Archive | January 2018

Kata Mutiara: Untuk Rasa Gembira Dalam Hidup, Banyakkan Memberi

 

Quote 1quote 3quote 2

Memberi sesuatu yang baik, cantik dan bermanfaat, dituntut dalam Islam. Orang yang pemurah dikasihi Allah. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang maksudnya, tangan yang di atas (memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (penerima).

Untuk dikasihi Allah dan Rasulullah s.a.w. ,  kita perlu selalu memberi.

Mungkin timbul pertanyaan, apa yang saya hendak beri? Saya tidak punya wang yang banyak…bagaimana saya hendak memberi?

Pemberian bukan semata-mata hanya berupa wang. Jika yang dikatakan memberi itu hanya dengan wang atau harta, tentulah orang kaya sahaja yang boleh memberi. Itu tidak tepat. Sebenarnya kita dituntut menjadi seorang pemurah tidak kira kita orang kaya atau orang miskin. Tapi bagaimana?

Kita boleh memberi apa sahaja bentuk kelebihan yang ada pada kita. Boleh sahaja berupa wang ringgit, atau memberi sumbangan tenaga, atau menyampaikan ilmu dan nasihat. Andainya semua itu tidak kita miliki, kita tetap juga masih boleh memberi ……sekurang-kurangnya senyuman atau menggembirakan orang lain dengan mempamerkan wajah yang manis.

Paling tidak, kita boleh memberi sumbangan doa. Memberi dalam senyap – mendoakan orang lain tanpa pengetahuannya, yang merupakan satu pemberian yang amat mudah.

Jika ditanya, mana yang lebih menggembirakan, menerima hadiah atau memberi hadiah? Mungkin ramai yang akan menjawab menerima hadiah. Tetapi sebenarnya, keadaan tidak selalu begitu.

Tanya pada seorang ibu, apakah yang dirasainya ketika anak yang dikandungnya lahir? Dia memberi sehabis tenaga, bahkan seolah-olah memberi nyawa ketika melahirkan anaknya. Sebaik sahaja tangisan anak bergema, hati ibulah yang paling gembira.

Tanyakan pada seorang ayah, apakah yang dirasainya ketika memberi hadiah kepada anaknya yang berjaya? Ya, anak yang menerima hadiah itu tentu berasa gembira, tetapi hati ayah yang memberinya lebih-lebih lagi gembira.

Rupa-rupanya memberi akan menggembirakan jika pemberian itu dilakukan dengan rasa kasih sayang. Dengan memberi, hati akan gembira. Syaratnya, pemberian itu hendaklah disertai dengan kasih sayang.

Jadi sekiranya kita dalam keadaan bersedih atau tertekan, carilah seseorang dan berilah sesuatu kepadanya walau sekadar sekuntum senyuman. Nescaya hati kita akan kembali gembira. Insya-Allah!

Daripada buku: Nota Fikir Untuk Zikir, tulisan Pahrol Mohamad Juoi, Selangor: Galeri Ilmu Sdn Bhd, 2015, halaman 192 – 194.

 

Advertisements

6 Kuntum Sajak : ‘Kehilangan’, ‘Mambang’, ‘Hablur’, ‘Zarah(ii)’, ‘Kasih Yang Lain(ii)’ dan ‘Masih’

Kehilangan
(Mengenang Ustaz Syed Abdillah Aljufri,
Lahir: 2 Mac 1938 dan Meninggal Dunia: 4 Januari 2003)

Bak embun segar
secercah kesopanan
segugus kelembutan
selautan ilmu & kebijaksanaan
kauobori sekitar
berpelitakan hadis, al-Quran,
merawat jiwa-jiwa tegar
menambat hati-hati terbiar
mengukuh sendi-sendi perjuangan
mendamaikan sebuah pencarian
& dengan hikmah mendidik manusia
agar tabah, reda,
menjadi hamba-Nya.

Bakti yang kautabur
ilmu yang kauanjur
peribadimu nan santun
menjadi kenangan, kayu ukur,
kami yang masih bertatih
sebak oleh kehilangan tiba-tiba ini
meniti jalan lurus nan panjang
ke haribaan Ilahi.

Ditulis: 4 – 7 Januari 2003
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Mambang

Mambang itu menjadi raja
bertakhta di Kayangan
berlegar di ufuk
dibauri mitos, legenda, kenyataan
begitu raksasa
begitu maksum
katanya menjadi fakta
kisahnya menjadi iktibar
seindahnya, selengkapnya
sehingga Kayangan alias Bumi bersetuju
bertuahnya dihuni Mambang itu.

Di sebuah daerah nun jauh
seorang alim berfirasat
gambaran nan hebat:
Mambang selamanya berkuasa
afrit mengawal negara
mondok bertukar kancil
sungai tohor, padang tekukur
mengalir deras, menghijau
tanah bertuah, penghuni teruja
tiada tolok bandingannya
& tanpa sedar
betapa sehasta demi sehasta
terhakis ihsan, ikhlas
di daerah umpama Inderaloka.

Ahli Nujum & Nenek Kebayan
Si Kembang Cina & Bujang Selamat
dipaksa mencipta mitos –
Mambang = pejuang = Ratu Adil
diulang & dicanang
merata daerah
agar lahir mambang-mambang baharu
besarnya ditiup, kempisnya melalut
di sebuah daerah nan terpencil
bila nurani menipis.

Ditulis: 21 Mac 2016
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Hablur

Dalam siraman sepi, duka
Kausulingkan air
agar selamat, bersih
mampu terus mengalir
berkongsi nikmat
kepada makhluk, sekitar
daripada jernihnya yang bermanfaat.

Proses penyulingan nan panjang
berliku, pedih, menggusarkan
seolah-olah Kau mengenyah
kiranya tarbiah
agar lebih jernih, bermakna
agar lebih menghargai
nilai titik & limpahan air
yang Kautitipkan tanpa henti.

Ditulis: 12 Julai 2017
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Zarah (ii)

Yang kelihatan kecil
bagai tiada bermakna
betapa besar di sisi-Nya
bila ikhlas menanjap
mekar dalam tindak
menghias akhlak.

Yang diagung-agungkan
belum tentu manikam
yang dipinggir-pinggirkan
belum pasti kaca
ditarik, dilepas
berpusar pada paksi-Nya.

Sekadar zarah
melintas sebentar
dalam keluasan mayapada.

