Catatan 25 – 26 Mei 2017 Masihi/28 – 29 Syaaban 1438 Hijriah

1.Di seluruh dunia, masyarakat Islam sedang bersiap-siap menyambut Ramadan dan diselang-selikan berita-berita yang tetap menyentak – pengeboman di Manchester, United Kingdom, peperangan, pelarian dan berita-berita dunia yang membuat kita merudum dan kadangkala mahu sahaja bertanya – mengapa? Banyak hal bersangkut-paut dan peleraiannya seakan menyusut atau kendur daripada jangkauan kita. Namun, kesedihan dan kadangkala kemarahan ini kita hadam dan cuba mendakkan agar sesuatu yang baik boleh akhirnya muncul.

2.Di tengah kuasa-kuasa dunia yang entah apa agenda mereka – mahu seolah-olah menarik diri dari terlibat dengan rencamnya masalah sedunia dan dengan ada pula kuasa-kuasa besar yang seakan menebarkan sayap mereka dengan perluasaan semacam empayar serta usaha-usaha risikan yang mengingatkan kita kepada zaman Perang Dingin, kita semakin dirisaukan keadaan-keadaan sebegini. Dan insan kerdil seperti kita tertanya-tanya, bagaimana nasib rakyat jelata bila ekonomi merudum dan kuasa-kuasa besar mengembangkan sayap mereka dan bertelagah?

3. Tapi tidak semua hal sebegini seharusnya menggusarkan kita. Dalam kegelapan apa pun, jiwa manusia itu sentiasa hidup dan boleh menangkis kegelapan yang dihadapi, walaupun bertatih. Yang kita boleh ubah, cara kita berhadapan dengan sesuatu masalah atau petaka dan yang boleh kita hidupkan, semangat kita. Masih banyak perkara yang boleh kita usahakan dan masih tak lentur unsur-unsur yang boleh membahagiakan kita.

4. Dalam beberapa minggu ini, berita-berita kematian sejagat dan yang peribadi, tetap menyentuh kita. Ibu mentua sepupu saya meninggal dunia setelah lama sakit. Dan seorang kawan saya, bapanya meninggal dunia dalam masa yang singkat. Kedua-dua berita ini menyedihkan orang-orang yang terdekat dengan Allahyarhamah dan Allayarham. Dan berita pemergian seorang kawan sekampus pada 18 Mei 2017 lalu, begitu menyentak dan menyedihkan bukan hanya keluarga Allahyarham, bahkan kawan-kawan sekampusnya dahulu, rakan sekerja dan anak muridnya. Dan berita-berita sebeginilah yang turut mewarnakan erti Ramadan kita.

5. Hari Bapa akan disambut oleh sebilangan orang pada Jun ini. Sama ada kita menyambutnya atau tidak, saya memasukkan tulisan mengenainya untuk bacaan kita. Semoga mereka yang masih mempunyai bapa dan juga mereka yang bapanya sudah berpulang ke rahmatullah, akan sentiasa menghargai seorang insan yang banyak membentuk dirinya dan pengorbanannya bagi hidup kita ‘bak air laut yang tiada hentinya’.

6. Saya juga lampirkan tulisan mengenai pokok ‘segera’ serta tulisan-tulisan mengenai Ramadan untuk renungan kita bersama.

7. Kenangan Kampus Tahun 70-an Sehingga Awal 80-an Dan Pemergian Seorang Sahabat 

1 Malam Budaya US 19782 Ahmad berdepankan anak dan isterinya serta kawan-kawan 1 Dis 20073 Bernyanyi lagu-lagu zaman mahasiswa 1 Dis 2007.jpg[

4 Bernyanyi Bersama 1 Dis 20075 Bernyanyi bersama 1 Dis 20076 Berpantun secara spontan pada 1 Dis 2007

9 Ahmad Salani 10 Ahmad Salani11 Ahmad Salani

[Gambar pertama di atas – Ahmad berdrama dalam ‘Pesta Budaya’, Universiti Singapura, semasa di tahun pertama, 1978. Gambar-gambar seterusnya [nombor 2, 3, 4, 5 dan 6] semasa pelancaran buku, jamuan dan nyanyian lagu-lagu zaman mahasiswa dan berpantun di Restoran Hajah Maimunah, Geylang Serai, Singapura pada 1 Disember 2007.  Dua gambar terakhir- Ahmad bersama ratu hatinya, Aishah, dan anak-anak serta menantu mereka tidak berapa lama dahulu.]

