Kita Jadi Lebih Ihsan Kerana Binatang

2012-08-17 02.40.5520150708_055709

Intro 1B

Ahli psikologi menganggap sesiapa yang memelihara binatang di rumah dapat menurunkan paras tekanan yang dihadapi. Betulkah ini? Dan kanak-kanak pula dikatakan lebih memahami erti tanggungjawab, kasih sayang dan sebagainya bila dia memelihara binatang. Binatang menimbulkan semacam unsur ingin melindung dan mengasihi di kalangan kita kerana rata-ratanya binatang peliharaan amat bergantung kepada sang pemeliharanya.

Sesiapa yang pernah memelihara kucing, burung, ikan, ayam, arnab dan lain-lain mungkin menyetujui dengan pendapat-pendapat di atas. Dan binatang-binatang ini mudah menenangkan kita, mempelbagaikan serta memberi iktibar kepada kehidupan kita.

Ada orang mudah tersentuh melihat binatang, terutama yang terseksa dan terbiar, lantas sanggup memberi makan dan memelihara walaupun dia bukanlah orang kaya-raya. Seorang mak cik sesekali Sri temui lewat malam berdekatan blok rumah Sri. Mak cik ini berbasikal dan membawa makanan ke sebuah tempat (ia merupakan tempat terletaknya janakuasa dan sebagainya dan dipagar – kini (2017) tempat ini sudah lama dirobohkan) yang terdapat banyak kucing. Setelah memberi makan, mak cik ini akan membersihkan tempat tersebut dan pergi. “Kesian, Nak,” katanya kepada Sri, melihat keadaan kucing-kucing tersebut. Dan kucing-kucing itu tidak pernah takut apabila dia mendekati mereka, tidak seperti keadaan mereka apabila didekati kebanyakan orang.

Terdapat juga orang yang gemarkan binatang semasa haiwan-haiwan itu kecil sahaja. Seorang datuk saudara Sri yang menetap di Malaysia, suka memelihara itik. Yang paling digemari ialah melihat anak-anak itik itu berenang dalam baldi besar atau kolam kecil buatannya di halaman rumahnya. Tetapi bila itik-itik membesar, mulalah datuk saudara Sri ini tidak melayan, namun tidak membenarkan itik-itik itu disembelih. Maka bercucu-cicitlah itik-itik itu di perkarangan rumahnya.

Sesiapa yang pernah membesar di kampung pasti sukar melupakan berbagai jenis binatang peliharaan mereka krtika itu dan struktur rumah kampung lebih memudahkan pergerakan binatang-binatang itu, misalnya kucing.

Di rumah Sri dahulu, tidak pernah lekang daripada binatang peliharaan – dari ayam (ayam biasa, ayam bulu terbalik, ayam selasih), ayam belanda, kucing, arnab, tikus belanda, ikan (ikan perut buncit, gupi, haruan, sepat, emas dan lain-lain), kura-kura, kuda laut, burung (burung kakak tua, budgie/budgerigar, merbuk dan sebagainya) sehinggakan monyet. Ada yang dibeli, ada yang tiba-tiba menjelma di rumah  dan ada pula yang diberi orang. Dan Sri masih ingat, setiap kali menyiapkan makanan kucing (ikan yang telah disiang dan dibersihkan, direbus dengan sedikit garam), betul-betul macam mengadakan kenduri…Kucing di rumah Sri bukan seekor dua, malah pernah sehingga dua puluh lebih ekor. Jadi bila nasi harus digaul dengan ikan rebus, seksanya bukan main , apalagi bila anda dikerumuni sang kucing sekalian…

Tidak kurang ketika zaman kanak-kanak dan remaja itu, bila anda marah atau geramkan perbuatan seseorang, binatang/serangga peliharaannya yang akan menjadi sasaran…Misalnya, telinga kucingnya dipiat atau ikannya sengaja tidak diberi makan atau bekas tempat mengisi ikannya dicampurkan sedikit air longkang atau mungkin labah-labahnya tiba-tiba patah satu kakinya dan tidak boleh ‘celen’ (challenge) kehebatan labah-labah anda…

Ada orang benar-benar sayangkan binatang, di mana pun dia berada, sampai ke luar negara pun, kucing-kucing mengerumuninya, seakan terbau dia menyayangi mereka.  Dan bila bercakap pasal binatang peliharaan, anda menyangka dia bercakap pasal anak-anaknya. Seorang nenek saudara Sri berperangai sedemikian. Jadi rumahnya di Ipoh dulu, tidak ubah seperti taman haiwan. Kucing-kucingnya pula ‘berpersonaliti’ – pandai buka periuk sendiri dan pula semacam sami, hanya suka makan sayur…

Orang Melayu secara purata menyayangi kucing. Cara kucing membersihkan diri, tidur (tanpa mengendahkan sekelilingnya), makan, bermanja, menggeliat, merenung anda dengan mata sayu/galak, mudah membuat anda ‘terpikat’. Dan kucing kesayangan anda sesalunya memahami keresahan hati anda; tiba-tiba dia duduk di pangku anda bila anda risau atau ajak anda bergurau, seolah-olah memberitahu anda tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Dan seperti manusia, kucing anda juga boleh berasa cemburu bila anda sayangkan kucing lain atau merajuk. Atau mungkin dia menghilangkan diri buat beberapa hari kerana bertemu ‘cinta pertamanya’, sedangkan anda amat risau akan kehilangannya. Tiba-tiba dia muncul, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku, dan kerisauan anda terhadapnya mencair kerana dia tetap menambat hati anda sekeluarga dengan kerenahnya.

Atau anda sukar melupakan beberapa peristiwa bersama kucing-kucing kesayangan anda; ketika dia beranak – mencari dan menyiapkan tempat, menyembunyikan anak-anaknya dan  sebagainya. Mencari ‘daun kucing’ ketika kucing anda sakit atau membawanya ke klinik doktor haiwan atau mencarinya ketika dia hilang dan bersedih kerana kematiannya. Berdepan dengan binatang-binatang ini, kita menjadi lebih berperikemanusiaan kerana kita sedar unsur pergantungan mereka kepada kita. Dan kehadiran binatang-binatang peliharaan ini membangkitkan ciri-ciri terbaik dalam diri kita sejak kita kecil lagi sehingga lanjut usia.

Mungkin inilah hadiah terbesar mereka kepada kita.

Ditulis: 7 September 1998
Tajuk Asal: Binatang Peliharaan
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 27 September 1998
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s