Ditulis: 12 Julai 2017
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Gingerku RH Images

Kasih Yang Lain (ii)
(Untuk Ginger – setelah disahkan sakit yang ditanggungnya*)

Melihat kau semakin senyap
menahan sakit, keletihan
tika organ-organ dalamanmu mulai gagal
aku dilibas duka, keterbatasan
mengenang deritamu
& masa-masa yang semakin singkat.

Yang bertaut ini bukan sekadar kelumrahan
tanggungjawab
kebajikan
tapi kasih yang lebih 17 tahun disemai
melihat kau & Snowy besar, manja
nakal, merajuk, pelbagai tingkah
meriuhi keriangan rumah kita.

Betapa nanti akan kukenang
kau sedia mengejutku semasa sahur
sedia menemaniku semasa solat
biar pagi suntuk, larut malam
& sedia seolah melindungi kami
daripada orang, anasir yang kausangsi
& sedia memanjat, menjenguk tingkap
memastikan tiada gangguan
& kita selamat.

Engkaukah yang menghadiahkanku burung,
cicak, serangga, bagai mengisytiharkan piala
atau sukar duduk diam bila serangga berterbangan,
cicak melintas, semut menjelma, burung bercicip
& bahagia bersama pokok-pokok di koridor
riang dahulu bermain & mengusik Snowy
& di setiap ceruk rumah ini
ada tempat istimewa untuk tidur, bersembunyi.

Melihat kau semakin lemah
& memerlukan perhatian lebih saksama
hiba hatiku disalut doa –
semoga Allah mengurangkan sakitmu
semoga Allah memudahkan segala
semoga kita sentiasa tabah, reda.

Apalah kasih
kalau bukan menyayangi, melepaskan
demi kebaikan
demi kesejahteraan
ikhlas untuk yang dikasihi
kerana Dia yang Maha Penyayang
memberi & mengambil kembali
untuk kelak kita bersama
di kampung abadi.

Ditulis: 3 Oktober 2017 – 24 Januari 2018
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

[*Ginger masih hidup hingga ke hari ini tetapi uzur. Pada 3 Oktober setelah pemeriksaan rapi yang kedua, doktor haiwannya memberitahu, tiada apa lagi yang dapat dilakukan untuknya kerana kalau Ginger dibedah dan lain-lain, akan lebih memudaratkannya. Saya hanya dapat memberinya ubat yang diambilnya setiap hari sejak 2010 untuk pankreasnya dan menyuntiknya dengan cairan, 2 atau 3 kali seminggu sejak September 2017.

Sajak ini ditulis apabila saya menerima pengesahan doktor haiwan bahawa tiada penawar untuk sakit Ginger, kecuali mengurangkan sakitnya sedikit dan menerima hakikat, masanya bersama saya semakin singkat. Sajak ini hanya dapat saya sempurnakan sepenuhnya semalam,  pada 24 Januari 2018.

Saya menjelaskan ini kerana ada beberapa orang menulis/menelefon dan seolah-olah berfikir Ginger telah tiada. Dia uzur dan tiada penyembuhnya. Terima kasih di atas perhatian anda yang menulis/menelefon mengenai hal ini. Semoga Allah meringankan derita yang ditanggung kucing saya, Ginger. Amin.]

Snowyku RH Images

Masih

Masih terbayang
kau berdua bersenda, berkerenah
meriang, merencamkan suasana
& betapa tali-temali nasib
menyimpul kesedihan, keterikatan
kasih, tanggungjawab, ihsan
sekadar sejengkal
berbanding limpahan-Nya yang tiada terbatas.

Andai kau masih hidup
betapa akan kita raikankan hari lahirmu
ikan rebus, ayam goreng, keju
pemberian nan secebis
tidak setimpal apa yang sempat kaukongsi –
bahawa yang lumpuh hanyalah kakimu
yang sempurna melebihi itu
kerana kasih yang diberi tanpa syarat
ikhlas, ihsan, syukur, reda
sebenarnya adalah hadiahmu, Snowy
daripada Dia yang Maha Mengasihani.

Ditulis: 3 – 24 Januari 2018
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Perlunya Pelapis Ulama Berilmu Dan Berhikmah Bagi Mengisi Kekosongan (Tajuk Asal: ‘Kesan Sebuah Kehilangan’ Ditulis Pada Januari 2003)

Ada di kalangan yang kita masih berlinangan air mata setiap kali kita bercakap atau terkenang seorang ahli agama yang dikasihi, yang pulang ke rahmatullah pada 4 Januari lalu. Kesedihan, rasa terperanjat dan kehilangan ini mencengkam kita kerana kita sedia maklum akan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Islam sama ada di Singapura mahupun di seluruh dunia.

Dan kesedihan kita bertambah mengenangkan 10 tahun kebelakangan ini kita kehilangan orang-orang yang arif dalam bidang agama misalnya Ustaz Sidi Rashid, Ustaz Kamil dan Taha Suheimi, Prof. Ahmad Ibrahim (berasal dari Singapura), Habib Omar (Singapura), Ustaz Babu Sahib dan kini, Ustaz Syed Abdillah Aljufri. Kesemua mereka dan mungkin beberapa orang yang lain yang tidak disebutkan di sini, amat berjasa semasa hayat mereka kepada masyarakat kita. Dalam kegelapan, mereka menghidupkan syiar Islam, mengenalkan kita kepada Allah dan Rasul s.a.w. dan tata tertib agama untuk kesejahteraan dunia dan akhirat kita. Kita memang banyak terhutang budi kepada mereka kerana tunjuk ajar mereka yang santun, menyentuh hati kita.

Setiap kita melalui pelbagai tahap dalam perjalanan menuju ke akhirat. Ada yang tersadung di tengah-tengah jalan, ada yang meluru, ada pula jeda seketika kerana halangan-halangan yang dihadapinya. Tetapi jiwa manusia yang fitrah selalu mencari Penciptanya walaupun jalan-jalan yang dilaluinya mungkin berliku-liku. Sikap semula jadi yang baik dan asas yang teguh selalunya memungkinkan seseorang itu kembali semula ke paksi kehidupan beragamanya, walaupun dia pernah membuat langkah-langkah yang silap dan salah.