Pemergian sesiapa yang kita sayang tentunya mengharukan kita. Dan pemergian kawan yang baru kita dengar sakitnya dan umurnya tidak jauh daripada umur kita, tentu menyentakkan kita. Demikianlah pemergian Ahmad bin Salani pada 18 Mei lalu.

Ahmad Salani dan kohortnya menjadi mahasiswa tahun pertama, di Universiti Singapura, Bukit Timah, pada Jun/Julai 1978. Seperti tahun-tahun sebelum kedatangannya ke universiti, tidak terdapat ramai pelajar Melayu-Islam di Universiti Singapura pada ketika itu. Selalunya, setiap kohort ada lebih kurang 70 atau lebih sedikit pelajar Melayu-Islamnya. Jumlah mereka yang masuk ke universiti pun tidak ramai – paling banyak, 4% daripada seluruh kohort pelajar Singapura bagi satu-satu tahun akan dapat meneruskan pelajaran mereka ke peringkat universiti pada tahun-tahun 70-an itu. Dan Universiti Singapura juga tidak terlalu besar – mudah kita bertemu satu sama lain dan persekitaran serta bangunan-bangunan di universiti itu boleh dikatakan mesra pelajar. Lantas tidak hairanlah para pelajar Universiti Singapura mudah mengenali dan mesra dengan rakan-rakan sekampusnya. Begitu juga ada sebuah masjid tidak jauh dari kampus, Masjid Kebun Bunga, yang membolehkan mahasiswa Melayu-Islam Universiti Singapura lebih mengenali satu sama lain kerana selain bersolat, mereka juga beristirehat dalam masjid tersebut.

Tahun-tahun 70-an itu merupakan tahun-tahun yang agak bergolak juga dengan pergerakan mahasiswa di beberapa universiti di Asean. Ketika saya melangkahkan kaki sebagai pelajar tahun pertama Universiti Singapura pada Jun/Julai 1976, keadaannya sudah semakin reda. Namun masih membara sisa-sisanya. Persatuan-persatuan seperti Persatuan Bahasa Melayu (PBMUS) dan Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUS) universiti tersebut ada anasir-anasir yang masih mencetuskan perpecahan. Banyak yang tertusuk oleh anasir-anasir sebegini, termasuk saya.

Saya bergiat dalam jawatankuasa penerbitan kedua-dua persatuan tetapi akhirnya, pada tahun pertama itu,  memilih untuk lebih bergiat dalam Persatuan Bahasa Melayu kerana persatuan ini lebih memerlukan penglibatan saya. Saya menjadi setiausaha penerbitan PBMUS pada tahun pertama dan naib presiden PBMUS pada tahun kedua. Semasa Ahmad dan kohortnya menjadi ‘freshies‘, bersama jawatankuasa PBMUS, kami menganjurkan pelbagai kegiatan untuk mereka. Lantas, banyak kesempatan yang membolehkan saya mengenali kohort Ahmad.

Saya berasa gembira bersama kohort Ahmad kerana sebilangan mereka lebih terbuka, kurang berpuak-puak dan mudah didekati. Ini berbeza daripada kohort-kohort sebelum mereka yang masih ditegar sisa-sisa yang menyelar dan membara. Dan pada tahun ketiga itu (1978/79), saya memilih untuk menolak daripada menjadi presiden PBMUS, tetapi membantu dalam jawatankuasa penerbitan dan kebajikan persatuan tersebut dan mengusahakan sebuah jurnal sastera, Jejak Kembara. Selain jawatankuasa jurnal tersebut (kohort senior Ahmad), yang banyak membantu menyiapkan jurnal itu merupakan kawan-kawan daripada kohort Ahmad Salani.

