Jiwa Perlu Dipersiap Untuk Hidupkan Ramadan

Hari ini memang kita semua sibuk berbelanja, maklum hendak buat persiapan bagi menyambut bulan Ramadan yang jatuh pada hari Rabu ini (5 Oktober 2005). Di Geylang Serai pada hari Ahad ini, orang berpusu-pusu membeli barang-barang keperluan dapur, selain ada yang sudah mula membuat persiapan Hari Raya. Yang hendak menjamu selera pun tumpang semangkuk, maklum, ada yang takut ‘kempunan’ semasa puasa nanti. Dan dalam segala kesibukan kita pada hari-hari menjelang bulan puasa, terfikir juga Sri, apa pula persiapan kita, selain soal sandang pangan ini dalam menghidup dan menggemerlapankan bulan kesembilan, bulan Ramadan yang mulia di sisi Allah ini?

Memang Ramadan membawa banyak kenangan dan pengertian kepada kita, baik kita berusia dewasa, remaja mahupun kanak-kanak. Dan setiap seorang daripada kita pasti dibuai pelbagai peristiwa tertentu bila menjelmanya Ramadan. Dari zaman ketuk mengetuk rumah jiran untuk membangunkannya ketika sahur, kisah-kisah lucu keluarga anda semasa sahur, berpuasa dan berbuka, sehinggalah kisah-kisah menyambut malam-malam likur dan membuat kuih-muih Hari Raya. Kebanyakan kita lebih ‘tukar gear’ semasa bulan mulia ini, walaupun kesibukannya semacam, terutama bagi kaum wanita. Yang mengantuk dan terlentuk-lentuk disebabkan kurang tidur kerana mengerjakan sembahyang tarawih, bertadarus dan menyediakan persiapan sahur dan berbuka pun sama banyaknya dengan mereka yang mungkin tak mahu berasa lapar, lalu ngorok sahaja, bila tak bekerja.

Namun Ramadan bukan sekadar kenang-kenangan begini sahaja. Banyak pengajaran yang boleh kita timba daripada menjelmanya bulan yang mulia ini. Satu yang ketara, kita semua boleh merubah hidup kita; dari makan biasa kepada makan ketika berbuka dan sahur sahaja, jika kita mahu (atau mesti lakukan) semasa berpuasa. Apa yang dianggap sukar boleh menjadi senang bila ada tekad untuk melakukannya. Sebab itu ada orang yang merokok, boleh berhenti merokok, kecuali setelah berbuka, semasa Ramadan. Dan ada pula, kerana sudah terbiasa tidak merokok, ketagihnya pada rokok berkurang dan akhirnya dia dapat berhenti merokok buat selama-lamanya.

Demikian juga mereka yang ingin berdiet, Ramadan mengajar kita bahawa kita boleh menahan kehendak perut kita, kalau kita telah membuhulkan niat untuk melakukannya.. Bak sabda Nabi s.a.w., awal sesuatu amal itu adalah niatnya. Dengan berniat kita sebenarnya memberi arahan kepada otak kita yang menjadi semacam pemimpin dalam menggerakkan anggota, saraf, otot, aliran darah kita dan lain-lain agar bertindak sebagaimana yang kita kehendaki. Sebab itu dalam semua amalan, kita harus bermula dengan berniat.

Pada malam-malam sahur masa silam, kita sering terdengar kanak-kanak melafazkan niatnya: Nawaitu saumaghadin an ada-i…….. Dan kerana niat berpuasa, kita tidak hanya menahan lapar dan dahaga malah lebih daripada itu. Kalau setakat tak makan dan tak minum, memang tidak terlalu sukar melakukannya, tetapi yang akan kita dapat setakat lapar dan dahaga sahaja; yang dipinta adalah semacam overhaul terhadap beberapa kebiasaan kita agar yang berubah bukan sekadar badan kita yang susut atau kurangnya kita merokok, tetapi beberapa perilaku yang tidak mendatangkan manfaat kepada diri kita dan masyarakat.

Salah satu perkara yang kita harus lebih berhati-hati adalah dalam pertuturan (termasuk penulisan) kita. Kadangkala cara kita bercakap begitu tajam bak laser atau kita bersikap seperti saluran televisyen CNN, mudah menyampaikan berita (selalunya yang tidak harus kita sampaikan dan yang tak baik), lantas menyusahkan atau memporak-perandakan orang lain. Kadang-kadang gurauan kawan atau saudara kita yang tiada sekelumit pun niat jahatnya, tetapi kerana lasernya lidah kita, yang gurauan pun kita jadikan bahan mencetuskan kemarahan orang lain. Demikian juga ada di kalangan kita suka mengadu domba, mahu score point dalam satu-satu keadaan atau perhubungan, dan kita terlupa bisanya kata-kata dan perilaku kita, boleh meracuni kehidupan orang lain.

Perkara ini baru-baru ini mendapat perhatian dengan beberapa orang Singapura dihadapkan ke mahkamah kerana tulisan mereka dalam diari maya atau blog. Sama ada ketika menulis dairi maya, mengumpat, mengadu domba, semuanya tidak membawa manfaat kepada diri dan masyarakat kita. Bak kata pepatah kita, bila cakap, pandang-pandang dan dengar-dengar, dan bila tulis juga seharus sedemikian. Ini tidak bermakna kita tiada kebebasan, tetapi sebebas mana pun seseorang, dia harus tertakluk kepada adab dalam perhubungan sesama manusia dan juga dalam sesebuah masyarakat, baik masyarakat majmuk atau homogen..

Dan dalam bulan puasa, lagi terasa yang dipandang-pandang dan didengar-dengar itu bukan setakat manusia sahaja. Kerana dengan manusia, Sri rasa, kebanyakan kita menganggap kita boleh putar belit, tetapi bagaimana nak lari dari pendengaran dan perhatian Allah, ya? Setakat tegur menegur untuk kebaikan bersama itu tentunya lain daripada mereka yang mengumpat, mengadu domba, dan laser melaser sesama kita. Kerana akhirnya cara kita membetulkan sesuatu keadaan yang kurang baik atau menegurnya juga sama penting dengan pesanan kita untuk membaiki keadaan tersebut.

Dalam bulan Ramadan, syaitan dibelenggu tetapi syaitan dalam bentuk mengumpat dan sebagainya mungkin berleluasa jika kita kurang menjaganya dan menghiasi lidah kita dengan yang baik-baik bagai manisnya kurma semasa kita berbuka. Biarlah yang baik dan manis sahaja kita lahirkan dalam percakapan kita.semasa berpuasa.

Nenek Sri selalu berkata: bolehkah berjumpa satu lagi Ramadan, tiap kali Ramadan bermula dan berakhir. Beliau tidak ucapkan sedemikian untuk Hari Raya. Kita gembira semasa Raya walaupun sebilangan kita tetap menangis mengenang yang tiada. Tapi Ramadan juga kita menangis kerana kita menginsafi kekurangan kita sebagai hamba yang telah banyak dikurniai kelebihan oleh-Nya.

Ditulis: 28 September 2005
Tajuk Asal: Menjelangnya Bulan Mulia
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 2 Oktober 2005
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s