Archives

Penulis, Publisiti Dan Pemasaran

Pengenalan

Penulis J.K.Rowling menjadi jutawan setelah melahirkan siri novel Harry Potternya mulai tahun 1996 dengan novel Harry Potter and the Philosopher’s Stone sehinggalah siri keenam novelnya, Harry Potter and the Half Blood Prince baru-baru ini. Ramai peminat, terutamanya kanak-kanak, tidak sabar menanti buku terakhirnya dalam siri ini. Bahawa J.K. Rowling adalah seorang penulis yang mempunyai kemahiran dalam bidang penulisan tidak dapat kita nafikan, walaupun sesetengah pengkritik membidas juga cara penulisan beliau dan kesan penulisannya, khususnya mengenai dunia sihir/sakti kepada pembaca-pembaca mudanya.

Mengapa J.K. Rowling dianggap sesetengah orang sebagai penulis yang berjaya? Sekurang-kurangnya berjaya menembus pasaran? Dua faktor, selain kebolehannya menjejak kecenderungan pembaca-pembaca mudanya, telah membantu beliau. Kedua-dua faktor tersebut ialah adanya publisiti meluas mengenai karya-karyanya dan beberapa strategi pemasaran yang diusahakan oleh penerbitnya. Campuran kedua faktor ini boleh sahaja melonjakkan seseorang ke persada yang lebih besar, baik dalam bidang penulisan mahupun bidang-bidang seni yang lain. Tetapi adakah ini bermakna seseorang yang mendapat publisiti besar-besaran sebenarnya seorang penulis yang baik?

J.K. Rowling adakalanya dikaitkan dengan seorang lagi penulis kanak-kanak dari Britain, Enid Blyton. Seperti Rowling, Blyton juga mempunyai ramai peminat di kalangan kanak-kanak. Beliau melahirkan ratusan buku dan secara tidak langsung menggambarkan keadaan sosial di Britain pada tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua dahulu. Ada juga berpendapat karya-karyanya banyak perulangan dan menggunakan bahasa Inggeris yang tidak sekreatifnya. Pernah juga novel-novelnya ‘diharamkan’ di beberapa perpustakaan kerana pemerian stereotaip mengenai sesuatu bangsa dan isu jantina. Tetapi tidak seperti Rowling, publisiti untuk buku-bukunya tidaklah sehebatnya dan beliau juga tidak menjadi jutawan serta merta seperti penulis siri Harry Potter.

Penulis Dan Strategi Pemasaran

Bagi penulis, karya yang diciptanya sememangnya mahu diketengahkan kepada khalayak ramai kerana tanpa diketahui oleh khalayak ramai, tidak kesampaian sebahagian daripada cita-cita penulisannya. Dan kita sebagai peminat sastera juga perlu tahu karya-karya terbaru daripada penulis-penulis kita. Persoalannya timbul apabila seseorang penulis itu mempertikaikan sejauh mana publisiti terhadap karyanya dibenarkan dan strateginya pemasaran bagaimanakah akan dia setujui? Kita dapati ada orang membuat publisiti yang begitu gah dan dengan strategi pemasaran yang canggih, tetapi karyanya itu sekadar indah khabar dari rupa. Seperti yang dinyatakan oleh peribahasa: jangan menilai buku daripada kulitnya sahaja.

Di beberapa negara, terbitnya sesebuah buku, selain pelancarannya, selalu juga diadakan ‘jalan berkeli-liling dengan buku’ (book tour) bagi penulis buku itu, malah adakalanya penulis memberi syarahan mengenai buku tadi atau isu-isu berkaitan dengannya, lantas memasyhurkan buku tadi dan menambahkan lagi pendapatannya. Di daerah kita konsep ‘book tour’ ini masih asing. Tetapi soal mendapatkan publisiti dan mengusahakan beberapa strategi pemasaran bukan pula sesuatu yang asing bagi sesetengahnya.

Pernah juga kita terdengar penulis mengupah orang-orang tertentu, terutama pengkritik/pengulas buku-buku baharu agar menulis mengenai karya mereka. Ini pernah kita baca terjadi di negara-negara Barat dan terdapat juga di daerah kita. Dengan kata-kata yang kadangkala bombastik, seseorang itu boleh sahaja memuji kawannya atau orang yang mengupahnya, tanpa mempertimbangkan soal mutu karya tersebut. Kita yang tidak tahu menahu, termakan dengan kata-kata orang-orang yang kita anggap pakar ini dan akibatnya, mutu sebenar sesebuah karya tidak terlalu dipentingkan.

Budaya ‘Tayang Tampang’

Sejenis budaya, yang disebut penyair A.Wahab Ali sebagai ‘budaya tayang tampang’ mula berleluasa; jadi siapa yang ‘memikat’ orang-orang tertentu, akan seringlah karya atau dirinya diperkatakan, padahal karya-karyanya mungkin tidak sebaik mana. ‘Sokongan’ yang tidak diingini ini, yang dibaluti kata-kata yang bermakna ‘publisiti’ dan ‘pemasaran’ sebenarnya yang selalu membunuh daya kreatif sebenar masyarakat penulis negara-negara tertentu. Akhirnya yang muncul adalah semacam lingkaran musibah; karya yang tidak baik diketengahkan sebagai karya tersohor kerana, menurut beberapa pihak, ia  mendapat sokongan khalayak ramai. Tetapi khalayak ramai itu pula digula-gulai oleh si penulis, rakan-rakan atau penerbitnya. Pusaran yang mulanya berbentuk mikro boleh pula berubah ke bentuk makro dan peminat sastera seolah-olah disentuhi silap mata ala David Copperfield atau David Blaine, dan mula percaya, tentulah karya-karya tersebut adalah karya-karya yang baik, kerana publisiti mengenainya begitu meluas.

Pada akhir tahun-tahun 40-an sehinggalah sekarang terdapat novel-novel picisan yang sering dimasukkan unsur-unsur erotik. Ahmad Lutfi (Syed Abdullah bin Abdul Hamid al-Edrus), seorang penerbit majalah Qalam yang berwibawa selain penulis pelbagai rencana yang berbobot juga terlibat dalam penciptaan novel-novel sedemikian. Beliau menggunakan strategi pemasaran yang agak ke depan, dengan sengaja menjolok minat pembaca, terutama lelaki kepada novel-novel ringannya. Selain itu, novel yang bakal diterbitkan diuar-uarkan dalam novel terakhirnya. Novel-novel picisannya laris dijual, malah bila salah sebuah novelnya diharamkan oleh pihak mufti dari Malaya, beliau dengan cepat membidas pengharaman itu dengan menerbitkan sebuah lagi novel  berjudul Empat Kali Haram. Isu semasa dikutip juga untuk novel-novelnya tetapi tulisannya lebih menyerlahkan unsur erotisme pada zamannya. Adakah novel-novel picisannya yang laris terjual boleh kita samakan dengan novel-novel karya Keris Mas, Arena Wati, Harun Aminurrashid dan lain-lain?

Kadangkala publisiti yang dikaitkan dengan sesebuah karya lebih bertali-aruskan fakta-fakta yang lain. Karya ‘A’ menggambarkan apa yang dingini oleh panel hakim sesuatu peraduan penulisan, lantas karya tersebut diberi hadiah. Ini berlaku pada novel Salina tulisan A. Samad Said. Novel tersebut, yang tidak menggambarkan hitam putihnya  kehidupan secara mutlak, telah disisihkan oleh sebilangan anggota panel hakim bagi peraduan menulis novel yang pertama kali dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaya pada 1958. Kelainan pada Salina menyebabkan ia tidak memenangi hadiah-hadiah terbesar peraduan tersebut. Mujur bagi kesusasteraan Melayu, ada beberapa anggota panel hakim peraduan tersebut yang mahu Salina turut diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, walaupun tidak memenangi hadiah utama kerana novel tersebut mencatatkan juga pencapaian penulisan novel pada zaman tersebut.

Iktibar Sejarah

Dalam sejarah, memang kita ketahui ada karya-karya lebih dikedepankan kerana ia memenuhi cita rasa pihak-pihak tertentu. Sekadar contoh, karya Abdullah Munsyi (menulis pada abad ke-19 Masihi), Hikayat Abdullah terutamanya, menjadi salah sebuah bahan bacaan di sekolah-sekolah Melayu pada akhir abad ke 19 sehingga lebih pertengahan abad ke-20. Abdullah dikenali ramai dan tulisan-tulisannya mendapat publisiti meluas, berbanding dengan misalnya Hamzah Fansuri. Kenapa ini berlaku? Adakah karya-karya Abdullah begitu tersohor dan tiada tolok bandingnya selain meningkatkan minda masyarakatnya? Kita akui bahawa Abdullah Munsyi memang ada memberi sumbangan dalam bidang sastera dan pemikiran Melayu tetapi karya-karyanya juga mendapat sokongan pihak-pihak tertentu. Dalam satu segi, karya-karyanya mewajarkan kedatangan penjajah Inggeris kerana masyarakat yang dijajah itu, sebagaimana digambarkan oleh Abdullah, begitu mundur dan bobrok. Pendewaannya terhadap Raffles dan sistem pentadbiran yang dibawa Inggeris mengelabui beberapa pandangan Abdullah sehingga apa yang secara umum kita maklumi sebagai penjajahan, beliau gambarkan sebagai buah zaman kebangkitan yang manis. Abdullah juga banyak termakan budi Raffles dan orang-orang Barat yang lain lantas tidak hairanlah, secara bertali-arus mereka juga menganggapnya besar.

Berbeza dengan Hamzah Fansuri yang menekankan unsur pembaharuan melalui penghayatan Islam yang sebenar dalam syair dan tulisan-tulisannya yang lain pada abad 16-17 Masihi, karya-karyanya tidak mendapat publisiti meluas sebagaimana Abdullah. Di belakang Hamzah tiada penjajah Inggeris, malah beliau juga pernah mengkritik pihak-pihak berkuasa pada zamannya di Aceh yang merupakan sebuah kerajaan Islam. Walaupun karya-karyanya ada juga dianalisis dalam jurnal dan majalah, ia hanya menjadi lebih luas tersebar apabila Syed Muhammad Naquib Al-Attas menyiapkan tesis kedoktorannya  mengenai Hamzah pada 1966 dan kemudian tesis ini diterbitkan pada 1970 dengan tajuk The Mysticism of Hamzah Fansuri. Hanya mulai tahun-tahun tersebut sumbangan Hamzah Fansuri yang kurang diketahui umum, semakin dimaklumi khalayak sastera  Kajian dan tulisan yang lebih mendalam mengenai beliau kita temui dalam tulisan-tulisan Muhammad Bukhari Lubis, Abdul Hadi W.M., V.I. Braginsky dan lain-lain. Ternyata jika meneliti karya dan kajian mengenai karya-karyanya, kita dapati sebuah taman yang menawan yang berisi pelbagai pohon bunga dan buah yang indah dan memberi khasiat yang bererti kepada dunia kesusasteraan dan pemikiran pembacanya. Tetapi karya-karya beliau, selain kajian-kajian dari Aceh, kurang diketahui dengan mendalam sebagaimana karya-karya Abdullah kerana ‘kuasa-kuasa’ yang memberi sokongan kepada karya-karya tersebut secara tidak langsung menentukan juga publisiti bagaimana yang harus diutamakan. Walaupun Abdullah tidak mengikat perjanjian pemasaran dan publisiti dengan mana-mana pihak, dengan adanya karya-karyanya,  penwajaran bertali arus yang dijajah (walaupun menjadi semacam ayam tambatan) dan penjajah bermakna karya-karyanya akan sentiasa mendapat tempat. Dan ini tidak pula bermakna karya-karyanya adalah yang terbaik.

