Tujuan Tidak Menghalalkan Cara

Pak HamzahPak Asraf

[Gambar (kiri ke kanan): Pak Hamzah dan Pak Asraf]

Mukadimah

Seseorang yang baru menceburi bidang penulisan mungkin masih ragu-ragu apakah tujuan sebenarnya dia berkarya. Apakah kerana dia mahu menjadi masyhur, mendapat nama, kedudukan, wang, menjadi pakar rujuk dan sebagainya? Atau mungkin, sebagai manusia biasa dia boleh sahaja suka kalau namanya dikenal, mendapat pulangan setimpal kerana penerbitan karyanya, dan boleh juga diajak ketengah untuk membincangkan hal-hal penulisan, tetapi ada tujuan-tujuan yang lebih besar daripada hal-hal tersebut?

Hampawa Dan Sastera

Karya seni tidak pernah lahir dalam hampawa (vakum); dorongan penulis, sama ada hati nurani mahupun mindanya, selain faktor-faktor yang mencorakkan kehidupannya sering juga terserlah dalam karya-karyanya. Demikian juga masyarakat sekitar; pergeseran dan pergolakan masyarakat sedikit sebanyak boleh sahaja memberi input kepada karya penulis. Pembauran kedua-kedua faktor luaran dan dalaman inilah, selain pertukangan penulis boleh melahirkan karya yang diingini.

Dan kerana karya seni itu tidak lahir dari hampawa, penulis juga perlu mengambil berat mengenai tujuan penulisannya. Apakah dia menulis, tidak seperti kata Ramli Sarip, bukan kerana nama? Atau dia menghidupkan semacam kebohongan atau kepalsuan dalam karya-karyanya? Atau mungkin tujuan sebenarnya sekadar ‘syok sendiri’ tanpa mengambil kira orang di sekelilingnya? Atau mungkin dia mahu menjadi semacam ‘jebat’ lantas cuba mengacau-bilaukan masyarakat dalam karya-karyanya? Mungkin kerana dia beranggapan tujuannya murni, apa cara pun yang digunakan untuk mencapai tujuan itu, dianggap boleh diterima oleh khalayaknya? Lantas tujuannya menghalalkan apa cara pun digunakan untuk karya seninya?

Beberapa Konsep Sastera

Pada tahun-tahun 50-an dahulu timbul pertikaian mengenai konsep ‘Seni Untuk Masyarakat” dan ‘Seni Untuk Seni’ yang didokongi Asraf dan Hamzah Hussin. Kalau kita benar-benar mengkaji polemik ini, kita akan dapati bahawa kedua-dua pihak mahukan sesuatu yang baik bagi masyarakat mereka, dan takut ‘propaganda’ pihak lawannya akan menimbulkan keburukan kepada masyarakat. Asraf dan rakan-rakannya mahu seni bercorak realisme sosial, tidak lagi mengkhayalkan masya-rakat sebagaimana cerita-cerita penglipur lara, tetapi berdenyut-nadikan keadaan semasa. Yang diutamakan ialah masyarakat marhaen, dan yang diwirakan juga adalah golongan ini. Corak penulisan sesetengah penulis golongan Asraf lebih ‘kiri’ dan ini menimbulkan kegusaran pihak lainnya, kerana kelantangan suara ‘kiri’ yang menolak ‘establishment’, boleh sahaja menolak agama, sebahagian daripada komponen ‘establishment’ tadi dan mengagungkan fahaman komunis.

Sebaliknya konsep ‘Seni Untuk Seni’ mahukan karya yang lebih berseni dan tidak hanya meng-gambarkan  realisme sosial tanpa seninya. Bagi Hamzah dan rakan-rakannya, seni itu tidak bersempadan, lantas gambaran yang terlalu hitam putih sebagaimana dilukiskan oleh lawannya, tidak berlaku adil kepada seni mahupun kehidupan. Masalahnya, ada sesetengah penulis berpen-dapat, dengan berkonsepkan ‘Seni Untuk Seni’, masyarakat Melayu akan terus hanyut dalam aliran hedonisme; segala-segalanya dihalalkan demi seni, dan seni dijadikan sebagai alat untuk berseronok-seronok sahaja. Sebenarnya pembauran kedua-dua konsep ini: menggambarkan realiti sosial dengan pertukangan seni yang tinggi yang diperlukan masyarakat ketika itu dan juga kini.

