tetapi adalah lebih baik jika kita terus mengasah bakat-bakat kita melalui siri drama dan filem pendek daripada hanya mengimport drama bersiri yang kurang berbobot dari negara jiran. Tanpa mengadakan ruang dan sokongan, bakat orang kita hanya tertinggal pada zaman kegemilangan filem Melayu sahaja.

Dunia seni memang mudah dicemari unsur-unsur yang kurang baik tetapi seniman sejati itu bukan pula manusia yang tanpa nurani dan nilai hidup. Melalui pembauran fikiran, nurani dan perasaannya yang saksama, banyak yang dapat dilahirkan untuk tatapan umum. Dia mungkin belum sebaik P.Ramlee atau Jamil Sulong atau permainan kameranya belum setanding A. Bakar Ali, tetapi jika ada sokongan dan ruang untuknya bergerak mungkin satu hari nanti dapat juga dicapai taraf sebaik mereka atau lebih baik lagi. Dan ruangan untuk karyawan filem kita tidak perlu berlegar pada bidang filem secara khusus, tetapi mungkin menjurus ke bidang drama bersiri, dokumentari, animasi dan sebagainya. Yang penting, karya-karya yang baik dan bukan filem dan siri yang memualkan dapat dihidangkan kepada masyarakat umum. Sekadar contoh, badan-badan tertentu mungkin dapat bekerjasama untuk membiaya siri dokumentari  petukangan, permainan, busana Melayu atau tempat-tempat bersejarah di Singapura dan di Nusantara atau siri animasi yang diambil daripada kesusasteraan tradisional kita. Banyak cerita yang menarik dapat ditampilkan dan Sri yakin orang kita memang berkebolehan dalam bidang ini. Kalau membuat filem biasa terlalu sukar, biarlah kita lebih menebarkan bakat dalam bidang-bidang yang nampak kecil, tapi besar maknanya bagi dunia perfileman, drama dan pendokumentasian kita.

Ditulis: 17 Ogos 2005
Tajuk Asal: Dunia Filem Kita
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 21 Ogos 2005
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s