Strategi ‘Pemasaran’ Sesetengah Penulis Zaman Ini

Pada zaman ini, seringkali juga publisiti dan strategi pemasaran seseorang penulis boleh membuatnya melakukan lompatan kuantum dalam bidang sastera dan kita yang kurang arif akan terbawa-bawa menganggap penulis tersebut telah melahirkan karya yang besar. Budaya ‘tayang tampang’ ini tidak bermakna sedemikian kerana ada sesetengah orang memang gemarkan publisiti dan sentiasa mencari kesempatan untuk dirinya menjadi tumpuan khalayak ramai. Publisiti dan pemasaran sesebuah karya walaupun penting untuk memberitahu khalayak adanya karya tersebut dan bagaimana untuk membelinya, kalau keterlaluan boleh sahaja menjadi bagaikan cerita ‘Baju Baharu Sang Maharaja’ tulisan Hans Christian Andersen.

Dalam cerita tersebut, seorang maharaja inginkan baju yang lain daripada yang lain lantas ada dua orang tukang jahit yang menjahitkannya baju istimewa itu. Baju itu sebenarnya tidak wujud tetapi dengan muslihat tukang-tukang jahit tadi, maharaja dan orang-orangnya mengaku dapat melihat baju istimewa yang dipakai maharaja tadi, walaupun sebenarnya maharaja itu tidak berpakaian. Semua orang yang memerhatikan hanya mengiyakan kerana berkata sebaliknya terhadap baju istimewa maharaja itu akan menunjukkan kejahilan mereka. ‘Penipuan’ ini terus menerus berlaku sehinggalah seorang kanak-kanak, dengan segala kemurnian jiwa kanak-kanaknya berani menunjukkan maharaja itu sebenarnya tidak berbaju.

Penutup

Demikian juga dalam dunia sastera atau seni secara umum. Kadangkala publisiti dan strategi pemasaran demikian hebat sehinggakan kita menerima sesuatu yang tiada atau rendah mutunya sebagai sesuatu yang baik. Dan bila ini kerap diulangi, nanti akan kita anggap karya-karya tersebut begitu tersohor dan memberi sumbangan yang besar kepada peningkatan kesusasteraan kita. Bagai sang maharaja tadi, kerana inginkan sesuatu yang lain (dan baik), akhirnya  dunia sastera kita seolah-olah tinggal tak berpakaian. Dan adakah nanti, bagai karya-karya Hamzah Fansuri yang tidak kita telesuri dulu kerana diabaikan, karya-karya penulis kita juga akan mengalami nasib yang sama? Sesetengah orang mendapat publisiti demikian luas walaupun karya-karyanya tidak berbobot atau hanya baru mendekati taman sastera kita tetapi ada pula kurang pula dapat kita baca buku baru mereka? Haruskah publisiti yang kurang seimbang dan saksama ‘membunuh’ pertumbuhan sebenar taman sastera kita?

Ditulis: 3 Ogos 2005
Tajuk Yang Disiarkan Dalam Berita Minggu: ‘Nilai Buku Bukan Terletak Pada Publisiti Yang Meluas’
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada 21 Ogos 2005
Tulisan: Rasiah Halil.

 

Advertisements

Penulis, Masa Dan Pengikut

Abdullah_hussain_s[1]255px-Arena_Wati[1]

Baru-baru ini ada perhimpunan cendekia Melayu di Johor. Turut hadir dalam perhimpunan tersebut termasuklah para sasterawan dan pemikir Melayu di Malaysia. Isu-isu yang dibincangkan merupakan isu-isu semasa yang menjejas masyarakat mereka di sana. Salah seorang sasterawan tersohor Malaysia, Pak Arena Wati*, tidak menghadirkan diri. Beliau diwakili isterinya, yang dulu sama berminat mengenai hal-hal sastera dan masyarakat. Dalam usia yang semakin meningkat dan masa serta kesihatan yang kian terbatas, Pak Arena, menurut  isterinya, yang diberitahu kepada salah seorang peserta yang saya kenal,  terpaksa menyeka masa yang diluangkan kepada sesuatu aktiviti. Beliau sibuk menulis dan menjalankan aktiviti hariannya di rumah; menghadiri perhimpunan tersebut dan beberapa aktiviti seumpama itu, walaupun penting dan ada manfaatnya merupakan ‘kos melepas’ (opportunity cost) bagi penulisannya.

Pak Arena, sebagaimana diberitahu oleh isterinya, tahu masanya amat terhad, lantas lebih elok baginya menulis dan meninggalkan ini sebagai warisan bangsa dan negaranya daripada duduk berbincang mengenai perkara-perkara yang penting, tetapi ramai orang lain boleh juga melakukannya. Kerja penulisannya, yang selalu dibuat dengan rapi berserta pembacaan dan kajian yang mendalam, misalnya dalam novel-novelnya, hanya Pak Arena sahaja yang boleh melakukannya. Alangkah ruginya jika sejumlah novel dan penulisan yang sudah berpeta dalam pemikiran dan lakaran-lakarannya tidak dapat disudahi kerana terlalu disibukkan oleh kehadirannya dalam perjumpaan dan perhimpunan tertentu. Demikianlah, saya rasa, tanggapan Pak Arena, yang terpaksa berkejar dengan waktu.

[*Pak Arena Wati meninggal dunia pada 25 Januari 2009.]

Masa bagi semua manusia tentulah terbatas. Melakukan sesuatu perkara, bererti perkara yang lain tidak dapat kita lakukan. Dan sebagai penulis, pandai membahagikan masa tentulah amat penting kerana tanpanya pelbagai kerja seni tidak dapat dilakukan dengan baik. Kita menjadi reaktif terhadap sesuatu perkara atau kegenjotan dan tidak pula bertindak secara proaktif.

Seorang lagi penulis veteran, Abdullah Hussain*, kini dalam keadaan tidak sihat. Beliau tidak boleh lagi bertutur dan kesihatannya tidak lagi membenarkannya menulis. Pak Abdullah memang seorang yang rajin dalam bidang penulisan semasa beliau sihat. Saya bertemu beliau pada tahun-tahun 80-an di Brunei. Pak Abdullah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei ketika itu. Walau setelah bekerja sehari suntuk, dan kemudian meluangkan masa untuk sahabat handai dan keluarga, Pak Abdullah akan selalu menulis atau membaca. Ada sahaja tulisan yang beliau siapkan atau buku terbaru yang dibacanya; pendek kata beliau tidak mensia-siakan masanya begitu sahaja, baik semasa di Brunei atau di Malaysia, malah ketika beliau bertugas di Singapura pada tahun-tahun 50-an dahulu. Saya tersentuh dengan kesungguhan Pak Abdullah menceburi bidangnya dan keikhlasannya bila beliau meluangkan masa untuk bersama mereka yang berjumpanya. Idea-ideanya, sebagaimana Pak Arena, tidak pernah surut; yang surut hanyalah kesihatan dan meningkatnya usia yang menyukarkan banyak hal, termasuklah menulis.

[*Pak Abdullah Hussain meninggal dunia pada 31 Disember 2014.]

Kedua-dua penulis ini adalah contoh yang baik bagi dunia penulisan kita. Mereka adalah peribadi tersendiri yang boleh bertahan dalam pentas mana pun tetapi semasa muda pun mereka tidak terkejar-kejarkan nama dan jawatan dalam bidang penulisan dan dalam apa pun kesibukan, mereka tidak pernah berhenti membaca dan menulis. Dalam usia menjangkau lebih daripada 80 tahun; Pak Abdullah berusia 88 tahun dan Pak Arena 83 tahun, tulisan-tulisan terakhir mereka tetap menunjukkan kejituan pemikiran dan pertukangan seni.

Dalam usia selepas bersara pun karya-karya mereka masih diolah dengan baik untuk tatapan masyarakat; malah bagi Pak Arena, yang masih sihat untuk menulis, banyak karya mutakhirnya merupakan kanvas-kanvas besar atau mural untuk masyarakat. Kita semakin terlihat kekuatan beliau sebagaimana novel-novelnya awalnya Lingkaran dan Sandera menunjukkan tunjang kekuatannya. Walaupun menceburi pelbagai bidang penulisan; Pak Abdullah menulis novel, cerpen, esei, kajian, terjemahan, skrip TV , dan juga sajak (sajak  ditulis semasa muda sahaja) dan Pak Arena pula menulis cerpen, novel, esei, kajian, sajak (sajak ditulis semasa muda sahaja) tetapi kedua-duanya tidak pernah menulis karya-karya picisan.

Tiada suatu pun karya mereka yang berunsur erotik murahan sebagaimana karya-karya Ayu Utami dan beberapa penulis lain pada zaman ini. Yang Pak Abdullah dan Pak Arena rakamkan dan gambarkan bukan pula hal di awang-awangan atau menghina agama dan bangsa sendiri sebagaimana dilakukan oleh Salman Rushdie dalam Satanic Verses dan orang-orang seumpama itu. Kita temui kekuatan peribadi Melayu-Islam mereka, baik yang berasal dari Aceh, Makassar atau tempat-tempat lain di daerah Kepulauan Melayu, yang meningkatkan kefahaman dan kesedaran kita mengenai beberapa hal. Banyak benar yang kita perolehi daripada tulisan-tulisan mereka kerana kedua-dua penulis ini bukan penangguk kesempatan atau begitu murahan sehingga sanggup ‘menjual’ hal-hal yang kita anggap murni, demi nama atau kedudukan dalam dunia penulisan. Mungkin kerana kejujuran mereka dan tentunya pertukangan seni yang mereka miliki, karya-karya mereka, walau di zaman siber ini, tidak boleh diketepikan dalam kajian kesusasteraan kita.

Kalau kita bertanya kepada kedua-dua penulis veteran ini sama ada mereka ada segolongan pengikut yang taasub kepada mereka, tentunya kedua-dua akan tersenyum. Soal mencari pengikut dan menguar-uarkan diri sebagai orang ‘besar’ dalam sastera tidak  timbul dalam kehidupan mereka. Mereka menulis sejujur dan sebaiknya dan pembaca membaca karya-karya mereka. Kalau ada yang tersentuh atau terangsang melakukan sesuatu yang baik setelah membaca karya-karya mereka, tentulah mereka berasa bersyukur. Konsep melobi untuk mendapat pengikut atau menempah nama, tiada dalam kehidupan mereka. Namun, sebaliknya ada juga berlaku dalam dunia sastera Melayu. Ada orang gemar melobi itu dan ini untuk dianggap ‘besar’ atau ‘tersohor’. Ada pula mahu ramai pengikut dan berbangga kerana dia dianggap ‘hebat’ oleh pengikut-pengikutnya. Ada yang menyibuk-menyibukkan diri dalam kononnya hal-hal sastera; padahal hal-hal yang disibuk-sibukkan itu tiada kena mengena dengan sastera. Dan ada pula berbangga melalui ‘perkaitan’; kalau dia kata dia rapat dengan penulis atau orang ternama itu dan ini, andaiannya ialah dia juga sama ‘hebat’ seperti orang-orang tadi tetapi penceburannya tidak seperti mereka, malah dia sekadar terikut-ikut sahaja kerana mahu dianggap sama besar seperti mereka yang dikaitkan dengan dirinya.

Banyak perkara yang kurang elok boleh berlaku jika penulis suka membazirkan masa demi mendapat nama, kedudukan, dikaitkan dengan orang-orang tertentu atau terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang kelihatan seperti kesenian, tetapi sebenarnya bukan demikian. Yang rugi ialah masa kita yang terbuang begitu sahaja padahal masa yang sama boleh digunakan untuk aktiviti-aktiviti yang sihat seperti membaca, mengkaji, berfikir dan menulis. Mungkin ada sebilangan orang dalam dunia sastera kita semakin leka dan mahu melekakan orang lantas yang sampiran itu yang selalu diheboh-hebohkan sedangkan perkara-perkara teras selalu diabaikan. Mengetahui mengenai penceburan, kegigihan, kreativiti dan pertukangan seni Pak Arena Wati dan Pak Abdullah Hussain mungkin dapat sama menginsafkan kita agar mengisi arena kesusasteraan ini sebaik dan sejujur mungkin. Akhirnya, sebagaimana yang dilagukan oleh Ramli Sarip, seharusnya bidang sastera ini kita ceburi dan hidupkan ‘bukan kerana nama’ tetapi didorong oleh hal-hal yang lebih murni dan kekal.