Demikian juga ada beberapa konsep yang muncul pada tahun-tahun 70-an dan seterusnya. Ada beranggapan kesusasteraan Melayu harus berteraskan ‘Seni Kerana Allah’ dan sebagainya. Lantas banyak pula muncul karya yang dianggap bernafaskan keislaman pada tahun-tahun tersebut. Sayangnya yang dipamerkan sebagai unsur-unsur keislaman banyak juga berpusar pada soal-soal ritual sahaja seperti menunjukkan watak-watak yang bersembahyang, bertudung, menunaikan haji dan umrah dan lain-lain.

Puisi-puisi Melayu pula banyak disaluti unsur agama, lantas terdapat banyak puisi yang seolah-olah mengungkapkan sesuatu yang begitu langsung kepada Allah, menyelongkar soal akidah dan sebagainya. Dan seperti tahun-tahun 50-an dahulu, muncul juga semacam ‘Utopia’ dalam gambaran konsep keislaman ini dalam penulisan. Yang ‘mencakar di permukaan’ mengenai Islam dan isu keislaman banyak juga terdapat; walaupun tetap kita temui beberapa karya yang baik yang berteraskan keislaman ini. Gambaran hitam putih banyak juga terserlah dalam karya-karya berkonsepkan keislaman ini, dan terdapat juga karya-karya yang kononnya berteraskan Islam tetapi secara tidak langsung memperkudakan Islam. Islam, sebagaimana konsep ‘Seni Untuk Masyarakat’ dan ‘Seni Untuk Seni’ menjadi ‘tempelan’ sahaja bagi sesetengah pihak, tanpa penghayatan sebenar atau kejapan minda mengenai konsep penulisan yang dikemukakan. Lantas karya yang lahir bukan pula yang boleh membanggakan kita.

Tujuan Berkarya

Bak kata seorang mahaguru, tiada seorang tukang kasut pun yang membuat kasut kerana kasut, pasti ada tujuan-tujuan yang lebih daripada itu mengapa dia mencipta kasut. Dia misalnya, mahu orang berkasut agar tidak mencederakan tapak kakinya semasa berjalan dan sebagainya. Demikian juga dengan bidang penulisan atau seni lainnya. Tujuan ciptaan sesuatu karya itu penting kerana tujuan yang songsang akan juga menyongsangkan cara penyampaian dan khalayaknya. Kalau ‘nawaitu’ kita dalam penulisan itu betul, kita juga akan menertibkan cara-cara yang sesuai untuk disampaikan kepada khalayak kita. Misalnya menulis untuk kanak-kanak mengenai kepentingan ilmu itu tentu berbeza dengan hal yang sama untuk orang dewasa. Pendekatan kita terhadap persoalan yang sama dibezakan kerana khalayak yang berbeza dan lebih banyak manfaat diraih melalui perbezaan ini.

Tetapi tujuan yang baik, misalnya ingin menyedarkan masyarakat mengenai sesuatu gejala atau kegenjotan dalam masyarakat tidak pula bermakna cara-cara yang tidak bersopan, lucah dan sebagainya digunakan. Misalnya ada sebuah karya yang menggambarkan gejala pelacuran atau gejala-gejala sedemikian. Adakah perlu digambarkan segala gerak laku dan tindak tanduk penggerak gejala tersebut atau secara berseni, kita hanya menggambarkan seadanya sahaja tanpa merendahkan martabat kita sebagai orang-orang Melayu/Islam? Tujuan yang baik iaitu untuk menyedarkan masyarakat mengenai gejala-gejala tadi, tidak pula bermakna cara-cara yang salah atau bertentangan dengan nilai-nilai agama dan etika digunakan.

