Beberapa Catatan 16 Disember 2017

1.Maulid tahun ini diraikan di sana sini sejak 1 Disember 2017/12 Rabiul Awal 1439 Hijriah. Ada orang tidak bersetuju diadakan sambutan begini dan ada pula yang bersetuju. Ini bukan masalah pokok yang perlu dibahaskan tanpa henti.

Kita menyayangi Rasulullah s.a.w. dan menyanjung risalah yang dibawa Baginda. Kita menjadikan Baginda tunggak sumber contoh kita kerana Rasulullah s.a.w. menjadi pilihan Allah dan Allah menyuruh kita berselawat ke atas Baginda. Yang penting bukan sekadar menyambut hari kelahiran Baginda besar-besaran sahaja tetapi menghidupkan sunah Baginda dan semampunya mengamalkan apa yang disuruh Rasulullah s.a.w. dan menjauhi apa yang dilarang. Kita sendiri seharusnya cuba menjadi lambang walaupun hanya secercah, ‘rahmat sekalian alam’ sebagaimana Baginda dilambangkan sedemikian.

Saya membesar dengan orang-orang yang suka menyambut maulid. Semasa tinggal di Sims Avenue (antara Lorong 35 dan 37, Geylang, Singapura), sambutan maulid dibuat secara berkampung. Saya masih terlalu kecil ketika itu. Apabila keluarga berangkai saya berpindah ke Jalan Kobis, berdekatan Kampung Melayu, Kaki Bukit, pada awal tahun 60-an, sambutan maulid lebih kerap diadakan. Busu saya (Allahyarham Abdul Ghani bin Abdul Kadir), bersama kawan-kawan sekampungnya memulakan beberapa usaha untuk kampung tersebut, termasuk menyambut maulid. Selain berzanji beramai-ramai oleh orang-orang dewasa, ada acara sukan dan lain-lain untuk kanak-kanak. Usaha Busu saya diteruskan apabila berpindah ke rumah pangsa di Bedok North pada 1978. Beliau adakan acara maulid untuk keluarga terdekatnya dan jiran-jiran Muslim dalam blok rumah pangsanya turut dijemput. Busu saya mengadakan sambutan maulid sehinggalah beliau berpulang ke rahmatullah pada April 2003.

Saya tinggal bersama keluarga saya pada 1964. Bapa saya, setelah bertahun-tahun berniaga, akhirnya mempunyai syarikat logistik/perkapalan sekitar 1956/57. Pada akhir tahun tahun 50-an dan terutamanya pada awal tahun-tahun 60-an, perniagaan bapa saya semakin berkembang. Pada tahun-tahun tersebutlah bapa saya  mengadakan sambutan maulid untuk keluarga dan kakitangan syarikatnya dan beliau lebih dermawan ketika-ketika itu. Tradisi ini buat beberapa waktu diteruskan oleh abang sulung saya dan abang ipar saya, yang mengendalikan syarikat peninggalan bapa saya.

Acara-acara maulid diadakan bukan hanya untuk mengingatkan sirah dan risalah Nabi s.a.w., tetapi juga untuk mengeratkan hubungan sesama umat. Ada keluarga mengadakan maulid setiap minggu, tanpa menunggu bulan Rabiul Awal kerana inilah juga satu cara untuk terus mengingati Nabi s.a.w. dan mengeratkan silatulrahmi di kalangan anggota keluarga.

Mudah-mudahan kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w. akan menjadikan kita insan yang lebih baik kepada sesama Muslim, bukan Muslim dan makhluk Allah lainnya.

2. Berita yang tergempar dan meresahkan sebahagian besar dunia, terutamanya di Gaza, Tebing Barat dan lain-lain, tentunya pengiktirafan Donald Trump pada 6 Disember lalu, bahawa ibu kota Israel adalah Baitulmaqdis (Jerusalem) dan kedutaan Amerika yang sekian lama terletak di Tel Aviv akan dipindahkan ke Baitulmaqdis.

Dalam sejarah, ada yang disebut dasar ‘pecah dan perintah’ (divide and rule) dan secara purata kelompok manusia – baik dalam keluarga, suku, masyarakat, bangsa dan negara, selalu memerlukan ‘kambing hitam’ (scapegoat) untuk menyatukan mereka. Kadangkala tiada ‘musuh’ pun diada-adakan musuh agar kelompok sasaran mereka lebih bersatu. Dan ramai yang mempunyai agenda-agenda tertentu.

