Tukikan Dan Bidang Perkhidmatan

Apakah anda, seperti Sri, kadangkala terasa, kenapalah tidak kita fikirkan bidang-bidang tertentu dalam perniagaan, setelah melihat seseorang menceburi sesuatu bidang yang begitu lumrah tetapi tidak terfikirkan oleh kita? Memang kalau anda bercakap dengan peniaga atau orang-orang yang agak berani mencuba, kreatif atau dipanggil bersemangat usahawan, banyak idea baharu yang dapat anda timba. Yang penting, dapatkah idea-idea baharu itu dijadikan kenyataan atau sekadar bualan kosong ketika minum teh pada waktu petang?

Dulu kita bergantung kepada perdagangan entrepot; barangan masuk dan keluar dari pelabuhan kita yang bebas cukai dan kita menjadi tempat persinggahan penting dalam lalu lintas perdagangan dunia. Tetapi zaman itu telah berlalu dan dunia perniagaan juga turut berubah. Rentak perdagangan dunia kini memerlukan minda yang sedikit berbeza untuk menggarap pelbagai perubahan tadi. Namun apa pun perubahan dunia niaga, prinsip kontrak, sikap amanah, jujur, melayan pelanggan dan sebagainya tetap memainkan peranan dalam jaya gagalnya perniagaan tersebut.

Banyak berita di akhbar menyebutkan bidang perkhidmatan boleh dikembangkan untuk memajukan lagi ekonomi Singapura. Dan bidang perkhidmatan ini meliputi banyak hal: dari penyediaan tempat makan yang baik, hotel, pengangkutan, sehinggakan menjadi semacam hab  (hub) untuk mendapatkan khidmat pendidikan, perbankan, rawatan perubatan konvensional dan alternatif, latihan dan lain-lain. Pendek kata, yang diharapkan, bila disebut sesuatu khidmat itu dari Singapura, orang tempatan dan luar negara akan menganggapnya sebagai sesuatu yang berjenama. Ini rasa Sri,  masih di peringkat unggul kerana kenyataan-kenyataan yang kita saksikan memang masih banyak yang perlu diperbetul. Kalau kita mahu dianggap sebagai hab dalam bidang tertentu, kita terpaksa juga menjadi lebih kreatif, terbuka dan pandai melayan mereka yang memerlukan khidmat kita. Kalau sekadar mengadakan prasarana, misalnya mengadakan khidmat pendidikan atau restoran tetapi kita tidak pandai mengendahkan pelanggan, lama kelamaan pelanggan kita akan berkurangan atau pun berpindah ke tempat lain. Sri katakan ini kerana seperti kebanyakan orang, Sri ada juga bertemu dengan orang-orang yang tugasnya memberi khidmat  tetapi layanannya kepada pelanggan membuat kita geleng kepala!

Anda pasti telah bersua dengan orang-orang begini. Mulanya bila perniagaannya baru bermula, bukan main dia melayan pelanggan. Tetapi bila sudah ada nama sedikit, tumpuannya semakin tidak berfokus dan sering pula mengabaikan kehendak pelanggan atau mengambil sikap sambil lewa terhadap pelanggan tadi. Sri ingat dulu bapa Sri pernah berkata: kita mesti beri khidmat terbaik dan melayan pelanggan dengan baik, walaupun khidmat yang diperlukan itu sedikit atau dia sekadar hendak tengok-tengok saja. Arwah bapa Sri cukup faham hal ini kerana beliau juga seorang peniaga, dan belajar menyesuai dan memperteguhkan dirinya dalam bidang pengangkutan /perkapalan. Kalau kita selalu memberi helah, misalnya dalam kelambatan kita menyediakan khidmat atau tidak cepat buat langkah susulan bila pelanggan mahu berbincang-bincang, pakai nampak tidak lama lagi kita akan gulung tikar. Walau betapa canggih pun perniagaan itu dipertunjukkan kepada orang ramai, kalau khidmatnya sekadar ‘indah khabar dari rupa’, akan tidak lamalah perniagaan tersebut. Dan inilah yang kerap melanda sebilangan sektor perkhidmatan kita.

Tidak perlulah kita bercakap yang hebat-hebat; sekadar pergi membeli-belah sahaja boleh memberi kita sedikit gambaran yang kurang baik ini. Anda baru bertanya sesuatu tetapi anda dilayan dengan muka masam atau ditinggalkan saja. Lebih buruk lagi jika anda membelek-belek barang tetapi akhirnya tidak jadi membelinya. Anda bagaikan rasa berdosa kerana kakitangan kedai atau pusat itu memberi anda layanan semacam kerana tidak membeli apa-apa. Dan ada juga pekerja dengan mudah menjawab ‘saya tak tahu’ setiap kali anda bertanyakan sesuatu dan langsung tidak mahu mengambil berat bidang yang diceburinya. Ini berbeza dengan khidmat yang ditunjukkan di beberapa negara lain; kadangkala anda begitu segan kerana layanan mereka yang benar-benar baik, walaupun anda tidak jadi membeli dari kedai mereka misalnya. Yang diutamakan ialah mutu khidmat, walaupun anda mungkin tidak menjadi pelanggannya kini, tetapi kerana baiknya layanan tadi, Sri pasti, bila terfikir sesuatu khidmat yang sama, anda pasti teringatkan kedai tadi. Kadangkala tidak perlu iklan yang hebat-hebat, mutu khidmat andalah iklan terbaik mengenai khidmat anda tadi.

Bolehkah bidang perkhidmatan menjadi tukikan ekonomi kita? Tentunya boleh tetapi banyak perubahan sikap terpaksa dilakukan terlebih dahulu sebelum ini terjadi, walaupun anda peniaga kecil-kecilan. Seperti kata orang tua-tua, dari yang kecil-kecillah, kalau kita pandai menjaga, boleh juga menjadi besar. Kenapa misalnya, ada kedai runcit atau kedai makan begitu maju, walhal barang yang dijual sama dengan kedai-kedai lain? Tentunya antara sebabnya ialah mutu barangan dan khidmat yang diberikan kepada pelanggannya. Dan kadangkala kita sanggup membayar harga yang mahal sedikit kerana kita tahu mutunya tinggi dan khidmatnya baik.

Sri yakin bidang perkhidmatan kita boleh semakin maju asalkan kita tidak terus membeku. Peniaga kita juga harus mencari tukikan masing-masing dan tidak sekadar mencendawankan sesuatu perniagaan, sampai agak sukar untuk bernafas. Masih banyak peluang yang boleh diteroka dan diceburi asal sahaja ia mengikut undang-undang, halal, baik dan memanfaatkan.

Ditulis: 13 April 2004
Tajuk Tersiar: Berlainan sedikit daripada yang saya berikan. Teks yang tersiar di Berita Minggu entah di mana saya simpan.
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 2004.
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s