Ditulis: 26 Mei 2008
Tajuk yang disiarkan dalam Berita Minggu berlainan sedikit daripada tajuk yang saya beri dan teks yang tersiar entah di mana saya simpan.
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu  (Singapura) pada 2008.
Tulisan: Rasiah Halil.

Mengenali Gao Xingjian, Pemenang Hadiah Nobel Dari China

Gao photoGao Book 1Gao Book 2Gao Book 3

Pengenalan

Gao Xingjian lahir pada 4 Januari 1940 di Ganzhou, wilayah Jiangxi, di China. Didedahkan kepada sastera dan seni antarabangsa oleh orang tuanya, Gao menerima ijazah dalam kesusasteraan Perancis dari Institut Bahasa Asing Beijing pada 1962. Gao bertugas sebagai penterjemah dan penyunting di Penerbitan Bahasa-bahasa Asing. Beliau menulis cerpen, drama, puisi, esei, novel, dan terjemahan.

Semasa Revolusi Kebudayaan  (1966-1976) Mao Zedong, di mana para seniman dan intelektual dihukum dengan menjalani kehidupan sebagai petani di daerah-daerah pedalaman China, agar  pemikiran mereka dapat ‘dibersihkan’, Gao turut dihukum. Isterinya sendiri melaporkan aktiviti intelektual (penulisan) yang dilakukannya secara bersembunyi ketika itu.  Gao terpaksa membakar karya-karyanya pada zaman itu agar tidak dijebak oleh pihak berkuasa. Namun dia tetap dijebak dan ‘dibersihkan’ dengan menjadi petani di daerah pedalaman. Pada 1979 dan 1980, beliau dibenarkan melawat Perancis dan Itali, kerana penulisan dan tugas penterjemahannya. Dan hanya ketika usianya menjangkau 40, pada 1980, karya-karyanya mula diterbitkan, setelah lama usaha ini terpaksa disembunyikan.

Namun Gao masih tidak sebebasnya menulis walaupun Revolusi Kebudayaan Mao telah berakhir. Dia tetap diintip oleh pihak Komunis China dan beberapa karyanya disenarai-hitamkan. Gao juga hampir dihantar ke daerah pedalaman sekali lagi agar dia menjalani ‘pendidikan semula’. Dikenal pasti sebagai penghidap penyakit barah paru-paru oleh pihak berkuasa, Gao mengandaikan dia akan mati pada usia muda, sebagaimana bapanya juga meninggal kerana penyakit barah paru-paru. Tetapi pemeriksaan yang dijalankan oleh doktor lain menunjukkan Gao langsung tidak menghidap penyakit barah paru-paru. Kejutan daripada  pihak berkuasa yang bakal menimpanya menderanya membuat keputusan agar mencari semacam kedamaian dengan pengembaraan selama 5 bulan di daerah Sichuan, China. Hasil daripada pengembaraan itu, lahirlah novel besarnya Soul Mountain. Gao tidak dibenarkan keluar dari China dan dia semakin disenaraihitamkan oleh pelbagai pihak kerana tulisan-tulisannya. Namun, melalui penerimaan fellowship ke Jerman pada 1987, Gao meloloskan dirinya dari cengkaman pihak Komunis China, dan terus meninggalkan tanah airnya. Dia menetap di Perancis, menulis dalam bahasa Perancis, selain bahasa Mandarin, dan menjadi warga Perancis pada 1998. Gao Xingjian diberi anugerah Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan pada tahun 2000; penulis China pertama diberi anugerah setinggi itu.

Tulisan-tulisannya

Karya-karya Gao tersiar di beberapa majalah sastera. Di antara karya-karya Gao Xingjian, termasuklah:

  1. A Preliminary Discussion of the Art in Modern Fiction (1981, esei)
  2. Alarm Signal (1982, drama)
  3. Bus Stop (1983, drama)
  4. Wild Man (1983, drama)
  5. A Pigeon Called Red Beak (1985, beberapa novelet)
  6. Collected Plays of Gao Xingjian (1985, drama)
  7. In Search of a Modern Form of Dramatic Representation (1987, esei)
  8. Buying a  Fishing Rod for My Grandpa (1988, antologi cerpen)
  9. Soul Mountain (1990, novel; terjemahan Inggeris, tahun 2000)
  10. Six Volumes of Plays by Gao Xingjian (1995, mengandungi drama-dramanya yang diperbetulkan dan baru ditulis iaitu: The Other Shore (1986), Fleeing (1990), Between Life and Death (1991), Romance of the ‘The Classic of Mountains and Seas’ (1993), Dialogue and Rebuttal (1993), Netherworld (1995) dan Nocturnal Wanderer (1995)
  11. Weekend Quartet (1996, drama, puisi dan tarian)
  12. One Man’s Bible (novel, 1999)
  13. Return to Painting (2002, mengumpulkan lebih 100 lukisannya yang dicipta dari 1960-an sehingga terkini)
  14. Ink Painting by Gao Xingjian: Nobel Prize Winner (2002, mengumpulkan 60 lukisan dakwatnya)
  15. The Interrogator of Death (2003, drama)
  16. Snow in August (2003, drama)
  17. The Case for Literature (2006, esei)

Menelusuri Dua Karya Gao: Soul Mountain dan The Case for Literature

Novel Soul Mountain

Soul Mountain, buku berukuran lebih besar daripada novel biasa dan setebal 510 halaman,  mengambil masa selama 7 tahun untuk disiapkan. Ia ditulis ketika Gao masih berada di China dan kemudian di Paris. Lingshan atau Soul Mountain merupakan nama sebuah tempat yang ideal yang menjadi semacam besi berani menarik Gao untuk mencarinya. Pencariannya kepada Lingshan ini merupakan pencarian jiwanya: menggambarkan pencarian seorang individu akan erti kehidupan dan warisan serta makna kemanusiaan di tengah-tengah rembetan kekuasaan kelompok yang mencengkam.

Melarikan dirinya dari Beijing, setelah diketahui dia akan dipenjarakan di Qinghai, Gao memulakan pelarian dan pencariannya di Sichuan. Berbekalkan wang pendahuluan daripada seorang penerbit yang baik hati, yang percaya akan kejujuran dan bakat Gao, walaupun Gao terus-menerus dihentam pihak tertentu, Gao menjelajah di beberapa daerah pedalaman di Sichuan menuju ke  muara Sungai Yangtze dan daerah pesisirnya. Perjalanan ini mengambil masa selama 5 bulan dan Gao telah merentasi sepanjang 15000 kilometer tanah airnya.

Semasa perjalanannya itu dia menemui bukan hanya orang-orang Cina Han, tetapi pelbagai puak minoriti misalnya puak Qiang (Tibet), Miao dan Yi. Kita diperkenalkan dengan amalan hidup yang masih terpelihara dari sentuhan globalisasi dan bagai seorang ahli antropologi, Gao membuat kita lebih mengenali puak-puak berlainan di China ini. Ada yang masih mempercayai ilmu sihir dan unsur menurun, ada yang suka bersenandung lagu-lagu rakyat silam, ada yang masih mengamalkan cara hidup orang-orang Dao (Tao) dan Buddha, ada yang masih percaya maharaja China yang pertama sebenarnya berdarah kacukan manusia dan beruang, ada yang yakin bahawa orang-orang pertama di dunia bernama Fuxi dan Nuwa, ada yang diperintah oleh penyamun dan warlord dan sebagainya.

Walaupun komunisme masih merupakan kuasa rasmi negara China, namun penulisan Gao menunjukkan bahawa di sebalik cengkaman kuasa mutlak itu, manusia dari pelbagai puak di China tetap manusia biasa dengan segala keanehan dan kebaikan kemanusiaannya. Komunisme terus menentukan segala gerak kehidupan di China namun tidak semua orang rela menuruti acuannya.

Dalam novel ini tiada watak-watak yang penuh kecuali beberapa orang sahabat, renjer dan pengkaji di hutan-hutan simpanan dan hutan simpanan panda, pegawai, dan orang-orang awam yang ditemui Gao. Namun Gao menggunakan kata ganti nama diri orang pertama, kedua dan ketiga (aku, engkau, dia [wanita dan lelaki]) dalam penceritaannya. Sebenarnya tiada watak engkau dan dia dalam penceritaannya; Gao menyelitkan itu untuk mengembangkan penulisannya dan mendalami khususnya psikologi dirinya dan manusia lainnya. Watak engkau (wanita) misalnya digambarkan untuk mendalami masalah hubungan lelaki dan wanita dan kehendak yang berlainan yang mewarnai hubungan sedemikian. Gao juga mencipta watak-watak ini kerana dia terlalu kesepian semasa perjalanan dan pelariannya itu.

Kita lebih mengenali kepelbagaian hidup di China, terutamanya di beberapa daerah di sekitar Sichuan dan Sungai Yangtze kerana novel Soul Mountain ini. Namun yang lebih terkesan ialah imbasan-imbasan masa silamnya bersama keluarga, sahabat, kenalan dan bagaimana komunisme itu, terutama semasa zaman Revolusi Kebudayaan Mao Zedong, telah meracuni kehidupan mereka dan ramai yang lain sehingga kepentingan dan kebolehan individu serta kreativitinya bukan sahaja dicurigai malah dimomok-momokkan. Kita mendapati kekuatan suara individu yang seharusnya dihidupkan oleh seniman dan warga China misalnya apabila Gao membincangkan sumbangan pelukis Gong Xian (hal. 444-446); walaupun dunia lukisan yang diperkatakan, namun keteguhan Gong Xian melepasi keterbatasan zaman dan cengkaman-cengkaman yang dihadapinya itulah sumber yang harus dicontohi seniman dan rakyat China.

Ternyata novel Soul Mountain ini merupakan pencarian kejiwaan Gao akan makna  kewujudannya, masa silamnya, warisannya dan juga suaranya sebagai individu seni dengan segala permasalahannya berdepan dengan cengkaman komunisme di negaranya. Pencarian kejiwaan atau psikologi ini amat meletihkannya dan dia sering dirundung kesepian tetapi Lingshan atau Soul Mountain itu tetap tidak ditemui Gao di akhir novelnya. Seteguh gunung gigihnya jiwa Gao Xingjian menghadapi pelbagai hambatan dalam kehidupan dan bidang penulisan itulah sebenarnyalah Lingshan atau Soul Mountain Gao  kerana kita menemui kekuatan-kekuatan sedemikian dalam novel ini dan juga tulisan-tulisannya yang lain.

Buku Esei Gao The Case for Literature

Buku ini memuatkan 11 esei Gao yang berjudul ‘The Case for Literature’, ‘Literature as Testimony: The Search for Truth’, ‘Without Isms’, ‘Cold Culture’, ‘Literature and Metaphysics: About Soul Mountain’, ‘The Modern  Chinese Language and Literary Creation’, ‘About Fleeing’, ‘The Voice of the Individual’, ‘Wilted Chrysanthemums’, ‘Another Kind of Theatre’ dan ‘The Necessity of Loneliness’.

Secara keseluruhan esei-esei ini memberi gambaran yang lebih jelas mengenai pelbagai pandangan Gao berhubung dengan penulis dan kesusasteraan. Gao tidak menganut sesuatu ideologi politik atau menentang mereka yang terlibat dengan politik tetapi dia amat tidak setuju sastera diperalatkan untuk satu-satu kepentingan sebagaimana berlaku di China. Pengalamannya semasa zaman Revolusi Kebudayaan Mao (1966-1976) dan rentetan kejadian selepas itu, termasuk peristiwa berdarah di Tiananmen Square, jelas menunjukkan betapa sastera jenis propaganda atau diperalatkan itu tidak akan berdaya menggambarkan kebenaran sebenar. Dia juga menentang realisme sosial dan sikap patriotik membabi buta di negaranya kerana kedua-duanya menyulapkan keadaan sebenar.

