Permasalahan Integriti

Prakata

Integriti adalah suatu prinsip hidup yang menjadi kayu ukur kesahihan serta kejujuran seseorang individu.  Ia bukanlah prinsip tempelan yang boleh ‘dipakai’ pada waktu tertentu dan dibuang, jika tidak lagi diperlu.  Seseorang yang menghayati prinsip ini dalam kehidupannya dapat dilihat melalui perbuatannya, bukan sekadar perkataannya sahaja; kerana berbeza dengan unsur-unsur luaran yang mungkin dipegang mengikut musim, integriti bukanlah sesuatu yang boleh ditukar masa, usia, keadaan dan sebagainya.  Lantas, seseorang yang mempunyai integriti adalah seorang yang saksama, adil dan wajar dalam tindak-tanduk dan pertimbangannya serta dalam perhubungannya antara sesama manusia.

Penjelasan Seterusnya

Apakah penting prinsip ini dalam kehidupan seharian kita? Seandainya prinsip ini tiada, adakah kehidupan kita akan lebih bahagia ataupun sengsara?

Menurut Stephen Covey, seorang pakar pengurusan kemanusiaan, integriti adalah prinsip utama yang menentukan laluan hidup seseorang.  Tanpa integriti, walaupun seseorang itu berjaya secara lahiriah: mempunyai kedudukan, kerjaya yang menjamin, rumah besar, kereta menjalar serta anak-anak di sekolah terbaik, ia tidak bermakna seseorang itu ‘berjaya’ dalam erti kata yang sebenar.  Tanpa integriti dalam kehidupannya, lambat-laun kejayaan lahiriah ini akan menghambarkan hidupnya kerana kepuasan dan ketenangan tidak dimilikinya dan kehendaknya terhadap ‘ganjaran-ganjaran’ kehidupan tidak akan menemui takat ketepuan.  Seperti kata pepatah Inggeris, mungkin bagi orang begini segala-galanya ada ‘harga’, lantas nilai-nilai hidup seperti integriti juga boleh ‘dibeli’, jika itu yang diperlukannya.

Tanpa integriti, individu dan kelompok tidak akan maju sebagaimana seharusnya dalam kontinuum kehidupan.  Penilaian yang digunakan nanti akan bersifat luaran, sementara dan berlandaskan perasaan serta kehendak individu itu, bukan sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada masyarakat terbanyak dalam jangka panjang.

Satu contoh yang boleh ditampilkan dalam bidang kerjaya ialah kerjaya guru.  Misalnya, seorang guru yang memberi penilaian (markah) kepada murid-muridnya, boleh melakukannya dengan penuh integriti ataupun sebaliknya.  Seandainya guru itu memberi markah tinggi atau keutamaan kepada seseorang murid berdasarkan faktor-faktor seperti : murid itu/keluarganya terlebih awal dikenali sang guru, murid itu patuh kepadanya, murid itu pandai memuji guru, guru mahu murid-murid mendapat markah tinggi supaya dia dianggap sebagai guru yang baik, tanpa memikirkan taraf sebenar murid-muridnya dan sebagainya, ternyata penilaian begini adalah penilaian yang songsang.  Tentunya penilaian begini akan membahagiakan sebahagian besar para murid dan guru, tetapi pada natijah terakhir, ia tidak membantu pembangunan para murid mahupun guru tersebut.

Murid-murid serta para guru yang dibesarkan dengan cara penilaian sedemikian akan mendapati sukar bersaing dengan sesungguhnya apabila dewasa dan menghadapi dunia kerjaya yang lebih mencabar.  Murid dan guru sedemikan akan selalu berasa runsing apabila terdapat rakan sebaya/sekerja yang belajar/bekerja bersungguh-sungguh dan dengan penuh integriti, kerana kehadiran orang-orang begini sebenarnya menampilkan, secara tidak langsung, suatu kayu ukur perbandingan, dan menggoyahkan kedudukan orang-orang yang tidak menghayati prinsip integriti itu.

Keperluan menghayati prinsip integriti ini tidak dapat dinafikan dalam kehidupan seharian kita.  Bayangkan apa yag akan berlaku, jika prinsip ini tidak menjadi salah satu prinsip hidup kita.  Memenuhi keperluan kehidupan akan menhadi demikian sukar; untuk mendapatkan keperluan-keperluan asas seperti air, lampu, gas, telefon, pengangkutan, perumahan, persekolahan dan lain-lain, kita perlu mengenali ‘“orang dalam’, jika tidak, kita tidak dilayan.  Dan dengan sewenang-wenang seorang individu itu boleh diketepikan kerana dia tidak ada ‘hubungan’ dengan orang-orang yang berkepentingan.  Sikap untuk melayani semua manusia dengan wajar dan saksama, tanpa mengira warna kulit dan kedudukan, tidak akan wujud dalam paradigma begini.  Yang tertampil ialah ‘talian-talian’ yang menguntungkan, yang melanggar prinsip integriti antara insan.  Dengan kata mudahnya, prinsip integriti ini mengkehendaki kita bersikap adil, wajar dan saksama terhadap semua manusia dan dalam apa pun keadaan yang rasional.  Prinsip ini tidak membenarkan kita ‘menimba di air yang keruh’ ataupun menjahanamkan orang lain demi penakatan kita.

