Penulis, Masa Dan Pengikut

Abdullah_hussain_s[1]255px-Arena_Wati[1]

Baru-baru ini ada perhimpunan cendekia Melayu di Johor. Turut hadir dalam perhimpunan tersebut termasuklah para sasterawan dan pemikir Melayu di Malaysia. Isu-isu yang dibincangkan merupakan isu-isu semasa yang menjejas masyarakat mereka di sana. Salah seorang sasterawan tersohor Malaysia, Pak Arena Wati*, tidak menghadirkan diri. Beliau diwakili isterinya, yang dulu sama berminat mengenai hal-hal sastera dan masyarakat. Dalam usia yang semakin meningkat dan masa serta kesihatan yang kian terbatas, Pak Arena, menurut  isterinya, yang diberitahu kepada salah seorang peserta yang saya kenal,  terpaksa menyeka masa yang diluangkan kepada sesuatu aktiviti. Beliau sibuk menulis dan menjalankan aktiviti hariannya di rumah; menghadiri perhimpunan tersebut dan beberapa aktiviti seumpama itu, walaupun penting dan ada manfaatnya merupakan ‘kos melepas’ (opportunity cost) bagi penulisannya.

Pak Arena, sebagaimana diberitahu oleh isterinya, tahu masanya amat terhad, lantas lebih elok baginya menulis dan meninggalkan ini sebagai warisan bangsa dan negaranya daripada duduk berbincang mengenai perkara-perkara yang penting, tetapi ramai orang lain boleh juga melakukannya. Kerja penulisannya, yang selalu dibuat dengan rapi berserta pembacaan dan kajian yang mendalam, misalnya dalam novel-novelnya, hanya Pak Arena sahaja yang boleh melakukannya. Alangkah ruginya jika sejumlah novel dan penulisan yang sudah berpeta dalam pemikiran dan lakaran-lakarannya tidak dapat disudahi kerana terlalu disibukkan oleh kehadirannya dalam perjumpaan dan perhimpunan tertentu. Demikianlah, saya rasa, tanggapan Pak Arena, yang terpaksa berkejar dengan waktu.

[*Pak Arena Wati meninggal dunia pada 25 Januari 2009.]

Masa bagi semua manusia tentulah terbatas. Melakukan sesuatu perkara, bererti perkara yang lain tidak dapat kita lakukan. Dan sebagai penulis, pandai membahagikan masa tentulah amat penting kerana tanpanya pelbagai kerja seni tidak dapat dilakukan dengan baik. Kita menjadi reaktif terhadap sesuatu perkara atau kegenjotan dan tidak pula bertindak secara proaktif.

Seorang lagi penulis veteran, Abdullah Hussain*, kini dalam keadaan tidak sihat. Beliau tidak boleh lagi bertutur dan kesihatannya tidak lagi membenarkannya menulis. Pak Abdullah memang seorang yang rajin dalam bidang penulisan semasa beliau sihat. Saya bertemu beliau pada tahun-tahun 80-an di Brunei. Pak Abdullah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei ketika itu. Walau setelah bekerja sehari suntuk, dan kemudian meluangkan masa untuk sahabat handai dan keluarga, Pak Abdullah akan selalu menulis atau membaca. Ada sahaja tulisan yang beliau siapkan atau buku terbaru yang dibacanya; pendek kata beliau tidak mensia-siakan masanya begitu sahaja, baik semasa di Brunei atau di Malaysia, malah ketika beliau bertugas di Singapura pada tahun-tahun 50-an dahulu. Saya tersentuh dengan kesungguhan Pak Abdullah menceburi bidangnya dan keikhlasannya bila beliau meluangkan masa untuk bersama mereka yang berjumpanya. Idea-ideanya, sebagaimana Pak Arena, tidak pernah surut; yang surut hanyalah kesihatan dan meningkatnya usia yang menyukarkan banyak hal, termasuklah menulis.

[*Pak Abdullah Hussain meninggal dunia pada 31 Disember 2014.]

Kedua-dua penulis ini adalah contoh yang baik bagi dunia penulisan kita. Mereka adalah peribadi tersendiri yang boleh bertahan dalam pentas mana pun tetapi semasa muda pun mereka tidak terkejar-kejarkan nama dan jawatan dalam bidang penulisan dan dalam apa pun kesibukan, mereka tidak pernah berhenti membaca dan menulis. Dalam usia menjangkau lebih daripada 80 tahun; Pak Abdullah berusia 88 tahun dan Pak Arena 83 tahun, tulisan-tulisan terakhir mereka tetap menunjukkan kejituan pemikiran dan pertukangan seni.