Menurut Gao, cendekia dan seniman silam China terlalu mementingkan hak masyarakat terbanyak lantas mudah diperalatkan pihak-pihak tertentu, seperti pihak komunis, yang menggunakan mereka untuk melenyapkan suara individu di China. Hilangnya suara individu demi kononnya kemaslahatan ramai/politik inilah yang membuat kesusasteraan di China sukar berkembang, demikian menurut Gao. Ada pandangan-pandangan Gao sukar kita terima, misalnya keyakinannya bahawa penulis tidak harus menjadi ‘suara’ masyarakat atau negaranya; pandangan ini timbul kerana beliau sukar menerima pandangan Nietzsche mengenai konsep ‘Superman’ yang dianuti Mao Zedong. Konsep inilah, baginya, yang telah memporok-perandakan seniman dan masyarakat Cina di China.

Berikut saya perturunkan beberapa pandangan Gao mengenai penulisan dan kesusasteraan daripada bukunya The Case for Literature:

Halaman 28:

Sastera yang menemui cirinya yang sebenar dipanggil ‘sastera sejuk’ (cold literature). Ia wujud kerana manusia mencari suatu kegiatan kejiwaan melampaui keperluan kebendaannya. …. Pada masa silam sastera begini seringkali menentang penindasan kuasa-kuasa politik dan adat, kini ia harus juga berperang dengan nilai-nilai komersial yang subversif dalam masyarakat pengguna. Kewujudannya bergantung kepada kesediaan para penulis untuk menanggung kesepian.

Halaman 43:

Imaginasi yang dipisahkan daripada perasaan-perasaan tulen, dan rekaan/saduran yang dipisahkan daripada pengalaman-pengalaman kehidupan, akan hanya berakhir sebagai karya yang hambar dan lemah

Halaman 52:

Sastera yang mencari kebenaran tidak akan mahu ditundukkan oleh politik atau pasaran, lantas pembacanya dibataskan kepada beberapa orang….

Halaman 66:

Sebagai sasterawan yang tinggal dalam buangan, saya boleh mencapai semacam penyelamatan hanya melalui penciptaan sastera dan seni. Ini tidak bermakna saya menganjurkan sastera murni, sastera di menara gading, terpisah jauh dari masyarakat. Sebaliknya, saya menganggap ciptaan sastera sebagai tentangan individu terhadap masyarakat bagi haknya untuk wujud, walaupun tentangan ini begitu kecil, namun ia tetap suatu isyarat.

Halaman 74:

Seorang penulis berhadapan dengan masyarakat bersendirian dan bercakap serta bercerita dalam suara seorang individu; bagi saya inilah suara yang paling dekat dengan kebenaran.

Halaman 165 – 166:

Apabila ideologi, trend dalam pemikiran, fesyen dan pelbagai kegilaan begitu merangkumi kehidupan, bersendirian itu sebenarnya mengisahkan kebebasan individu. Dalam dunia yang hiruk pikuk hari ini, dengan propaganda dari media massa begitu menyeluruh, dan jika seseorang itu perlu mendengar suara hatinya, dia harus menyokong perasaan bersendirian ini. Selagi dia tidak menjadikan ini semacam penyakit, bersendirian itu diperlukan untuk seseorang individu memantapkan dirinya dan mencapai sesuatu [dalam kehidupan].

Demikianlah secercah pandangan dan penulisan Gao Xingjian.

Ditulis: 17 – 18 Jun 2008
Tajuk Tersiar: Berbeza sedikit daripada tajuk yang saya kirimkan kepada Berita Minggu – teks yang tersiar tersimpan di tempat yang tidak saya ketahui.
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada 2008.
Tulisan: Rasiah Halil.

Sejarah Bagi Seniman Dan Sastera

Harun Aminurrashid pernah berkata ‘kita tidak berasal daripada batu’ untuk menjelaskan bahawa setiap masyarakat itu ada sejarah dan legendanya yang tersendiri . Dan mengenali kedua-duanya penting bukan hanya untuk khalayak ramai, bahkan sasterawan dan seniman.

Baru-baru ini filem ‘Puteri Gunung Ledang’ yang dikatakan mengggegarkan dunia perfileman Melayu, akan memasuki pasaran antarabangsa. Filem ini bukanlah filem pertama yang meng-gambarkan legenda dan sejarah orang Melayu. Ramai yang menontonnya nanti akan mengaitkan legenda Puteri Gunung Ledang dengan Laksamana Hang Tuah dan percintaan mereka, tanpa merujuk kepada sumber asal cerita-cerita tersebut. Benarkah gambaran filem itu? Menurut buku Sejarah Melayu edisi Shellabear dan Sulalatus Salatin edisi A. Samad Ahmad, Hang Tuah tidak pernah bercinta dengan Puteri Gunung Ledang, malah mereka tidak pun bertemu. Yang mendaki hingga ke puncak Gunung Ledang, bertemu Dang Raya Rani, hanyalah Tun Mamat. Dan Puteri Gunung Ledang pula bukanlah seorang puteri Jawa sebagaimana digambarkan dalam filem tersebut; berbeza dengan yang dirakamkan dalam edisi Shellabear dan A. Samad Ahmad. Malah, dalam Hikayat Hang Tuah (HHT), Puteri Gunung Ledang digambarkan sebagai anak sultan Melaka dan diangkat menjadi raja setelah kemangkatan ayahandanya! Hang Tuah juga tidak ghaib; beliau meninggal dunia dalam buku edisi Shellabear dan A. Samad Ahmad. Dalam HHT pula, Hang Tuah dikatakan tidak mati tetapi berada ‘di pucuk hulu Sungai Perak, ia duduk menjadi raja segala biduandanya orang hutan’ (HHT 1975: hal. 525). Jelasnya gambaran filem itu bercanggah dengan legenda yang sedia kita maklumi.

Memang seniman dan penulis boleh merubah apa-apa sejarah yang sedia kita ketahui tetapi untuk kepentingan umum, khalayak perlu juga tahu cerita asalnya. Ada filem-filem berdasarkan sejarah dicatatkan bahawa beberapa penambahan dilakukan untuk melancarkan jalan cerita tetapi teras utama sejarah atau legenda itu tidak akan diubah. Seorang penulis boleh mencipta watak Hang Tuah atau Dang Anum yang hidup pada zaman ini di Singapura tetapi teras watak mereka iaitu seorang pahlawan Melayu dari Melaka (bagi Hang Tuah) atau seorang anak Bendahari Sang Rajuna Tapa pada zaman Singapura purba (bagi Dang Anum) tidak akan diubah kerana itulah di antara beberapa ciri dan teras watak-watak tersebut.

V.S. Naipual pernah menulis bahawa ‘yang silam mesti dilihat sebagai sudah mati, kalau tidak yang silam boleh membunuh’. Tetapi sejarawan sering mengingatkan kita untuk memahami yang silam, kerana tanpanya kita akan mengulangi kesilapan-kesilapan silam. Dan banyak sejarah sering berulang walaupun bentuknya mungkin sedikit berbeza daripada yang silam.

Terdapat sebilangan penulis yang mencipta karya-karya mereka berlatar dan berdasarkan sejarah atau legenda masyarakat. Shakespeare melakukannya bagi sejumlah karyanya demikian juga Jean Plaidy, Victoria Holt dan lain-lain. Di kalangan penulis mapan kita, nama Harun Aminurrashid terserlah kerana novel-novel sejarahnya misalnya Jong Batu, Panglima Awang, Anak Panglima Awang, Tun Mandak, Wan Derus, Wak Cantuk, Sultan Mahmud Shah dan lain-lain. MAS pula melahirkan karya sedemikian untuk kanak-kanak misalnya Sri Tri Buana, Tuk Sumang dan Dang Anum sementara Suradi Parjo menulis novelet Sang Rajuna Tapa dan drama Keris Sempena Riau. A. Ghani Hamid pula merakamkan keadaan masyarakat Melayu semasa peristiwa Syed Yasin pada zaman penjajahan Inggeris di Singapura pada abad ke-19 dalam novelnya Desa Ini Hatiku dan drama pesilat tersohor abad ke-19 di Singapura, Wak Cantuk.

Karya-karya ini dicipta bukan hanya untuk mengingatkan yang silam tetapi juga untuk meningkatkan jati diri dan perjuangan hidup pembaca. Harun Aminurrashid misalnya banyak mencipta karya sejarah semasa zaman penjajahan Inggeris dan ketika baru-baru merdeka, kerana ingin meningkatkan semangat juang pembacanya dan untuk mengingatkan bahawa lelulur pembacanya bukanlah berasal daripada batu lantas tidak punya apa-apa. Demikian juga Pramoedya Ananta Toer dengan Arus Balik, Arena Wati dengan Sudara, A. Samad Ahmad dengan Zaman Gerhana. Ramai penulis Singapura dan lainnya telah mengungkapkan kisah sejarah dalam puisi mereka; kita temui puisi ‘Hang Tuah’ oleh Amir Hamzah dan ‘Diponegoro’ oleh Chairil Anwar dan sebuah buku puisi yang hebat, Sajak-sajak Sejarah Melayu oleh Muhammad Haji Salleh. Sejarah dan legenda bagi penulis-penulis ini begitu hidup dan berakar dalam kehidupan khalayaknya.

Memahami laluan sejarah dan jujur dalam mengungkapkannya kadangkala boleh membawa padah kepada seniman. Ini terjadi misalnya bagi penulis-penulis Afrika Selatan sebelum hancur-nya zaman apartheid. Boris Pasternak pula menerima padah yang hebat kerana menulis novel Dr Zhivago. Novel ini, walaupun disaluti kisah percintaan, tidak menggambarkan segalanya muluk di Rusia setelah Revolusi Bolshevik, sebagaimana yang diinginkan pihak Russia. Seandainya Pasternak menggambarkan segalanya begitu sempurna dan hebat di Rusia dalam perlukisan novelnya pasti dia tidak dinafikan Hadiah Nobel, dipulau dan dicemuh oleh pihak berkuasa. Hanya gambaran sejarah sebagaimana adanya, dan Pasternak disingkir oleh negaranya.

Penulis yang tidak memahami sejarah dan legenda masyarakatnya mudah mempergunakannya untuk kepentingan-kepentingan yang tidak elok. Dia akan berlaku tidak jujur kepada seninya dan mengungkapkan apa yang diingini pihak-pihak tertentu, walaupunm bercanggah dengan nurani.

Sekadar contoh, seandainya dia hidup pada zaman Hitler di Jerman, dia akan menggambarkan segala-segalanya mengenai orang berdarah Aryan itu hebat dan sempurna dan orang yang tidak berdarah Aryan tidak akan mencapai tahap setinggi itu. Kalau ada pun orang-orang bukan Aryan yang berwibawa, dia akan seboleh-bolehnya menunjukkan orang-orang tersebut sebenarnya berdarah kacukan Aryan; lantas menafikan kebolehan orang-orang bukan Aryan tadi. Kejujuran atau seni penulis seperti ini bergantung kepada siapa yang berkuasa; kalau Hitler menghebohkan keperkasaaan orang Aryan, dia akan berbuat begitu. Kalau dia di Amerika dan bersama Christopher Columbus, dia akan mengggambarkan yang kuat hanya terdapat dalam kumpulan Columbus dan suku sakatnya, sambil menafikan secara langsung atau tidak langsung, hak sejarah kaum peribumi Amerika. Kejujuran seninya mencair dengan pemakaian pelbagai topeng canggih untuk menyorok agendanya yang sebenar.

Seniman begini, menurut Edward Said, telah dijajah pemikirannya. Mereka memiliki apa yang disebut sebagai ‘captive mind’. Tidak ternampak kebaikan yang ada dalam masyarakatnya, sebaliknya seandainya digambarkan sejarah masyarakatnya pada zaman Feringgi, Belanda, Inggeris atau Jepun, dia akan selalu berpihak pada yang berkuasa pada zaman tersebut, atau menggambarkan watak-wataknya yang hebat, hanya akan menjelma dengan adanya hubungkait dengan pihak-pihak berkuasa tadi. Baginya yang perkasa hanya lahir daripada siapa yang berkuasa.