Beberapa orang daripada kohort Ahmad akrab dengan saya dan saya menganggap Ahmad dan sahabat karibnya, Razak, bagaikan adik-adik saya. Ini semakin dibantu apabila kursus sarjana (MA) saya tidak dapat dimulakan setelah saya lulus pada April 1979 dan saya selalu terpaksa ke kampus kerana dipanggil oleh pengetua Jabatan Pengajian Melayu ketika itu, Prof. Syed Hussein Alatas, untuk berbincang-bincang. Kursus teori sarjana saya hanya dimulakan pada Ogos 1980 dan hanya setelah lulus ini, barulah saya dapat meneruskan pengkajian tesis sarjana saya. Saya merupakan salah seorang  pelajar perintis pengajian sarjana di jabatan tersebut.

Serentak dengan ketidak-tentuan bermulanya kursus sarjana saya, dan saya diberitahu oleh pengetua Jabatan Pengajian Melayu agar jangan bekerja sepenuh masa, berlaku beberapa kegenjotan peribadi yang saya hadapi mulai 1980 itu. Sebilangan kawan daripada kohort Ahmad Salani yang banyak membantu saya ketika itu. Seorang menyewakan asrama untuk saya menggunakan namanya kerana kursus saya belum bermula dan saya tidak boleh menyewa asrama dan saya tidak lagi dapat menginap di rumah saya di Lorong L, Telok Kurau Road. Beberapa orang lain membantu dengan pelbagai cara  dan mengambil berat terhadap diri saya. Tidak seorang pun tahu secara terperinci masalah-masalah yang saya hadapi ketika itu kerana saya tidak memberitahu tetapi mereka berlapang dada dan prihatin terhadap saya. Saya tidak dapat melupakan kebaikan kawan-kawan saya ini, keceriaan yang mereka turut kongsikan dengan saya dengan pelbagai karenah dan telatah mereka. Dalam konteks ini, adanya Ahmad Salani, Razak dan lain-lain, turut menggembirakan saya. Dengan pelajar wanita, lebih selesa saya akrabi, dengan pelajar lelaki, walaupun saya anggap mereka sebagai adik, tidak sepantasnya saya bersikap demikian. Namun kehadiran mereka turut membahagiakan saya  pada zaman yang penuh dugaan itu.

Meskipun kawan-kawan daripada kohort Ahmad kemudian lulus dan meninggalkan universiti, saya masih meneruskan pengajian saya di universiti dan masih berhubungan dengan sebilangan kawan sekohortnya. Saya mengikuti dan sesekali terlibat dalam perkembangan hidup kawan-kawan saya ini – meniti dunia pekerjaan, kemudian berumah tangga dan membina keluarga. Demikian juga saya tahu kisah laluan hidup Ahmad dan seorang dua rakan (lelaki) sebayanya.

Walaupun saya amat jarang bertemunya, bagi saya Ahmad Salani dan beberapa orang lain tetap menjadi insan-insan yang istimewa dalam hidup saya. Dan saya terharu, apabila kohortnya semakin dewasa dan mantap dalam dunia pekerjaan serta rumah tangga, mengadakan pertemuan pertama mereka. Saya diundang sebagai tetamu istimewa mereka. Walaupun saya memang bertemu dan akrab dengan beberapa rakan sekohortnya, tapi pertemuan itulah kali pertama saya dapat bertemu lebih ramai orang daripada kohort Ahmad, setelah mereka meninggalkan Universiti Singapura/Universiti Nasional Singapura.

Diselang-seli masa-masa berlalu, dengan pelbagai kisah suka dan duka dialami oleh kawan-kawan saya, baik daripada kohort Ahmad atau kohort-kohort lain, cerita-cerita zaman mahasiswa kami yang turut  menambahkan rencah santapan kebersamaan kami.

Pada 1 Disember 2007, penerbit saya, Pustaka Nasional, telah mendapatkan slot untuk pelancaran dua buku saya, Hikayat Sri Anggerik dan Ayah Tidak Sayang Padaku Lagi, di Earshot’s Cafe, Arts House, semasa Pesta Penulis Singapura. Kerana ruang cafe tersebut terbatas, saya hanya boleh  mengundang sekitar 100 orang.

