Sajak: ‘Si Kuning’ dan ‘Bola’

Kunyit Besar 1Kunyit Besar 2

Si Kuning

Kau menjelma lagi
setelah hujan lebat
guruh berdentum
berseleraknya daun-daun
bagai tibanya musim luruh
bertenggek di birai jendela
tekun mematuki hirisan epal
bahagia dengan rezekimu
& membahagiakan petangku.

Dahulu yang bertandang ibumu
kemudian berpasangan dengan bapamu
sebentar menceriakan hidupku
dengan gelagat & rupa mereka –
comel, kuning kunyit, bak unggas Zorro
siapakah yang kaubela Don & Dona Diego –
tapi mereka tak berkicau, asyik meladeni
rezeki itu untuk kenyang hingga ke subuh
& kemudian lama mereka menghilang
jendelaku tanpa dihias si Kunyit Besar
hingga ibumu membawa kau ke birai
kecil, bertatih, memakan hirisan epal
seolah takut-takut untuk berkenal-suai.

Hari ini sekali lagi kau menjelma
setelah hujan menyegari asar
& lama bertenggek di birai
kau tetap comel, lebih berani, besar
bersama tiung, sesekali pipit, merpati
mencari rezekimu di jendela
meriuhi dapurku & suasana
& mengindahkan hidupku akan rahmat-Nya.

Ditulis: 14 April 2017
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Bola

Seperti bola
yang kautendang sesuka hati
apa pun permainan & padangnya
kerana kaulah penentu
gelanggang, penonton, penaja
& bola sebiji
sekadar pelengkap sorakan murba.

Bila-bila bola boleh kauanjalkan
dikempis atau ditukar
walau tanpa bola apalah permainan
apalah gelanggang, sorakan
sekadar sepak terajang sulapan
namun ramai yang rancak berbasa-basi
tanpa benar-benar menghargai
bola sebiji
wujud sebelum Raffles tiba
masyhur sezaman Sri Tri Buana
kerana gelanggang kian membesar, canggih
sorakan & penaja boleh sahaja dimuat naik.

Sekadar bola
betapa liciknya kaki hasrat
menyepak tanpa prihatin
erti etika & asasi.

Ditulis: 16 – 21 April 2017
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s