Penulis dan seniman yang peka memahami makna sejarah dan kesannya pada manusia. Hanya penulis yang peka dan jujur dapat melahirkan misalnya cerpen ‘Cung! Cung! Cung!’ karya Jamal Ismail atau puisi ‘Melayu Baru’ tulisan Mohamed Latiff Mohamed. Kedua-duanya tidak buta terhadap sejarah atau mahu membutakan masyarakatnya terhadap sejarah dan perlakuan sejarah.

Ditulis: 23 September 2004
Judul Yang Disiarkan: Berlainan sedikit sahaja daripada tajuk yang saya beri.
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada 2004
Tulisan: Rasiah Halil.

2 Esei Ruangan Tun Fatimah: 1. ‘Penulis, Pembacaan Dan Kajian’ dan 2. ‘Tujuan Dan Sanjungan Dalam Penulisan’

Esei 1: Penulis, Pembacaan Dan Kajian

Sukar bagi kita membayangkan seorang penulis, pengajar atau penggiat kesusasteraan yang tidak gemar membaca atau amat terbatas pembacaannya. Kesukaran ini timbul kerana kita mengaitkan orang-orang tersebut terbabit dalam dunia kesusasteraan, secara langsung ataupun sebaliknya, lantas menjadi tugas mereka untuk mengikuti perkembangan dunia penulisan kita. Tetapi kenyataannya tidaklah selalunya seperti yang kita harapkan.

Mungkin pernah kita menemui orang-orang yang seharusnya tahu mengenai dunia penulisan kita tetapi sebenarnya amat tohor pengetahuannya dalam bidang tersebut. Ada penulis yang bila disebut nama penulis-penulis mapan kita seperti Harun Aminurrashid, Mahmud Ahmad, MAS, Hamzah, Masuri S.N., A. Ghani Hamid, Suradi Parjo, A.Samad Ismail, Salmi Manja, Suratman Markasan, Noor S. I., Aliman Hassan dan lain-lain, amat terbatas pengetahuan dan pembacaan mereka terhadap penulis-penulis tersebut. Ada yang mungkin mengenal satu dua karya penulis-penulis mapan ini tetapi tidak meluangkan masa untuk mengkaji atau sekurang-kurangnya mengikuti jalur perkembangan penulisan mereka sejak zaman mereka mula menulis. Akibatnya, kita kurang memahami karya mereka atau menghargai sumbangan mereka kepada kesusasteraan kita. Kalau penulis-penulis mapan ini tidak diteliti, dipelajari kekuatan dan sumbangan mereka, bagaimana pula penulis-penulis golongan pelapis seperti Md Latiff Mohd, Mibarzo, Md Fuad Salim, Jamal Ismail, Rosemala, Ahmad Affandi Jamari, Noor Hidayat, Nor Yusman Abdulmajid, Samsidah Suleiman, Ismail Sarkawi dan lain-lain? Pasti semakin mencorot pengetahuan kita terhadap mereka jika kurang membaca dan mengkaji; besar kemungkinannya kita mungkin mengenal orang-orang yang terbaru sahaja, itu pun tidak sedalamnya kerana pengetahuan kita merupakan sorotan akhbar terhadap penulis-penulis baharu ini, sedangkan kita sendiri kurang membaca karya-karya mereka.

Dan bagaimana pula pengetahuan kita tentang penulis-penulis berbahasa Melayu di negara-negara jiran kita? Apakah kita membaca karya-karya Arena Wati, A. Samad Said, S. Othman Kelantan, Shahnon Ahmad, T. Alias Taib, Muhammad Hj Salleh, Baha Zain, Kemala, Zakaria Ali, Anis Sabirin, Adibah Amin, Zaharah Nawawi, Fatimah Busu, Siti Zainon Ismail, Zurinah Hassan dan lain-lain dari Malaysia? Atau penulis-penulis dari Indonesia dan Brunei seperti Amir Hamzah, Chairil Anwar, S.T. Alisjahbana, Hamka, Hamidah, Pramoedya, Achdiat K. Mihardja, Taufiq Ismail, W.S. Rendra, Umar Kayam, Sutardji Calzoum Bachri, Muslim Burmat, A. S. Isma, Norsiah Abdul Gapar dan lain-lain? Tanpa mengetahui sedikitnya mengenai karya penulis-penulis ini dan sebilangannya yang tidak disebut di sini, pengetahuan sastera kita akan menjadi amat terbatas sekali.

Dan sebagai penulis Islam, menjadi tanggung jawab kita juga untuk mengetahui karya-karya dari dunia Islam yang kini telah banyak diterjemahkan ke bahasa Melayu dan Inggeris. Demikian juga perlu bagi penulis, pengajar dan penggiat kesusasteraan Melayu tidak terbatas ruang lingkup pembacaannya kepada karya-karya dari dunia Melayu dan Islam sahaja; sedikitnya perlu juga kita mengetahui karya-karya dari negara-negara ASEAN dan juga dari benua Asia, Afrika, Australia, Eropah, dan Amerika. Tanpa mahu mengetahui sedikitnya karya dan perkembangan sastera di sekeliling kita, akan hanya menjadikan kita bagai ikan besar di sungai yang berselut tetapi sebenarnya sekadar ikan yang amat kecil dalam samudera sastera yang lebih besar, berwarna-warni dan dihuni pelbagai hidup-hidupan laut. Dan penulis kita terutamanya, bukan hanya perlu membaca seluasnya mengenai karya-karya sastera, tetapi juga buku-buku yang tidak terbatas kepada dunia sastera sahaja. Buku-buku ini sama ada mengenai persoalan kemasyarakatan, sejarah, politik, peradaban dunia, psikologi, sains dan sebagainya boleh sahaja menjadi bahan mentah dan ilmu bantu dalam pengkaryaan penulis tadi dan menjadikan karya-karyanya lebih padat dan berbobot.

Penulis muda Indonesia, Helvy Tiana Rosa, dalam kumpulan eseinya Segenggam Gumam halaman ix-x misalnya, mencatatkan bagaimana proses beliau didatangi ilham dan pengkajiannya dalam melahirkan karya:

Sekarang, soal wawasan dan warna lokal dalam cerpen-cerpen saya. Menulis tentang kampung sendiri saja kita sering repot, apa lagi menulis dengan seting luar daerah atau luar negeri. Sebelum menulis cerpen “Jaring-jaring Merah” yang mengambil latar Aceh, misalnya, saya membaca semua hal tentang Aceh, bahkan dari masa pertama kali Islam masuk ke Aceh. Saya juga banyak ngobrol dengan orang Aceh. Memerhatikan gaya dan cara mereka bicara, menanyakan beberapa hal seperti budaya, makanan khas, tokoh-tokoh Aceh yang berpengaruh kini, sampai minta diajarkan beberapa kalimat dalam bahasa Aceh. Begitu juga ketika saya menulis tentang Ambon, Timor Timur (sekarang sudah luar negeri, ya?), Poso, Sampit, saya melakukan riset [penulis—research/kajian] yang tidak sebentar.

Yang paling sulit ketika harus menulis tentang negeri lain. Saya merasa beruntung kalau bisa menemui orang-orang dari negeri tersebut, tetapi bila tidak, saya harus mengunjungi dan berlama-lama di perpustakaan.’

Contoh Beberapa Penulis Yang Banyak Membaca dan Mengkaji

Arena Wati adalah di antara penulis-penulis mapan yang luas pembacaannya dan banyak mengkaji dalam penghasilan karya-karyanya. Salah sebuah novel terawalnya, Lingkaran (1965) menyelongkar masalah rasuah dalam negara membangun. Walaupun terdapat beberapa novel yang menyelongkar hal sedemikian misalnya rasuah pegawai-pegawai kebajikan dalam novel Angin Timur Laut (S. Othman Kelantan, 1969) dan rasuah ahli politik dalam Tikus Rahmat (Hassan Ibrahim, 1963), dalam Lingkaran, masalah rasuah ditelesuri dengan lebih mendalam. Ia menggambarkan bagaimana rasuah boleh terjadi dalam negara membangun apabila pegawai kerajaan, yang dilambangkan melalui watak Ramli, terpancing untuk makan suap oleh orang-orang yang mahukan tender kerajaan, iaitu daripada kalangan peniaga seperti Foo Seng Kow, Arumugam, dan Hess. Tanpa kajian dan pengalaman mengenai kesan negatif rasuah, tidak mungkin Arena Wati dapat menulis karya seperti Lingkaran. Demikian juga beberapa karyanya yang lain, baik novel mahupun cerpen; kita amat jarang kecewa menimba ilmu dan pengalaman daripada karya-karyanya kerana Arena Wati terkenal sebagai orang yang luas pembacaan dan kajiannya yang disisipkan dengan bijak dalam karya-karyanya. Yang diberi kepada pembacanya bagaikan melalui proses penyulingan; kerana yang dikaji lebih luas dan dipadatkan atau disuling untuk tatapan pembacanya.

Dan Brown merupakan novelis yang heboh diperkatakan kini, terutama kerana novelnya, The Da Vinci Code. Walaupun timbul pelbagai tengkarah mengenai novel ini, namun karya Brown ini menarik untuk dibaca kerana tulisannya yang lancar dan mencabar selain pengetahuannya mengenai beberapa bidang ilmu misalnya seni lukis, teologi agama Kristian, kumpulan rahsia Opus Dei dan Priory of Sion, kod bersimbol dan lain-lain. Dalam novel ini, Robert Langdon, profesor simbolisme dari Universiti Harvard, diminta pergi ke Muzium Louvre di Paris kerana terbunuhnya kurator muzium tersebut,  Jacques Sauniere, di sana, dan meninggalkan beberapa simbol di badannya sebagai pesanan untuk ditafsir oleh Langdon. Lukisan terkenal Leonardo da Vinci ‘Mona Lisa’ dan beberapa lukisan serta teka-teki yang lain terpaksa ditafsir oleh Langdon dan Sophie Neveu, penyelidik simbol dan cucu kurator yang terbunuh itu.

Kita dibawa oleh Brown ke beberapa lapisan teka-teki yang mencabar minda dan jawapan yang kita temui di akhir novel ini, agak tidak diduga. Kebolehan Dan Brown dalam mengkaji serta menghadami beberapa bidang ilmu dan kemahiran penulisannya dalam menghidangkan karya yang menyeronokkan membuat kita sukar berhenti membaca sehingga selesai. Walaupun novel Brown ini bukanlah karya agung dari segi penilaian kesusasteraannya, ia tetap dianggap karya berunsur misteri yang agak baik. Kajian dan pertukangan Brown tidak sia-sia sebagaimana terbukti dengan luasnya pembacaan novel The Da Vinci Code ini.

Karya-karya Dan Brown yang lain misalnya Angels and Demons, yang juga berkisar pada persoalan kumpulan rahsia, Illuminati, dan kubu Katolik serta Popenya di Vatican City, juga mengenengahkan Robert Langdon sebagai protagonis yang cuba merungkai beberapa simbol. Digital Fortress pula mengenai Agensi Sekuriti Nasional, sebuah agensi yang amat rahsia di Amerika Syarikat dengan kecanggihan komputernya yang boleh memecahkan kod-kod rahsia dari seluruh dunia. Sementara novelnya yang berjudul Deception Point menggunakan Agensi Angkasa Lepas Amerika (NASA) dan polisi-polisi agensi ini sebagai tumpuan kisahnya. Kerana NASA dikatakan menemui sesuatu yang luar biasa dari luar bumi, dan kini tersimpan di Artik, penyelidikan beberapa orang saintis dan penyelidik seperti Rachel Sexton, membuat kita lebih memahami beberapa perkara berhubung dengan sains dan NASA. Dan seperti novel-novelnya yang lain, Dan Brown pandai menimbulkan unsur ingin tahu dan kejutan kepada pembaca-pembacanya. Dengan pembacaan dan kajiannya yang luaslah, selain kemahiran penulisannya yang membolehkan Dan Brown menulis novel-novel misteri yang menarik hati.