Ini berbeza dengan orang yang jiwanya tidak didedahkan dengan nilai-nilai murni dan kebaikan; agama itu menjadi penghalang atau sekadar latihan ilmiah sahaja yang tidak ada hubungan langsung dengan kehidupan kecuali semasa benikah, kematian, dan satu dua perkara lain. Perkara-perkara asas dalam agama Islam misalnya bersembahyang, berpuasa, berzakat, serta hukum hakam yang jelas mengenai makanan, minuman dan pergaulan tidak pula diambil berat. Agama seakan dipinggirkan.

Tetapi tugas menyampaikan pengajaran agama ini bukanlah perkara yang mudah. Seperti guru sekular, ada guru hanya menyampaikan fakta, ada pandai mendekati kita tapi tak ada fakta yang dikongsi bersama dan ada pula menyentuh hati dan fikiran kita dengan penyampaiannya. Didekati pelajar dan bahan pengajarannya dengan penuh hikmah kerana tugas ini dilakukan bukan untuk menempa nama, mencari wang atau dianggap orang baik. Kalau kebetulan perkara-perkara tersebut diterimanya, dia menganggap itu sekadar pemberian Allah yang tak lekang daripada ujian-Nya. Yang penting, pengajaran agama itu disampaikan dengan hikmah, menunjukkan dengan santun keindahan Islam sebagai addin, tanpa mencemuh, menjatuhkan air muka atau bersikap dwitara dalam menjalankan tugas dan kehidupannya.

Guru yang berhikmah itu selalu menyentuh hati kita kerana walaupun kita mungkin belum boleh mengamalkan semua pengajarannya tetapi dia tidak memandang rendah terhadap kita atau menghina kita secara langsung atau pun sebaliknya, malah dia sentiasa berharapan kita akan bertambah baik kerana yakin akan hidayat Allah dan potensi kebaikan yang Allah berikan kepada manusia. Malah guru begini, melihat anak muridnya yang belum seluruhnya menutup aurat misalnya, tetap memberi senyuman, mengangguk atau bertegur sapa semasa bertembung atau di khalayak ramai.  Perilakunya yang lembut, sopan dan berhikmah semasa mengajar atau di luar pengajaran inilah yang sering melunakkan hati kita kepada keindahan dan kebaikan Islam kerana dialah di antara beberapa orang yang memberi gambaran keindahan itu, yang terdekat, bagi sesetengah kita.

Ada kawan-kawan Sri yang amat terharu akan pemergian Ustaz Syed Abdillah kerana hal-hal yang disebutkan di atas. Ada teringat, Allahyarham pernah mengajarnya di sekolah menengah. Ada yang pernah menuntut dengan Allahyarham sejak tahun 70-an di beberapa tempat. Ada yang pernah mengenali Allahyarham sebagai ahli jawatankuasa dan lain-lain. Antara yang paling terharu ialah mereka yang banyak berdepan dengan orang-orang yang kononnya beretika tetapi bersikap dwitara dan kasar,  menjejas teruk kehidupan kawan-kawan Sri ini, tetapi kerana mereka mempunyai asas agama dan juga hidayat Allah serta pencarian mereka, akhirnya semacam keseimbangan mereka temui kembali dalam kelas-kelas Ustaz Syed Abdillah. Mereka terharu kerana yang membimbing telah tiada.

Tetapi Allah Maha Mengasihani hamba-hamba-Nya. Pasti ada golongan pelapis yang sama berhikmah dalam menyampaikan agama kita yang suci dan indah ini. Di tengah-tengah pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat di sini, insan seperti Allahyarham Ustaz Syed Abdillah, Ustaz Babu Shahib dan lain-lain kita perlukan wujud di kalangan kita. Tanpa orang-orang yang berilmu dan berhikmah dalam bidang agama, masyarakat kita akan semakin terumbang-ambing dipukul badai cabaran dan dugaan.

Terdapat pelbagai golongan yang kini muncul sebagai golongan yang konon memperjuangkan Islam walaupun landasan mereka boleh diragukan. Ada yang memperjuangkan hak-hak wanita Islam tetapi mengetahui lebih lanjut, kita yang memiliki pengetahuan asas agama pun berasa ragu. Demikian juga munculnya golongan yang menganggap hanya al-Quran sah dipegang dan menyingkirkan hadis, lebih hebat mulai tahun-tahun 80-an/90-an. Berdepan dengan ini dan pelbagai cabaran lain, jawapannya bukanlah menyuguhi masyarakat kita dengan acara agama bertaraf selebriti tetapi tetapi lakaran langkah-langkah susulan untuk mewujudkan ulama seumpama Ustaz Syed Abdillah, Ustaz Babu Sahib dan lain-lain di kalangan segelintir masyarakat kita.

Obor Islam harus kita hidupkan terus kerana jika tidak, golongan-golongan yang diragui akan merebutnya.

Ditulis: 9 Januari 2003
Tajuk Asal: Kesan Sebuah Kehilangan
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 12 Januari 2003
Tulisan: Rasiah Halil.

Membaca Buka Ruang Luas Dalam Kehidupan

Di Bawah Lindungan KaabahTenggelamnya Kapal Van Der WijckSalah Asuhan

PerburuanRindu Hilang Di Tapak TanganSayang Ustazah Sayang

Buku apa yang anda baru baca? Ada orang gemar membaca, bukan hanya buku malah akhbar dan majalah. Buku atau karya bertulis ini menjadi santapan rohani mereka – kalau sehari tidak membaca akhbar misalnya, rasanya ‘boleh mati’.

Francis Bacon berkata, pembacaan membina manusia sementara Henry Thoreau pula mencatatkan: ‘A written word is the choicest of relics. It is something at once more intimate with us and more universal than any other work of art. It is a work of art nearest to life itself.’ Ramai orang yang mungkin tidak berpeluang mendapat pelajaran tinggi tetapi kerana pembacaan yang meluas, mereka lebih berpengetahuan daripada sebilangan orang yang berpelajaran tinggi. Membaca boleh menjadi suatu hobi tetapi bagi sesetengah orang, ia bagaikan sumbu yang memberi cahaya pada pelita hidup mereka.