Dengan bantuan beberapa orang – memikirkan acara, menu dan lain-lain, saya bercadang untuk menjamu keluarga terdekat, jiran dan kawan-kawan saya, selain kami meraikan mantan profesor kami, Pak Liaw Yock Fang, selepas pelancaran buku-buku tersebut di Earshot’s Cafe. Kami ke Restoran Hajah Maimunah di Geylang Serai, yang telah yang telah di tempah lebih awal, untuk jamuan tengah hari dan acara istimewa kami.

Di kalangan kohort 1978/79 itu, saya tidak teragak-agak untuk mengundang Ahmad dan Razak serta keluarga mereka. Begitu juga saya mengundang seorang yang saya anggap adik, bernama ‘Z. Budak’ walaupun beliau tidak dapat hadir kerana berada di luar negara. Kawan-kawan saya datang bersama keluarga masing-masing, termasuk rakan sekampus yang kini menjadi pasangan hidup mereka. Kami menjamu selera, menyanyi lagu-lagu zaman mahasiswa kami dan Ahmad Salani secara spontan, berpantun dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Kami juga meraikan mantan profesor kami, Pak Liaw, yang kami kasihi.

Semasa di kampus, Ahmad Salani dan Razak memanggil saya ‘Kak Rasiah’ tetapi setelah mereka bekerja, mereka memanggil saya ‘Rasiah’. Ahmad pernah berkata saya seperti kakaknya semasa zaman mahasiswa itu.  Semasa majlis pelancaran dan jamuan itu, Ahmad datang bersama isterinya Aishah dan seorang anak perempuannya. Semasa saya sibuk melaksanakan beberapa hal, dia mendekati saya, mengambil tangan kanan saya dan menciumnya. Katanya: ‘Kak Rasiah, you are my sister‘. Saya terharu dengan tindakannya.

Selepas 1 Disember 2007 itu, Ahmad sesekali menghubungi saya melalui e-mel tetapi tidak kerap. Dan komputer saya beberapa kali pula meragam dan teruk  digodam pada 2013. Alamat emel saya juga ditukar. Saya lebih kerap mendengar beritanya daripada kawan-kawan rapatnya. Dan walaupun saya menganggap dia bagaikan adik, saya segan untuk menelefon dan berbual panjang di telefon dengannya. Demikian juga cara saya berhubung dengan suami kawan-kawan rapat saya, baik yang sekampus atau tidak sekampus dan suami mereka sebilangannya merupakan kawan-kawan sekampus saya dahulu dan sebilangannya memang sudah lama saya kenal. Saya bahagia mengetahui Ahmad dan keluarganya serta kawan-kawan saya yang lain alhamdulillah hidup mereka.

Hanya beberapa bulan yang lalu, kami menerima berita Ahmad Salani menghidap penyakit barah. Rupa-rupanya perkara ini sudah lebih setahun disorok daripada pengetahuan kawan-kawannya. Kami benar-benar terperanjat dan seperti sebilangan kawannya, saya menangis mendengar berita itu.

Saya tahu Ahmad seorang yang tabah dan ceria menjalankan tugasnya sebagai guru Geografi, Sejarah dan Bahasa Inggeris di Assumption English School. Beliau juga sempat meneruskan pengajian sarjananya dalam bidang drama Inggeris, yang membuatnya teruja. Saya mendengar sendiri ceritanya bagaimana menyiapkan tesisnya membuat Ahmad seronok dan gembira. Itulah Ahmad, yang semasa freshie pada 1978 di Universiti Singapura, pernah berlakon dalam ‘Pesta Budaya’ anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Singapura. Dan beliau disayangi rakan sekerjanya dan juga murid-muridnya.

