Perlunya Pelapis Ulama Berilmu Dan Berhikmah Bagi Mengisi Kekosongan (Tajuk Asal: ‘Kesan Sebuah Kehilangan’ Ditulis Pada Januari 2003)

Ada di kalangan yang kita masih berlinangan air mata setiap kali kita bercakap atau terkenang seorang ahli agama yang dikasihi, yang pulang ke rahmatullah pada 4 Januari lalu. Kesedihan, rasa terperanjat dan kehilangan ini mencengkam kita kerana kita sedia maklum akan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Islam sama ada di Singapura mahupun di seluruh dunia.

Dan kesedihan kita bertambah mengenangkan 10 tahun kebelakangan ini kita kehilangan orang-orang yang arif dalam bidang agama misalnya Ustaz Sidi Rashid, Ustaz Kamil dan Taha Suheimi, Prof. Ahmad Ibrahim (berasal dari Singapura), Habib Omar (Singapura), Ustaz Babu Sahib dan kini, Ustaz Syed Abdillah Aljufri. Kesemua mereka dan mungkin beberapa orang yang lain yang tidak disebutkan di sini, amat berjasa semasa hayat mereka kepada masyarakat kita. Dalam kegelapan, mereka menghidupkan syiar Islam, mengenalkan kita kepada Allah dan Rasul s.a.w. dan tata tertib agama untuk kesejahteraan dunia dan akhirat kita. Kita memang banyak terhutang budi kepada mereka kerana tunjuk ajar mereka yang santun, menyentuh hati kita.

Setiap kita melalui pelbagai tahap dalam perjalanan menuju ke akhirat. Ada yang tersadung di tengah-tengah jalan, ada yang meluru, ada pula jeda seketika kerana halangan-halangan yang dihadapinya. Tetapi jiwa manusia yang fitrah selalu mencari Penciptanya walaupun jalan-jalan yang dilaluinya mungkin berliku-liku. Sikap semula jadi yang baik dan asas yang teguh selalunya memungkinkan seseorang itu kembali semula ke paksi kehidupan beragamanya, walaupun dia pernah membuat langkah-langkah yang silap dan salah.

Ini berbeza dengan orang yang jiwanya tidak didedahkan dengan nilai-nilai murni dan kebaikan; agama itu menjadi penghalang atau sekadar latihan ilmiah sahaja yang tidak ada hubungan langsung dengan kehidupan kecuali semasa benikah, kematian, dan satu dua perkara lain. Perkara-perkara asas dalam agama Islam misalnya bersembahyang, berpuasa, berzakat, serta hukum hakam yang jelas mengenai makanan, minuman dan pergaulan tidak pula diambil berat. Agama seakan dipinggirkan.

Tetapi tugas menyampaikan pengajaran agama ini bukanlah perkara yang mudah. Seperti guru sekular, ada guru hanya menyampaikan fakta, ada pandai mendekati kita tapi tak ada fakta yang dikongsi bersama dan ada pula menyentuh hati dan fikiran kita dengan penyampaiannya. Didekati pelajar dan bahan pengajarannya dengan penuh hikmah kerana tugas ini dilakukan bukan untuk menempa nama, mencari wang atau dianggap orang baik. Kalau kebetulan perkara-perkara tersebut diterimanya, dia menganggap itu sekadar pemberian Allah yang tak lekang daripada ujian-Nya. Yang penting, pengajaran agama itu disampaikan dengan hikmah, menunjukkan dengan santun keindahan Islam sebagai addin, tanpa mencemuh, menjatuhkan air muka atau bersikap dwitara dalam menjalankan tugas dan kehidupannya.

Guru yang berhikmah itu selalu menyentuh hati kita kerana walaupun kita mungkin belum boleh mengamalkan semua pengajarannya tetapi dia tidak memandang rendah terhadap kita atau menghina kita secara langsung atau pun sebaliknya, malah dia sentiasa berharapan kita akan bertambah baik kerana yakin akan hidayat Allah dan potensi kebaikan yang Allah berikan kepada manusia. Malah guru begini, melihat anak muridnya yang belum seluruhnya menutup aurat misalnya, tetap memberi senyuman, mengangguk atau bertegur sapa semasa bertembung atau di khalayak ramai.  Perilakunya yang lembut, sopan dan berhikmah semasa mengajar atau di luar pengajaran inilah yang sering melunakkan hati kita kepada keindahan dan kebaikan Islam kerana dialah di antara beberapa orang yang memberi gambaran keindahan itu, yang terdekat, bagi sesetengah kita.

Ada kawan-kawan Sri yang amat terharu akan pemergian Ustaz Syed Abdillah kerana hal-hal yang disebutkan di atas. Ada teringat, Allahyarham pernah mengajarnya di sekolah menengah. Ada yang pernah menuntut dengan Allahyarham sejak tahun 70-an di beberapa tempat. Ada yang pernah mengenali Allahyarham sebagai ahli jawatankuasa dan lain-lain. Antara yang paling terharu ialah mereka yang banyak berdepan dengan orang-orang yang kononnya beretika tetapi bersikap dwitara dan kasar,  menjejas teruk kehidupan kawan-kawan Sri ini, tetapi kerana mereka mempunyai asas agama dan juga hidayat Allah serta pencarian mereka, akhirnya semacam keseimbangan mereka temui kembali dalam kelas-kelas Ustaz Syed Abdillah. Mereka terharu kerana yang membimbing telah tiada.

Tetapi Allah Maha Mengasihani hamba-hamba-Nya. Pasti ada golongan pelapis yang sama berhikmah dalam menyampaikan agama kita yang suci dan indah ini. Di tengah-tengah pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat di sini, insan seperti Allahyarham Ustaz Syed Abdillah, Ustaz Babu Shahib dan lain-lain kita perlukan wujud di kalangan kita. Tanpa orang-orang yang berilmu dan berhikmah dalam bidang agama, masyarakat kita akan semakin terumbang-ambing dipukul badai cabaran dan dugaan.

Terdapat pelbagai golongan yang kini muncul sebagai golongan yang konon memperjuangkan Islam walaupun landasan mereka boleh diragukan. Ada yang memperjuangkan hak-hak wanita Islam tetapi mengetahui lebih lanjut, kita yang memiliki pengetahuan asas agama pun berasa ragu. Demikian juga munculnya golongan yang menganggap hanya al-Quran sah dipegang dan menyingkirkan hadis, lebih hebat mulai tahun-tahun 80-an/90-an. Berdepan dengan ini dan pelbagai cabaran lain, jawapannya bukanlah menyuguhi masyarakat kita dengan acara agama bertaraf selebriti tetapi tetapi lakaran langkah-langkah susulan untuk mewujudkan ulama seumpama Ustaz Syed Abdillah, Ustaz Babu Sahib dan lain-lain di kalangan segelintir masyarakat kita.

Obor Islam harus kita hidupkan terus kerana jika tidak, golongan-golongan yang diragui akan merebutnya.

Ditulis: 9 Januari 2003
Tajuk Asal: Kesan Sebuah Kehilangan
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 12 Januari 2003
Tulisan: Rasiah Halil.

Leave a comment