Anda mungkin pernah mendengar rangkai kata yang berbunyi: ‘dia tak ada baca’, yang bukan  bermaksud dia tidak membaca sahaja tetapi lebih menjurus kepada dia tidak beradab atau berbudaya. Ini kerana adanya anggapan bahawa orang yang banyak membaca seharusnya dapat menyaring nilai-nilai yang baik, lantas lebih beradab. Dan ini mungkin sesuai dengan keadaan kita kini – ledakan informasi membuat sebilangan kita tahu membaca, malah dapat menimba banyak ilmu tapi mungkin tidak membuat kita lebih beradab atau berbudaya.  Contohnya, satu masa dulu, lulusan ‘Senior Cambridge’ sahaja pembacaannya sudah meluas, tapi kini anak-anak kita berkelulusan lebih daripada itu, namun jaringan pembacaannya agak terbatas. Yang mereka baca mungkin kebanyakannya buku-buku teks dan mereka lebih gemar melungsuri komputer daripada membaca buku seperti yang sedia ada.

Apa kenangan anda dalam soal pembacaan ini? Ada orang sanggup mengumpul duit untuk membeli buku dan ada juga mewujudkan semacam kelab buku untuk bertukar-tukar buku dengan rakan sebaya dan kerabat, satu zaman dahulu. Sri ingat mengumpul duit jajan untuk membeli buku-buku Melayu dan Indonesia di kedai buku Haji Hashim dan Toko Wijaya di Geylang Serai. Kerana kerap ke sana sejak akhir tahun-tahun 60-an dahulu, sampai tuan punya dan jurujual kedua-dua kedai buku itu mengenali Sri.

Andakah seperti Sri melalui tahap-tahap ‘kegilaan’ dalam pembacaan? Suatu masa dahulu Sri ‘gilakan’ buku-buku Indonesia , zaman Balai Pustaka dan Pujangga Baru. Jadi banyaklah buku-buku zaman tersebut Sri beli atau pinjam. Betapa menyayat hati membaca Apa Dayaku Kerana Aku Perempuan oleh Nur Sutan Iskandar, berasa konflik Timur-Barat dalam Salah Asuhan, tenggelam dalam dunia Hamka dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan lain-lain, terguris dan tersentuh membaca Perburuan, Keluarga Gerilya tulisan Pramoedya atau terbawa-bawa keindahan bahasa dan idea-idea daripada puisi-puisi Amir Hamzah dan Chairil Anwar. Atau mungkin anda seperti Sri ‘hanyut’ dalam cerita-cerita remaja tulisan Salmi Manja, Khadijah Hashim dan amat terharu mengetahui mengenai perang dan akibatnya melalui Salina, Sungai Mengalir Lesu dan cerita-cerita seumpama itu.

Buku-buku berbahasa Inggeris juga Sri percaya amat mempengaruhi kita dalam usia remaja itu. Ini juga melalui fasa-fasanya dari cerita biasa sehinga cerita-cerita asmaradana, cereka sains, cerita detektif, kisah paranormal. Dari zaman Enid Blyton sehingga Denise Robbins, dari Alice in Wonderland, Great Expectations sehingga The Old Man and the Sea, Dr Zhivago, Midaq Alley dan lain-lain. Buku membuka ruang yang luas dalam kehidupan kita dan kita menyelami berbagai-bagai pengalaman dan pengetahuan serta ada kata-kata daripada buku yang sukar kita lupakan. Sesiapa yang pernah membaca karya-karya Shakespeare misalnya, sukar melupakan kata-katanya yang kadangkala amat tepat bagi satu-satu keadaan, lantas mudah kita menghafalnya. Demikian juga jika kita suka membaca buku-buku agama, sama ada tafsiran al-Quran, hadis-hadis Nabi s.a.w. ataupun buku-buku yang membincangkan dengan mendalam hal-hal keagamaan daripada sudut fiqh, tauhid dan tasawuf.

Membaca itu banyak faedahnya dan pengaruhnya timbul kadangkala dalam keadaan-keadaan yang tidak disangka-sangka. Lama setelah anda membaca Hikayat Panji Semirang misalnya, pada ketika-ketika tertentu, ada tindakan manusia membuat anda teringatkan Raden Galuh Ajeng atau Raden Galuh Cendera Kirana ataupun Raden Inu Kertapati. Atau sesekali anda terkenangkan seorang Salina mahupun Anna Karenina dan Madame Bovary. Dan sesekali anda ingin pula menjadi seperti Shahrezad, memukau manusia dengan cerita-ceritanya dalam Hikayat Seribu Satu Malam atau menjadi sepintar Minke menunjangkan jati dirinya dalam Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca.

 Orang yang suka membaca selalu menghidupkan jiwanya. Kata orang dulu-dulu, orang yang gemar membaca al-Quran, jarang nyanyuk. Bila kita ketepikan duit untuk menghias rumah dan membeli barang-barang mewah, fikir-fikirkanlah hal pembacaan ini. Mengadakan buku-buku dan majalah-majalah yang baik untuk keluarga kita bukannya mahal, tetapi kesannya besar. Tanpa pemupukan ‘perkakasan’ (hardware) begini tiada ‘perisian’ (software) baik yang akan timbul.

Seperti kata seorang kawan Sri – dia mahu melihat orang-orang kita membaca buku semasa dalam MRT dan bas, sebagaimana dilihatnya di Jepun. Mungkin ini bukanlah impian yang sukar dicapai kalau kita memulakan langkahnya sekarang.

Ditulis: 26 Januari 2000
Tajuk Asal: Nilai Pembacaan
Tersiar: Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu (Singapura), pada 30 Januari 2000
Tulisan: Rasiah Halil.

Bila Keselesaan Membunuh Kreativiti

Mukadimah

Apakah penulis ditakdirkan ‘menderita’ untuk melahirkan karyanya? Dan apakah kesele-saan itu boleh membunuh kreativitinya? Atau, sebagai penulis, dia tidak harus mempu-nyai cita-cita tinggi untuk mengecap nikmat kehidupan, tetapi bagaikan watak tragik dalam drama, dia harus menanggung beban derita demi panggilan seninya?

Tiada siapa akan menyangkal bahawa keselesaan yang asas itu dapat membantu kemun-culan kreativiti penulis. Kalau penulis atau seniman mengalami terlalu banyak kesukaran dalam kehidupannya, besar kemungkinan dia tiada masa atau tenaga untuk membuat kerja seninya. Sebaliknya, terdapat juga penulis, misalnya William Shakespeare, Chairil Anwar, Charles Dickens, Fyodor Dostoevsky, malah ramai lagi yang mengalami masa-lah-masalah kewangan dan peribadi, tetapi tetap dapat melahirkan karya-karya besar.