Salah seorang penulis muda Malaysia yang berbakat, Faisal Tehrani, merupakan satu lagi contoh bagaimana pembacaan dan kajian yang mendalam, selain kemahiran penulisan yang tinggi, dapat menghasilkan karya-karya yang bermutu. Faisal menulis esei, cerpen, novel dan puisi dan di antara karya-karyanya termasuklah novel/novelet 1515, 1511H (Kombat), Perempuan Politikus Melayu, Rahsia Umi, Cinta Hari-hari Rusuhan dan kumpulan cerpennya, Perempuan Anggerik.

Dalam novel 1515 misalnya, kita dibawa ke dua alam: masa silam di Melaka dan masa kininya. Sejarawan Dr Adi Fimiyun sedang mengkaji mengenai kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511, tetapi dikenalkan secara bawah sedar dengan watak Nyemah Mulya, pejuang zaman Melaka. Dan watak Nyemah Mulya juga hidup dalam masa kini, bertugas sebagai seorang profesor. Kesedaran Adi Fimiyun akan perlakuan sejarah dan peranan penting yang dimainkan oleh pejuang Melaka, yang dipimpin pejuang wanitanya, Nyemah Mulya, membuat kita banyak berfikir mengenai sejarah Melaka pada zaman tersebut. Faisal Tehrani tidak akan berjaya menyampaikan mesejnya dengan berkesan jika pengetahuannya mengenai Melaka, Portugal, sejarah dan masyarakat pada zaman silam Melaka atau zaman kininya, tidak mendalam. Demikian juga, dengan terhimpunnya demikian banyak fakta untuk mencipta novelnya tidak akan melahirkan sebuah novel yang baik, jika pertukangan seninya tidak sebaiknya. Novel 1515 ini membuat kita banyak berfikir mengenai Melaka dan yang menarik, Faisal memberi satu lagi versi mengenai Melaka: bahawa yang dikalahkan selepas apa yang dianggap kejatuhan Melaka, sebenarnya kejatuhan Lisbon dan Portugal di tangan Melaka di bawah pimpinan Nyemah Mulya!

Sebuah lagi novelnya, Perempuan Politikus Melayu mendedahkan dengan bijak penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan sang politikus. Novel-novel bernafaskan politik banyak dicipta oleh A. Samad Ismail misalnya Kail Panjang Sejengkal, Menduga Lautan Dalam, Menimba yang Jernih, Patah Sayap Terbang Jua, Tembok Tidak Tinggi, Detik-detik Cemas dan lain-lain atau Shahnon dalam novel Menteri, Perdana, Terdedah dan juga Alias Ali dengan Krisis dan Yahaya Ismail dengan Langkah Kiri. Demikian juga terdapat banyak cerpen, terutama pada tahun-tahun 60-an dan 70-an di Malaysia yang merakamkan harapan rakyat yang kecundang di tangan politikus yang mementingkan diri sendiri. Kemunculan novel Faisal menambahkan satu lagi dokumentasi sedemikian, dan beliau mahir mengadun fakta semasa yang dibalut oleh benang imaginasi dan kajian serta kemahiran penulisannya untuk membidas wujudnya manusia penyeleweng seperti sang politikus, protagonis novelnya ini.

Dalam novel 1511H (Kombat), Faisal Tehrani mengimbas ke hadapan pada tahun 2087 Masihi iaitu 1511 Hijrah. Terjadi krisis yang mengakibatkan perang apabila presiden Amerika, Richard Nosirname, mengiystiharkan perang ke atas Gabungan Tentera Pemuda Islam, pimpinan Syarifah Nusaybah Syed Abdullah, seorang jeneral dan ahli sufi. Presiden Nosirname mahu menceroboh Makkah dan Madinah dan ini dipertahankan oleh pemuda pemudi Islam dari seluruh pelosok dunia, dipimpin oleh komander masing-masing. Bercorak futuristik, Faisal pastinya mendalami bidang sains, sejarah, persenjataan dan agama/sufisme untuk menulis novel ini kerana fakta-fakta tersebut disisipkan dalam novelnya. Demikian juga gambaran beliau mengenai beberapa fenomena seperti cyborgs, sarcos, biobots dalam kehidupan masa hadapan. Dan daripada 11 orang komander dari seluruh pelosok dunia, Jeneral Nusaybah (dan juga Faisal) memilih Komander Muhammad Ameen Muhammad, orang Melayu dari Malaysia, untuk meneruskan perjuangan memartabatkan Islam dan menjernihkan gambaran kacau bilau mengenainya setelah peristiwa 11 September. Walaupun watak-watak dalam novel 1511H (Kombat) ini tidak dikembangkan secukupnya, kita masih dapat menikmati karya ini kerana ternyata tulisan Faisal bukan sekadar omong kosong saja.

Barbara Kingsolver, yang mendapat sarjana dalam bidang biologi, menjadi penulis sepenuh masa dan menulis cerpen, novel, esei, puisi dan karya-karya bukan cereka. Di antara karya-karyanya termasuklah: The Bean Trees, Animal Dreams, Homeland and Other Stories, High Tide in Tucson: Essays from Now or Never, Another America dan lain-lain. Tulisannya sarat dengan pengetahuan dan pandangannya mengenai sesuatu isu, yang disampaikan dengan bersahaja. Dalam cerpen pun, terdapat keinginan beliau untuk melihat kebergantungan pelbagai spesies dalam kehidupan ini dan watak-wataknya kaya dengan segala kepelbagaiannya. Dalam antologi esei terbarunya, Small Wonder, kita temui penulis yang diperkukuhkan kemahiran penulisannya kerana pengetahuan dan kajiannya mengenai satu-satu perkara yang menarik perhatian atau menusuk nuraninya. Saya nukil beberapa tulisannya untuk menggambarkan ini:

I was trained as a biologist and can appreciate the challenge and the technical mastery involved in isolating, understanding, and manipulating genes. I can think of fascinating things I’d like to do as a genetic engineer. But I have only to stand still for a minute and watch the outcome of thirty million years’ worth of hummingbird evolution transubstantiated before my eyes into nest and egg to get knocked down to size. I have held in my hand the germ of a plant engineered to grow, yield its crop, and then murder its own embryos, and there I glimpsed the malevolence that can lie in the heart of a profiteering enterprise. There once was a time when Thoreau wrote, “I have great faith in a seed. Convince me you have a seed there, and I am prepared to expect wonders.” I’m a scientist who thinks it wise to enter the doors of creation not with a lion tamer’s whip and chair, but with the reverence humankind has traditionally summoned for entering places of worship: a temple, a mosque, or a cathedral. A sacred grove, as ancient as time (mengenai kejuruteraan genetik, halaman 108).

Dan

No bomb has ever been built that can extinguish hatred and while I have told that this is not the point, I insist on it as my point, if one is ever made for me. Vengeance does not subtract any numbers from the equation of murder; it only adds them. Empathy, comprehension, resolution—-these are the only powers for murder’s reduction. ……….I’d rather be remembered as a lesson learned, a sympathy made acute, a moment in which humanity rose humanely to a fearful occasion. (mengenai kesan 11 September dan tindakan perang selepasnya, halaman 193-194).

Kesimpulan

Tanpa pembacaan yang luas, pengalaman, pengamatan, kajian dan pertukangan, karya-karya kita hanya indah mungkin pada bentuknya tetapi isinya hampas belaka. Kalau kita sekadar ada ilmu pengetahuan dan melongokkan fakta-fakta yang tidak dipadatkan, karya kita akan terasa hambar. Sebaliknya, karya tanpa terisi ilmu-ilmu bantu daripada pembacaan, kajian, pengalaman atau pengamatan kita juga tidak akan meninggalkan kesan. Seimbangan kesemuanya yang diperlukan untuk melahirkan karya yang baik untuk tatapan masyarakat. Saya akhiri dengan dua nukilan untuk renungan kita daripada Syed Hussein Alatas dalam bukunya Kita Dengan Islam, halaman 167:

Kalau banyak sekali yang dihalau dari otak, nanti akhirnya otak kita kosong dan hanya debu yang terdapat di dalamnya. Kalau ada pergolakan, ini adalah pergolakan debu yang hasilnya debu juga, kerana debu tidak dapat menghasilkan apa-apa melainkan debu juga.

Dan Barbara Kingsolver dalam Small Wonder, halaman 21:

It seems to me that there is still so much to say that I had better raise up a yell across the fence. I have stories of things I believe in: a persistent river, a forest on the edge of night, the religion inside a seed, the startle of wingbeats when a spark of red life flies against all reason out of the darkness. One child, one bear. I’d like to speak of small wonders, and the possibility of taking heart.

Ditulis: 8 – 9 Mac 2005
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) dengan beberapa tajuk berlainan sedikit daripada tajuk yang saya beri, pada 2005
Tulisan: Rasiah Halil.

 

Esei 2: Tujuan Dan Sanjungan Dalam Penulisan

Mukadimah

Kebanyakan penulis mempunyai tujuan tertentu apabila mereka berkarya. Ada yang ingin meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu yang menggugat; ada yang mahu menjadi ‘tukang perubah nasib bangsa’, sebagaimana kata A. Samad Said; ada yang ingin menimbulkan kesedaran kerohanian; ada pula mahu mencatatkan kehidupan, menggam-barkan pelbagai gurisan yang menghiasi kehidupan insan; ada yang ingin mengisi makna kehadirannya dalam kehidupan ini dan tidak kurang pula yang menulis kerana inilah caranya untuk menjadi terkenal, menempah nama, mengisi masa senggang, mendapatkan imbalan-imbalan tertentu. Apa pun tujuan seseorang itu menulis, dialah yang lebih arif akan tujuan-tujuan sebenarnya.

Bagi penulis, pertama kali karyanya tersiar atau mendapat hadiah tertentu selalunya menimbulkan kegembiraan yang sedikit luar biasa. Memang aneh dan sekali gus agak ‘menakjubkan’ apabila nama dan wajah kita tersiar di akhbar atau karya kita diperdengar/ dipertontonkan di radio atau televisyen. Kita seakan-akan tidak percaya: betulkah aku seorang penulis atau orang yang menulis itu sebenarnya bukan aku –  kerana sukar juga bagi kita mempercayai bahawa karya kita akhirnya tersiar atau mendapat hadiah dalam peraduan-peraduan tertentu. Perasaan ‘kurang percaya’ ini kadangkala berlarut-larut untuk beberapa lama pada waktu-waktu awal penulisan kita kerana kita seakan-akan enggan percaya bahawa kita telah mula mendapat tempat di persada sastera tanah air dan khalayak ramai juga telah mula mengenal karya-karya kita dan kadangkalanya, mengenal diri kita. Di peringkat awal penulisan, mendapat tempat dan dikenali mungkin lama juga ‘mengawang-awangkan’ kita dalam dunia sastera kerana segala-galanya begitu baharu bagi kita. Ego kita sebagai pencebur seni juga mungkin semakin berkembang kerana perhatian-perhatian di peringkat awal itu.

Ego Dan Penulis

Menurut ilmu psikologi, memang dorongan ego itu begitu kuat dalam diri manusia, termasuk manusia penulis. Ego atau nafs (bukan sekadar syahwat) memang boleh mendorong manusia menembusi benteng-benteng yang menghambat dirinya. Dalam agama ada disebut terdapatnya nafs/ego yang baik atau sebaliknya. Ada ego/nafs mendorong manusia penulis agar menjadi penulis yang bertanggung jawab, berketeram-pilan dan sentiasa terbuka untuk kebaikan bidang yang diceburinya. Dan ada ego pula, sebagaimana biasa kita maklumi, menjadi pendorong ke arah yang kurang bermanfaat bagi sang penulis, walau pada mata kasarnya, ia memanfaatkan penulis tadi pada jangka pendeknya. Ego sebegini mendorong seseorang penulis itu untuk menganggap dirinya serba baik sebagai penulis, suka disanjung-sanjung, mahu sering dirujuk sebagai pakar itu dan ini (walaupun dia sebenarnya bukan pakar bidang tersebut), mahu dirinya dianggap orang terpenting dalam bidang sastera dan sebagainya. Ego si penulis mudah terjejas apabila ada penulis-penulis lain yang tidak seiring sejalan dengannya kerana mereka berasa ‘lemas’ dengan kecenderungan ego penulis sebegini.

