Kematian JFK Jr: Gugur Sebutir Lagi Bintang

American President John Fitzgerald KennedyJFK 2

JFK 3JFK 4jfk 5

Apa yang anda lakukan pada 21 (20 di Amerika Syarikat) Julai 1969? Mereka yang berumur lebih 30 tahun* mungkin masih ingat peristiwa bersejarah itu. Manusia telah mendarat ke bulan – satu-satu simbol cakerawala yang sukar digapai pada zaman silam. Kita mungkin sukar melupakan kata-kata kapten kapal angkasa ‘Eagle’ itu, Neil Armstrong, semasa menjejak kaki ke permukaan bulan: ‘Satu langkah kecil bagi manusia, satu lompatan raksasa bagi kemanusiaan.’ Dan betapa besar lompatan manusia dan kemanusiaan sejak tahun 1969 itu. [*pada 1999, ketika rencana ini ditulis]

Sri bersekolah ketika itu dan terpegun menyaksikan pendaratan itu. Ada orang masih kurang percaya manusia boleh mendarat ke bulan. Malah ada yang menyangka mungkin itu satu tipu helah kerana mereka mendarat di tempat lain tetapi membuat kita percaya itu sebenarnya bulan. Dalam usia awal remaja itu, sukar benar Sri nak percaya kata-kata orang sebegini. Malah al-Quran sendiri telah menyebut manusia boleh menembusi angkasa, jika kita berupaya. Angkasa lepas itu memang menakjubkan dan bulan sejak sekian lama menimbulkan kesan dalam kehidupan kita.

Setelah pendaratan manusia ke bulan, Sri dengar ramai juga yang ‘gusar’ nak panggil seseorang secantik bulan. Sebab gambar-gambar dari bulan menunjukkan ia berkawah, kalah orang penuh jerawat. Habislah satu lagi sumber ilham kita. Macam mana, ya, nak nyanyi ‘engkau laksana bulan/tinggi di atas kayangan’ bila bulan itu tak seindahnya setelah Neil menjejakkan kakinya? Sang rembulan seolah-olah ‘bertukar rupa’ setelah 1969 itu, namun pertukaran itu hanya sementara, manusia tetap menyanjung kecantikan purnama, terutama pada malam yang gelap gelita.

Bulan sebenarnya banyak mempengaruhi kehidupan kita. Ingatkah anda masih kecil-kecil kita main tepuk-tepuk mulut dan kemudian tuding jari ke bulan dengan berkata: ‘wau, wau, tu bulan’? Atau bila bulan gerhana, selain memerhatikannya, ada di antara kita yang buat bising, memukul tong dan tin kosong agar ‘sang naga’ melepaskan bulan dalam ‘mulutnya’? Atau mungkin anda mempunyai seorang nenek yang suka bercerita pasal bulan dan dunia kayangan, yang membuat anda percaya ada tuan puteri dan dayang-dayangnya di bulan dan dia menyerupai orang tua sedang menumbuk sesuatu tapi akhirnya bertukar menjadi tuan puteri? Kalaulah Neil terjumpa tuan puteri ini……

Kata saintis ketika bulan mengambang, ada di kalangan kita yang terpengaruh kerana ‘mood’ kita bertukar. Ini kerana seperti pasang surutnya laut yang dipengaruhi bulan, ‘mood’ atau perasaan kita juga boleh pasang surut ketika bulan purnama. Jadi bila orang yang anda kenal sedih/marah masa bulan mengambang, tahulah anda, dia dah jadi ‘orang bulan’…

Nenek Sri pula berkata, masa bulan mengambang, jangan beli ketam di pasar. Sebab, masa bulan mengambang, ketam ini semua asyik bermain dan terlupa nak makan, jadi bila ditangkap nelayan, rata-rata ketam ini semua ringan, tak guna dibuat lemak ketam. Kalau tak percaya, anda ujilah sendiri masa ke pasar pada hari-hari bulan mengambang.

Tapi ada orang beritahu Sri, masa bulan mengambang itulah ‘si dia’ menjelma. Bukan Si Dia seperti yang dinyanyikan Rafeah Buang, tapi ‘si dia’ yang suka bergayut di pokok kapuk dan lain-lain,  yang menyeramkan dan selalu berwajah rupawan……Tapi bagi Sri, apa pun tafsiran pasal bulan, Sri tetap gemar menyaksikan bulan dan sesekali suka juga Sri menyanyi lagu Bulan Dan Juga Angin, Moon River dan sebagainya.

Sebutir ‘bintang’ gugur minggu lepas. ‘Bintang’ itu ialah John Kennedy Junior. Benar, dia bukanlah orang ‘besar’ yang telah mempengaruhi dunia. Tapi bagi sesetengah kita, dia menjadi lambang sesuatu yang lebih besar daripada dirinya. Mungkin anda masih terkenangkan pembunuhan ayahnya, Presiden John F. Kennedy pada 22 November 1963 di Dallas. JFK membawa idealisme bukan hanya bagi  Amerika tapi juga dunia ketika itu.

Tanyalah beberapa orang tua, jika anda tak percaya. Bapa Sri sendiri (dan datuk moyangnya) yang menentang penjajahan Barat dan tidak pernah menganggap orang Barat ‘besar’, menganggap Kennedy istimewa kerana sentuhan kemanusiaan dan idealismenya. Demikian juga jika kita meneliti tokoh-tokoh seperti Martin Luther King, Jr, Malcolm X (Malik Shabazz)  dan Robert Kennedy yang turut terbunuh pada tahun 60-an itu. Dan ditambah oleh semangat idealisme, anti-perang Vietnam dan segarnya kebudayaan serta percubaan dalam pelbagai lapangan (walaupun ada yang buruk), kita yang muda dan remaja ketika itu ingin percaya dunia yang lebih indah dan kemanusiaan yang lebih sama rata akan terjelma.

Dalam konteks ini, kematian JFK Junior mengharukan kita kerana kita mungkin menyoal apa telah terjadi pada Amerika dan dunia yang pernah penuh idealisme suatu masa dulu? Dan menonton  di kaca TV usaha-usaha mencarinya, isteri serta kakak iparnya, tidak dapat tidak kita mungkin terkenangkan tragedi yang menimpa kita pada 1997 di Palembang dulu. Nyawa sesiapa pun amat berharga, tetapi ada manusia, walau terdapat beberapa kekurangan, seperti Presiden Kennedy and Martin Luther King, kadangkala mengingatkan kita untuk menghidupkan idealisme itu di hati kita…

Ditulis: 21 Julai 1999
Tajuk Asal: Kisah Bulan Dan Bintang
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 25 Julai 1999
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s