Trump mahu kononnya mengotakan janji kempen pilihan rayanya, mahu menyenangkan penyokong pelampau kanannya, golongan Kristian evangelikal, selain mahu Roy Moore menang dalam pilihan raya senat di Alabama (Roy Moore kalah kepada Doug Jones (Demokrat) pada  13 Disember lalu). Dia juga mahu mengalihkan tumpuan dunia ke arah lain, dan bukan kekurangan-kekurangannya sebagai pemimpin. Demikian juga Perdana Menteri Israel, Netanyahu, terkait dengan skandal rasuah. Jadi pengumuman Trump dijangka menguntungkan kedua-dua pihak ini.

Betapa meleset jangkaannya. Dan dunia semakin bergelora, resah dan berdarah.

Suatu masa dahulu di Singapura, David Marshall (lahir pada 12 Mac 1908 dan meninggal dunia pada 12 Disember 1995), menjadi Menteri Besar pertama Singapura pada 6 April 1955 sehingga 7 Jun 1956. Beliau lama terlibat dalam politik Singapura pada tahun-tahun 50-an sehingga 60-an itu.

Generasi datuk dan nenek saya serta orang tua saya, tahu siapa David Marshall. Mereka tahu beliau berketurunan Yahudi, dilahirkan di Singapura, dan keturunannya berasal dari Iraq. Isu bangsanya tidak menjadi masalah – malah ramai orang Melayu/Islam yang menyukai dan menyokongnya. Beliau juga terkenal sebagai peguam yang berwibawa dan berjiwa rakyat.

Saya bawakan kisah David Marshall ini kerana ada perbezaan seseorang yang berketurunan Yahudi tapi bukan Zionis dan mereka yang Zionis. Yang ditentang bukan orang-orang Yahudi secara umum tetapi mereka yang tegar, yang Zionis. Dan isu Palestin ini dibaluti unsur-unsur agama, sempadan dan negara, hak asasi manusia dan sebagainya. Dan Palestin bukan hanya dihuni oleh orang-orang Arab beragama Islam sahaja tetapi juga oleh orang-orang Arab beragama Kristian, sejak dahulu. Bagi orang Islam Masjidil Aqsa yang terletak Baitulmaqdis merupakan masjid ketiga terpenting, setelah Masjidilharam dan Masjid Nabawi.

Ikuti wawancara Dr Hanan Ashrawi ini agar lebih jelas beberapa gambaran yang diledakkan Trump:

Konsep mencari ‘kambing hitam’ dan mengalihkan tumpuan ini ternyata langkah yang akan terus mendarahi dunia. Dan ada pula, konon berkobar-kobar untuk membela Palestin, padahal sama seperti Trump, hanya mahu mengalihkan tumpuan. Dan yang pandai retorika juga ramai. Yang lempar batu sembunyi tangan, yang menjadi gunting dalam lipatan, yang menjadi talam dua muka juga semakin jelas kerana isu ini. Dan yang  kononnya ingin  ‘memartabatkan’ Islam dalam serpihan-serpihan kumpulan pengganas pun akan mengambil kesempatan kerana isu ini dan mereka yang kononnya memperjuangan ‘hak sejarah’ kaum Yahudi dan penyokongnya juga sama tegarnya menjadi-jadi.

Semoga huraian yang saksama dan adil melalui perundingan dan bukan bahasa peluru dan bom, akan kelak ditemui untuk daerah-daerah bergelora ini.

3. Sejak beberapa bulan ini dunia dikejutkan dengan pelbagai berita mengenai salah laku seks oleh orang-orang kenamaan dalam dunia hiburan dan lain-lain. Harvey Weinstein, penerbit besar di Hollywood bukan satu-satu nama yang berkelakuan demikian. Bahawa wanita dan ada juga lelaki boleh dimangsakan sesukanya oleh mereka yang berkuasa dan berpengaruh, mengaibkan tetapi tidak menghairankan kita. Yang mungkin mengejutkan, orang-orang begini tidak tahu makna rasa bersalah, sanggup menyogok, mengugut dan lain-lainnya untuk melenyapkan sejarah hitam mereka. Seolah-olah ia satu lakonan sahaja.

Dan kita mungkin terfikirkan mereka yang menjadi pelarian seperti kaum Rohingya. Bukan sahaja ada yang dibunuh dengan kejam, dibakar rumah mereka, malah ada wanita-wanita Rohingya dicabul berkali-kali oleh askar Myanmar. Apakah kita harus berdiam sahaja, sebagaimana Jepun tidak sebenarnya mengiktiraf kepada Korea dan banyak negara yang dijajahnya semasa Perang Dunia Kedua, bahawa mereka memaksa wanita-wanita tempatan menjadi hamba seks (comfort women) mereka?