Dalam usia selepas bersara pun karya-karya mereka masih diolah dengan baik untuk tatapan masyarakat; malah bagi Pak Arena, yang masih sihat untuk menulis, banyak karya mutakhirnya merupakan kanvas-kanvas besar atau mural untuk masyarakat. Kita semakin terlihat kekuatan beliau sebagaimana novel-novelnya awalnya Lingkaran dan Sandera menunjukkan tunjang kekuatannya. Walaupun menceburi pelbagai bidang penulisan; Pak Abdullah menulis novel, cerpen, esei, kajian, terjemahan, skrip TV , dan juga sajak (sajak  ditulis semasa muda sahaja) dan Pak Arena pula menulis cerpen, novel, esei, kajian, sajak (sajak ditulis semasa muda sahaja) tetapi kedua-duanya tidak pernah menulis karya-karya picisan.

Tiada suatu pun karya mereka yang berunsur erotik murahan sebagaimana karya-karya Ayu Utami dan beberapa penulis lain pada zaman ini. Yang Pak Abdullah dan Pak Arena rakamkan dan gambarkan bukan pula hal di awang-awangan atau menghina agama dan bangsa sendiri sebagaimana dilakukan oleh Salman Rushdie dalam Satanic Verses dan orang-orang seumpama itu. Kita temui kekuatan peribadi Melayu-Islam mereka, baik yang berasal dari Aceh, Makassar atau tempat-tempat lain di daerah Kepulauan Melayu, yang meningkatkan kefahaman dan kesedaran kita mengenai beberapa hal. Banyak benar yang kita perolehi daripada tulisan-tulisan mereka kerana kedua-dua penulis ini bukan penangguk kesempatan atau begitu murahan sehingga sanggup ‘menjual’ hal-hal yang kita anggap murni, demi nama atau kedudukan dalam dunia penulisan. Mungkin kerana kejujuran mereka dan tentunya pertukangan seni yang mereka miliki, karya-karya mereka, walau di zaman siber ini, tidak boleh diketepikan dalam kajian kesusasteraan kita.

Kalau kita bertanya kepada kedua-dua penulis veteran ini sama ada mereka ada segolongan pengikut yang taasub kepada mereka, tentunya kedua-dua akan tersenyum. Soal mencari pengikut dan menguar-uarkan diri sebagai orang ‘besar’ dalam sastera tidak  timbul dalam kehidupan mereka. Mereka menulis sejujur dan sebaiknya dan pembaca membaca karya-karya mereka. Kalau ada yang tersentuh atau terangsang melakukan sesuatu yang baik setelah membaca karya-karya mereka, tentulah mereka berasa bersyukur. Konsep melobi untuk mendapat pengikut atau menempah nama, tiada dalam kehidupan mereka. Namun, sebaliknya ada juga berlaku dalam dunia sastera Melayu. Ada orang gemar melobi itu dan ini untuk dianggap ‘besar’ atau ‘tersohor’. Ada pula mahu ramai pengikut dan berbangga kerana dia dianggap ‘hebat’ oleh pengikut-pengikutnya. Ada yang menyibuk-menyibukkan diri dalam kononnya hal-hal sastera; padahal hal-hal yang disibuk-sibukkan itu tiada kena mengena dengan sastera. Dan ada pula berbangga melalui ‘perkaitan’; kalau dia kata dia rapat dengan penulis atau orang ternama itu dan ini, andaiannya ialah dia juga sama ‘hebat’ seperti orang-orang tadi tetapi penceburannya tidak seperti mereka, malah dia sekadar terikut-ikut sahaja kerana mahu dianggap sama besar seperti mereka yang dikaitkan dengan dirinya.

Banyak perkara yang kurang elok boleh berlaku jika penulis suka membazirkan masa demi mendapat nama, kedudukan, dikaitkan dengan orang-orang tertentu atau terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang kelihatan seperti kesenian, tetapi sebenarnya bukan demikian. Yang rugi ialah masa kita yang terbuang begitu sahaja padahal masa yang sama boleh digunakan untuk aktiviti-aktiviti yang sihat seperti membaca, mengkaji, berfikir dan menulis. Mungkin ada sebilangan orang dalam dunia sastera kita semakin leka dan mahu melekakan orang lantas yang sampiran itu yang selalu diheboh-hebohkan sedangkan perkara-perkara teras selalu diabaikan. Mengetahui mengenai penceburan, kegigihan, kreativiti dan pertukangan seni Pak Arena Wati dan Pak Abdullah Hussain mungkin dapat sama menginsafkan kita agar mengisi arena kesusasteraan ini sebaik dan sejujur mungkin. Akhirnya, sebagaimana yang dilagukan oleh Ramli Sarip, seharusnya bidang sastera ini kita ceburi dan hidupkan ‘bukan kerana nama’ tetapi didorong oleh hal-hal yang lebih murni dan kekal.

Ditulis: 26 Mei 2008
Tajuk yang disiarkan dalam Berita Minggu berlainan sedikit daripada tajuk yang saya beri dan teks yang tersiar entah di mana saya simpan.
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu  (Singapura) pada 2008.
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s