Malcolm X, pejuang Kulit Hitam Amerika, sebelum dia benar-benar memeluk agama Islam (bukan ajaran Elijah Muhammad lagi) pernah berkata bahawa untuk mencapai kejayaan dalam perjuangan, seseorang itu harus menggunakan by all means possible (dengan apa cara sekalipun) dan ini termasuk juga cara keganasan. Jika kita ambil pandangan Malcolm X ini untuk seni, ia akan bermakna kita akan melakukan apa sahaja untuk tujuan seni, tanpa mengambil kira bercanggah atau tidaknya karya seni kita itu dengan nilai dan etika masyarakat. Tetapi Malcolm X yang mengenali Islam sebenar setelah menunaikan fardu haji, menyisihkan pandangan itu, kerana dia yakin tujuan yang baik tidak membolehkan seseorang itu menggunakan cara-cara yang salah atau bercanggah dengan nilai-nilai agama dan etika untuk mencapainya. Demikian juga boleh kita gunakan untuk bidang penulisan atau seni.

Mestikah segala-segalanya didedah untuk dianggap realistik, tanpa mengendahkan nilai agama dan etika masyarakat atau bolehkah sesuatu gejala turut kita tampilkan dengan lebih berseni tanpa merendahkan nilai-nilai tadi? Filem-filem dari Iran dan sesetengah filem dari Asia Tenggara ada menggambarkan beberapa gejala buruk atau kegenjotan yang mencengkam masyarakat mereka, tetapi yang digambarkan tidak pula berunsur lucah atau bercanggah dengan nilai agama dan etika masyakarat masing-masing. Dan karya-karya ini tetap dianggap berseni.

Dalam buku pengurusan, ada dikatakan: jika anda tidak tahu destinasi anda, apa jalan pun boleh anda jalani. Tetapi jika destinasi atau tujuan anda telah diketahui, anda akan lebih berhati-hati memilih jalan-jalan yang akan membawa anda ke sana. Demikian juga dengan bidang penulisan atau seni. Setiap penulis itu tidak bermula dengan kesempurnaan, tetapi mungkin akan berkali-kali terpaksa jatuh bangun dalam mencari kesempurnaan dalam penulisan. Dan dia harus pastikan tujuan penulisannya bukan sekadar basa-basi perbualan atau didorong hal-hal kepentingan diri sendiri tetapi berteraskan sesuatu yang lebih besar, bermakna dan murni.

Dan tujuan yang semurni mana pun tidak akan bermakna jika cara-cara yang salah atau bercanggah dengan nilai-nilai agama dan etika masyarakat digunakan. Demikian juga tujuan yang tidak baik tetapi disaluti dengan cara-cara yang dianggap baik, lambat laun yang diketahui khalayak dan tetap ditolak. Kedua-dua gejala sebegini akan tetap ditolak sebagaimana dijelaskan oleh orang-orang dahulu: air dan minyak tidak boleh bercampur.

Kesimpulan

Tujuan yang baik dan didukungi cara-cara yang baik serta pertukangan seni yang tinggi akan melahirkan karya-karya yang bermakna bagi masyarakat. Penulis boleh sahaja menegur kebobrokan dalam masyarakat atau mengkritik kepalsuan masyarakat tetapi cara-cara yang digunakan untuk mencapai tujuannya sama pentingnya dengan tujuan karya itu dihasilkan. Selain pertukangan seninya, dia harus pandai menyeimbangkan tujuan baiknya dengan cara-cara yang tidak bercanggah dengan nilai-nilai agama dan etika masyarakat, agar perutusan sebenar karyanya dapat diterima khalayaknya.

Ini sebagaimana anjuran pepatah kita: seperti menarik rambut dari tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berserak. Demikianlah hubungan akrab tujuan dan cara pencapaian tujuan dalam berkarya. Mengapakah karya-karya Hamzah Fansuri, yang bukan hanya berunsur agama (tasawuf), malah mengkritik kepalsuan yang merajalela pada abad ke 16-17 Aceh atau karya-karya Muhammad Iqbal baik prosa mahupun puisinya, yang turut mengkritik keadaan semasa zamannya boleh bertahan sehingga kini? Tujuan dan cara penyampaian penulis-penulis ini jelas, lantas tidak hairanlah sebilangan besar masyarakat pada zaman mereka dapat menerima karya-karya tersebut dan sumbangan mereka sentiasa malar segar dalam taman kesusasteraan kita sehingga kini.

Ditulis: 13 November 2006
Tajuk Tersiar: Berlainan sedikit daripada tajuk di atas.
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada November-Disember 2006.
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s