Kisah Seorang Pensyarah

Seorang pensyarah universiti di luar negara pernah berkata dia tidak lagi dapat menulis secara kreatif. Pensyarah itu pernah menulis cerpen, esei, dan ada juga menulis puisi. Tetapi roda-roda kehidupannya telah membuatnya lebih tertumpu kepada kerja-kerja pentadbiran dan pengajaran sahaja. Daya kreativiti yang dimilikinya seakan-akan padam berdepan dengan pelbagai tuntutan kehidupannya. Kesimpulan yang dia buat: mungkin hidupnya kini terlalu selesa dan sumbu kreativitinya padam dengan keselesaan begini.

Sebenarnya setiap penulis atau seniman seharusnya ada sedikit rasa tidak selesa dalam kehidupannya. Ini bukan bermakna dia tidak tahu konsep bersyukur di atas segala yang dilimpahi Allah kepadanya. Tetapi kerana dia penulis, dia tidak harus dibuai keselesaan apa pun sehingga derianya ditumpulkan atau dia hanya pandai bersuara bagai telah tercipta syurga dunia dalam masyarakat, negara, atau dunianya.

‘Hidup Di Tubir Ketika’

Perasaan tidak selesanya, kadangkala disebut sebagai ‘living on the edge’ (hidup di tubir ketika) ini boleh merangsangnya untuk bertanya, menyoal, meneroka, mengkaji, dan menelusuri kejadian-kejadian yang berlaku di sekitar-nya. Sebaliknya, seseorang yang berasa segala-segala telah cukup sempurna di sekitarnya atau dia sendiri telah mencapai tahap tertinggi dalam bidang seninya, akan tidak terasa terpanggil untuk memberi 100 peratus dalam bidang tumpuannya, sebagaimana keghaira-hannya semasa mula-mula menulis dahulu. Yang berlaku ialah semacam suatu rutin dalam bidang seninya. Dan kerutinan ini boleh menghambarkan dan melahirkan karya-karya yang tidak segar dan mendalam.

Kisah Pak Arena Wati

Arena Wati adalah contoh yang baik bagaimana sumbu kreativitinya tidak kunjung padam. Hidupnya sederhana sahaja, berbanding sejumlah penulis lain yang agak berada. Tetapi bak kata Pak Arena, beliau tidak pernah menggadai harga dirinya dalam dunia seni mahupun kehidupan, demi mendapatkan keselesaan hidup. Kesederhanaan hidupnya, selain kejujuran dan keterampilannya dalam bidang penulisan serta kedalaman lautan seni yang beliau selami, menjadikan bidang seni belum lagi ditinggalkannya, walaupun telah mencecah usia lebih 80 tahun (*pada tahun 2006 semasa esei ini ditulis). Dan karya-karya baharunya yang dihasilkan tetap segar dan berisi sebagaimana karya-karya yang ditulis pada usia yang lebih muda. Walaupun beliau telah diberi beberapa anugerah dalam bidang penulisan, pencapaian-pencapaian itu dianggap sekadar suatu perjalanan seninya, bukan puncak terakhir pencapaiannya. Lantas tidak hairanlah beliau tidak terlalu selesa dengan anugerah-anugerah tadi, tetapi memacu dirinya untuk tetap berkarya kreatif sehingga kini.

Keselesaan Yang Melekakan

Kadangkala keselesaan itu datang dalam pelbagai bentuk sehingga melekakan sang penulis. Selain pekerjaan dan tuntutan kekeluargaan, ada juga penulis dan seniman yang mula menghimpun harta, dan sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkannya, lantas bagaimana sumbu kreativitinya akan terus menyala?

Atau dia sibuk menempa nama, mahu dikenal sebagai ‘pakar’ itu dan ini, sehingga hasil seninya hanya hambar belaka. Tumpuannya yang mula ‘melencong’ dari melakukan kerja-kerja seni yang sebaiknya bertukar kepada kerja seni ‘asal boleh saja, sebab aku mahu nama’, akhirnya menjerumuskannya. Dan kerana mahu yang selesa (atau yang super selesa) dalam kehidupannya, ketidak-jujuran seninya mula menyelinap, dan ini akhirnya dapat kita temui dalam karya-karyanya. Perkara-perkara sebegini amat jelas apabila seseorang mengkaji dengan mendalam karya-karya yang dilahirkan penulis-penulis sebegini; kerana nilai kreativiti penulis-penulis ini semakin menipis dengan ‘kelencongan-kelencongan’ yang dilakukannya.

Kisah Ernest Hemingway

Keselesaan hidup, kalau ia menjadi tujuan akhir seniman, boleh membunuh kreativitinya kerana rangsangan seninya tidak lagi diminyaki kejujuran seninya. Sekadar contoh, Ernest Hemingway, yang hidup selesa, diberi Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan pada 1953, dianggap sebagai salah seorang tokoh terpenting kesusasteraan Amerika, membu-nuh dirinya pada 1961. Selain masalah peribadi, Hemingway terasa gesaan seninya menurun pada tahun-tahun terakhir kehidupannya. Ini berbeza dengan zaman awalnya sebagai wartawan yang terlibat sebagai koresponden perang, atau ketika dia tinggal di Paris dan tergolong di dalam kumpulan ‘The Lost Generation’. Seandainya kehidupan-nya masih lagi ‘di tubir ketika’ sebagaimana zaman-zaman awalnya, mungkin sumbu kreativitinya tidak semakin malap dan diakhiri dengan ledakan pistol.

Penulis boleh sahaja secara lahiriah hidup selesa tetapi keselesaan tadi tidak bertakhta di hatinya. Ada atau tiadanya keselesaan tadi tidak menjejas tumpuannya, kalau demikian-lah komitmennya pada bidang seninya. Dia mungkin sahaja sewaktu-waktu mengalami semacam ‘mental block’ dan sukar menulis, tetapi naluri seninya tetap akan mahu hidup walaupun sekadar sepercik bunga api, yang akan bersemarak bila ilhamnya tiba nanti. Tetapi tentulah ada perbezaan di antara ‘mental block’ yang dialami penulis kerana sebab-sebab psikologi, kurangnya rangsangan dan sebagainya, berbanding dengan semacam sekatan kerana penulis tadi terlalu ‘tepu’ (saturated) dilekakan hal-hal yang antitesis bagi naluri kesenian.