Mungkin kerana ego yang tidak beres dikendali, terdapat banyak cek-cok dalam dunia sastera kita. Orang mudah terguris dan melatah walaupun angin-angin yang mengimbau di sekitarnya, bukan pula berdesir kerananya. Ada yang suka memonopoli perhatian dan menjadi jengkel apabila ada penulis-penulis lain mendapat perhatian yang sewajarnya bagi bakat mereka. Orang-orang sebegini mengamalkan apa yang disebut sebagai ‘zero sum game’: jika orang lain naik di persada sastera, mereka anggap mereka akan turun, dan jika mereka yang berada di takhta sastera, orang lain pula harus turun. Mereka percaya sebagaimana kata William Shakespeare dalam salah sebuah dramanya: ‘Two Henry cannot be in one England’. Konsep kita sama-sama naik sebagai penulis dan sama-sama menyumbang tanpa mementingkan siapa harus dicanangkan sebagai jempolan, kurang benar wujudnya di kalangan penulis-penulis sebegini. Ego yang demikian besar tidak membenarkan sebilangan penulis ini menerima sumbangan pelbagai pencebur seni kerana dengan demikian kedudukan penulis-penulis ini akan selalu terancam. Sebilangannya pula suka berlegar-legar dalam semacam dunia gosip dan seumpamanya, yang langsung tidak memanfaatkan. Akhirnya sastera kita yang menerima akibatnya; kita berlegar dengan ego yang besar di permukaan sementara akar sastera kita selamanya tidak akan bertunjang.

Sanjungan Dan Tujuan Penulis/Seniman

Semua pencebur seni yang baik akan menerima sanjungan juga akhirnya, kalau bukan semasa hidupnya, setelah kematiannya. Pelukis Vincent van Gogh hanya dapat menjual beberapa lukisannya dan menderita dari segi emosi, psikologi, fizikal dan kewangan kerana penceburan seninya. Namun setelah kematiannya barulah khalayak seni mengetahui sumbangan besarnya kepada dunia lukisan. Ada orang mendapat sanjungan bukan kerana dia benar-benar bagus tetapi kerana dia pandai membina rangkaian atau ada penyokong-penyokong tertentu yang mahu dia ke depan. Contoh yang baik ialah penulis Salman Rushdie. Walaupun beberapa tulisannya agak baik, misalnya novel Midnight’s Children, tetapi novel Satanic Versesnya bukanlah novel yang baik, dan pertimbangan ini belum lagi mengambil kira unsur menghina Islam yang terdapat dalam novel tersebut. Sebagai novel pun, Satanic Verses bukanlah karya yang baik atau besar tetapi kerana ada pihak-pihak yang menyokongnya setelah fatwa yang dikeluarkan oleh pihak Iran, novel itu dianggap novel besar dan dia pula dianggap penulis jempolan dan ‘pejuang’ kebebasan penulisan. Tidak hairanlah sokongan yang diberikan kepada Salman Rushdie menjadi sanjungan daripada pelbagai pihak sehingga pada tahun ini dia diberi gelaran ‘Sir’/’knighted’ oleh Ratu Elizabeth II. Dan tidak menghairankan pula jika suatu hari nanti dia diberi Anugerah Nobel bagi Kesusasteraan kerana kehadiran Salman Rushdie sebagai penulis mendapat sokongan pihak-pihak tertentu yang berkepentingan walaupun karya-karya Salman Rushdie belum tentu layak menerima anugerah berprestij itu.

Memang sebagai manusia biasa kita suka juga karya-karya kita dihargai dan tidak dipinggirkan. Tetapi sanjungan yang kita terima kerana penceburan seni kita bukanlah pula sesuatu untuk dibangga-banggakan, membuat kita lupa diri atau menjadikan kita orang yang menganggap dirinya serba sempurna. Setiap sanjungan itu datang bersama amanah dan tanggungjawab. Apakah kita benar-benar layak menerima sesuatu sanjungan itu atau kita benar-benar pandai menghargai sanjungan yang diberikan kepada kita? Atau ego kita yang terlalu besar lalu sanjungan-sanjungan itu kita anggap sebagai hak peribadi kita seorang?

Apa pun tujuan penulisan kita dan apa pun sanjungan yang kita terima, kita harus akur, semuanya adalah sementara. Kalau tujuan penulisan kita murni, penglibatan seni ini kita ceburi dengan rasa tanggungjawab, integriti, dan keterampilan yang sentiasa terbuka untuk diperbaiki, ada atau tiadanya sanjungan bukanlah perkara inti. Sanjungan tidak membuat kita besar kepala dan tiadanya sanjungan pula membuat kita berkecil hati. Kesementaraan segala sanjungan yang diberikan oleh manusia membuat kita lebih insaf akan tujuan penglibatan seni kita kerana akhirnya segala penceburan seni kita akan terungkai makna sebenarnya kelak.

Kesimpulan

Antara tujuan dan sanjungan dalam bidang kesusasteraan atau kesenian, akhirnya kita semua akan berpaksi pada titik asal. Bukan nama, perhatian, sanjungan yang harus dikejar tetapi perkara-perkara yang lebih besar dan hakiki daripada hal-hal tersebut. Ini dijelaskan dengan indah oleh Muhammad Haji Salleh dalam kumpulan puisinya,  Sajak-Sajak Sejarah Melayu (Dewan Bahasa dan Pustaka: 1981), berjudul ‘ceretera yang kedua puluh tiga’.

Dalam sajak tersebut, Sultan Mansur Syah yang gering, menasihatkan anaknya Raja Husin (kemudian bergelar Sultan Alauddin Riayat Syah) agar lebih peka pada rakyat serta tahu tujuan dan amanah yang harus dipegang setelah kemangkatannya. Nasihat Sultan Mansur Syah, melalui puisi Muhammad Haji Salleh ini, boleh juga membuat kita semakin memikirkan tujuan penceburan seni kita dan betapa kemurnian tujuan dan amal itu boleh memanfaatkan semua, sebagaimana ditujukan kepada Raja Husin (petikan halaman 56-57):

iii

dengar juga orang yang tidak berkata
atau bila berkata tidak bersetuju,
kerana mereka juga perlu.
mereka juga melihat dengan mata negeri,
memikir di waktu kita memikir.

————————————————–

dan akhirnya fikirlah di luar dirimu
kejarlah tujuan yang lebih besar dari harta,
anak sungai atau gelaran.
manusia itu kecil
kecil dan kaku seperti aku,
usia pendek
tapi negeri itu panjang,
dan rakyat itu banyak keturunannya.

Ditulis: 20 Ogos 2007
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) dengan tajuk-tajuk sedikit berlainan pada 23 dan 30 September 2007 (dua bahagian).
Tulisan: Rasiah Halil.

Perihal Buku Dan Pembudayaannya

SalinaAngin Timur Laut

Pengenalan

Esei tulisan Kishore Mahbubani berjudul ‘Buying books in aid of literature’ tersiar di akhbar Sunday Times pada 3 Februari 2008, menarik untuk dibaca. Ada beberapa perkara pokok yang diutarakan Kishore, di antaranya termasuklah soal pemberian buku percuma penulis kepada orang lain dan juga membudayakan buku dalam keluarga, walaupun perkara-perkara ini bukan perkara baharu, tetapi ia tetap membuat kita berfikir mengenainya.

Pemberian Buku

Benarkah pemberian buku percuma oleh penulis kepada keluarga dan rakan taulannya selalu tidak menimbulkan kesan yang diingini, kurang dihargai, sebagaimana yang dialami Kishore dan ramai penulis lain? Apakah kerana kita tidak bersusah-payah mengeluarkan wang untuk mendapatkan buku tadi kerana diberi percuma, ia hanya akan tinggal sebagai bahan tambahan di rak-rak buku kita, tanpa membacanya? Saya fikir ini banyak bergantung kepada faktor lain. Kadangkala sesebuah buku memerlukan masa yang lama untuk dihadami dan kita pula mempunyai masa yang terbatas, lantas sukar untuk kita memberi tumpuan yang sepenuhnya jika diberi sesebuah buku dan siap dibaca dalam masa yang singkat. Dan adakalanya buku yang kita terima tidak termasuk dalam lingkungan buku-buku yang kita minati, lantas buku tadi diketepikan buat sementara waktu. Malah, ada buku-buku yang kita beli pun, kita terpaksa ketepikan kerana keterbatasan masa memerlukan kita menyelang-nyelikan pembacaan kita kepada beberapa buku pada masa yang sama.

Benar, apabila kita terpaksa membeli sebuah buku, besar kemungkinannya kita akan meluangkan masa untuk membacanya dan memberi maklum balas, sama ada secara tulisan formal, misalnya dalam bentuk ulasan, menulis kesan-kesan tulisan buku tadi di tepi-tepi buku atau di buku nota yang lain, untuk kegunaan peribadi atau kadangkala kita berdiam sahaja. Tetapi perkara ini juga berlaku semasa meminjam buku-buku dari perpustakaan. Bezanya dengan buku yang diberi percuma, pembacaan dan kesan yang kita terima mungkin lebih mengambil masa, kerana kita kurang tergesa untuk berbuat demikian, melainkan karya penulis tersebut benar-benar kita minati dan tidak sabar kita menantikan kelahiran bukunya.

Buku-Buku Yang Mengesankan

Satu yang ketara, sama ada seseorang pembaca itu diberi buku percuma, membeli atau meminjamnya, penghargaannya terhadap buku tersebut dan kesan pembacaan buku tadi bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa-paksa. Ada buku amat mengesankan kita tetapi mengambil masa yang agak lama sebelum kita dapat menulis mengenainya. Saya teringat membaca novel Salina (karya A. Samad Said), Angin Timur Laut (karya S. Othman Kelantan) dan Ranjau Sepanjang Jalan (karya Shahnon Ahmad) pada usia remaja tetapi saya tidak dapat melahirkan apa-apa kesan daripada pembacaan buku-buku tersebut ketika itu. Saya hanya tahu saya demikian terharu memikirkan nasib orang-orang di Kampung Kambing, Pantai Timur dan Banggul Derdap. Rasa terharu ini kemudian lebih kuat gemanya apabila saya lebih mendalami ketiga-tiga karya itu dan lebih memahami masalah-masalah yang menyaluti beberapa watak dalam ketiga-tiga novel tersebut. Hanya setelah semakin menapak dari usia remaja itu barulah kesan-kesan pembacaan ketiga-tiga novel itu menyedarkan saya kepada beberapa hal, berhubung dengan masalah kemasyarakatan tetapi juga mengenai keterampilan penulisnya mengolah cerita dengan baik dan berkesan. Bertahun-tahun setelah tidak lagi menjengah ke dunia kucar-kacir selepas Perang di Kampung Kambing, Singapura, dahsyatnya angin timur laut mencorakkan kehidupan nelayan di Pantai Timur atau deritanya petani dari Kedah seperti Lahuma, cerita-cerita ini sesekali meruangi juga pemikiran saya dan kemudian tulisan saya. Sukar mengenepikan kesan-kesan buku yang baik kepada kehidupan kita kerana kesannya tidak semestinya berlaku dengan serta-merta atau pada jangka waktu yang singkat sahaja.