Isu-isu begini semakin berleluasa sekarang – di Britain ada kumpulan yang dipanggil ‘grooming gang‘ yang berbuat baik dengan remaja melalui Internet dan sebagainya, dan kemudian, setelah mendapat kepercayaan mangsa, mencabuli mangsanya, selalunya dengan geng mereka.

Perkara-perkara begini akan berleluasa jika isu-isu pelarian, peperangan, pendidikan dan juga keselamatan kanak-kanak, remaja, wanita dan umum, tidak kita leraikan dengan sebaik mungkin.

4. Pada 15 November lalu, seorang sahabat karib saya menyambut hari lahirnya. Sahabat saya ini seorang yang penyayang dan baik hati serta seorang guru yang disenangi pelajar-pelajarnya. Beliau berbakat, terutama dalam bidang lakonan, walaupun bakatnya ini tidak diserlahkan. Saya dan kawan-kawan saya berasa beruntung kerana ‘Walrus’ (gelaran yang saya berikan kepadanya pada tahun 1978 dahulu) ini menjadi sahabat karib kami. Dan beliaulah orang pertama yang menggelarkan saya sebagai ‘Zookeeper’ kerana saya kerap memberi nama-nama haiwan (yang comel) kepada kawan-kawan karib saya. Saya gembira memaklumi sahabat saya ini bertambah bahagia dan tenang hidupnya.

Pada tarikh yang sama, hampir tengah malam pada 15 November 2017 itu, seorang cucu saudara saya, dilahirkan. Kelahirannya merupakan penantian yang lama oleh ibu bapanya. Saya menerima berita kelahirannya bayi lelaki ini pada 16 November lalu. Kelahirannya menggembirakan banyak pihak, terutama orang tuanya. Bapanya merupakan anak saudara saya.

Dalam hidup ini selalu macam roller coaster. Dua berita baik saya terima pada 15 dan 16 November, disisipkan juga berita menyedihkan.

Pada 16 November 2017, jiran saya Haji Md Salleh bin Md Yusof, meninggal dunia di hospital kerana penyakit barah. Allahyarham menghidap penyakit barah sejak Julai 2016. Allahyarham ditemani isterinya, Hajah Khatijah Bibi Mar bte A. Md Asanar semasa menghembuskan nafasnya yang terakhir. Saya memanggil mereka, Salleh dan Jah sahaja.

Salleh n Jah 30 July 2017Salleh n JahAllahyarham Hj Md Salleh  – lahir pada 13 Oktober 1949 dan meninggal dunia pada 16 November 2017.

[Gambar kiri, diambil pada Julai 2017 semasa majlis perkahwinan kerabat mereka di Singapura dan gambar kanan diambil pada Mac 2017, semasa mereka sempat bercuti ke Pulau Pinang]

Jiran-jiran saya ini telah 27 tahun berumah tangga tetapi tidak mempunyai zuriat. Rumah mereka sederet dengan rumah saya dan kami berjiran sejak awal tahun 90-an. Adik-beradik Khatijah, ramai yang tinggal berdekatan rumah pangsa kami, malah ada seorang yang tinggal satu blok dengan kami. Keluarga Allahyarham Salleh dan kerabatnya, yang kami panggil ‘Orang Bidai’, kerana pandai berniaga bidai, dulu menetap di Lorong H, Telok Kurau – saya dan ada saudara-saudara saya belajar agama dengan seorang jiran Allahyarham, yang dipanggil Pak Dol, suatu masa dulu. Kami dulu tinggal di Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura.

Saya tidak banyak bercakap dengan Allahyarham kerana saya segan tetapi prihatin bahawa jiran-jiran saya ini orang-orang yang menyenangkan.  Kalau bertembung pun saya hanya tersenyum atau bertanya sepatah dua; hanya apabila isterinya bersama, baru saya lebih selesa berbual dengannya. Bukan apa, Allahyarham baik orangnya dan bagaikan saudara tua kepada saya tetapi inilah cara saya berdepan dengan suami sahabat-sahabat dan jiran-jiran saya.

Allahyarham menyukai  kedua-dua kucing saya, Snowy (sudah meninggal dunia pada 21 Jun 2017) dan Ginger. Allahyarham pernah memberi saya daun misai kucing, yang ditemuinya semasa memandu teksi ke beberapa tempat di Singapura. Dan Allahyarham prihatin terhadap kerenah dan kebajikan kucing-kucing saya. Kedua-dua jiran saya tahu saya suka makan bubur masjid (bubur lambak) semasa Ramadan.  Semasa memandu dan juga tidak memandu lagi, mereka usahakan agar saya dapat memakan bubur masjid ini beberapa kali semasa bulan puasa. Dan perhatian mereka bukan sekadar pada bulan puasa sahaja – ada sahaja makanan yang mereka kongsikan dengan saya. Dan saya juga berkali  hadir dalam beberapa majlis di rumah adik-beradik Khatijah., selain rumah mereka, yang berselang satu rumah dengan rumah saya.