Kisah Peter Nazareth

Sekadar contoh, kita perhatikan kehidupan Peter Nazareth, seorang penulis novel, cerpen, drama, esei, kritikan dan lain-lain dan juga seorang profesor di Jabatan Inggeris dan Pengajian Afrika-Amerika di Universiti Iowa, Amerika Syarikat. Peter berasal dari Uganda; pada 1972 General Idi Amin ‘membuang negeri’ semua rakyat Uganda yang bukan keturunan Afrika. Peter Nazareth dibenarkan tinggal terus di Uganda kerana dia bekerja sebagai Pegawai Kewangan Kanan, Kementerian Kewangan Uganda. Beliau memilih untuk meninggalkan Uganda pada 1973 kerana telah menyaksikan sendiri segala kehuru-haraan polisi Idi Amin, dengan menerima sebuah fellowship dari Universiti Yale. Walaupun terpaksa berdepan dengan beberapa masalah pada mulanya, kehidupannya sekeluarga agak selesa juga. Tetapi keselesaan ini hanya di luar sahaja. Beliau tidak pernah memutuskan dirinya daripada mendalami terus sastera di Afrika, malah kebanyakan negara-negara Dunia Ketiga dalam pengajaran, pengkajian, serta penulisannya dan segala ketidak-selesaan yang bersangkutan dengan tumpuan minatnya itu.

Ketidakselesaannya bergema bertahun-tahun lamanya; salah satunya ialah semacam ‘demam’ dan ‘igauan’ yang benar-benar dialami berminggu-minggu lamanya sehingga terlahirnya novel The General Is Up (terbit 1991 di Canada) mengenai Uganda. Dalam seminggu setelah novel itu diselesaikan, Peter Nazareth mendapat tahu Idi Amin baru digulingkan. Ketidakselesaannya terhadap apa pun bentuk penganiayaan telah membawa Peter Nazareth ke pelbagai benua sastera dan masyarakat lainnya, sebagaimana pengajarannya  mengenai pengaruh Elvis Presley dalam budaya Amerika dan dunia, mengenalkannya kepada jambatan-jambatan baharu kemanusiaan bersama kita.

Sehingga kini semacam rasa tidak selesa itu tetap meruangi dirinya, walaupun dia dianggap tokoh dan terkenal kerana kritikan-kritikannya yang bernas dalam dunia sastera. Dan kerana rasa tidak selesa inilah sumbu kreativiti Peter Nazareth tidak pernah padam, malah semakin menyala pada usia 66 tahun (pada tahun 2006 semasa esei ini ditulis), diperkayakan oleh pelbagai lagi kesusasteraan dunia yang dikenalinya.

Akhir Kalam

Seandainya seorang penulis atau seniman itu menjadi terlalu selesa, menganggap dirinya bagaikan ‘mercu tanda’ dalam masyarakatnya atau selesa dalam kerangka ‘establishment’ atau ‘status-quo’nya  atau tiada lagi berasa tidak selesa di hatinya melihat segala apa yang berlaku di sekitarnya, besar kemungkinan dia telah sampai ke tahap ‘inertia’ sebagaimana berlaku dalam bidang Fizik. Dia tidak akan ada ‘momentum’ untuk bergerak seterusnya, atau kalaupun bergerak, karya-karyanya tidak lagi mengesankan kita. Ini tidak bermakna seseorang penulis itu tidak akan berasa tenang; dia tetap berasa tenang, malah bersyukur kepada Allah di atas segala pemberian-Nya, tetapi kesyukuran itu tidak pula bermakna pancaran-pancaran penderitaan, kegirangan atau keresahan manusia itu tidak lagi didengarinya.

Seorang Jalaluddin Rumi boleh sahaja melahirkan Mathnawi dan Divan Shamsi Tabriznya atau Hamzah Fansuri melahirkan syair-syair berunsur tasawufnya dalam seluruh ketenangan jiwa mereka tetapi gesaan awal penulisan mereka itu tentulah rasa tidak selesa yang berlaku dalam diri atau masyarakat zaman mereka sebagaimana berlaku pada Jalaluddin Rumi di Anatolia dan negera-negera berbahasa Parsi dan Hamzah Fansuri di Aceh, Indonesia, dahulu.

Demikian juga bagi penulis pada Abad ke-21.

Ditulis: 12 Julai 2006
Tajuk Yang Tersiar: Berlainan sedikit daripada apa yang saya diberi dan disiarkan dalam 2 siri berlainan tajuk. Saya terlupa tajuk-tajuk yang tersiar sebab tersimpan di beberapa tempat.
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada Julai/Ogos 2006.
Tulisan: Rasiah Halil.

Balada Hilang Peta (1991) Tulisan A. Samad Said

Buku Balada Hilang Peta Pak SamadBuku Puisi Terjemahan Pak Samad

Gambar Pak SamadPengenalan

Balada Hilang Peta, buku puisi terbaru Sasterawan Negara, Pak A. Samad Said, memuatkan 23 kuntum puisi yang ditulis pada tahun-tahun 80-an. Puisi-puisi ini banyak bertemakan kehilangan, nostalgia, kemasyarakatan, falsafah dan juga renungan kehidupan. Pak Samad telah membawa kita ke sebuah alam yang membolehkan kenangan, hati nurani dan kepekaannya terhadap sesuatu peristiwa ataupun kejadian memantulkan percikan sayu, pedih dan aneh kepada kita.

Menurut Pak Samad, (hal. ix), ‘tanpa kekacauan, tanpa rasa gundah, tanpa kesengsaraan, karya seni tidak menjadi’. Dan seniman yang sejati akan berupaya mengadun kesengsaraan yang dialaminya menjadi mutiara seni. Menurut beliau lagi, ‘kesengsaraan atau kekacauan itu sebenarnya adalah proses pengwarasan kita terhadap kata-kata, terhadap suara-suara, terhadap peristiwa-peristiwa dan terhadap fakta-fakta’ (hal.ix). Dalam keinginan beliau ‘menyanggah dan menguji’ kata, suara, peristiwa dan fakta, lahirlah buku puisi Balada Hilang Peta.

