Sajak: Sempadan (Mengenang Ahmad bin Salani)

Sempadan
(Mengenang Ahmad bin Salani – Lahir: 1 Jan 1959 – Meninggal Dunia: 18 Mei 2017)

Sempadan inikah terbina
duniamu & dunia kita
setelah sejenak ditular barah
setelah segala usaha dicuba
pagi tadi, tersentap temali hayat
bersemadi di Pusara Aman, Jalan Bahar,
& kenangan kita bagai tak teranjung
layang-layang yang putus talinya.

Betapa dugaan hidupmu beranjau
dipengapa, dipisah,
kerana mencintai Aishah
yang berbeza bangsa & agama
& betapa jodoh itu ketentuan Allah
cinta & Islam membuhul kau berdua
& tika anak lelakimu jantungnya berlubang
berusia 2 tahun, semasa bersenda, tiba-tiba meninggal
betapa dugaan itu seakan menggelapi
kebahagiaan yang baru bertiang seri
tapi kau berdua tetap redah, reda
katarsis daripada-Nya.

Akankah kami terkenang
telatah kau & ‘Ratno Timoer’ semasa di universiti
berkongsi makanan kerana kurang berduit
spontan berpantun dalam bahasa Melayu, Inggeris,
menceriakan masa-masa muda kami
dengan pelbagai gelagat, gurauan,
& aku menggelarkan kau ‘Hero Hindustan’.

Dapatkah kami lupakan
kemesraan & kejujuran
yang tak lokek kaukongsikan
pada saat-saat singkat
digesa kehidupan
diburu pekerjaan
& dugaan bak guruh
berdentum tiba-tiba
di kalangan kita –
yang kehilangan orang yang disayangi
yang dirundung petaka
yang ditusuk kesihatannya
yang dihitami pintu-pintu ria –
namun kita masih bersama
sesekali bertemu, belajar berlapang dada
kerana persahabatan itu ikhlas, indah,
walau kehidupan mencalar kita.

Sempadan itu hanya sementara
saudaraku & sahabat
dalam doa
dalam amal jariah
dalam kenangan
kau tetap bersama kita, Ahmad,
selamanya.

Ditulis: 18 – 24 Mei 2017
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s