Mengenali Gao Xingjian, Pemenang Hadiah Nobel Dari China

Gao photoGao Book 1Gao Book 2Gao Book 3

Pengenalan

Gao Xingjian lahir pada 4 Januari 1940 di Ganzhou, wilayah Jiangxi, di China. Didedahkan kepada sastera dan seni antarabangsa oleh orang tuanya, Gao menerima ijazah dalam kesusasteraan Perancis dari Institut Bahasa Asing Beijing pada 1962. Gao bertugas sebagai penterjemah dan penyunting di Penerbitan Bahasa-bahasa Asing. Beliau menulis cerpen, drama, puisi, esei, novel, dan terjemahan.

Semasa Revolusi Kebudayaan  (1966-1976) Mao Zedong, di mana para seniman dan intelektual dihukum dengan menjalani kehidupan sebagai petani di daerah-daerah pedalaman China, agar  pemikiran mereka dapat ‘dibersihkan’, Gao turut dihukum. Isterinya sendiri melaporkan aktiviti intelektual (penulisan) yang dilakukannya secara bersembunyi ketika itu.  Gao terpaksa membakar karya-karyanya pada zaman itu agar tidak dijebak oleh pihak berkuasa. Namun dia tetap dijebak dan ‘dibersihkan’ dengan menjadi petani di daerah pedalaman. Pada 1979 dan 1980, beliau dibenarkan melawat Perancis dan Itali, kerana penulisan dan tugas penterjemahannya. Dan hanya ketika usianya menjangkau 40, pada 1980, karya-karyanya mula diterbitkan, setelah lama usaha ini terpaksa disembunyikan.

Namun Gao masih tidak sebebasnya menulis walaupun Revolusi Kebudayaan Mao telah berakhir. Dia tetap diintip oleh pihak Komunis China dan beberapa karyanya disenarai-hitamkan. Gao juga hampir dihantar ke daerah pedalaman sekali lagi agar dia menjalani ‘pendidikan semula’. Dikenal pasti sebagai penghidap penyakit barah paru-paru oleh pihak berkuasa, Gao mengandaikan dia akan mati pada usia muda, sebagaimana bapanya juga meninggal kerana penyakit barah paru-paru. Tetapi pemeriksaan yang dijalankan oleh doktor lain menunjukkan Gao langsung tidak menghidap penyakit barah paru-paru. Kejutan daripada  pihak berkuasa yang bakal menimpanya menderanya membuat keputusan agar mencari semacam kedamaian dengan pengembaraan selama 5 bulan di daerah Sichuan, China. Hasil daripada pengembaraan itu, lahirlah novel besarnya Soul Mountain. Gao tidak dibenarkan keluar dari China dan dia semakin disenaraihitamkan oleh pelbagai pihak kerana tulisan-tulisannya. Namun, melalui penerimaan fellowship ke Jerman pada 1987, Gao meloloskan dirinya dari cengkaman pihak Komunis China, dan terus meninggalkan tanah airnya. Dia menetap di Perancis, menulis dalam bahasa Perancis, selain bahasa Mandarin, dan menjadi warga Perancis pada 1998. Gao Xingjian diberi anugerah Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan pada tahun 2000; penulis China pertama diberi anugerah setinggi itu.

Tulisan-tulisannya

Karya-karya Gao tersiar di beberapa majalah sastera. Di antara karya-karya Gao Xingjian, termasuklah:

  1. A Preliminary Discussion of the Art in Modern Fiction (1981, esei)
  2. Alarm Signal (1982, drama)
  3. Bus Stop (1983, drama)
  4. Wild Man (1983, drama)
  5. A Pigeon Called Red Beak (1985, beberapa novelet)
  6. Collected Plays of Gao Xingjian (1985, drama)
  7. In Search of a Modern Form of Dramatic Representation (1987, esei)
  8. Buying a  Fishing Rod for My Grandpa (1988, antologi cerpen)
  9. Soul Mountain (1990, novel; terjemahan Inggeris, tahun 2000)
  10. Six Volumes of Plays by Gao Xingjian (1995, mengandungi drama-dramanya yang diperbetulkan dan baru ditulis iaitu: The Other Shore (1986), Fleeing (1990), Between Life and Death (1991), Romance of the ‘The Classic of Mountains and Seas’ (1993), Dialogue and Rebuttal (1993), Netherworld (1995) dan Nocturnal Wanderer (1995)
  11. Weekend Quartet (1996, drama, puisi dan tarian)
  12. One Man’s Bible (novel, 1999)
  13. Return to Painting (2002, mengumpulkan lebih 100 lukisannya yang dicipta dari 1960-an sehingga terkini)
  14. Ink Painting by Gao Xingjian: Nobel Prize Winner (2002, mengumpulkan 60 lukisan dakwatnya)
  15. The Interrogator of Death (2003, drama)
  16. Snow in August (2003, drama)
  17. The Case for Literature (2006, esei)

Menelusuri Dua Karya Gao: Soul Mountain dan The Case for Literature

Novel Soul Mountain

Soul Mountain, buku berukuran lebih besar daripada novel biasa dan setebal 510 halaman,  mengambil masa selama 7 tahun untuk disiapkan. Ia ditulis ketika Gao masih berada di China dan kemudian di Paris. Lingshan atau Soul Mountain merupakan nama sebuah tempat yang ideal yang menjadi semacam besi berani menarik Gao untuk mencarinya. Pencariannya kepada Lingshan ini merupakan pencarian jiwanya: menggambarkan pencarian seorang individu akan erti kehidupan dan warisan serta makna kemanusiaan di tengah-tengah rembetan kekuasaan kelompok yang mencengkam.