Persoalan integriti ini melangkaui kelainan budaya, bangsa, bahasa dan agama.  Sama ada seseorang berbangsa Amerika ataupun Singapura, misalnya, persoalan integriti tidak akan berubah kerana kelainan warganegara ini.  Seandainya prinsip integriti ini hanya boleh berlaku dalam masyarakat ‘A’ misalnya, dan tidak bersifat sarwajagat, ini bererti prinsip ini terbatas penggunaannya.  Namun, kehidupan harian kita menunjukkan sebaliknya.  Misalnya dalam bidang kerjaya.  Seseorang pekerja dibayar gaji yang setimpal dengan kelulusan dan pengalamannya dan sekitaran kerjanya baik dan ‘sihat’.  Jika prinsip integriti menjadi amalan pekerja tadi, dia tidak akan mencuri tulang atau menunggu masa untuk pulang secepat mungkin, tanpa membereskan kerja-kerjanya.

Ini tidak bererti dia menjadi ‘penunggu’ syarikat dan bekerja seperti robot.  Yang dipentingkan ialah memberi masa bermutu untuk kerjayanya dan tidak menyalahgunakan masa dan tugasnya di pejabat.  Misalnya, masa bekerja tidak digunakan untuk membuat kerja sambilannya ata kegiatan-kegiatan luarnya hingga menjejas tugasnya di pejabat;  seandainya membuat kerja secara berkumpulan, dia tidak sekadar menempelkan namanya tanpa membuat sebarang kerja; dia juga tidak akan menyalahgunakan peruntukan R & D misalnya atau sewenang-wenang mahu ‘melancong’ dan ‘mencari bisnes sendiri’ atas kelonggaran mengikuti beberapa kegiatan di luar negara yang diberi oleh syarikatnya.

Integriti, atau dengan lain perkataan, hati  nuraninya, tidak akan membenarkannya melakukan hal-hal kebalikan di atas walaupun mungkin ada di kalangan rakan sekerjanya melakukan demikian.  Dan penerapan prinsip ini tidak berubah walau di mana pun seseorang itu berada, baik di Timbuktu, Kutub Utara ataupun Singapura; seperti kata Stephen Covey, prinsip begini adalah sesuatu yang malar (constant) dan tidak mencair atau membeku bertembung dengan apa pun kenyataan kehidupan.

Tanpa prinsip integriti dalam diri seseorang individu atau sesuatu kelompok masyarakat, jambatan penilaian jaya diri yang dibina, tidak akan kukuh dan tegap.  Dan penilaian begini akan runtuh bila berdepan dengan cabaran-cabaran hebat.  Bayangkan keadaan ini: pelajar yang dianggap cemerlang dalam pelajaran kerana hubungan intimnya dengan gurunya; pekerja yang dianggap baik kerana pandai bermulut manis dengan ketuanya; orang-orang yang dianggap wakil-wakil sesuatu pertubuhan, dipilih atas dasar pilih kawan dan lain-lain.  Kemajuan yang akan dicapai oleh individu atau kelompok dalam senario di atas, amatlah terbatas.  Yang terbaik tidak akan ke depan, sebaliknya, orang-orang yang tanpa integriti, yang nilai-nilai yang dihayati adalah nilai-nilai songsang, akan menjadi sumber contoh.  Dan kelompok tersebut akan sukar mencari kemajuan sebenar, kerana ia akan sering berpusar dalam lingkaran nilai-nilai palsu dan sementara.  Dan seandainya ada kemajuan yang dicapai, kemajuan yang digarap juga berupa jangka pendek.

Penutup

Sama ada kelompok ataupun individu, kayu ukur kemajuan dan kejayaan seharusnya diterapkan dengan nilai-nilai sarwajagat, yang tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas.  Dan menghayati prinsip integriti dalam semua bidang kehidupan adalah salah satu nilai sarwajagat tersebut.  Dengannya individu ataupun kelompok dapat maju dengan wajar dan saksama serta pembangunan yang dinikmati bukan sekadar luaran sahaja.  Dan dengannya juga kita tahu membezakan antara kaca dan manikam dan menjadi cemerlang dalam erti kata sebenar.

Menghayati dan mengamali prinsip ini, seolah-olah menanamkan benih kejujuran dan kecemerlangan dalam pohon kehidupan kita, selari dengan kata pepatah kita yang indah: Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.  Dan kita berupaya menjadi pulau indah itu, walaupun kecil, asalkan prinsip-prinsip seperti integriti menjadi pegangan kita.

Ditulis: 12-14 Ogos 1996
Kuala Lumpur, Malaysia
Tersiar: Berita Harian (Singapura), pada 1996
Tulisan: Rasiah Halil.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s