Satu-satu masa saya berbual lama dengan Allahyarham Salleh ialah pada awal tahun 2014. Saya diminta mengajar bahasa Melayu intensif kepada seorang mahasiswa NUS (Universiti Nasional Singapura) oleh Pusat Bahasa NUS. Masanya pagi, sekurang-kurangnya 2 kali seminggu, selama sebulan lebih. Saya sering menempah teksi untuk ke tempat-tempat jauh tapi kali ini, memandangkan masa yang diberi lebih awal, saya meminta izin kedua-dua jiran saya agar Allahyarham menghantar saya ke NUS.  Itulah masanya kami berbual panjang, bukan soal-soal peribadi, tapi soal agama dan adakalanya soal keadaan semasa.

Allahyarham jatuh sakit pada Julai 2016, sesuatu yang memeranjatkan keluarganya dan jiran-jirannya. Badannya semakin susut dan saya sering mendengar batuk-batuknya lewat malam. Khatijah mengendalikan banyak hal berkaitan penyakit suaminya, adakalanya dibantu oleh beberapa ahli keluarga – ke hospital, ke Pusat Barah Kebangsaan Singapura (NCCS) dan lain-lain. Mereka sempat juga bercuti dan menyertai majlis perkahwinan keluarga terdekat, apabila penyakit Allahyarham kelihatan mengendur. Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di hadapan isterinya, pada jam 1 lebih tengah hari, 16 November 2017 lalu.

Kita bertuah bila mendapat jiran-jiran yang baik. Rumah saya sederet dengan tiga rumah pangsa yang lain, diikuti ruang lapang dan  lif. Keempat-empat rumah ini dipisahkan dari rumah-rumah lain yang satu koridor dengan kami. Sejauh ini, dua jiran saya bukan orang-orang Melayu-Islam dan  mereka baik. Allahyarham Salleh dan Khatijah merupakan satu-satu jiran Melayu/Islam saya dalam kumpulan empat rumah pangsa sederet ini.

Jiran yang baik itu seperti saudara dan saya berasakan ini dengan pasangan Haji Salleh dan Khatijah serta keluarga berangkai mereka. Banyak yang dapat kami kongsikan – suka duka kehidupan dan hal-hal semasa dalam hidup seharian. Semasa peningkatan semula estet kami, semasa sakit pening, semasa hal-hal gembira-ria, jiran-jiran saya ada juga berkongsi masa dan resa. Dan menghadapi penyakit  dan kematian bukanlah mudah dihadapi sesiapa.

Saya doakan semoga Khatijah akan tabah menghadapi kehilangan suami yang dicintainya dan meneruskan kehidupan ini dengan tenang dan reda. Dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh suaminya,  Allahyarham Haji Salleh dan menempatkan Allahyarham di kalangan hamba-hamba pilihan-Nya. Amin. Al-Fatihah.

5. Ada beberapa orang kawan sering menghantar berita-berita melalui WhatsApp mengenai sastera di Singapura. Banyak berita yang berkocak dan kadangkala menyebabkan kita geleng-geleng kepala.

Inikan zaman canggih, lantas terdapat sebilangan orang yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menaikkan diri masing-masing, walaupun cara-cara mereka bercanggah dengan adab dan erti integriti. Ada orang bukan sekadar ‘pull strings‘ malah sanggup ‘pull cables‘ , melebihi pepatah kita, ‘angkat bakul sendiri’ untuk dianggap tokoh, jaguh dan penentu itu dan ini dalam sastera Melayu di Singapura.

Nasihat saya kepada kawan-kawan ini – biarlah, sampai bila ‘belalang-belalang’ yang menganggap diri mereka ‘helang’ ini akan berleluasa? Masyarakat tidak buta. ‘Permainan’ mereka akan dijebak juga. Dan saya yakin, masa itu jauhari sebenar, apakah karya-karya kita benar-benar baik atau sekadar dijulang orang-orang yang tiada integriti tapi menjadi ‘besar’ kerana hal-hal itu dan ini.

