Apabila Beramal Usahlah Berkira-kira, Berbelanja Raya Biarlah Berkira-kira

Mengikuti beberapa berita mengenai bencana alam yang menimpa Pakistan, India, Amerika Selatan dan di beberapa tempat yang lain, kita begitu terusik. Dalam sekelip mata, manusia boleh dimusnahkan, dan satu generasi mungkin musnah sebab tertimbus dalam tanah kerana gempa bumi. Manusia, bukanlah seperti kata Shakespeare dalam King Lear: tiada apa-apa dan bercabang (a bare, forked animal) tetapi bak kata penyair John Donne, manusia bukanlah pulau yang tersendiri, tetapi dihubungkaitkan dengan manusia-manusia lain dalam gugusan yang dinamakan kemanusiaan. Sebab itu setiap bencana yang menimpa masyarakat dunia, kita turut bersedih, sama seperti kita bersedih bila berlaku pertumpahan darah akibat perang atau bom nekad.

Mendengar bencana, kita selalu terpanggil untuk menghulurkan bantuan kerana kurang-lah etika kita sebagai manusia jika kita hidup dalam keadaan yang agak selesa tetapi ada penghuni dunia terpaksa kelaparan, kesejukan, dan tanpa tempat berlindung, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia ini. Sri yakin ramai di kalangan kita akan memban-tu sebagaimana kita membantu mangsa tsunami dahulu. Konsep bantuan kita mungkin berteraskan ‘picit paha kiri, paha kanan terasa’; kerana akhirnya tiada ‘badan’ yang akan menjadi sihat jika ada anggotanya sakit atau tenat. Biarlah seperti kata pepatah kita, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Namun, dalam sebilangan kita berura-ura membantu mereka yang di luar negara, kita tidak harus pula melupakan mereka yang turut memerlukan bantuan kita di dalam negara.  Ini lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan. Ada Sri terdengar, orang beriya-iya benar ma-hu membantu mereka yang di luar negara, kerana nak cari pahala yang banyak sempena Ramadan tetapi mereka pula menganggap sepi keperluan orang-orang tempatan. Ada pula bersungguh- sungguh membuat semacam kebajikan di luar tetapi keperluan keluarga dan sanak saudaranya jarang pula diambil berat. Mungkinkah yang diluar itu, kalau kita bantu, jelas ternampak, tetapi dengan sanak saudara yang memerlukan, tidak? Dalam membantu, kita tidak boleh bertindak seperti teguran pepatah kita: kuman di seberang lautan jelas ternampak, gajah di pelupuk mata tiada kelihatan. Kebajikan itu bukan sekadar yang besar-besar; sementara kita membantu mangsa bencana alam atau orang lain, keihsanan kita harus juga mengalir kepada mereka yang di dalam negara serta sanak saudara kita.

Dalam bulan yang mulia ini memang ramai yang berlumba-lumba nak buat amal kebaji-kan. Baik amal sesama manusia atau melebihkan amalan-amalan keakhiratan kita. Tetapi ada juga di antara kita agak ‘berkira-kira’ dengan Allah. Kita mencongak dulu sebelum beramal. Kalau nak beramal, kita hanya tunggu waktu atau hari tertentu dengan adanya pahalanya yang berganda; pada hari atau waktu biasa, kita seakan buat dak saja.

Benar Allah menjanjikan pahala berganda tetapi dalam usia dewasa ini, takkanlah kita beramal kerana mahukan itu saja kerana yang utama, adalah keredaan-Nya. Sri berkata begini kerana pernah Sri temui orang-orang yang menganggap, kalau beramal, kita ‘tangkap’ hari dan waktu yang penting-penting saja, misalnya nak beramal, buat hanya sepuluh hari terakhir Ramadan, yang 20 hari sebelum itu, tak perlu terlalu bersusah payah. Kita sedia maklum kelebihan 10 hari terakhir Ramadan, tetapi takkanlah amalan yang kita lakukan hanya semasa 10 hari terakhir, ya?

Benar, Allah telah menerangkan ‘perniagaan’ yang paling ‘menguntungkan’ ialah dengan-Nya; namun dalam setiap amalan, kita lakukan bukan untuk mendapatkan ganjaran pahala sahaja tetapi yang pertama dan utama, adalah untuk mendapatkan keredaan-Nya. Waktu kanak-kanak bolehlah diterima pakai kalau kita melakukan sesuatu amalan, jumlah inilah pahalanya; dengan meningkatnya usia, kita maklum bukan jumlah pahala yang menjadi sasaran tetapi keikhlasan kita melakukannya demi Allah sebenar-benarnya; dan ganjaran apa pun yang diberi adalah hak-Nya.

Masyarakat kita kini begitu sibuk berbelanja; kalau tak percaya singgahlah ke Geylang Serai, Kampung Gelam, selain pusat-pusat membeli-belah. Banyak pula tawaran-tawaran istimewanya. Ada yang menawarkan wang pendahuluan yang sedikit saja dan semua boleh dibayar secara ansuran. Ada pula menggalakkan kita agar ‘pakai dulu, bayar kemudian’.  Pendek kata, kalau kita tidak bijak menguruskan kewangan dan mudah tergoda, kita juga akan termakan tarikan sebegini. Rasanya sebilangan orang kita suka benar menukar kepada yang baharu setiap menjelang Hari Raya; seolah-olah tak sah kalau yang lama masih dipakai. Lantas ada yang sanggup bergadai bergolok hanya untuk bergaya semasa Raya. Sri rasa, daripada kita menukar yang di luar itu, biarlah yang kita tukar dan perbaharui apa yang berada di dalam: keazaman kita untuk mencorakkan hidup, perhubungan dan keterlibatan kemanusiaan kita ke tahap yang lebih baik lagi.

Biarlah yang kita pentingkan, baik kebajikan kita sesama insan di dalam mahupun  luar negara  ataupun amal ibadat kita kepada Allah berteraskan ‘buat dulu, biarlah Allah tentukan bayarannya kemudian’ daripada kita ‘berkira-kira’ dengan-Nya. Dan daripada kita berbelanja berkonsepkan ‘pakai dulu, bayar kemudian’, biarlah kita lebih berhemat, menukar yang perlu sahaja dan memaklumi yang baharu itu bukan setakat di luar sahaja. Dalam kese-derhanaan, biarlah yang tetap kita perbaharui itu adalah keikhlasan kita kepada-Nya.

Ditulis: 12 Oktober 2005
Tajuk Asal: ‘Buat Dulu, Bayar Kemudian’
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 16 Oktober 2005
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s