Hidup Bak ‘Pokok Segera’ Tak Dapat Bertahan

pokok 1pokok 3

Dalam beberapa hari ini hujan turun dengan lebat, tanpa disangka-sangka. Kita yang sibuk bekerja, membeli-belah atau masih berjalan Hari Raya, terpaksa meluru dan mencari perlindungan. Di saat-saat beginilah terasa benar kekecilan kita; baru hujan turun, segala rancangan kita boleh tergendela walaupun ada di kalangan kita memiliki payung. Hujan itu memang indah, tapi bila munculnya tanpa disangka-sangka atau kita sendiri tanpa persediaan menghadapinya, sukar juga kehidupan kita dibuatnya.

Sri teringat beberapa bulan lalu membaca berita di akhbar mengenai pokok-pokok yang tumbang kerana hujan lebat. Sebenarnya hujannya bukanlah banjir besar seperti yang pernah kita alami pada tahun-tahun 60-an dulu; sekadar hujan yang berlarut sedikit. Tapi pokok-pokok itu tumbang dan menyusahkan orang ramai, baik pejalan kaki, pemandu dan harta benda awam. Semacam kesedihan menyelubungi hati Sri setiap kali melihat pokok-pokok tumbang kerana Sri gemarkan pokok, tumbangnya pokok-pokok tadi menunjukkan ada sesuatu yang tak kena.

Kita selalu lambangkan pokok dengan pelbagai lambang yang positif – sebagai pelindung, pemberi bunga dan buah-buahan serta oksigen segar, jadi melihatnya tumbang bercanggah dengan gambaran positif tadi. Dan jika anda suka bercucuk tanam, anda tahu betapa mengambil masa dan perhatian anda, setiap pokok yang anda tanam dan mahu melihatnya subur membesar. Kenapa pokok-pokok itu tumbang, anda akan bertanya. Mungkin hujan terlalu lebat, angin terlalu kencang atau mungkin pula tanahnya kurang baik. Ini sering berlaku pada pokok-pokok yang kita tanam sendiri di halaman dan koridor rumah kita.

Tetapi bagaimana pula pokok-pokok yang menghiasi jalan raya dan taman-taman di estet perumahan kita? Apa sebab mereka mudahnya tumbang ? Selain faktor-faktor di atas, satu faktor yang amat ketara ialah sebilangan besar pokok-pokok di tempat-tempat awam ini adalah pokok-pokok ‘segera’. Pokok-pokok ini sebilangannya tidak ditanam dan mengakar di sekitarnya sejak tumbuhan lagi tetapi digunakan untuk menghiasi jalan raya dan tempat-tempat awam setelah mereka agak besar dan dianggap mantap. Dan kerana unsur ‘segera’ ini, walaupun mencantikkan persekitaran kita, pokok-pokok ini tidak benar-benar mengakar seperti tanaman-tanaman kita yang lain, lantas mudah benar tumbang bila hujan lebat sedikit.

Untuk mendapatkan pokok-pokok yang dapat bertahan lebih lama, kita terpaksalah mengadakan masa untuk menanamnya dari benih atau tumbuhan lagi; memberi tanah, baja, air, sinar suria dan perlindungan yang rapi, agar pokok-pokok ini membesar dengan baik dan tak mudah tumbang. Semua ini mengambil masa dan komitmen kita tetapi bagi Sri, ini lebih baik kerana semua orang akan tahu, inilah pokok-pokok kita, yang berakar dan membesar dalam persekitaran kita, dan kerana penjagaan yang rapi sejak tumbuhan lagi dan akar-akar menanjap di tanahnya, pokok-pokok ini insya-Allah akan dapat lebih bertahan lama dan tak mudah tumbang seperti pokok-pokok segera.

Demikian juga dengan kehidupan, fikir Sri. Sering kita inginkan sesuatu itu dengan segera lantas kita mengambil jalan pintas, yang sebenarnya tidak baik untuk kita, untuk jangka panjangnya. Ada orang ingin cepat kaya, dia pilih yang segera, lantas cara-cara yang bercanggah dengan undang-undang, agama dan persekitarannya, menjadi pilihannya. Sebab itu satu hari dia akan ‘tumbang’ seperti pokok-pokok segera tadi. Atau ada orang mahukan kemasyhuran atau kejayaan, tetapi tanpa mengakar kepada persekitarannya, kemasyhuran atau kejayaan itu kalau berlaku pun, hanya sekelip mata. Sri yakin pencarian kita yang lama dan panjang mengenai sesuatu perkara, walaupun nanti yang kita temui adalah batu dan bukan permata adalah lebih baik kerana itulah hasil pencarian kita sejak demikian lama. Apalah ada pada permata yang gemerlapan kilauannya tetapi sebenarnya bukan daripada hasil pencarian kita, sekadar muncul dengan tiba-tiba? Seperti kebanyakan orang, Sri percaya semua yang baik itu mengambil masa dan perkara-perkara yang segera itu, tidak semuanya baik untuk kita.

Sri semakin diingatkan oleh isu pokok-pokok segera ini bila berdepan dengan sebuah tempat makan dekat estet perumahan Sri. Dulu tempat makan ini dimiliki oleh orang tempatan yang baik pengurusannya. Walaupun dia bukan orang Islam, semua gerai di tempatnya hanya dipenuhi dengan makanan-makanan halal dan tiada minuman keras dijual. Kita berasa selamat makan di tempat tersebut atau membeli juadah berbuka puasa. Setelah beliau, tempat makan ini disewakan kepada sebuah restoran Islam; juga tiada masalah. Sejak setahun ini, pengurusannya diambil-alih oleh orang asing. Pelbagai masalah timbul kerana berbeza dengan orang tempatan, yang lebih memahami pegerai dan sekitarannya, orang asing ini hanya memikirkan keuntungan.

Sri nampak sendiri perubahan-perubahannya – dari tempat yang aman dan halal untuk kita makan, tempat ini menjadi tumpuan mereka yang tikam ekor pada hari-hari tertentu. Dan minuman keras, walaupun tak jual, diminum juga oleh mereka yang tikam ekor dan duduk di sana. Dan kini, tempat makan ini menjual juga makanan-makanan yang tidak halal. Kerana pihak pengurusan bukan orang tempatan atau mengakar bersama masyarakat di sekelilingnya, yang penting baginya hanya wang, bukan kesentosaan pegerai atau sejumlah besar pelanggan. Kita sedih melihat satu lagi tempat makan ‘tumbang’ dan mencongak-congak apakah langkah gejala ‘pokok segera’ ini akan menimbulkan kesan, tanpa hujan lebat yang tiba-tiba bertandang?

Ditulis: 11 Disember 2003
Tajuk Asal: Pokok-Pokok Yang Tumbang
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 14 Disember 2003
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s