Melarikan dirinya dari Beijing, setelah diketahui dia akan dipenjarakan di Qinghai, Gao memulakan pelarian dan pencariannya di Sichuan. Berbekalkan wang pendahuluan daripada seorang penerbit yang baik hati, yang percaya akan kejujuran dan bakat Gao, walaupun Gao terus-menerus dihentam pihak tertentu, Gao menjelajah di beberapa daerah pedalaman di Sichuan menuju ke  muara Sungai Yangtze dan daerah pesisirnya. Perjalanan ini mengambil masa selama 5 bulan dan Gao telah merentasi sepanjang 15000 kilometer tanah airnya.

Semasa perjalanannya itu dia menemui bukan hanya orang-orang Cina Han, tetapi pelbagai puak minoriti misalnya puak Qiang (Tibet), Miao dan Yi. Kita diperkenalkan dengan amalan hidup yang masih terpelihara dari sentuhan globalisasi dan bagai seorang ahli antropologi, Gao membuat kita lebih mengenali puak-puak berlainan di China ini. Ada yang masih mempercayai ilmu sihir dan unsur menurun, ada yang suka bersenandung lagu-lagu rakyat silam, ada yang masih mengamalkan cara hidup orang-orang Dao (Tao) dan Buddha, ada yang masih percaya maharaja China yang pertama sebenarnya berdarah kacukan manusia dan beruang, ada yang yakin bahawa orang-orang pertama di dunia bernama Fuxi dan Nuwa, ada yang diperintah oleh penyamun dan warlord dan sebagainya.

Walaupun komunisme masih merupakan kuasa rasmi negara China, namun penulisan Gao menunjukkan bahawa di sebalik cengkaman kuasa mutlak itu, manusia dari pelbagai puak di China tetap manusia biasa dengan segala keanehan dan kebaikan kemanusiaannya. Komunisme terus menentukan segala gerak kehidupan di China namun tidak semua orang rela menuruti acuannya.

Dalam novel ini tiada watak-watak yang penuh kecuali beberapa orang sahabat, renjer dan pengkaji di hutan-hutan simpanan dan hutan simpanan panda, pegawai, dan orang-orang awam yang ditemui Gao. Namun Gao menggunakan kata ganti nama diri orang pertama, kedua dan ketiga (aku, engkau, dia [wanita dan lelaki]) dalam penceritaannya. Sebenarnya tiada watak engkau dan dia dalam penceritaannya; Gao menyelitkan itu untuk mengembangkan penulisannya dan mendalami khususnya psikologi dirinya dan manusia lainnya. Watak engkau (wanita) misalnya digambarkan untuk mendalami masalah hubungan lelaki dan wanita dan kehendak yang berlainan yang mewarnai hubungan sedemikian. Gao juga mencipta watak-watak ini kerana dia terlalu kesepian semasa perjalanan dan pelariannya itu.

Kita lebih mengenali kepelbagaian hidup di China, terutamanya di beberapa daerah di sekitar Sichuan dan Sungai Yangtze kerana novel Soul Mountain ini. Namun yang lebih terkesan ialah imbasan-imbasan masa silamnya bersama keluarga, sahabat, kenalan dan bagaimana komunisme itu, terutama semasa zaman Revolusi Kebudayaan Mao Zedong, telah meracuni kehidupan mereka dan ramai yang lain sehingga kepentingan dan kebolehan individu serta kreativitinya bukan sahaja dicurigai malah dimomok-momokkan. Kita mendapati kekuatan suara individu yang seharusnya dihidupkan oleh seniman dan warga China misalnya apabila Gao membincangkan sumbangan pelukis Gong Xian (hal. 444-446); walaupun dunia lukisan yang diperkatakan, namun keteguhan Gong Xian melepasi keterbatasan zaman dan cengkaman-cengkaman yang dihadapinya itulah sumber yang harus dicontohi seniman dan rakyat China.

Ternyata novel Soul Mountain ini merupakan pencarian kejiwaan Gao akan makna  kewujudannya, masa silamnya, warisannya dan juga suaranya sebagai individu seni dengan segala permasalahannya berdepan dengan cengkaman komunisme di negaranya. Pencarian kejiwaan atau psikologi ini amat meletihkannya dan dia sering dirundung kesepian tetapi Lingshan atau Soul Mountain itu tetap tidak ditemui Gao di akhir novelnya. Seteguh gunung gigihnya jiwa Gao Xingjian menghadapi pelbagai hambatan dalam kehidupan dan bidang penulisan itulah sebenarnyalah Lingshan atau Soul Mountain Gao  kerana kita menemui kekuatan-kekuatan sedemikian dalam novel ini dan juga tulisan-tulisannya yang lain.