Maklum Balas Mengenai Buku Yang Dibaca Atau Dicipta

Untuk mendapatkan maklum balas yang jujur dan serius setelah membaca sesebuah buku, seperti dikatakan Kishore, memanglah tidak semudahnya. Ada yang memberi maklum balas, tetapi penelahannya tidak mendalam. Ada yang membuat ulasan, tetapi isu-isu pokok yang diutarakan penulis dalam bukunya, tidak pula disentuh. Dan ada pula sekadar mencakar-cakar di permukaan kerana sebenarnya tidak menghayati apa yang ditulis oleh seseorang penulis itu. Dan terdapat juga maklum balas yang diberi tidak sejujurnya kerana pemberi maklum balas sekadar memuji-muji kawan sendiri dan sebagainya.

Seorang mahaguru saya pernah bertanya: apakah buku-bukunya tidak mengesankan masyarakat Melayu-Islam Singapura? Mahaguru ini terkenal seantero Nusantara, malah buku-buku dan kajian-kajian ilmiahnya mendapat perhatian pemikir-pemikir di luar Nusantara. Tetapi jarang benar beliau mendengar maklum balas mengenai buku-bukunya, kecuali dalam majalah/jurnal kampus dan perbincangan di kalangan mahasiswa dari unversitinya. Dan buku-bukunya bukan calang-calang, malah menerjah kita untuk berfikir dan memikirkan beberapa hal seperti persoalan mitos peribumi yang malas, kajian mengenai timbulnya rasuah dan kesannya, peranan intelektual dalam negara membangun dan sebagainya. Saya pernah menjawab: orang Melayu-Islam bangga terhadap sumbangan beliau tetapi soal mendapatkan maklum balas ini mungkin sukar sedikit. Agaknya sesetengah kita lebih suka berdiam, kerana diam bagaikan pengantin perempuan, bermakna setuju, walaupun yang diperlukan sang mahaguru ialah maklum balas dalam bentuk perbincangan dan tulisan mengenai idea-idea dalam buku-bukunya. Demikianlah betapa besar peranan maklum balas yang jujur kepada penulis, hatta walaupun beliau seorang mahaguru yang terkenal dan berwibawa.

Prasarana Untuk Membudayakan Buku

Satu lagi perkara yang diutarakan Kishore ialah mengenai membudayakan buku, iaitu mengadakan rak-rak buku dalam rumah kita. Perkara ini pernah disentuh oleh beberapa penulis lain, termasuk saya, dahulu. Rata-ratanya masyarakat Melayu dan masyarakat Singapura kurang mengambil berat hal ini. Bila kita berpindah ke rumah baharu atau mengubah elok rumah, banyak perkara yang kita beri perhatian, tetapi jarang benar kita mengadakan ruang untuk rak-rak buku dan usaha-usaha berkaitan dengannya. Seperti kata Kishore, kita sanggup membeli TV plasma yang mahal, barang-barang elektronik yang mahal dan canggih tetapi rak-rak buku yang tidak seberapa harganya, tidak pula kita endahkan. Kalau ada pun ia mungkin sebagai bahan perhiasan, bukan sebagai tempat untuk mendekati buku dan ilmu.

Mengadakan rak-rak buku dan ruangan untuk buku bukanlah sukar atau mahal dilakukan. Rak-rak buku juga boleh juga dibuat sendiri, tanpa membelinya dari gedung. Seandainya kita tidak mampu membeli buku dan majalah yang baik, kita boleh mendapatkan buku dan majalah terpakai atau meminjam daripada perpustakaan dan meletakkannya di rak-rak tadi buat sementara. Wujudnya ruang untuk buku sebegini boleh menimbulkan suasana yang selesa untuk ahli keluarga kita bermesra dengan bahan bacaan yang baik. Kesannya tentulah pelbagai.

Ada orang mengadakan ‘hari membaca’ bagi keluarganya, lantas semua anggota keluarganya akan membaca buku atau majalah pada hari tersebut. Bayangkan berapa banyak bahan bacaan dapat dibaca dan mungkin juga dibincangkan oleh keluarga tersebut jika budaya mencintai buku ini diamalkan oleh sebilangan besar masyarakat kita. Lebih ramai yang akan diperkayakan kehidupannya dengan ilmu, banyak buku yang akan terbit, ramai lagi penulis akan muncul dan usaha-usaha memartabatkan keilmuan, dan bukan hanya yang bercorak hiburan, akan lebih meruangi kehidupan kita. Semua usaha ini bukanlah sesuatu yang dapat menimbulkan kesan baiknya dengan serta-merta bagai mi segera tetapi ia akan mengambil masa. Seorang penulis yang baik tidak tiba-tiba muncul tanpa bertahun-tahun dipersediakan untuk tugasnya melalui pengasuhan, pendidikan dan ilmu. Selain manusia-manusia yang rapat dengannya yang membentuk peribadi dan kecenderungannya, bukulah yang telah mencorak-warnakan kehidupannya. Membudayakan buku bererti kita membudayakan ilmu dan ilmu yang baik itu selalu melorongkan kita ke tangga kejayaan, walaupun kejayaan itu tidak semestinya adanya nama yang gemilang, wang yang banyak atau pangkat yang besar. Tetapi ilmulah, yang dilambangkan dengan buku, yang membolehkan kita menjelajah ke pelbagai zaman, makhluk, masyarakat dan persoalan, menyedarkan kita akan kayanya kepelbagaian kehidupan. Dan tidak perlu kita menjadi seorang mantan duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations), sebagaimana Kishore Mahbubani, untuk mengetahui ini

Ditulis: 6 Februari 2008
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada Februari 2008 dengan tajuk atau tajuk-tajuk berlainan (tulisan yang tersiar entah di mana tersimpan).
Tulisan: Rasiah Halil.

Yang ‘Kecil’ Dalam Sastera

eliot-1the-little-prince

Beberapa orang pernah bertanya, apakah mereka boleh menulis puisi atau cerpen sedangkan mereka tiada topik-topik atau tema-tema besar untuk diketengahkan. Pertanyaan mereka membuat andaian bahawa hanya perkara-perkara besar sahaja seharusnya menjadi bahan sastera  dan selagi kita belum boleh menulis sesuatu yang ‘besar’, kita tidak seharusnya menulis.

Sastera memang berpusar dari dan kepada kehidupan kerana ia tidak boleh wujud dalam hampawa/vakum. Namun, dalam kehidupan bukan semuanya besar atau menggugat dunia. Kekecilan sesuatu tema tidak pula bermakna ia tidak penting sebagaimana besarnya sebuah tema bukan pula bermakna ia penting. Pablo Neruda (1904-1973), penyair Chile, menulis puisi-puisi cinta, landskap, perjuangan dan isu-isu yang agak berat. Tetapi beliau juga terkenal kerana menulis puisi-puisi kecil misalnya puisi-puisi jenis ode mengenai jagung, garam, ikan tuna, buku, bawang dan sebagainya. Rakaman-rakaman kecilnya mengenai kehidupan sehariannya tidak pula bermakna beliau tiada bahan untuk ditulis atau kehidupan tidak lagi mengilhaminya. Perkara-perkara yang nampaknya kecil dalam puisi-puisinya sebenarnya menggambarkan besarnya tanggapan beliau terhadap kehidupan kerana tanpa yang mikro, yang berbentuk makro tidak akan terwujud. Yang kecil dari kehidupan seharian itu sebenarnya memberi semacam rempah ratus dalam masakan perpuisiannya. Dan sajak-sajak kecilnya bukan pula bermakna ia tiada nilai sastera kerana nilai seninya tetap terjaga rapi.

Demikian juga dengan penyair Amerika-Inggeris, T.S.Eliot (1888-1965). Terkenal kerana karya-karyanya yang berat dan simbolik misalnya ‘The Waste Land’ dan beberapa esei sastera yang menerjah pemikiran kita, beliau juga menulis puisi-puisi ‘kecil’ misalnya mengenai kucing dalam antologinya Old Possum’s Book of Practical Cats. Kita akan berfikir mengapa seorang cendekia sastera menulis mengenai kucing, tema yang kecil dan ringan. Namun tema dan topik sebeginilah yang menggambarkan penyair dan penulis Eliot dengan lebih lengkap. Persoalan-persoalan kecil dan besar dalam sastera sebenarnya adalah yang sama diperlukan dalam pengadunan sesebuah karya dan juga menampilkan jalur perkembangan seseorang penulis.

Antione de Saint-Exupery (1900-1944), penulis Perancis, menulis beberapa buku yang menggambarkan pengalaman-pengalamannya sebagai seorang juruterbang. Salah sebuah bukunya yang menjadi klasik merupakan bahan bacaan untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa berjudul The Little Prince. Bukunya kelihatan mudah difahami dan mengenai pertemuan seorang juruterbang yang terkandas di Gurun Sahara dengan seorang Putera Diraja. Kisah-kisahnya yang disampaikan Sang Putera inilah yang mudah difahami oleh kanak-kanak, sebenarnya memberi makna yang lebih mendalam bagi orang dewasa. Sang Putera bercakap mengenai bunga mawar, kambing, serigala, raja, ahli geografi, pemetik lampu dan lain-lain. Dengan pelukisan-pelukisan yang bersahaja dan mudah difahami, walaupun oleh seorang kanak-kanak, de Saint-Exupery juga menyelitkan kata-kata yang sarat dengan lambang misalnya: ‘What I see here is nothing but a shell. What is most important is invisible…..’

Demikian juga dengan sasterawan Usman Awang yang menulis dalam beberapa genre penulisan. Walaupun terkenal kerana rasa kemanusiaannya yang mendalam, namun banyak juga karyanya yang kelihatan ‘kecil’ atau menyentuh topik-topik yang tidak menggugat dunia, misalnya kisah cinta dalam drama ‘Serunai Malam’, cemburu dalam cerpen ‘Betisnya Bunting Padi’ atau berjenaka dan kelihatan menulis tema ‘kecil’ dalam puisinya ‘Pantun Moden’. Kita terhibur membaca karya-karyanya yang berat atau kelihatan ringan dan kecil kerana dengan kemahi-rannya menulis dan penghayatan seninya, karya-karya kecilnya sebenarnya ‘besar’ di mata khalayaknya.

Tidak semua penulis boleh melahirkan karya besar yang dianggap karya agung seperti novel War and Peace tulisan Leo Tolstoy (1828-1910). Namun Tolstoy juga tidak bermula dengan War and Peace; beliau bertatih dahulu dalam bidang penulisan sehinggalah tahun-tahun awal itu mengasah kemahirannya untuk melahirkan karya yang besar dari segi tema, skop dan halamannya, pada zaman dewasanya. Seorang penulis boleh sahaja menulis mengenai serangga, haiwan, daun keladi, pucuk ubi, kertas peperiksaan, sebatang pena, hujan menitis atau sebiji saga, yang kelihatan topik atau tema kecil sahaja. Namun, tema-topik biasa ini boleh sahaja menjangkau sesuatu yang besar jika ia dicipta dengan kemahiran, penghayatan dan kejujuran penulisnya. Sama seperti ada orang mengenengahkan topik atau tema yang besar misalnya mengenai kemajuan, perjuangan, isu-isu global dan sebagainya tetapi tanpa kebolehan mencerna apa yang dicipta dan kemahirannya sebagai penulis, idea-ideanya tidak kesampaian. Nanti yang tercipta sekadar slogan yang berbau kempen-kempen tertentu tetapi tidak menyentuh nurani, pemikiran dan perasaan kita sebagai pembaca.

Kadangkala penulis harus terus menulis walaupun dia tahu karyanya itu belum mencapai tahap yang tinggi kerana kesungguhan dan penghayatannya nanti akan mengasah bakatnya dalam bidang sastera. Kalau hanya topik atau tema besar sahaja yang dinantikan, besar kemungkinan tiada karya yang dapat dilahirkannya. Yang penting seseorang itu tidak berputus asa, menulis sejujurnya dan mengasah bakatnya. Topik atau tema kecil hanya pertimbangan kedua kerana apa yang dianggap kecil boleh sahaja menjadi besar dan memberi makna berganda kepada khalayak sasteranya.

Ditulis: 7 September 2005
Tajuk Yang Disiarkan Di Berita Minggu: Apa Saja  Boleh Jadi Bahan Tulisan
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada 25 September 2005
Tulisan: Rasiah Halil.