Ulasan Ringkas Puisi-Puisi Balada Hilang Peta A.Samad Said

Sebahagian besar puisi dalam buku ini berkisar kepada tema cintakan tanah air dan kemasyarakatan. Ada sembilu pedih yang gemersik dalam penglahiran puisi-puisi demikian. Pak Samad seolah-seolah mengambil pendekatan ‘orang tua’ yang resah dan nostalgia akan perlakuan semasa. Antara harapannya yang padu dan menjulang dan kenyataan yang terbentang, terluahlah kepedihan dan kadangkala kelukaannya yang mendalam. Saya nukil:

Tanah air ini terlalu indah untuk ditirani
oleh rasa terlalu cemburu, atau, lebih sedih,
oleh dendam dangkal tuju tanpa teraju
atau cakap-cakap gunung, isinya lembah sampah.

(‘Jerkah Setinggan 72’, hal. 1)

Dalam puisi ‘Kenyit’, Pak Samad ingin menaruh harapan yang besar kepada pemimpin dan rakyat Malaysia agar sama-sama mengecapi nikmat merdeka:

Di tengah silang viaduct, kepalsuan
atasi kebenaran memang tidak direla.
Awan seminggu tak mungkin di kepala,
gagak semaghrib tak mesti sekawan, tapi
ingin dilihatnya negara ini luhur.
Rakyat, pemimpin sama-sama makmur.

(‘Kenyit’, hal. 4)

‘Dialog Antara Jamban Setinggan’ pula bukan sekadar suatu tajuk yang aneh, malah mengkedepankan beberapa persoalan semasa yang dibicarakan dalam bahasa slanga oleh Mar dan Hain (Mar + Hain = Marhaen—golongan bawahan). Ada kemarahan yang turut kita rasakan semasa mengikuti dialog mereka:

Ya,ya, okey!
Salam tedung sengat merintak
sekali enta, sekali gua, kita jerkah:
terima kasih bekas pemimpin, bila
papa negara, masih boleh warismu berpesta
di Taipei, Zurich atau di Kuala,
kami tetap setinggan luka. Okey, Hain?

………………………………………………………………..

Dan, jangan terlupa cakari
semua hakisan dan piutang negara.
Gali sumber pemimpin cepat berharta;
bandingi gaji dengan bah sahamnya;
warasi saku dengan hartanahnya;
dengan dakwat darah bangsa, kemudian catati
nyaring siapa penghutang, penyonglap dan
siapa generasi pembayar masa depannya?

(‘Dialog Antara Jamban Setinggan’, hal. 20)

Sengsaranya Pak A. Samad Said jelas tergambar apabila memerhatikan masyarakatnya semakin dikucari keadaan yang berlingkar. Jelas beliau:

Kita sekarang sedang
didesak ke tengah
dendam gelegak,
sedang disiku
dari seluruh penjuru
sedang dihina
kerana terlalu lama
sengaja mengalah.
Kita sedang genting
dan sedang gering,
kita perlu marah
sejujur hati
untuk bermaruah
di bumi sendiri.

Kali ini jika kita
menyanyi biarlah lagu
yang paling hakiki.
Jika kita bersuara
biarlah jujur rasa.

(‘Bumi Sendiri’, hal. 21)

Tetapi harapan-harapan unggul Pak Samad sering kabur dihodohi kenyataan yang berlaku dalam masyarakat. Kecelaruan dan kegusaran terus berlaku, seperti rintihan hati beliau dalam sajak berjudul ‘Ufuk Nurani’:

Kita lambat akrab dengan isi buana
yang lebih kita racuni – tidak sedia
mesra sesama insan
yang kurang kita ramahi.
Kita dipukau pakau,
disengat pangkat,
dicumbu nafsu.
Kita kesesatan mercu.

…………………………………………………….

Abad ini sepatutnya detik hemah
berkah musyawarah.
Dan seperti insan uryani
sepatutnya kita sedar langit merahsiakan
kudus rindu dan jihad syahdunya.
Tapi apa pilihannya jika
di hadapan terbakar belantara,
jika peta warisan ronyok dalam
selut paya, sementara dari gua
terjerit
jawapan-jawapan dosa.

(‘Ufuk Nurani’, hal. 36-37)

Persoalan kemanusiaan, falsafah dan perkara-perkara yang berhubung-kait dengannya turut disentuh oleh Pak Samad dalam buku ini. Dalam puisi ‘Balada Hilang Peta’, Pak Samad menyelongkar rasa bersalah seorang suami terhadap isterinya dalam beberapa detik bersejarah yang selari dengan sejarah yang dilalui oleh negaranya. Perasaan bersalah sang suami menimbulkan misteri, kenangan dan beberapa kesilapan fakta. Dalam sajak yang terpanjang dalam antologi ini, Samad seolah-olah menggelunsurkan kita ke dalam suatu ‘horison masa’, zaman 40-an, 50-an dan 60-an, dan kita seakan ‘belayar tanpa peta’ untuk mengenali gelombang nostalgia dan permukaan darat yang mensejarahi bangsa dan negara:

Aku bolak-balikkan halaman puisi
mencari-cari suara yang mesra,
terjumpa carik kertas biru terlekat
bekas gincu bibirmu; tersua – barangkali –
sisa celakmu, aku merasa bertambah
kacau selepas malam Konfrontasi …
Ternampak kaugoncang palang-palang jendela,
di sisinya, Tunku dan Soekarno bertengkar
dan seluruh Nusantara mulai terbakar.

………………………………………………………………….

Kita sempat merenjiskan sedikit warna
kepada dinding kamar dan dunia, melupakan sengat
perang yang meragut keluarga bersama,
menjadikan kita waras-gila…..waras-gila, atau
tak sengaja, membuat kita terlupakan kasut
dan buku puisi yang tak sempurna,
atau terindukan zuriat tak bakal tercipta.
Aku di Aljunied, kau di Kg. Gelam
memang bertemu dalam kekacauan.
Aku seorang kehilangan peta
dalam negara yang terbelah.

Kini bersama lindur malam Kemerdekaan,
kasut dan buku puisi, kuharap,
penyembuh mujarab seketika,
satu kenangan paling syahdu –
satu nikmat tak tersukat,
sedang ribut, jendela tergugah, dan kini
di celah-celah pepohon ladang cinta
sekitar banjaran Keningau mengapa
aku seorang ditikam dosa ?