Akhirnya kita semua akan berdepan dengan nurani kita, selain berdepan dengan Allah. Siapa menipu, siapa tidak adil, siapa kaki ampu, siapa suka meminggir yang lain – jawablah di hadapan Pencipta, kalau nuraninya pun boleh dijualnya.

6. Seorang hero filem-filem Hindi, Shashi Kapoor meninggal dunia pada 4 Disember lalu. Bagi mereka yang membesar pada tahun-tahun 50-an sehingga awal 80-an, mungkin terkenangkan filem, lagu dan pelakon Hindi yang turut mewarnai kehidupan kita. Kematian Shashi Kapoor seolah-olah menjadi penutup hero dan heroin zaman itu.

Raj KapoorShammi KapoorShashi Kapoor

[Tiga pelakon bersaudara, dari kiri: Raj Kapoor, Shammi Kapoor dan Shashi Kapoor]

Di Singapura dahulu ada kugiran-kugiran menyanyikan lagu-lagu Hindi tapi kini kugiran sebegini, untuk memeriahkan majlis-majlis perkahwinan semakin berkurangan. Mereka yang lebih dewasa mungkin terkenang zaman silam mereka apabila mendengar lagu-lagu Hindi lama dan menonton semula filem-filem lama dan kematian Shashi Kapoor semakin mengingatkan bahawa mereka semakin menjejak ke usia senja. Tiga Kapoor bersaudara, Raj, Shammi dan Shashi Kapoor ini memang berbakat besar dan mereka mempunyai ramai peminat. Dan lagu-lagu Hindi juga sering menjadi siulan anak-anak muda pada suatu masa dan ada lagu-lagu Hindi yang disadurkan menjadi lagu-lagu Melayu, dan bukan lagu-lagu dangdut.

Untuk mereka yang berminat, saya titipkan sebuah lagu Hindi lama yang mungkin membuai kenangan anda juga:

7. Semalam (15 Disember) merupakan hari lahir ibu saudara saya, Rahijah Syed Hussein, yang saya panggil ‘Kakak’. Kami memanggil ibu saudara saya ini ‘Tweety Birrd’ kerana beliau comel, becok dan amat penyayang orangnya. Dan ada bakat menggantikan pelakon Neng Yatimah kerana mudah menitiskan air mata – macam cerita Hindustan, dalam suka dan duka kehidupan. Saya telah menulis mengenai ibu saudara saya ini dalam blog ini sebelum masukan kali ini. Biarlah saya sebutkan sekali lagi, saya bertuah mendapat ibu saudara yang saya anggap sebagai kakak saya, dalam hidup ini. Kebaikan dan keluhuran hatinya, hanya Allah yang dapat membalas sebaiknya.

Hari ini, 16 Disember, merupakan hari meninggalnya nenek saya, yang membesarkan saya dan saya panggil ‘Mak’. Sudah 26 tahun nenek saya  berpulang ke rahmatullah tetapi bagi saya, ia bagaikan memalam. Tiada kata yang mencukupi untuk menyatakan betapa saya tetap mengenangnya dan betapa saya berasa amat bertuah dibesarkan, diasuh dan disayangi oleh seorang insan seperti Allahyarhamah. Semoga Allah sahaja membalas segala jasa baik dan pengorbanannya.

Al-Fatihah untuk nenek saya, Fatimah bte Abdullah dan juga datuk saya, Syed Hussein bin Syed Mohidin Abunu serta semua ahli keluarga, jiran dan sahabat kita yang telah berpulang ke rahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka. Amin.

Bersama Nenda di Haw Par Villa, 1960 - RH ImagesBersama Kakak (Rahijah S Hussein), Haw Par Villa, 1960 RH ImagesRH Images Family 1987

[Dari kiri: Gambar saya bersama nenek dan ibu saudara saya, di Haw Par Villa pada 1960 . Dan gambar-gambar nenek dan ibu saudara saya serta tiga orang anak saudara saya yang diambil pada 1987 dan saya muatkan dalam bingkai yang terletak di meja tulis saya, di rumah saya di Brunei, semasa saya bertugas di Universiti Brunei dari Mac 1987 sehingga April 1990)

8. Semoga tahun mendatang ini akan lebih membahagiakan dan menenangkan kehidupan kita. Dan semoga kita diberi kesihatan, kesejahteraan, rezeki dan kebajikan dan  kita belajar untuk lebih reda dan bersyukur di atas apa pun yang diberi dan dinafikan kepada kita oleh Dia yang Maha Pengasih lagiMaha Penyayang. Amin.

Selamat Tahun Baharu 2018 yang menjelang.

Salam
Rasiah Halil
16 Disember 2017.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s