Hargai Lelaki Yang Besar Jasanya Kepada Anda

bapa 2bapa 3bapa 1

Bilakah kali terakhir anda menyatakan penghargaan anda kepada bapa anda? Mungkin sesetengah kita tidak pernah atau amat jarang sekali menyatakan hal demikian. Kalau Hari Ibu disambut dengan meriah, Hari Bapa, yang disambut pada hari Ahad ketiga bulan Jun (20 Jun 20 2004; hari ini), tidak pula diraikan semeriahnya. Kurangkah kasih sayang kita kepada bapa kita?

 Tentunya ada sebilangan kita tidak mahu menyambut Hari Ibu atau Hari Bapa kerana pada pandangan golongan ini ia bukan budaya kita. Tetapi, apa salahnya meraikan orang tua kita, walaupun dulu ini bukan budaya kita, asalkan ia tidak bercanggah dengan agama dan adab kita dan kita tidak terbawa-bawa dengan unsur komersil penyambutannya?

Kebanyakan kita yang membesar sehingga tahun 70-an, rata-ratanya mempunyai hubungan yang sedikit berbeza dengan bapa kita, berbanding yang generasi sesudahnya. Kini anak-anak kita lebih ‘terbuka’ dengan bapa mereka sedangkan kita dahulu lebih segan, kalau tidak pun takut, dengan bapa kita. Memang ada kemesraan, yang kadangkala amat mendalam di antara bapa dan anak tetapi keterbukaan perhubungan keduanya yang kita lihat kini, jarang pula dipamerkan pada zaman itu. Namun, keterbukaan yang dipamerkan tidak semestinya menunjukkan perhubungan yang benar-benar akrab. Kenapa Sri berkata demikian? Sri rasa budaya Melayu itu demikian beradab dan santun, lantas betapa terbuka pun perhubungan antara bapa dan anak, ia tidak boleh terlalu terbuka sehingga menghilangkan adab sopan yang dituntut daripada kedua-dua pihak bapa dan anaknya.

Satu kekeruhan dalam struktur keluarga kita ialah kurangnya peranan yang dimainkan sang bapa, yang disebut sebagai masalah kebapaan. Tanpa peranan bapa sebagai ketua keluarga yang sebenarnya dalam pelbagai bidang kehidupan anak-anak, isteri dan mungkin juga keluarga berangkainya, orang-orang di bawah jagaannya akan menghadapi pelbagai masalah, termasuk masalah psikologi, pada zaman pembesaran anak-anak tadi. Tanpa menjadi contoh yang baik, bapa juga secara tidak langsung mempen-garuhi anaknya untuk tidak menjadi contoh yang baik kepada keluarganya nanti.

Namun, yang kita raikan hari ini ialah bapa kita – lelaki yang selalunya banyak berkorban untuk membesarkan anak-anak, yang mungkin tidak sebecok atau semudahnya didekati berbanding dengan ibu kita tetapi kasih sayangnya tidak sedikit pun kurang berbanding dengan kasih sayang ibu kita kepada kita. Bagi anak perempuan pula, bapanyalah lelaki pertama yang membentuk pandangannya terhadap lelaki umumnya. Kalau bapa anda adalah sumber contoh yang baik, besar kemungkinan anak perempuan tadi akan mencari ciri-ciri terbaik bapanya dalam diri lelaki yang menjadi pasangan hidupnya dan bagi anak lelaki pula, dia mungkin ingin menjadi lelaki sebaik bapanya.

Apakah kenangan anda dengan bapa anda? Adakalanya kenangan anda bukanlah perkara-perkara yang ‘hebat’ tetapi episod-episod kecil dalam kehidupan anda bersamanya. Anda mungkin terkenang, seperti Sri, dalam kegilaan Euro 2004 kini, ‘kegilaan’ bapa anda terhadap bola sepak. Bapa Sri bukan hanya gila bola sepak, malah beberapa sukan. Zaman Merdeka/Malaysia Cup dulu, pada tahun 60-an, beliau sanggup mengangkut kami dalam kereta Holden jenis stationwagonnya, berhimpit-himpit, ke rumah Pak Busu Sri di KL, untuk menyaksikan pertandingan bola sepak di sana. Yang indah bagi kami ialah sepanjang perjalanan ke KL, kami banyak berhenti untuk makan sepuas-puasnya, termasuk buah-buahan tempatan seperti durian. Satu lagi kenangan Sri ialah bapa membawa Sri dan seorang saudara Sri (dan juga anak-anak yang lain—berpasang-pasangan) ke pejabatnya semasa cuti sekolah, bila beliau tak berkesempatan membawa kami bercuti ke KL. Pejabat bapa Sri terletak di Telok Ayer Basin, berhadapan laut dan syarikatnya mengendalikan hal-hal perkapalan/logistik perkapalan lantas bagi anak-anaknya memang seronok bila sesekali dapat pergi dan menggelinjang sampai ke petang di pejabatnya dan laut yang berdekatan.

Bapa Sri juga pandai mencipta ‘peribahasa’nya sendiri, selalunya kelakar, tetapi tak boleh Sri tulis di sini kerana bahasa Melayu bapa Sri tidaklah begitu standard, kecuali sebutan bahasa Melayunya yang sejak remaja memang dah baku……Dan bila menyebut nama anak-anaknya disebut penuh kecuali nama seorang dua anaknya, tidak seperti kita yang memanggil dengan nama pendek atau gelaran.

Yang selalu Sri terkenang ialah pengorbanannya membesarkan anak-anaknya dan sayunya hati Sri dan seorang saudara Sri bergilir-gilir menyiap dan menemaninya makan bila ibu Sri telah tiada. Satu lagi kenangan ialah menyuntik insulin ke lengannya kerana penyakit kencing manisnya, tugas yang dulu dilakukan ibu Sri. Beliau gemar membaca dan menghargai ilmu walaupun tidak berpelajaran tinggi. Ramai mengenalinya sebagai seorang yang jujur dan amanah dan suka membantu orang susah.

Sesuatu yang membanggakan bapa Sri ialah bila ada anaknya berjaya dalam bidang akademik ataupun sukan Beliau terharu bila Sri dapat melanjutkan pelajaran ke universiti. Namun, Sri lebih terharu apabila bapa Sri meninggal dunia ketika Sri sedang menduduki peperiksaan tahun pertama di Universiti Singapura. Dan semasa Sri mendapat ijazah, air mata Sri menitis mengenangkan segala pengorbanan dan kasih sayangnya. Sri hanya memiliki segulung ijazah tetapi beliaulah, selain nenek Sri, yang benar-benar memiliki ‘ijazah kehidupan’ kerana menanamkan semangat ketabahan dan keyakinan di hati Sri.

Hargailah bapa anda hari ini dan selamanya. Kecuali Nabi s.a.w., tiada lelaki, apa pun kekurangan atau kelebihannya, yang demikian besar jasanya kepada anda selain lelaki yang anda panggil ‘bapa’.

Ditulis: 17 Jun 2004
Tajuk Asal: Menghargai Bapa Kita
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 20 Jun 2004
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s