Buku Esei Gao The Case for Literature

Buku ini memuatkan 11 esei Gao yang berjudul ‘The Case for Literature’, ‘Literature as Testimony: The Search for Truth’, ‘Without Isms’, ‘Cold Culture’, ‘Literature and Metaphysics: About Soul Mountain’, ‘The Modern  Chinese Language and Literary Creation’, ‘About Fleeing’, ‘The Voice of the Individual’, ‘Wilted Chrysanthemums’, ‘Another Kind of Theatre’ dan ‘The Necessity of Loneliness’.

Secara keseluruhan esei-esei ini memberi gambaran yang lebih jelas mengenai pelbagai pandangan Gao berhubung dengan penulis dan kesusasteraan. Gao tidak menganut sesuatu ideologi politik atau menentang mereka yang terlibat dengan politik tetapi dia amat tidak setuju sastera diperalatkan untuk satu-satu kepentingan sebagaimana berlaku di China. Pengalamannya semasa zaman Revolusi Kebudayaan Mao (1966-1976) dan rentetan kejadian selepas itu, termasuk peristiwa berdarah di Tiananmen Square, jelas menunjukkan betapa sastera jenis propaganda atau diperalatkan itu tidak akan berdaya menggambarkan kebenaran sebenar. Dia juga menentang realisme sosial dan sikap patriotik membabi buta di negaranya kerana kedua-duanya menyulapkan keadaan sebenar.

Menurut Gao, cendekia dan seniman silam China terlalu mementingkan hak masyarakat terbanyak lantas mudah diperalatkan pihak-pihak tertentu, seperti pihak komunis, yang menggunakan mereka untuk melenyapkan suara individu di China. Hilangnya suara individu demi kononnya kemaslahatan ramai/politik inilah yang membuat kesusasteraan di China sukar berkembang, demikian menurut Gao. Ada pandangan-pandangan Gao sukar kita terima, misalnya keyakinannya bahawa penulis tidak harus menjadi ‘suara’ masyarakat atau negaranya; pandangan ini timbul kerana beliau sukar menerima pandangan Nietzsche mengenai konsep ‘Superman’ yang dianuti Mao Zedong. Konsep inilah, baginya, yang telah memporok-perandakan seniman dan masyarakat Cina di China.

Berikut saya perturunkan beberapa pandangan Gao mengenai penulisan dan kesusasteraan daripada bukunya The Case for Literature:

Halaman 28:

Sastera yang menemui cirinya yang sebenar dipanggil ‘sastera sejuk’ (cold literature). Ia wujud kerana manusia mencari suatu kegiatan kejiwaan melampaui keperluan kebendaannya. …. Pada masa silam sastera begini seringkali menentang penindasan kuasa-kuasa politik dan adat, kini ia harus juga berperang dengan nilai-nilai komersial yang subversif dalam masyarakat pengguna. Kewujudannya bergantung kepada kesediaan para penulis untuk menanggung kesepian.

Halaman 43:

Imaginasi yang dipisahkan daripada perasaan-perasaan tulen, dan rekaan/saduran yang dipisahkan daripada pengalaman-pengalaman kehidupan, akan hanya berakhir sebagai karya yang hambar dan lemah

Halaman 52:

Sastera yang mencari kebenaran tidak akan mahu ditundukkan oleh politik atau pasaran, lantas pembacanya dibataskan kepada beberapa orang….

Halaman 66:

Sebagai sasterawan yang tinggal dalam buangan, saya boleh mencapai semacam penyelamatan hanya melalui penciptaan sastera dan seni. Ini tidak bermakna saya menganjurkan sastera murni, sastera di menara gading, terpisah jauh dari masyarakat. Sebaliknya, saya menganggap ciptaan sastera sebagai tentangan individu terhadap masyarakat bagi haknya untuk wujud, walaupun tentangan ini begitu kecil, namun ia tetap suatu isyarat.

Halaman 74:

Seorang penulis berhadapan dengan masyarakat bersendirian dan bercakap serta bercerita dalam suara seorang individu; bagi saya inilah suara yang paling dekat dengan kebenaran.

Halaman 165 – 166:

Apabila ideologi, trend dalam pemikiran, fesyen dan pelbagai kegilaan begitu merangkumi kehidupan, bersendirian itu sebenarnya mengisahkan kebebasan individu. Dalam dunia yang hiruk pikuk hari ini, dengan propaganda dari media massa begitu menyeluruh, dan jika seseorang itu perlu mendengar suara hatinya, dia harus menyokong perasaan bersendirian ini. Selagi dia tidak menjadikan ini semacam penyakit, bersendirian itu diperlukan untuk seseorang individu memantapkan dirinya dan mencapai sesuatu [dalam kehidupan].

Demikianlah secercah pandangan dan penulisan Gao Xingjian.

Ditulis: 17 – 18 Jun 2008
Tajuk Tersiar: Berbeza sedikit daripada tajuk yang saya kirimkan kepada Berita Minggu – teks yang tersiar tersimpan di tempat yang tidak saya ketahui.
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada 2008.
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s