Keinginan untuk menjenguk Ahmad di rumahnya tidak kesampaian ketika itu. Ahmad memberitahu kami beliau telah pun menjalani rawatan terapi  (kemo/radiasi) sebanyak 33 kali dan badannya sudah tidak berdaya. Berat badannya susut. Dia mencuba pula perubatan alternatif. Dan untuk memberi semacam kerehatan kepadanya dan menyenangkannya, keluarganya mengajaknya pergi bercuti ke Eropah, lantas kami menunggu Ahmad pulang bercuti untuk menjenguknya. Malangnya semasa bercuti pun Ahmad dimasukkan ke hospital di United Kingdom. Semasa pulang bercuti, dia masih lemah. Ahmad bersama isterinya Aishah, hanya sempat berjumpa beberapa orang kawan, dalam majlis persandingan anak salah seorang sahabat karibnya pada 8 April lalu. Beliau menggagahkan diri untuk hadir dalam majlis itu, walaupun tidak dapat berlama kerana badannya tidak berdaya.

Pada pagi 18 Mei 2017, saya dan ramai kawannya mendapat berita pemergian Ahmad Salani. Kami tersentak dan amat sedih. Saya sedih kerana tidak sempat menjenguknya dan lebih sedih kerana tidak pernah terfikir, seorang kawan yang saya anggap bagaikan adik, begitu ceria, tegap dan sihat satu masa dahulu, tiba-tiba berpindah ke alam barzakh. Saya tahu, seperti yang dialami dua orang sahabat karib saya dahulu yang tiba-tiba menjadi balu, pemergian Ahmad begitu memeranjatkan isterinya, Aishah. Begitu juga perasaan anak-anak dan keluarga terdekatnya. Tetapi saya yakin, keluarganya akan tabah menghadapi kehilangan ini, insya-Allah.

Pemergian seseorang yang kita kenal sering membuat kita jeda sebentar dan mengenang semula masa-masa kita bersamanya. Sama ada seseorang itu ahli keluarga kita atau sebaliknya, banyak kenangan kita berpusar pada diri orang tersebut, yang seringkali bagai diulang-tayang di hadapan mata kita. Dan air mata kita  bercucuran kerana itu, selain berasa sedikit kesal atau berasa kehilangan yang mendalam. Demikian juga perasaan mereka yang mengenali dan menyayangi Allahyarham Ahmad Salani.

Saya bukan hanya teringat kisah-kisah zaman silam dan telatah Ahmad  dan kawan-kawannya; saya juga diingatkan bahawa kesihatan saya yang  menjunam sebelum kesihatan Ahmad terjejas, tetapi Allah menjemput beliau ke sisi-Nya dahulu. Dan betapa singkatnya masa-masa yang terluang.

Dan saya terkenang betapa dalam hidup ini Allah pertemukan saya sejumlah orang yang baik – ada saya anggap bagai saudara tua, ada bagai saudara muda,  ada pula bagaikan anak/anak saudara saya, ada sebagai sahabat karib saya, selain sememangnya ada keluarga berangkai saya sendiri. Kadangkala pertemuan itu tidak begitu lama atau kerap tetapi kalau kejujuran dan keikhlasan yang menjalinkan perhubungan sedemkian, ia tetap bermakna bagi kehidupan kita.

Semoga Aishah, anak-anak dan keluarga Ahmad Salani tabah menghadapi pemergian ini.  Semoga segala jasa baik Allahyarham Ahmad akan sentiasa mengobori kasih sayang dan semangat keluarganya untuk sabar,  tenang dan reda dalam menjalani kehidupan ini. Semoga semua yang menyayangi Allahyarham Ahmad Salani akan sentiasa mendoakan kebajikannya di alam barzakh dan tetap menyambung tali persaudaraan dan persahabatan dengan keluarga yang Allahyarham tinggalkan. Dan semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan saudara dan sahabat saya ini di sisi-Nya, di kalangan hamba pilihan-Nya di syurga.. Amin, ya Rabbal Alamin. Al-Fatihah untuk Allahyarham Ahmad Salani dan semua yang telah berpulang ke rahmatullah.

Bagi mereka yang berpuasa, selamat menjalani ibadah puasa dengan sebaiknya, maaf zahir dan batin dan  kita akan ‘bertemu’ lagi semasa bulan Syawal nanti, insya-Allah.

Salam
Rasiah Halil
25 – 26 Mei 2017 Masihi bersamaan 28 – 29 Syaaban 1438 Hijriah.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s