(‘Balada Hilang Peta’, hal. 32-34)

Masalah kepalsuan dan tragedi kehidupan dilintaskan oleh Pak Samad melalui sajak-sajak ‘Janda Setinggan’ dan ‘Rakan Setinggan’. Dalam ‘Janda Setinggan’, Pak Samad lebih mengutarakan tragedi yang menimpa seorang wanita yang akhirnya membuat hidupnya dibauri kepalsuan dan lara. Dalam ‘Rakan Setinggan’ pula, pertemuan dengan seorang rakan lama menimbulkan beberapa persoalan. Rakannya pula menyimpulkan kehidupannya dalam tiga judul sajak: ‘Rindu’, ‘Hari Tua’ dan ‘Putus Asa’. Terdapat unsur jenaka dan sekali gus kepiluan dalam sajaknya:

Sebelum tidur malam itu
puisinya kuhayati satu-satu:
Rindu. Hari Tua. Putus Asa.
Sayu. Lesu. Pilu. Sekitar derita
merecup hikmah, separuh belas
separuh jenaka: Rindu adalah
menggendeng cium tiga kali, yang
diterima sepak; merajuk selepasnya,
yang diterima janji. Hari Tua
adalah sengguk dalam bas pagi,
terlentok pada bahu wanita muda
yang sentiasa menjeling marah.
Dan Putus Asa ialah membuka payung
koyak di tengah hujan lebat.

(‘Rakan Setinggan’, hal. 46)

Adakalanya Pak Samad dengan sederhana berfalsafah tentang kehidupan:

Tiada lagilah bezanya
sama ada hilangnya kemudian
atau tenggelamnya sekarang.

…………………………………………..

Kepiluan yang berlanjut
akhirnya ditenterami
keyakinan betapa dielak pun

takdir, tetap terbuka pintunya,
bertanya: manusia, engkau
ini sebenar-benarnya siapa?

(‘Menambat Rakit’, hal. 13)

Terdapat beberapa orang penyair yang memberi penghargaan kepada jasa para guru. Dalam ‘Obor Hemah’, penghargaan Pak Samad begitu puitis dan bererti:

Guru adalah awan indah terbang rendah
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara ihsan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

………………………………………………………………

Guru – minda segar dan kukuh akar
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih;
dan pada ketika tak tersangkakan
walau diambilnya kembali semua buku
sempat ditinggalkan asas ilmu.

Guru adalah batin suci hati nurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.

(‘Obor Hemah’, hal. 35)

Salah sebuah puisi Pak A.Samad Said yang terbaik dan amat bererti dalam buku puisi ini berjudul ‘Lagu Bunga II’. Puisi ini adalah penghargaan penyair kepada seorang seniman yang dalam penglibatannya yang pelbagai telah menganugerahkan permata-permata bernilai kepada masyarakat dan negaranya. Sayangnya, seniman sejati ini kurang kita beri sokongan sepatutnya semasa hayatnya. Saya nukil sebahagian besar puisi ini:

Memang sejak di Jalan Ampas
hingga ke Ulu Kelang
longkang sesak belukar sampah,
tapi dibuktikan dirinya bukan
hampas, bukan warga hulu yang beku.
Dicurahkannya erti yang sakti
ke lurah hampas yang hulu –
tergigil merecup senduduk yang ungu.

……………………………………………………..

Masih ramai tak terterka
apakah perginya jenaka yang tragis
atau tragedi yang jenaka atau
saling berbalah keduanya.
Tergamam antara Azizah dan Baidah,
dewasa dari Bujang Lapuk ke Madu Tiga,
teruji, terancam Antara Dua Darjat,
kita hanya tersentak tiba-tiba
dalam gementar malam – terbebas jasad,
terlepas gagak, terbabas irama, dan
gelagatnya yang syahdu itu
semakin terkesan
dalam tango mimpi A. Sattar
dalam gertak pencak Mustarjo
dalam legit lenggang Saloma
dalam rindu senyum Latifah.

Dan harta serta maruahnya – gugus
jenaka yang digugurkan, bahtera batin
yang dilayarkan –
barangkali menyebabkan
setiap kali kita tergelak, terjamah
degup hatinya; setiap kali kita bersedih,
terenjis rintik seninya.

Kita terlalu terhutang kepadanya.

Hidup ini kisah-kisah tak sudah,
seluar-seluar lusuh tertampal
warna-warana letih yang luntur,
liku-liku curam tak terdaki. Dengan
payah, penuh setia, dibatini semuanya,
dengan jerih, ia mencubanya.
Ia gagak sayu penuh haru
gitar legenda bertali sejarah
insan seni rimba sunyi –
ia mati sederhana
di sisi simfoni senja.

Tapi, alhamdulillah, ia
bukan insan seni penyulap
harta negara; ia bekalkan
pusaka lebih berharga, bermaruah,
bagi bangsanya.

Hanya nanti semakin jauh ke depan, lebih
terserlah khazanah yang diwariskan, lalu
ketiadaannya dirasakan kehadirannya,
kehadirannya dirasakan kehilangannya,
kehilangannya dirasakan kerugiannya.

Kita terlalu terhutang kepadanya.

(‘Lagu Bunga II’, hal. 16-18)

Penutup

Daripada nukilan-nukilan yang diterakan, ternyata puisi-puisi Pak A. Samad Said dalam buku Balada Hilang Peta ini bukanlah sekadar meriakkan pusaran-pusaran nostalgia, bahkan membuat kita merenung akan perlakuan sejarah, inti kehidupan dan manusia yang menjadi protagonisnya. Seperti seorang Salina, Hilmy, Nahidah dalam novel Salina atau Hafis, Zakiah, Ariff dalam Langit Petang ataupun seorang Lokman dalam Hujan Pagi, kita akan terkenangkan protagonis-protagonis Pak Samad dalam puisi-puisi ini, lama setelah kita berhenti membaca buku ini.

Buku puisi ini lahir ‘daripada kepedihan batin manusia yang terhimpit di tengah buana resah’, demikian menurut Pak Samad dalam halaman belakang buku puisi ini. Dan melalui siratan kata penyair yang sarat dengan pelbagai tafsiran dan makna serta gurisan-gurisannya yang segar, kita yakin sekali buku puisi ini adalah sumbangan yang bererti dan membuktikan, seperti karya-karyanya yang lain, bahawa ciptaan seninya bukanlah ‘bahtera megah tanpa arah’ tetapi ‘lentera indah yang bercahaya’.

Ditulis: 24 November 1991
Tersiar: Berita Minggu (Singapura),1991
Tulisan: Rasiah Halil.